Saturday 29 December 2012

HIMPUNAN PELAJAR M4P 1985/87


Program yang bermakna ini berlangsung pada 22 Disember 2012, di Bilik Angsana, IPG Kampus Pulau Pinang bermula jam 10.00 pagi dan berakhir pada pukul 3.00 petang. Program ini diselaras oleh En. Jabaruddin dan dibantu oleh En. Roslan Saadon. Seramai 18 orang bekas pelajar hadir dan merasa amat seronok sekali kerana dapat bertemu dengan rakan-rakan yang terpisah sejak tamat pengajian pada Disember 1997. Majlis bermula dengan ucapan En. Jabaruddin selaku penyelaras program. Disusuli dengan penerangan daripada En. Roslan Saadon berkaitan sejarah dan perkembangan institut. Selepas itu kesemua yang hadir diberikan masa untuk bercakap mengenai pengalaman hidup. Majlis berakhir dengan jamuan makan tengahari di Payung.

Tuesday 11 December 2012

MAJLIS MENANDATANGAN RESOLUSI PGN BALI

KGMMB, KGMS, PGGMB dan PGRI menandatangan resolusi PGN Bali 2012 di Inna Beach Resort, Bali pada 9 Disember 2012. Tn. Hj. Mohamad Sabri, Presiden KGMMB mewakili Malaysia menandatangan resolusi tersebut.  Turut dilangsungkan majlis penyerahan bendera sebagai simbolik Malaysia aaan menjadi tuan rumah PGN 2013.

Sunday 9 December 2012

PERTEMUAN GURU-GURU NUSANTARA

Program menghimpunkan guru-guru dari Malaysia, Indonesia, Singapura dan Brunei berlangsung di Hotel Inna Grand Bali Beach, Sanur Bali-Indonesia dari 9 hingga 11 Disember 2012. Pada kali ini Indonesia menjadi tuan rumah dengan tema "Nilai Kemanusiaan Dalam Pembelajaran Mendorong Semangat Hidup Bersama Komunitas Nusantara". Pengisian program melibatkan pembentangan kertas kerja daripada setiap wakil negara terlibat, ucaptama daripada Ketua Umum PGRI, persembahan kebudayaan, pembentangan resolusi dan majlis menandatangan resolusi Bali 2012. En. Roslan Saadon mewakili KGMMB membentang kertas kerja bertajuk "Kerjasama Pendidikan di  Nusantara: Sejarah dan Perkembangan"

Tuesday 4 December 2012

KURSUS PENGURUSAN KESATUAN

Kursus berlangsung pada 3 hingga 5 Disember 2012 di The Zone Regency Hotel, Johor Bharu. Pulau Pinang menghantar 3 wakil iaitu Tn. Hj. Saidin Rashid, Tn. Hj. Juhari Mohamad Nor dan En. Roslan Saadon. Kursus bertujuan mendedah dan memberi pengetahuan tentang pengurusan kesatuan. Input disampaikan oleh pegawai-pegawai JHEKS Johor.

Monday 3 December 2012

PERASMIAN SEMINAR KAJIAN TINDAKAN


Seminar Kajian Tindakan program PGSR diadakan di Blok Akademik baru IPG Kampus Pulau Pinang mulai 3 hingga 4 Disember 2012. Tn. Hj. Khalid Hj. Ahmad, Pengarah  IPGKPP merasmikan majlis tersebut. Perasmian berlangsung pada 3 Disember 2012 jam 8.15 pagi di Dewan Kuliah A. Dalam ucapan tersebut, beliau menjelaskan akan kepentingan kajian tindakan dan pelajar perlu mengaplikasi kemahiran yang diterima apabila tamat pengajian nanti. Beliau juga memaklumkan suasana pengambilan guru sekarang tidak secara automaik. Guru yang keluar dari IPG sehingga Jun 2012 akan ditempatkan di sekolah pada sekitar 10,000 orang sahaja. Mereka yang mendapat keputusan yang baik akan diberi keutamaan.

SEMINAR KAJIAN TINDAKAN


Seminar Kajian Tindakan untuk pelajar PGSR berlangsung dari 3 hingga 4 Disember 2012 di Blok Akademik Baru. En. Roslan Saadon, Ustaz Rushaidi dan Ustazah Mahani menilai pembentangan pelajar Pengajian Islam. Seramai 24 orang terlibat dalam pembentangan ini. Pelajar PGSR PI ambilan Nov 2008 ini dibimbing menyediakan kajian tindakan oleh pensyarah dan kemudiannya dibentang sebelum menghantar laporan penuh. Secara keseluruhan, para pelajar dapat menguasai kemahiran dan aplikasi kajian tindakan. Kajian yang dijalankan menjadi asas kepada mereka untuk menghasilkan kajian-kajian yang lain.

