Thursday 12 July 2012

KGMMB Ke Dialog Teluk Ke-8

Sepanjang 3 hari di Brunei mulai 9 hingga 11 Julai 2012, pelbagai aktiviti dan peluang diguna dengan sebaik-baiknya. Cikgu Hj. Mohamad Sabri dan Cikgu Roslan Saadon merupakan wakil KGMMB/ Malaysia ke Dialog tersebut. Selain daripada membentang kertas kerja, KGMMB cuba mengadakan perbincangan dan menjalin hubungan dengan delegasi dari Thailand, Indonesia dan Brunei. KGMMB juga turut mengambil kesempatan menandatangani MOU dengan Sekolah PGGMB bagi tujuan mengadakan kerjasama dan penandaarasan. KGMMB juga akan mandapatkan nasihat dan tunjuk ajar dari Brunei dalam melaksanakan tulisan jawi di sekolah.

Selain menjalin hubungan baik dengan delegasi luar, Cikgu Hj. Mohamad Sabri juga dapat memperkenalkan KGMMB kepada para pemimpin Brunei. Dalam beberapa majlis penting, Presiden KGMMB diberi penghormatan untuk duduk semeja dengan para pembesar Brunei. Dalam majlis makan tengahari pada 10 Julai 2012, beliau duduk bersebelahan dengan mantan Menteri Agama Brunei. Begitu juga pada Majlis Perasmian yang berlangsung pada sebelah malamnya, Cikgu Mohamad Sabri duduk di meja VVIP bersama Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan Brunei. Sesungguhnya, 3 hari berada di Brunei memberikan banyak faedah dan manfaat kepada KGMMB.

Dialog Teluk Brunei Ke-8

Dialog anjuran ASTERAWANI ini berlangsung di The Core, Universiti Brunei Darussalam pada 19-21 Syaaban 1433H (9-11 Julai 2012). Ianya diadakan sempena sambutan 50 tahun ASTERAWANI dan melibatkan peserta dari Brunei, Indonesia, Thailand dan Malaysia. KGMMB diwakili oleh Tn. Hj. Mohamad Sabri Mohd Arshad dan En. Roslan bin Saadon. KGMMB telah membentang kertas kerja bertajuk "Sejarah Perjuangan Bahasa Cikgu Mohamad Nor Ahmad". Kertas kerja yang dibentang menimbulkan beberapa persoalan dan yang paling penting timbul kesedaran untuk mengangkat semula tulisan jawi. KGMMB akan menyusun perancangan dan tindakan yang sewajarnya untuk tujuan tersebut.

Friday 6 July 2012

Seminar Bahasa, Kesusasteraan & Kebudayaan Dalam Pendidikan Kebangsaan

Seminar berlangsung di Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur pada 28 Jun 2012 bertujuan untuk memastikan bahasa, kesusasteraan dan kebudayaan Melayu terus dikekalkan dalam sistem pendidikan kebangsaan. KGMMB diwakili oleh Tn. Hj. Mohamad Sabri Mohd Arshad dan Cikgu Roslan bin Saadon. Majlis pembukaan dirasmikan oleh YAB Tan Sri Hj. Muhyiddin bin Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia. Majlis penutupan pula dirasmikan oleh YB Dr. Muhd Puad Zarkashi, Timbalan Menteri Pelajaran. Seminar ini dianjurkan oleh GAPENA dengan kerjasama DBP dan pelbagai NGO termasuk KGMMB. Seminar ini turut merakamkan penyerahan momarandum GAPENA dan kerabatnya yang membantah cadangan mewujudkan semula sekolah aliran Inggeris dan menegaskan bahawa pihak kerajaan perlu berdiri teguh dengan dasar pendidikan sedia ada dan perlembagaan negara.

Kursus Pedagogi PERDA-TECH

Program berlangsung dari 2 hingga 6 Julai 2012 di Blok Beringin, IPG Kampus Pulau Pinang. Pesertanya adalah para pensyarah PERDA-TECH dan ianya dikendalikan oleh Majlis Pensyarah Cemerlang institut yang dikelolakan oleh En. Jamal Mohamed Abdul Rahman. Para peserta dibekalkan dengan pelbagai input berkaitan pedagogi. Majlis penutupan dan penyampaian sijil disempurnakan oleh Tn. Hj. Khalid Hj. Ahmad, Pengarah IPG Kampus Pulau Pinang.