Tuesday 11 October 2016

PANDUAN GURU

Panduan Guru 1922


Pada 3 Mac 1922, satu mesyuarat diadakan dengan mengambil keputusan menerbitkan sebuah majalah sebagai wadah perjuangan PGMPPJ. Hal ini berlaku kerana penglibatan aktif dalam kalangan guru menghasilkan penulisan dalam akhbar-akhbar. Mesyuarat tersebut menerima beberapa cadangan nama lain selain Panduan Guru antaranya Asohan Guru, Kemajuan Guru, Pemimpin Guru, Tunas Guru, Lidah Melayu, Kemajuan Bangsa, Benih Perasaan dan Suloh Melayu. Mesyuarat kedua pada 30 Jun 1922 menetapkan nama yang dipilih iaitu Panduan Guru. (Jubli Emas, 1972: 23)

Dalam mesyuarat awal pada 3 Mac 1922, jawatankuasa penerbitan dibentuk yang mana Cikgu Husain bin Abd. Rashid dilantik sebagai penyunting dan Cikgu Md Saman Haji Said sebagai penolong penyunting. Dari setiap cawangan pula dilantik wakil-wakil penulis seperti Md Zain bin Abdullah (Bandar), Md Yusof Zainal (Bayan Lepas), Husain Abdul Rashid (Balik Pulau), Bahaudin Zainal (Penaga), Din Sulaiman (Permatang Pauh), Abdullah Ahmad (Aur Gading), Senawi Md Yunus (Bukit Mertajam) dan Jamaludin Saleh (Nibong Tebal). (Jubli Emas, 1972: 81)


Panduan Guru telah dihasilkan sebanyak 12 keluaran iaitu bermula dengan keluaran pertama pada bulan Julai 1922 dan menghasilkan keluarannya yang terakhir pada bulan April 1925. Panduan Guru tidak berakhir pada tahun tersebut kerana ia telah menjelma dalam diri Majalah Guru. (Jubli Emas, 1972: 81) Panduan Guru bersaiz 8 x 6 inci berkulit warna dengan jumlah muka suratnya 60 helai menggunakan kertas simili 60 lb. Majalah ini dicetak oleh Mercantail Press Pulau Pinang dan dijual dengan harga 25 sen senaskhah. (Jubli Emas,1972: 83)

Penerbitan Panduan Guru mempamerkan akan pertumbuhan semangat kebangsaan dalam kalangan guru-guru Melayu. Mereka mula sedar akan untung nasib bangsa, kemunduran bangsa, ceteknya taraf pendidikan anak-anak Melayu dan sebagainya. Cadangan menamakan majalah yang bakal diterbitkan menjadi bukti guru-guru Melayu Pulau Pinang tebal dengan perasaan tersebut. Nama-nama yang dicadangkan oleh kumpulan penulis antaranya ialah Asohan Guru (Bukit Mertajam), Suloh Melayu (Bayan Lepas), Kemajuan Guru (Bandar), Kemajuan Bangsa (Aur Gading), Pemimpin Guru (Permatang Pauh), Panduan Guru (Balik Pulau), Tugas Guru (Penaga), Lidah Melayu (Nibong Tebal) dan Beneh Perasaan (Dinding). (Jubli Emas, 1972: 83)

Pada tahun 1925, satu perjumpaan diadakan bagi menyatukan Panduan Guru dengan Majalah Guru yang dihadiri oleh Haji Abdul Jalil, bekas Guru Besar Maktab Melaka; Za’aba, Hj. Ahmad Shah Melaka, Setiausaha Persekutuan Guru Melayu Melaka; En. Mohammad bin Dato’ Muda, Pengarang pertama Majalah Guru dan Setiausaha Persekutuan Guru Melayu Negeri Sembilan; En. Ahmad bin Abdul Rahman, Yang Dipertua Persekutuan Guru Melayu Melaka; En. Yusof bin Ahmad,Yang Dipertua Persekutuan Guru Melayu Selangor; Baba Jaudin, Yang Dipertuan Persekutuan Guru Melayu Negeri Sembilan; dan lebih dari 30 orang pengarang, penulis dan ahli-ahli bahasa. Mesyuarat yang dijalankan di Sekolah Chowrasta itu mengambil ketetapan untuk menggabungkan kedua-dua majalah tersebut. (Jubli Emas, 1 Julai 1972, hlm. 25)