Monday 26 November 2012

MESYUARAT PENYELARASAN TEMA PEMARKAHAN DPLI


Mesyuarat berlangsung di Hotel Midah, Kuala Lumpur pada 26 hingga 30 November 2012. Empat orang pensyarah dari IPG Kampus Pulau Pinang terlibat dalam mesyuart tersebut. Mereka ialah Pn. Noraziah Ahmad Satar, Pn. Norhayati Ayit, En. Omar Ahmad dan En. Roslan Saadon. Pensyah terlibat ditugaskan memeriksa skrip jawapan pelajar DPLI Peperiksaan November 2012. En Roslan Saadon bersama Dr. Ismail dari IPG Kampus Perlis ditugaskan memerikasa kertas SJC2203: Sejarah Malaysia Moden.

Saturday 24 November 2012

HIMPUNAN BARISAN 1MALAYSIA


Himpunan 1 Malaysia berlangsung pada 24 November 2012, di Dewan Merdeka, PWTC, Kuala Lumpur. Perhimpunan tersebut dirasmikan oleh YAB Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia. Beberapa orang ahli akademik dan pakar motivasi diundang menyampaikan pembentangan seperti Y.Bhg. Dato’ Dr. Hj. Mohd Fadzilah Kamsah, Y.Bhg. Tan Sri Lee Lam Tye, Dr. Chandra Muzaffar, Y.Bhg. Prof. Dato’ Sri Dr. Zaleha Kamaruddin dan Prof. Madya Dr. Sivamurugan Pandian. KGMMB menghantar lima orang wakil yang diketuai oleh Tn. Hj. Mohamaed Sabri, Presiden KGMMB. Tn. Hj. Mohamed Sabri sempat mengajukan soalan kepada pihak pembentang berkenaan istilah pendidikan dengan pelajaran tetapi tidak dijawab secara akademik. Prof. Dato’ Sri Dr. Zaleha kelihatannya kurang jelas dengan perbezaan pendidikan dan pelajaran yang dikemukakan. Pada hemat KGMMB, istilah pendidikan lebih sesuai digunakan oleh Kementerian Pelajaran kerana ia membawa implikasi yang lebih luas. Tugas KPM dan badan-badan pelaksananya termasuk guru bukan hanya mengajar tetapi mendidik. Pelajar bukan sahaja dipastikan menguasai ilmu pengetahuan, tetapi juga menerap amalan mulia dan nilai-nilai murni dari pendidikan. Sebab itu, istilah pendidikan digunakan dalam Falsafah Pendidkan Kebangsaan.

Tuesday 20 November 2012

PERSIDANGAN ANTARABANGSA PULAU PINANG DI ALAM MELAYU


Persidangan Antarabangsa Pulau Pinang di Alam Melayu berlangsung mulai 19 hingga 21 November 2012 di Auditorium, Pusat Penyelidikan Perubatan Molekul, USM. Persidangan tersebut mempertemukan pembentang dan peserta dari Malaysia dan Indonesia. Para pembentang memaparkan hasil kajian dan penulisan mereka dan kemudian dibuka untuk persoalan dan perbincangan. En. Roslan Saadon mewakili IPG membentang kertas kerja bertajuk "Panduan Guru: Cerminan Pemikiran Guru-guru Melayu Pulau Pinang Tahun 1920-an".

Thursday 15 November 2012

MESYUARAT LALUAN KERJAYA SISWAZAH EX-PPLD




Mesyuarat anjuran KGMMB ini berlangsung pada 10 November 2012 (Sabtu), di Pejabat KGMMB, Jalan Sentul, Kuala Lumpur. Bengkel dihadiri oleh wakil dari KGMMB, PGMPPS, Kesatuan Guru Bumiputera Sarawak, Persatuan Pengetua Malaysia, Kesatuan Guru Cina Malaya dan Kongres. Mesyuarat dipengerusikan oleh Tn. Hj. Mohamed Sabri Mohd Arshad selaku Presiden KGMMB. Beliau memaklumkan bahawa mesyuarat akan membincangkan permasalahan dan isu Siswazah Ex-PPLD kumpulan lantikan 1998 hingga 2007. Mereka merupakan golongan yang sering menerima nasib malang. Mereka dinafikan kenaikan pangkat sebagai Guru Besar. Gaji mereka juga lebih rendah daripada guru-guru DG32. Malah terdapat juga kumpulan yang menerima kenaikan lewat ke DG41. Setiap kejayaan meningkatkan gaji dan pangkat, guru-guru baru yang menikmatinya. Guru-guru yang terlepas bot terus tertinggal tanpa diganti dengan bot yang lain. Golongan ini merupakan guru yang bertungkus lumus belajar dengan wang sendiri. Mereka menyahut seruan kerajaan mendokong pembelajaran sepanjang hayat. Namun, selalu menerima nasib yang malang. Rumusan dari permasalahan yang ditimbulkan, mesyuarat mencadangkan:

