Friday 24 May 2013

PERUBAHAN NAMA KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA


Perubahan nama Kementerian Pelajaran Malaysia kepada Kementerian Pendidikan Malaysia amat dialu-alukan oleh para pendidik. Hal ini berlebih-lebih lagi kepada KGMMB yang sentiasa berusaha menimbulkan isu istilah pelajaran dan pendidikan. Perbincangan dalam mesyuarat KGMMB, kursus dan forum sering menimbulkan isu tersebut.  Paling lantang apabila Tn. Hj. Mohamad Sabri Hj. Arshad membahaskan perkara tersebut dalam Majlis Perhimpunan 1 Malaysia di PWTC pada tahun lepas. Tn. Hj. Mohamaed Sabri, Presiden KGMMB mengajukan soalan kepada pihak pembentang berkenaan istilah pendidikan dengan pelajaran tetapi tidak dijawab oleh panel. Prof. Dato’ Sri Dr. Zaleha tidak mahu membincangkan  perbezaan pendidikan dan pelajaran yang dikemukakan. Pada hemat KGMMB, istilah pendidikan lebih sesuai digunakan oleh Kementerian Pelajaran kerana ia membawa implikasi yang lebih luas. Tugas KPM dan badan-badan pelaksananya termasuk guru bukan hanya mengajar tetapi mendidik. Pelajar bukan sahaja dipastikan menguasai ilmu pengetahuan, tetapi juga menerap amalan mulia dan nilai-nilai murni dari pendidikan. Sebab itu, istilah pendidikan digunakan dalam Falsafah Pendidkan Kebangsaan. 

KURSUS PEDAGOGI BERKESAN PERDA-TECH

Seramai enam orang pensyarah IPG Kampus Pulau Pinang terlibat sebagai penceramah untuk kursus tersebut. Mereka yang terlibat ialah En. Roslan Saadon (penyelaras), Dr. S. Balasubramaniam, Dr. Helen Khoo Chooi Sim, Dr. Parvinder Singh, En. Choong Chai Huat dan En. Ganesan Kuppusamy. Kursus dua hari ini bermula pada 27 Mei 2013 dan dijalankan di Dewan Utama, Perda-Tech, Bukit Panchur, Seberang Perai Selatan. Seramai 47 orang pensyarah Perda-Tech menyertai kursus ini. Kursus anjuran IPG Kampus Pulau Pinang melibatkan Perda-Tech pernah dijalankan pada tahun 2012. Pada tahun lepas kursus berlangsung selama seminggu tetapi pada kali ini berjalan selama dua hari. En. Jamal Mohamed Abdul Rahman, Setiusaha Akademik bertanggungjawab menyediakan program dan tenaga pengajar untuk pihak yang memerlukan seperti Perda-Tech. Usaha murni ini hasil daripada inisiatif Tn. Hj. Khalid Hj. Ahmad, Pengarah IPG Kampus Pulau Pinang yang sentiasa membuka IPG berkongsi kepakaran dengan pihak lain. IPG Kampus Pulau Pinang juga sedang dalam perbincangan menganjurkan kursus pedagogi untuk Kolej Universiti al-Bukhari.

Wednesday 22 May 2013

MESYUARAT PENGGUBALAN MODUL INTEGRITI

Mesyuarat tersebut berlangsung pada 21 hingga 23 Mei 2013 di Hotel Quality, Kuala Lumpur. Para peserta terdiri daripada para pensyarah IPGM. IPG Kampus Pulau Pinang diwakili oleh En. Abdul Aziz Ishak selaku urusetia dan En. Roslan Saadon. Para pensyarah dibimbing menghasilkan bahan ceramah dan dijadikan sebagai modul untuk ceramah integriti warga IPGM. Pelbagai pengetahuan dan kemahiran didedahkan oleh fasilitator dan pegawai yang dipertanggungjawabkan. Para peserta juga dibimbing untuk menyampaikan ceramah dengan baik dan berkesan. Mereka yang terpilih akan ditugaskan menyampaikan ceramah di mana-mana IPG sempena Minggu Integriti IPGM yang akan berlangsung pada 23 hingga 26 September 2013.