Cadangan untuk mengukuhkan wadah perjuangan guru-guru Melayu melalui  majalah bermula pada bulan November 1923.  Pada tahun tersebut PGMPPS menerima surat daripada Persatuan Guru-guru Melayu Selangor (PGMS) agar Panduan Guru menjadi suara milik semua guru di Semenanjung. Hal ini bertujuan untuk menguatkan lagi suara guru-guru Melayu. (Jubli Emas, 1 Julai 1972, hlm. 83-84). Usaha penyatuan tersebut tidak dipersetujui oleh Pulau Pinang, namun sokongan, perangsang dan hubungan baik sentiasa terjalin. Majalah Guru diterbitkan pada bulan November 1924 dengan kendalian tiga negeri iaitu Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka. Pada awal tahun 1925, tak boleh tidak akhirnya Panduan Guru dan Majalah Guru bergabung. (Jubli Emas, 1 Julai 1972, hlm. 83-84)
  
Bila bercakap tentang wadah penerbitan guru-guru Melayu, Panduan Guru tidak boleh diketepikan. Walaupun hayatnya pendek iaitu sekitar tiga tahun, namun rohnya terus meresapi Majalah Guru yang muncul selepas itu. Seterusnya Majalah Guru dipanggil Guru. (Jubli Emas, 1 Julai 1972, hlm. 84) Bagi menjadikan Majalah Guru sebagai tenggungjawab semua cawangan, mesyuarat pada 24 Januari 1936 menetapkan semua cawangan menambah dalam perlembagaan persatuan masing-masing dengan perkara berikut:

“dan bersama dengan lain-lain persakutuan guru-guru Melayu kerana menerbitkan Majalah Guru” (Minit Mesyuarat PGMPPS, 6 Februari 1936)

Pada tahun 1951, PGMPPS telah memutuskan untuk menerbitkan Suara Kesatuan yang akan bermula pada bulan Jun 1951. (Minit Mesyuarat Perwakilan KGMPPS, 18 Mei 1951)  Dalam mesyuarat pada bulan Oktober 1951 dinyatakan sebanyak 150 unit Suara Kesatuan dikeluarkan dan kemudian ditambah 250 unit lagi. (Minit Mesyuarat Perwakilan KGMPPS, 2 Oktoer 1951)


SEJARAH PERSATUAN GURU MELAYU PULAU PINANG


Seiring dengan kesedaran kebangsaan yang mula pada awal abad ke-20, maka lahirlah persatuan guru yang pertama di Pulau Pinang. Persatuan ini dikenali sebagai Persakutuan Guru-guru Melayu Pulau Pinang dan Jajahannya (PGMPPJ). Kesatuan ini dibentuk pada tahun 1920 melalui usaha beberapa orang guru antaranya Mohammad bin Hj. Abdul Mutalib, Muhammad Zain bin Haji Ayub dan Che Cik bin Tajuddin. Pada masa terbentuknya PGMPPJ, ahli yang terkumpul seramai 240 orang. Mereka terdiri daripada guru-guru lepasan Maktab Teluk Belanga seramai 30 orang dan Maktab Melaka seramai 110 orang. Manakala selebihnya merupakan guru-guru tidak terlatih.

Cikgu Muhammad Zain Haji Ayob Pengasas PGMPPJ


Idea pembentukan persatuan ini diilhamkan daripada pertemuan bulanan yang berlaku semasa para guru datang ke Chowrasta, George Town untuk mengambil gaji. Para guru datang dari seluruh Pulau Pinang, Seberang Perai, Din- ding dan Pangkor yang dianggap sebagai salah sebuah Negeri Selat. Pada masa itu mereka berkumpul, berbual dan bertukar-tukar fikiran. Suka diingatkan bahawa mereka yang datang merupakan wakil-wakil guru yang mengambil gaji bagi pihak guru lain.Pertemuan tersebut memperlihatkan kepada guru-guru Melayu ini bahawa mereka boleh berkumpul dan bersatu. Muhammad Zain Hj. Ayub menyedari bahawa dalam keadaan yang sedemikian, adakah tidak mungkin guru-guru Melayu dikumpul dan disatukan di bawah satu persatuan.