- kenaikan pangkat Guru Besar terbuka kepada DG34 dan DG44.
- kumpulan guru yang terlibat (lantikan DG41 tahun 1998-2007) diberikan satu gred peningkatan.
- Ex-PPLD yang baru, dilantik sebagai PPPS DG42.
- senioriti 3 tahun ex-PPLD dipanjangkan sehingga DG54.
- data lengkap berkaitan guru terlibat akan diperolehi daripada EPRD.

Kertas kerja lengkap disediakan oleh Kesatuan Guru Bumiputera Sarawak dan akan dimurnikan melibatkan kesatuan yang bergabung. KGMMB akan membawa kertas kerja lengkap kepada KPPM untuk dibentangkan sebelum 31 Disember 2012.

Thursday 8 November 2012

PENGKISAHAN SEJARAH PERSATUAN PENULIS PULAU PINANG

Program anjuran Arkib Negara Malaysia Cawangan Pulau Pinang ini berlangsung di ODT P. Ramlee, Jalan P. Ramlee pada 8 November 2012. Program bermula jam 9.00 pagi dan berakhir pada jam 1.00 petang. Ia dirasmikan oleh Y.Bhg. Dato' Nik Ali Mohd Yunus, Pengarah Pembangunan Persekutuan. Ahli panel terdiri daripada Y.Bhg. Prof. Datuk Wira Dr. Abd. Latiff Abu Bakar, Y.Bhg. Dato' Drs. Hj. Anuar Ahmad dan En. Roslan Saadon selaku moderator. Tajuk pengkisahan pada kali ini adalah "Pengkisahan Sejarah Persatuan Penulis Pulau Pinang". Para peserta forum terdiri daripada Ketua-ketua Jabatan Kerajaan Persekutuan, para pegawai kerajaan, para guru dan murid-murid sekolah berhampiran.

Thursday 25 October 2012

SESI PERKONGSIAN ILMU 'INSPIRING SCIENCE'

Ceramah disampaikan oleh Dr. Mark Windale dari University of Sheffield Hallam, UK. Ia berlangsung di Bilik ISO pada 25 Oktober 2012 dari jam 2.30 hingga 4.30 petang. Penceramah cuba menyampaian program inspiring sciense kepada 30 orang pensyarah boleh yang dijalankan di IPG. Turut hadir Tn. Hj. Khalid Haji Ahmad, Pengarah IPGKPP. Beliau menyampaikan cenderamata kepada Dr. Mark Windale pada penghujung program. Ceramah yang diuruskan oleh Dr. Nur Jahan ini berjalan dengan baik dan memberikan banyak input kepada peserta.

Tuesday 23 October 2012

MESYUARAT PERANCANGAN STRATEGIK IPGKPP 2013

Mesyuarat berlangsung di Hotel Langkasuka, Langkawi mulai 22 hingga 24 Oktober 2012. Mesyuarat perancangan strategik ini melibatkan Pengarah, Timbalan Pengarah, Ketua-ketua Jabatan dan Ketua-ketua Unit serta para penyelaras program dan kursus. Perkara-perkara yang dibincangkan adalah perancangan jabatan dan unit, penyelarasan takwim, mesyuarat akademik dan mesyuarat M3P.

SEMINAR JAWI

Seminar Jawi anjuran KGMMB berlangsung pada 22 hingga 23 Oktober 2012, di IPG Kampus Ipoh. Para peserta terdiri daripada guru-guru dari seluruh Semenanjung dan pensyarah IPG Kampus Ipoh. Para pembentang terdiri daripada pensyarah UPSI dan IPG. Selain disajikan dengan pembentangan kertas kerja, para peserta juga dilibatkan dengan bengkel aplikasi penulisan jawi dan pertandingan penulisan khat. Seminar akan menghasilkan satu resolusi tentang memartabat tulisan jawi yang akan disampaikan kepada pihak Kementerian Pelajaran Malaysia.