Sunday 19 May 2013

MESYUARAT SIDANG PENGARANG BIOGRAFI TUN ABDUL RAHMAN ABBAS

Y.Bhg. Prof. Datuk Wira Dr. Abdul Latif Abu Bakar, Ketua Gapena 1 mempengerusikan mesyuarat pada 19 Mei 2013, bermula jam 12.00 tengahari di Pejabat Pemenang, Pulau Pinang. Mereka yang terlibat ialah Pengarah Arkib Negara Cawangan Pulau Pinang, Pengarah Jabatan Penerangan Pulau Pinang, Pengarah DBP Zon Utara, Yang Dipertua Persatuan Penulis Pulau Pinang dan En. Roslan Saadon dari IPG Kampus Pulau Pinang. Mesyuarat membincangkan sub-sub tajuk, pembahagian tugasan penulis, kos penerbitan dan majlis kunjung hormat TYT sebelum kerja-kerja penyelidikan dan penulisan dijalankan. Sebagai permulaan, para penulis diminta menjalankan kajian literatur terlebih dahulu. Mulai Jun 2013, penyelidikan yang lebih serius akan dijalankan melibatkan temu bual bersama TYT dan tokoh-tokoh tertentu. Penulisan dijangka siap pada bulan Ogos 2013.

MESYUARAT AGUNG IKATAN KE-10


Mesyuarat Agung Ikatan ke-10 berlangsung di Pejabat Pemenang, Jalan Pemenang, Pulau Pinang pada 19 Mei 2013 bermula jam 10.00 pagi. Mesyuarat tersebut dirasmikan oleh Y.Bhg. Datuk Wira  Abdul Latif Abu Bakar, Ketua 1 Gapena. Dalam ucapan rasmi, Datuk Wira memaklumkan pendirian Gapena dan Ikatan dalam mempertahankan hak dan kepentingan orang Melayu. Beliau menyeru agar Ikatan meningkatkan perpaduan dan seterusnya menjadi badan yang peka dengan kepentingan orang-orang Melayu. Dalam mesyuarat tersebut timbul beberapa usul dan cadangan antaranya penubuhan badan NGO untuk penyatuan Melayu dan kerjasama antara UMNO dan PAS.

Cadangan penyatuan UMNO-PAS dikemukan oleh GPMS Sungai Pinang. Menurut Yang Dipertuanya, tidak boleh tidak penyatuan tersebut perlu dilaksanakan. Masing-masing perlu mengendurkan prinsip mereka agar jalan penyatuan dapat dicapai. Tuduh-menuduh, bersangka buruk dan dendam-mendendam perlu dibuang. Masing-masing perlu mengiktiraf perkara-perkara yang baik dan positif dalam kedua-dua parti tersebut. Hal ini selaras dengan kenyataan Ustaz Nasharuddin, bekas Naib Presiden PAS iaitu "Tidak semua dalam UMNO syaitan dan tidak semua dalam PAS malaikat".

Thursday 16 May 2013

PELANCARAN HARI GURU KE-42



Datuk Seri Utama Tan Sri Haji Muhyiddin Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia merasmikan majlis tersebut. Majlis gilang gemilang itu berlangsung di Dewan Tertutup, Nilai, Negeri Sembilan pada 16 Mei 2013, bermula jam 8.30 malam. Dalam ucapan alu-aluan antara lain, Tan Sri Abdul Ghafar bin Mamud mengucapkan tahniah kepada Timbalan Perdana Menteri kerana dilantik semula menerajui Kementerian Pelajaran Malaysia. Tidak ketinggalan beliau mengucapkan tahniah kepada Menteri Pelajaran 2 dan dua orang Timbalan Menteri yang dilantik. Beliau juga mengucapkan tahniah kepada Perdana Menteri kerana berjaya mengekalkan kerajaan Barisan Nasional. 

Perkara yang amat menarik diutarakan beliau dalam ucapan tersebut ialah Guru Super. Tiga orang guru yang tetap meneruskan khidmat mengajar walaupun berada dalam ketakutan akibat pencerobohan di Lahad Datu merupakan contoh guru yang dimaksudkan. Mereka ialah Hjh. Sakka Labacha seorang Guru Besar di SK Tg. Labian, Pn. Saabi Hasin juga Guru Besar di SK Lok Buani dan Catherine Gonolan Penolong Kanan Kokurikulum di SK Fajar Harapan. Begitu juga dengan Ikon Guru yang pertama kali diperkenalkan memperlihatkan bahawa KPM sentiasa menghargai pengorbanan dan sumbangan guru. 

Dalam ucapan perasmian, Timbalan Perdana Menteri banyak menimbulkan peranan pendidikan dalam membentuk perpaduan dan keharmonian bangsa dan negara. Kali ini tiada apa-apa yang menarik berkaitan kebajikan guru diutarakan. Namun, tepukan yang amat gemuruh apabila beliau menyatakan pembentukan sekolah satu aliran amat perlu dan penting dalam memastikan pembentukan negara bangsa yang lebih harmonis dan bersatu padu. 