Guru-guru Melayu Pulau Pinang 1930-an


Cikgu Muhammad Zain Haji Ayub merupakan teraju utama yang memainkan peranan penting dalam penubuhan PGMPPS. Pada bulan Januari 1920, beliau telah dihantar ke Pulau Pinang  dari Selangor dengan jawatan Penolong Nazir. Beliau menjadi tempat mengadu para guru dengan pelbagai isu dan masalah. Selaku seorang yang amat prihatin dengan nasib guru-guru dan pendidikan anak bangsa, maka beliau telah menganjurkan satu perjumpaan dengan guru-guru Melayu Pulau Pinang dan jajahannya. Tarikh keramat tersebut adalah 6 Ogos 1920 dan bermula pada pukul 8.00 pagi di Sekolah Chowrasta. Mesyuarat tersebut dihadiri seramai 65 orang guru dan mereka bersetuju untuk menubuhkan Persatuan Guru-guru Melayu Pulau Pinang dan Jajahannya (PGMPPJ). Dengan persetujuan mesyuarat, En. Muhammad Zain telah ditugaskan untuk membentuk perlembagaan persatuan. Mesyuarat agung penubuhan PGMPPJ  diadakan sebulan kemudian iaitu pada 3 September 1920. Pada kali ini seramai 96 orang guru hadir dan mereka telah menerima perlembagaan yang telah digubal oleh Cikgu Muhammad Zain bin Hj. Ayub. Mereka juga telah membentuk jawatankuasa untuk menguruskan persatuan. Jawatankuasanya adalah seperti berikut:

· Penaung: Mr. M.T. Clark (Nazir Sekolah)
· Yang Dipertua: Cikgu Muhammad Zain Hj. Ayub (Penolong Nazir)
· Setiausaha: Cikgu Ishak bin Md Taib
· Pen. Setiausaha: Cikgu Abu Bakar bin Naina Fakir
· Bendahari: Cikgu Muhammad bin Hj. Abdul Mutalib
· Pemeriksa Kira-kira: Cikgu Che Chik bin Tajudin
· Penjaga Kutub Khanah:Cikgu Haji Hashim bin Ab. Rahman
· Ketua Permainan Sepak Bola: Cikgu Abu Bakar bin Abdullah
· Pen. Ketua Permainan: Cikgu Md Isa bin Hj. Hasan
· Ketua Sepak Bola Seberang Perai: Cikgu Mustafa bin Abu Bakar
· Pen. Ketua Sepak Bola S. Perai : Cikgu Shabudin bin Maydin

· Ahli Jawatankuasa:
  Cikgu Mohammad b. H.A. Mutalib (Kumpulan Bandar)
  Cikgu Mohammad b. Mohammadiah (Kumpulan Bayan Lepas)
  Cikgu Puteh b. Md Amin (Kumpulan Balik Pulau)
  Cikgu Che Chik b. Tajudin (Kumpulan Penaga)
  Cikgu Puteh bin Muhammad (Kumpulan Aur Gading)
  Cikgu Arshad b. Hj. Omar (Kumpulan Permatang Pauh)
  Cikgu Ishak b. Tajudin (Kumpulan Bukit Mertajam)
  Cikgu Puteh b. Hj. Husain (Kumpulan Nibong Tebal)
  Cikgu Puteh b. Ahmad (Kumpulan Dinding dan Pangkor)

Matlamat penubuhan PGMPPJ boleh dilihat berdasar perlembagaan asalnya iaitu:

Mengukuh setia guru-guru dan melatih adab bangsa Melayu dan hendak mengadakan sebuah kutub khanah.

Berdasarkan tujuan tersebut maka dibentuk pelbagai aktiviti dan usaha seperti mewujudkan kutub khanah, menyediakan khairat kematian, meninggi dan memperjuangkan bahasa, menghasilkan majalah, tuntutan meningkatkan gaji guru, penyediaan hadiah untuk pelajar dan menganjurkan aktiviti sukan dan permainan. Atas usaha dan jasa Cikgu Muhammad Zain bin Hj. Ayub, PGMPPJ telah bersetuju menerima beliau sebagai ahli seumur hidup. Hal ini berlaku selepas 3 tahun umur PGMPPJ iaitu apabila beliau terpaksa melepaskan jawatan untuk berpindah ke Perak. Pada tahun 1934, PGMPPJ bertukar nama kepada Persatuan Guru-guru Melayu Pulau Pinang dan Seberang Perai (PGMPPS). Tidak dinafikan peranan Cikgu Muhammad Zain amat besar dan berpengaruh dalam penubuhan PGMPPJ. Tanpa beliau agak mustahil persatuan tersebut dapat direalisasikan. Menjadi dasar British untuk menghalang sebarang bentuk pertubuhan yang boleh mengancam kestabilan pentadbiran mereka. Melalui Penolong Nazir, persatuan guru yang wujud diharapkan dapat dipantau dan dikawal. Justeru, British meletakkan syarat Pengerusi persatuan mestilah seorang yang berjawatan Penolong Nazir dan penaungnya pula ialah seorang nazir yang terdiri daripada orang British.