Thursday 11 October 2012

MESYUARAT PENGGUBALAN MODUL INTEGRITI

Mesyuarat berlangsung pada 10 hingga12 Oktober 2012 di Hotel Royal, Bukit Bintang, Kuala Lumpur. Peserta seramai 30 orang terdiri daripada para pensyarah IPGM. IPG Kampus Pulau Pinang diwakili oleh En. Abd. Aziz Ishak selaku fasilitator dan En. Roslan Saadon. Mesyuarat mendedahkan para peserta dengan modul integriti, kaedah berceramah dan penyediaan bahan ceramah. Program tersebut memberikan banyak input dan kemahiran kepada para peserta.

Thursday 4 October 2012

DISKUSI ILMIAH SEJARAH NEGARA

Program berlangsung di Dewan Kuliah A, Blok Akademik Baru IPGKPP pada 3 Oktober 2012 bermula jam 2.00 hingga 4.30 petang. Prof. Madya Abdul Rahman Ismail dari PPIK, USM dijemput khas untuk membicarakan tajuk "Peranan Tiga Kaum Utama Dalam Perkembangan Sejarah Negara". Diskusi dipengerusikan oleh En. Roslan Saadon. Peserta program terdiri daripada pelajar guru Kumpulan DPLI, PISMP dan PPISMP. Turut hadir ialah Tn. Hj. Kamarulizham Hazizi, Timbalan Pengarah dan Dr. Muhammad Raini Mat Rahim, KJ Sains Sosial. Penceramah menyampaikan ceramahnya dan menjawab soalan-soalan yang dikemukakan oleh para peserta. Penceramah banyak menimbulkan persoalan yang perlu diteliti oleh para peserta sendiri. Justeru, kajian dan pembacaan yang meluas dan intensif perlu dilakukan terutama guru-guru sejarah. Program berjalan lancar, dan tahniah kepada kumpulan pelaksana (Kelas T2PS) yang diketuai oleh Ku Fatin.
PARA PELAJAR,
APAKAH YANG ANDA PEROLEHI DARIPADA DISKUSI TERSEBUT?

Tuesday 2 October 2012

KAJIAN BABA & NYOYA - CHETTIAR DI MELAKA


Kajian melibatkan dua orang pensyarah dan 23 orang pelajar major Sejarah IPG Kampus Pulau Pinang. Program berlangsung dari 28 hingga 30 September 2012. Di Melaka, para pelajar terlibat dengan kajian lapangan. Para pelajar dibimbing oleh pensyarah mendapatkan maklumat melalui temuramah. Kawasan yang menjadi tumpuan pelajar ialah Jalan Tun Tan Cheng Lock, Bandar Hilir, Melaka. Kawasan kedua adalah kawasan petempatan masyarakat Chettiar di Gajah Berang, Melaka. Para pelajar telah menemuramah beberapa orang penduduk di Jalan Tun Tan Cheng lock untuk mendapatkan meklumat mengenai masyarakat Baba & Nyonya. Pelajar juga menemuramah En. K. Nadarajan Raja untuk mendapatkan maklumat berkaitan masyarakat Chettiar. Di samping mendapatkan maklumat sejarah melalui sumber lisan, para pelajar juga memperolehi maklumat di Muzium Baba & Nyonya dan Chitty Living Gallery. Maklumat yang diperolehi di lapangan akan digabungkan dengan maklumat yang diperolehi dari kajian kepustakaan dan diga- bungkan sebagai satu kajian ilmiah. Kajian yang diketuai oleh En. Roslan Saadon, Pensyarah Sejarah, IPG KPP berjaya mencapai matlamatnya. Semua pelajar berpuas hati dan mendapat pengalaman memperolehi maklumat sejarah melalui kaedah lisan.

Saturday 22 September 2012

MAJLIS AIDIL FITRI PGMPPS/KGMMB P.PINANG 2012


Majlis Aidil Fitri anjuran PGMPPS/ KGMMB Cawangan Pulau Pinang berlangsung di Dataran PGMPPS, 12A, Jalan Koperasi, Taman Koperasi Guru, Tanah Liat, Bukit Mertajam pada 15 September 2012 bermula jam 8.00 malam. Majlis melibatkan para ahli PGMPPS/KGMMB, guru-guru bersara dan mantan Pengerusi PGMPPS/KGMMB Cawangan Pulau Pinang. Tn. Hj. Mohamed Sabri Hj. Arsad, Presiden KGMMB hadir menyampaikan ucaptama dan merasmikan majlis. Cikgu Saidin Rashid selaku Pengerusi Cawangan dalam ucapannya, mengalu-alukan kehadiran ahli dan menjelaskan aktiviti-aktiviti yang telah dan akan dijalankan. Beliau juga mengharapkan sokongan padu dari semua ahli dalam perjuangan memartabat nasib anak bangsa dan guru-guru Melayu.