Sebagaimana biasa, penghormatan diberi kepada tiga orang tokoh guru kebangsaan dan seorang tokoh kepimpinan pendidikan. Y.Bhg. Dato' Norizan Ali Bapo dianugerahi Tokoh Kepimpinan Pendidikan Kebangsaan.

YANG DIPERTUA PGMPPS MELAWAT MUZIUM TENTERA DARAT


Cikgu Hj. Saidin Rashid (berdiri di tengah dalam gambar) Yang Dipertua Persatuan Guru-guru Melayu Pulau Pinang dan Seberang Perai menyertai lawatan delegasi KGMMB ke Muzium Tentera Darat. Lawatan tersebut berlangsung pada 15 Mei 2013 bermula jam 11.00 pagi dan berakhir dua jam kemudiannya. Beliau memaklumkan bahawa lawatan tersebut amat bermakna kerana memberi pelbagai maklumat berkaitan angkatan tentera darat. Maklumat yang diperolehi bukan sahaja memperkayakan lagi pengetahuan malah meningkatkan semangat patriotisme. Muzium yang ditututp pada hari Isnin dan Selasa ini sangat sesuai dilawati terutama murid-murid sekolah dan pelajar institut pengajian tinggi.

Wednesday 15 May 2013

MAJLIS MAKAN MALAM HARI PUISI NASIONAL XIX

Majlis tersebut berlangsung di Hotel Vistana, Bukit Jambul, Pulau Pinang pada 10 Mei 2013 bermula jam 8.00 malam. Tetamu kehormat pada malam itu ialah Tuan Yang Terutama Tun  Dato'Seri Utama (Dr.) Hj. Abdul Rahman bin Hj. Abbas dan isteri. Majlis diserikan dengan persembahan oleh kumpulan penari Perpustkaan Negeri Pulau Pinang dan delegasi Sumatera, Indonesia. Dalam ucapan alu-aluan, Prof. Datuk Wira Abdul Latif Abu Bakar selaku Ketua 1 Gapena, memaklumkan program yang telah dijalankan dan akan dijalankan melibatkan kerabat Gapena. Satu daripada program besar yang akan dijalankan oleh Gapena adalah penghasilan Buku Biografi Tun Dato' Seri Utama Abdul Rahman Abbas, Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang. Tiga orang penyair dianugerahi Tokoh Penyair Gapena dan disampaikan oleh Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang.

Tn. Hj. Khalid Hj. Ahmad, Pengarah IPG Kampus Pulau Pinang selaku Timbalan Pengerusi Program Hari Puisi Nasional XIX diberi penghormatan berada bersama Yang di-Pertua Negeri di meja VVIP. Pada malam tersebut juga, Gapena telah mengadakan majlis memotong pulut kuning sempena ulang tahun kelahiran TYT Yang di-Pertua Negeri yang ke-75. Majlis makan malam itu berlangsung dengan meriah dan mempertemukan para penggiat sastera, penyair dan para cendikiawan.


FORUM HARI GURU


Forum diadakan sempena Pelancaran Hari Guru Peringkat Kebangsaan Ke-42 melibatkan tiga orang cendikiawan iaitu Prof. Dato' Dr. Sidek Baba, Prof. Dato' Dr. Teo Kok Seong dan Prof. Dr. N.S. Rajendran. Moderatornya pula merupakan seorang yang tidak asing lagi iaitu Tuan Syed Munawar Syed Mustar. Ketiga-tiga panel membicarakan perkembangan dan masa depan pendidikan negara serta isu-isu yang berkaitan dengannya. Dalam sesi soal jawab, Cikgu Zahari mewakili KGMMB telah menimbulkan persoalan tentang kedudukan bahasa Melayu. Bahasa Melayu dilihat masih lagi belum berada di persada yang sepatutnya. Beliau mencadangkan agar guru bagasa Melayu diberikan elaun sebagaimana guru bahasa Inggeris. En. Ismail, wakil PIBG PPD Barat Daya Pulau Pinang mencadangkan pihak kerajaan lebih bersungguh-sungguh dalam menangani isu perkauman melalui pendidikan. Menurut beliau formula yang terbaik adalah melalui sekolah satu aliran. Rumusan perbincangan seolah-olah memperlihatkan ahli panel dan para peserta amat bersetuju jika pendidikan satu aliran diwujudkan demi integrasi dan perpaduan yang lebih mantap.