CIKGU MOHAMAD NOR AHMAD

Cikgu Mohamad Nor Ahmad


Latar Belakang dan Pendidikan

Cikgu Mohamad Nor dilahirkan di Pulau Pinang pada 2 November 1911. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Gopeng bermula pada tahun 1918. Pada tahun 1923, beliau belajar di Sekolah Melayu Chowrasta, Pulau Pinang dan pada tahun 1925, beliau bersekolah di Sekolah Sungai Gelugor hingga tamat darjah empat. Beliau mendapat pendidikan yang lebih tinggi di Sultan Idris Training College (SITC), Tanjung Malim, Perak pada tahun 1929. Pada tahun 1931 Cikgu Mohamad Nor menamatkan pengajian di SITC dengan mendapat kelulusan Pangkat II. Bagi memantapkan lagi diri dengan pengetahuan dan kemahiran, Cikgu Mohamad Nor melanjutkan latihan mengajar Pendidikan Jasmani selama setahun pada tahun 1932.

Perkhidmatan Sebagai Kakitangan Awam
Perkhidmatan bermula sebaik sahaja beliau menamatkan pengajian di Sekolah Melayu Gelugor. Beliau terpilih untuk mengajar di sekolah tersebut sebagai guru pelatih. Pada tahun 1929, Cikgu Mohamad Nor berjaya melanjutkan pelajaran ke SITC. Selepas tamat pengajian di SITC, beliau ditempatkan di Sekolah Melayu Chowrasta sebagai guru penolong pada tahun 1933. Sebagai seorang guru yang berketrampilan dan mahir dalam ilmu pertukangan, beliau telah dilantik sebagai Guru Pelawat setahun kemudian. Beliau menjadi Guru Pelawat bagi mata pelajaran Pertukangan Tangan dan Senaman bagi sekolah-sekolah Melayu di Pulau Pinang dan Seberang Perai.
Pada tahun 1941, Jepun menakluki Tanah Melayu dan bermulalah pemerintahan Jepun. Kegiatan pendidikan berterusan dan Cikgu Mohamad Nor telah dilantik sebagai guru bahasa Jepun di Sekolah Kebangsaan Jelutong dan kemudiannya dinaikkan pangkat sebagai Guru Besar  Sekolah Jepun di Titi Papan. Bagi memantapkan lagi penguasaan dan kemahiran dalam pendidikan Jepun, beliau dihantar ke Maktab Jepun di Singapura pada tahun 1944 selama enam bulan. Setelah tamat kursus, Cikgu Mohamad Nor ditempatkan di Sekolah Menengah Pyket Avenue, Pulau Pinang sebagai Guru Besar dan kemudiannya sebagai Penolong Pengetua Maktab Perguruan Harian Jepun.
Selepas kekalahan Jepun, beliau kembali memegang jawatan asalnya iaitu Guru Pelawat Pekerjaan Tangan dan Senaman pada tahun 1945. Penguasa Pelajaran Tanah Melayu telah mengarahkan beliau melawat semua maktab dan sekolah di Tanah Melayu. Beliau ditugaskan untuk mengkaji mata pelajaran Pekerjaan Tangan di sekolah rendah. Justeru, dari usaha tersebut terhasillah sebuah buku kecil sebagai panduan mata pelajaran Pekerjaan Tangan untuk sekolah rendah. Buku tersebut diterbitkan oleh Pejabat Karang Mengarang Kerajaan. Cikgu Mohamad Nor menamatkan perkhidmatan perguruannya pada 31 Disember 1961 apabila beliau secara rasmi bersara.
  