Mantan Pengerusi PGMPPS/KGMMB Pulau Pinang Menerima PJB


Tn. Hj. Abdul Waris Darus dilahirkan di Balik Pulau, Pulau Pinang pada 20 September 1945. Kini beliau berusia 66 tahun dan menetap di Bagan Ajam, Butterworth, Pulau Pinang. Beliau berkahwin dengan Asma Binti Omar yang juga merupakan pendidik dan mereka telah dikurniakan tiga orang cahaya mata.
Beliau memulakan zaman persekolahan pada tahun 1952. Sekolah pertama beliau ialah Sek Melayu Titi Teras, Balik Pulau hingga tahun 1954. Kemudian beliau ke Sek. Men. St. George Balik Pulau pada tahun 1955 hingga 1962. Beliau mendapat latihan guru di Maktab Latihan Guru Pulau Pinang pada tahun 1963 hingga 1965. Kemudian melanjutkan pelajaran di USM Pulau Pinang pada 1979 hingga 1983.
Abdul Waris Darus memulakan perkhidmatan sebagai guru pada 1 Januari 1966. Beliau seorang yang banyak memperoleh pengalaman mengajar. Beliau banyak mencurahkan bakti demi membantu mendidik anak bangsa untuk menjadi warga yang berilmu dan beramal. Antara sekolah yang pernah beliau berkhidmat ialah:
v  1966 – 1967:  SK Temoyong, Langkawi (Guru Penolong).
v  1968: SK Bayas, Langkawi.
v  1969 – 1977: SK Pendang, Kedah.
v  1978 – 1979 SK Permatang Janggus, Pulau Pinang.
v  Pada Tahun 1979 – 1983 melanjutkan Pelaran Ke USM.
v  1984 – 1992: SMK Dato’ Onn, Seberang Perai Tengah.
v  1993 – 1994:  SMK Permatang Rawa, S. Perai ( Guru Penolong Kanan).
v  1994 – 2000: SMK Dato’ Onn, S. Perai (Guru Penolong Kanan).

Sepanjang perkhidmatan beliau banyak menganjurkan program, mencurahkan idea dan membuat transformasi. Antara yang dapat disumbangkan oleh beliau ialah :
Bidang Kurikulum
v  1977 – 2000: Program Mentor Mantee
Program ini membolehkan pelajar diberi perhatian yang lebih dengan mengadakan seorang guru diberi lima orang pelajar. Mereka akan dipantau dan diberi perhatian yang lebih.
Bidang Kokurikulum
v  1995 – 2000: beliau memperkenalkan Kadet Bomba, Silat Lincah di sekolahnya.
v  1995 – 2000: membangunkan program sekolah dalam taman di sekolahnya.

Dalam program ini pelbagai usaha telah digembling untuk menjadikan impian satu realiti antaranya menggadakan anjung ilmu, mini muzium sekolah, pondok ilmu, menjadikan kebersihan satu amalan gaya hidup yang sihat. Turut diwujudkan ialah perpustakaan mini. Semua ini dilakukan bagi menarik minat membaca dalam kalangan pelajar.
Profesyen Keguruan 
v  1994 – 2000: menganjurkan majlis perkembangan staf untuk mewujudkan kerjasama di kalangan staf dan percambahan ilmu.
Pentadbiran sekolah (1994 – 2000)
v  Pengurusan kewangan yang baik dan cekap.
v  Pengurusan bilik darjah yang sistematik dan teratur.

Beliau memperoleh kejayaan yang bermakna antaranya ialah program komputer yang dicetuskan beliau menjadi Johan Peringkat Negeri  tahun 1998 yang dikenali program MATA (Rekacipta).  Pada tahun 1999 pula, program tersebut berjaya mendapat tempat ke-3 antara sekolah-sekolah Malaysia.

Beliau juga gigih memulihkan penagihan dadah dalam kalangan pelajar dan masyarakat. Program Pemulihan yang diperkenalkannya pada tahun 1988–1990 berjaya membantu mengenalpasti penagih dan menghantar mereka ke Pusat Serenti untuk dipulihkan.