LAWATAN KE MUZIUM TENTERA DARAT

Perwakilan KGMMB seramai 30 orang tidak melepaskan peluang membuat lawatan ke Muzium Tentera Darat di Kem Si Rusa Port Dickson, Negeri Sembilan. Perwakilan KGMMB dibawa melawat ke sekitar muzium dengan dipandu oleh Pegawai Waran En. Mutalib. Pelbagai maklumat diperolehi daripada lawatan tersebut terutama berkaitan perkembangan tentera sejak dari zaman kesultanan Melaka hingga dewasa kini. Para pelawat juga dibawa masuk ke dalam terowong yang merupakan model binaan PKM yang menyambungkan Utara Semenanjung dengan Selatan Thailand. Model terowong tersebut dibina di bawah bangunan muzium lengkap dengan pelbagai kemudahan seperti bilik mesyuarat, bilik pembedahan, ruang rehat, tempat menyimpan bahan letupan dan sebagainya. Lawatan tersebut berjaya meningkatkan kesedaran perwakilan KGMMB tentang pengorbanan tentera dan seterusnya meningkatkan semangat patriotisme. Terima kasih kepada Cikgu Nazri dan Cikgu Said yang menguruskan lawatan tersebut.

SEMINAR HARI PUISI NASIONAL XIX

Seminar berlangsung di Dewan Utama,Blok Baru, IPG Kampus Pulau Pinang pada 11 Mei 2013, bermula jam 9.00 pagi dan berakhir pada pukul 5,30 petang. Pembentang terdiri daripada para penyair, penggiat sastera dan budaya serta para ilmuan. Tn. Hj. SK Mohd Sawpi Lawi, Ketua Jabatan Pengajian Melayu mewakili IPGKPP membentang kertas kerja yang amat menarik. Pembentangan yang melibatkan aktiviti pelajar dilihat agak istimewa dan lebih jelas dengan tajuk yang dibentangkan. Beliau cuba memperlihatkan bagaimana puisi boleh digunakan sebagai bahan dalam pengajaran pembelajaran. Antara nama besar yang membentangkan kertas kerja ialah Dato' Dr. Ahmad Kamal Abdullah (Kemala), Dr. Lim Swee Tin, Rejab F.I., dan lain-lain lagi Turut hadir sebagai pengerusi pembentang antaranya ialah Prof. Datuk Dr. Zainal Keling dan Dato' Abdul Aziz Deraman. Sesungguhnya, seminar tersebut memberi ruang kepada warga  IPGKPP terlibat sama dalam penganjuran program yang besar melibatkan peserta bukan sahaja dari Malaysia tetapi juga dari Brunei dan Indonesia.


Saturday 11 May 2013

PERTEMUAN PENYAIR BERSAMA PELAJAR

Program berlangsung di Dewan Persidangan IPG Kampus Pulau Pinang pada 10 Mei 2013 bermula jam 9.00 pagi. Panel jemputan terdiri daripada Sasrterawan Negara Dato' Dr. Haji Ahmad Kamal Abdullah (KEMALA), Prof. Madya Dr. Lim Swee Tin dan Haji Rejab Ismail. En. Abdul Aziz Ishak memainkan peranan sebagai moderator forum. Peserta terdiri daripada pensyarah dan pelajar dari IPG Kampus Pulau Pinang dan Kampus Tuanku Bainun. Tn. Hj. Khalid Hj. Ahmad, Pengarah IPG Kampus Pulau Pinang dalam ucapan alu-aluannya menyatakan bahawa program yang diadakan merupakan kolaborasi yang baik antara Gapena dan IPG. Beliau bagi pihak pengurusan IPG menyambut baik program ini kerana dapat mendedahkan pensyarah dan pelajar dengan pelbagai aktiviti yang menguntungkan. Para pelajar juga dapat mengenali Sasterawan Negara, para penyair, budayawan, profesor-profesor dan sebagainya.


Friday 3 May 2013

AUDIT SIRIM





Audit SIRIM berlangsung di IPGKPP bermula pada 25 April 2013 dan berakhir pada 26 April 2013. Audit dijalankan dengan tujuan melihat sistem pengurusan kualiti IPGKPP. Pegawai yang bertugas menjalankan audit ini ialah Tn. Hj. Zulkifli bin Hamzah, Auditor SIRIM QAS. Lima orang pemerhati turut hadir iaitu En. Mohamad Arshad Mohd Ali (IPGM), En. Roziky Effendy Repin (IPGKTAA), En. Ng Tiak Sui (IPGKSAH), En. Chuah Boon Keat (IPGKTB) dan Pn. Suriaty Maarof (IPGKTB). Auditor menjalankan semakan terhadap program DPLI dan PISMP. Antara perkara yang dilihat adalah pengajaran dan pembelajaran, peperiksaan, mentor-mantee, penilaian pelajar terhadap p&p pensyarah, proses audit dalaman, kawalan keselamatan, latihan pembangunan staf, tindakan pencegahan dan kawalan dokumen.