Friday 4 January 2013

NENEK MENINGGAL DUNIA


Nenda Biah bt Jambol, ibu kepada ayahku meninggal dunia pada 3 Januari 2013, jam 9.30 pagi. Nenek lahir pada 4 Jun 1926 dan meninggal dunia di terataknya di KM 26, Jalan Batu Gajah, 77300 Merlimau, Melaka. Beliau lumpuh sejak 3 tahun yang lalu dan meninggal dunia akibat sakit tua. Aku tidak berpeluang berjumpa nenek sebelum dikebumikan. Dari Penang ke Melaka mengambil masa yang lama dan apabila sampai nenek sudah dikebumikan. Nenek pergi selepas melihat pak udaku anaknya yang ketiga, mak cikku anaknya yang kesembilan, suaminya iaitu datukku (Awab bin Ahad) dan bapaku (Saadon Awab) pergi meninggalkannya terlebih dahulu. Sesungguhnya pemergian nenek amat aku rasai. Paling akhir aku melihat nenek pada Aidil Fitri yang lalu. Nenek kurus sangat dan sudah kurang bercakap seperti dulu. Nenek juga sudah tidak mengenali diriku. 

Ketika kami kecil, nenek merupakan seorang penglipur lara. Banyak cerita yang didendangkan untuk kami antaranya cerita binatang, cerita jenaka, cerita hikayat dan sebagainya. Nenek juga seorang yang mahir menganyam tikar. Pelbagai kelarai tikar yang dihasilkannya. Ketika kecil, aku berpeluang mengikuti proses penghasilan tikar bermula dari proses mengambil daun mengkuang, merebus, mewarna, menjemur, meraut dan menganyam. Satu lagi kepakaran nenek adalah berpantun. Nenek suka berpantun dan banyak yang aku pelajari tentang pantun Satu lagi kerja nenek yang aku suka ikuti adalah penghasilan minyak kelapa. Kelapa dalam kualiti yang banyak diparut, diperah santannya dan dimasak sehingga menjadi minyak. Aku tidak menunggu minyaknya, tetapi aku menunggu tahi minyaknya. Ianya sedap dimakan. Nenek juga menggunakan masanya untuk meraut lidi. Nenek akan mengumpul daun kelapa, dibawa pulang dan diraut untuk dijadikan penyapu lidi. Semua yang nenek lakukan untuk tujuan membantu datuk mendapatkan sumber kewangan bagi meringankan tanggungan datukku. 

Segala yang dilakukannya untuk keluarga. Nenek sayang datuk dan anak-anaknya. Bila kami muncul, nenek juga sayangkan cucu-cucunya. Sepanjang hidup, nenek sentiasa berbakti kepada datuk dan keluarganya. Itulah kasih sayang dan keprihatinan seorang wanita yang bergelar isteri, ibu dan nenek. Kini tiada lagi cerita nenek, pantun nenek, latah dan leteran nenek. Tiada lagi asam pedas dan pindang lazat nenek. Kami akan sentiasa rindukan nenek. Semoga amal ibadat dan segala kebaikan yang nenek lakukan di dunia ini akan menjadi bekalan nenek di akhirat yang kekal abadi. 


7 comments:

  1. Takziah buat En Roslan sekeluarga.Semoga arwah ditempatkan dalam golongan yang beriman.Amin.

    ReplyDelete
  2. Ucapan ta‘ziah saya ditujukan kepada ahli keluarga Encik Roslan

    "Semoga Allah membesarkan pahalamu dan membaikkan kesabaranmu dan mengampunkan bagi si matimu.”

    ReplyDelete
  3. Takziah di atas pemergian arwah....
    Allah lebih menyayanginya....

    ReplyDelete
  4. RomanSecetra(aiman)5 February 2013 at 15:19

    Al- Fatihah. Takziah kepada Cik Lan sekeluarga.

    setiap yang hidup pasti akan kembali kepada penciptaNya. semoga roh beliau dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama orang yang soleh dan solehah..amin

    ReplyDelete
  5. Innalillah wa inna ilaihi rajiun. takziah cikgu. tugasnya di dunia dah selesai dan arwah sudah selesa di sana. tinggal kita yang masih belum selesai di sini. semoga rohnya diberkati.

    ReplyDelete
    Replies
    1. 1.0m untuk sha, jemey, kaklong, aiman dan cua.

      Delete
  6. Shangari Sivabalan12 February 2013 at 13:21

    Takziah buat Cik Lan sekeluarga.. Pepatah Bahasa Inggeris pernah berkata,“You never know what you have till you've lost it.” Marilah kita semua belajar untuk lebih menghargai kewujudan insan-insan dalam kehidupan kita sebelum kita kehilangan mereka..

    ReplyDelete