Kepimpinan Dalam Persatuan dan Kesatuan
            Cikgu Mohamad Nor Ahmad merupakan seorang ahli persatuan yang sangat aktif. Pada 4 Ogos 1934 beliau telah dilantik sebagai Penolong Setiausaha PGMPPJ dan mulai 2 Ogos 1935 dilantik sebagai Setiausaha sehingga tahun 1949. Pada 21 Disember 1936, Cikgu Mohamad Nor terlibat dengan pengasasan Majalah Guru bagi Pulau Pinang. Beliau terlibat dengan kerja-kerja penerbitan majalah tersebut di Pulau Pinang sehingga tahun 1942. Pada 27 Februari 1948, beliau dilantik sebagai Naib Yang Dipertua PGMPPS dan seterusnya memegang jawatan Yang Dipertua bermula Jun 1949 hingga Disember 1961.
Persatuan yang sama seperti PGMPPS ini juga muncul di negeri-negeri lain seperti Kedah, Perak, Selangor dan Negeri Sembilan. Pada 14 April 1946, persatuan-persatuan ini bersatu dan membentuk Kesatuan Persekutuan Guru Melayu Semenanjung (KPGMS). Cikgu Mohamad Nor terlibat dan merupakan antara tokoh penting dalam pengasasan KPGMS. Atas kebolehan dan komitmen, KPGMS memberikan tanggungjawab yang berat kepadanya untuk memimpin Majalah Guru. Beliau dilantik sebagai Ketua Pengarang pada 1 Januari 1950. Komitmen beliau semakin mendapat pengiktirafan dan kepercayaan ahli. Pada 23 September 1954, Cikgu Mohamad Nor  dilantik sebagai Naib Yang Dipertua KPGMS sebelum memegang tampuk kepimpinan sebagai Yang Dipertua Agung pada 15 Julai 1955.


Mesyuarat Agung KGMPPS 1957


Penglibatan Dalam NGO Peringkat Negeri
Selepas bersara dari jawatannya sebagai kakitangan kerajaan, Cikgu Mohamad Nor tidak mendiamkan dirinya. Selaku orang yang sentiasa aktif, beliau memegang beberapa jawatan yang diberikan kepadanya. Antaranya ialah sebagai Jemaah Pengampunan Negeri dan Jaksa Pendamai pada tahun 1969. Pada tahun 1970 pula, beliau dilantik sebagai anggota Jemaah Mengkaji Banduan di Jel dan Pulau Jerejak, Pulau Pinang. Pada tahun 1972, Cikgu Mohamad Nor dilantik sebagai Pelawat Rumah Sakit Besar Pulau Pinang. Pada tahun 1979,  beliau memegang beberapa jawatan penting di Pulau Pinang seperti Ahli Jawatankuasa Pesta Pulau Pinang, Pengerusi Jemaah Pengurus Sekolah Menengah Gelugor, Pengerusi Jemaah Pengurus Sekolah Kebangsaan Gelugor dan Pengerusi Qariah Masjid Taman Brown, Gelugor, Pulau Pinang. Nama beliau juga amat penting dalam pertubuhan UMNO Pulau Pinang kerana beliau merupakan salah seorang pengasasnya. UMNO Pulau Pinang diasaskan pada tahun 1946 dan beliau merupakan Pegawai Penerangan UMNO Negeri. Semangat kemelayuan Cikgu Mohamad Nor amat tinggi. Pada 15 April 1957, beliau telah menentang cadangan pelantikan Lin Yu Ko sebagai Gabenor Pulau Pinang. Beliau beranggapan bahawa jawatan Gebenor perlu diisi oleh orang Melayu.
Pada 14 Mei 1965 beliau mengasaskan Badan Bertindak Bahasa Kebangsaan Pulau Pinang. Beliau diangkat menjadi Ketua I badan tersebut sehingga 1966. Seterusnya pada bulan Jun 1972 menyandang jawatan Yang Dipertua Persatuan Melayu Pulau Pinang (PEMENANG). Beliau juga berperanan mengasaskan penubuhan Persatuan Penulis Nasional Pulau Pinang dan memegang jawatan Ketua I sehingga Disember 1972.

Peranan dan Perjuangan di Peringkat Kebangsaan
Peranan Cikgu Mohamad Nor tidak terhad di peringkat negeri sahaja. Beliau memainkan peranan yang sangat penting dan aktif di peringkat kebangsaan. Pada bulan Ogos 1956, Cikgu Mohamad Nor dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Pelajaran Persekutuan Tanah Melayu. Pada tahun berikutnya dilantik pula sebagai Ahli Jawatankuasa Ejaan dan kemudian membantu kerajaan mengkaji dasar pelajaran apabila dilantik menjadi Ahli Jawatankuasa Mengkaji Semula Dasar Pelajaran 1956. Beberapa bulan kemudian dalam tahun yang sama beliau telah terlibat sebagai Ahli Jawatankuasa Perundingan Ejaan dengan Indonesia yang berlangsung di Jakarta.
Peranan paling penting dan paling bermakna yang dimainkan oleh Cikgu Mohamad Nor adalah menjadi teraju utama dalam mendaulatkan bahasa Melayu. Pada tahun 1958, beliau mengetuai rombongan KPGMS untuk bertemu Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu bagi membincangkan tentang pelaksanaan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di sekolah menengah. Usaha tersebut mendapat tentangan daripada Tunku Abdul Rahman. Beliau mengugut jika tidak dilaksanakan perkara tersebut maka para guru yang berada di dalam UMNO akan keluar secara beramai-ramai. Apabila pihak kerajaan kekal dengan keputusan tidak mahu melaksanakan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam sistem pendidikan negara, Cikgu Mohamad Nor dan pengikutnya telah keluar dari UMNO pada 31 Januari 1958. Kesannya, Tunku Abdul Rahman bersetuju dengan tuntutan KPGMS membentuk dan melaksana sistem persekolahan menengah menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar.


Surat Tunku Abdul Rahman Kepada Cikgu Mohamad Nor Ahmad


Pada 23 April 1962, beliau diterima semula sebagai ahli UMNO. Beliau dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa UMNO Negeri. Pada 15 April 1963 beliau dilantik sebagai Pegawai Penerangan Perikatan Negeri dan mulai 17 Ogos 1966 menjadi Timbalan Ketua UMNO Pulau Pinang. Hal ini menunjukkan bahawa beliau merupakan seorang tokoh yang berpengaruh dan mendapat kepercayaan ahli. Walaupun perjuangan UMNO cuba memartabatkan bahasa Melayu, namun pelaksanaannya tidak seperti yang dimatlamatkan. Tanpa mempedulikan jawatannya dalam UMNO, beliau mengambil keputusan membantah Undang-undang Bahasa yang dikeluarkan oleh kerajaan. Kesannya, pada 7 Mac 1967 beliau digantung daripada memegang jawatannya. Penggantungan tersebut berjalan sehingga 15 Mac 1972 apabila beliau diterima semula menyertai UMNO.

Penghargaan dan Anugerah
Cikgu Mohamad Nor Ahmad merupakan seorang tokoh yang banyak berjasa kepada profesion, masyarakat dan negara. Pada tahun 1961 beliau diianugerah Bintang Emas Kelas Pertama daripada KGMMB Pulau Pinang dan pada 1975 dianugerahi Bintang Emas KGMMB. Pada tahun 1975 juga beliau menerima anugerah Bintang Emas Tokoh Guru Malaysia dan Pingat Ahli Mangku Negara (AMN) daripada Yang Dipertuan Agung. Seterusnya menerima dua lagi pingat pada tahun 1979 iaitu Bintang Johan Negeri (DJN) daripada Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang dan Bintang Kesastria Mangku Negara (KMN) daripada Yang Dipertuan Agung. Cikgu Mohamad Nor juga mendapat pengiktirafan daripada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan dinobatkan sebagai Pejuang Bahasa pada tahun 1980. Pada tahun yang berikutnya Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri Pulau Painang telah menganugerahi beliau Bintang Darjah Setia Pangkuan Negeri (DSPN) yang membawa gelaran Dato’. Begitulah adanya orang yang berjasa, sentiasa dikenang dihargai bangsa. Pada tahun 1985, Suluh Budiman SITC pula mengangkat beliau sebagai Tokoh Pendidik. Sebanyak mana dan setinggi mana pingat diterima, namun jasa yang ditabur tidak ternilai harganya. Usahanya telah berjaya memartabatkan bangsa dan profesion keguruan. Sebagai tanda penghargaan dari pihak kerajaan, sebuah sekolah di Taman Brown, Gelugor, Pulau Pinang dinamakan sempena nama beliau iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Hj. Mohamed Noor Ahmad.