Antara aktiviti lain yang beliau terlibat adalah :
v  1991  - 1994: Pengerusi JKKK Daerah Seberang Perai.
v  1997 – 2003: Pengerusi Qariyah.
v  1998 – 2000: Timbalan Pengerusi SK Agama Rakyat (KAFA).
v  1998 – 2000:  Penasihat Belia Daerah Seberang Perai.

Beliau juga terlibat dalam urusan masjid Jabatan Agama Islam seperti pengurusan jenazah, mengambil tugasan pegawai masjid, urusan hal ehwal perkahwinan anak qariyah serta terlibat dalam urusan latihan bakal imam. Sekolah agama yang diwujudkan adalah untuk memastikan anak-anak qariyah kampung beliau mendapat pendidikan  agama  dan Kelas Fardu Ain.

Sebagai Pengerusi Sekolah Agama Rakyat (Darul Hikmah) Pulau Pinang yang dilantik pada tahun 2000 hingga kini, beliau terlibat dengan pelbagai aktiviti. Beliau menganjurkan pertandingan hafazan di surau dan masjid. Di samping itu beliau turut mewakili sekolah agama tersebut menandatangani MOU dengan  Sekolah Agama di Pattani, Selatan  Thailand. Di dalam MOU tersebut terdapat program pertukaran guru dan murid serta meluaskan penggunaan Bahasa Melayu dalam kalangan Pelajar Thailand.

Abdul Waris Darus bertanggungjawab menyatukan semua daerah menjadi satu pertubuhan bersifat negeri bagi memudahkan urusan dalam pentadbiran Persatuan Guru-Guru Melayu Pulau Pinang dan Seberang Perai. Ini bukan sahaja memudahkan proses pentadbiran tetapi juga dapat mempermudahkan lagi urusan pembayaran yuran oleh ahli yang bersara. Mewujudkan kerjasama  KGMMB Pusat dan cawangan Negeri untuk urusan yuran dan kebajikan. Mencadangkan satu bangunan baru diwujudkan di Seberang Perai (bangunan sekarang di Taman Koperasi Guru Tanah Liat Bukit Mertajam – 2010). Kegiatan luar yang disertai oleh beliau adalah:

v  1985 – 1988: Pengerusi KGMMB Pulau Pinang
v  1998 – 1995: AJK Persatuan Guru-Guru Melayu Pulau Pinang dan Seberang Perai  (PGMPPS).
v  1998 – 1995: AJK  KGMMB Cawangan Pulau Pinang.
v  1996 – 2000: Pengerusi KGMMB Cawangan Pulau Pinang.
v  2008 – 2012: AJK Persatuan Guru PESARA.

Abdul Waris Darus menamatkan perkhidmatan pada 20 September 2000 sebagai kakitangan kerajaan. Namun, meneruskan  mengajar sebagai tutor di Open University Cawangan Pulau Pinang dari tahun 2000 hingga 2004. Atas usaha gigihkepada negeri dan masyarakat beliau menerima beberapa anugerah iaitu:

v  2001 – Pingat Jasa Masyarakat (PJM)
v  1993 – Pergerakan gaji melintang
2011 – Tokoh Kepimpinan PGMPPS

Friday 21 September 2012

PERSIDANGAN PEWAKILAN DWITAHUNAN KGMMB KE-23


Persidangan berlangsung di Hotel New Pacific, Kota Bharu, Kelantan bermula dari 21 hingga 22 September 2012 melibatkan kira-kira 200 perwakilan dan pemerhati. YB Dato' Sri Mustapa Mohamed, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia merasmikan persidangan yang berlangsung pada malam 21 September 2012. Pada malam perasmian, turut diadakan penyampaian anugerah Tokoh Kepimpinan KGMMB dan Pingat Jasa Bakti (PJB) KGMMB yang disempurnakan oleh perasmi. Y.Bhg. Dato' Drs Hj. Mohd Pilus Hj. Yunus (Negeri Sembilan) menerima anugerah Tokoh Kepimpinan KGMMB. Pingat Jasa Bakti pula disampaikan kepada Tn. Hj. Abdul Waris Darus (Pulau Pinang), Cikgu Abdul Salam Zakaria (Johor), Tn. Hj. Mohamad Ismail (Kelantan), Tn. Hj. Hasan Ahmad (Kedah) dan Tn. Hj. Mohd Kahiri Yahya (Perak). Anugerah disampaikan sebagai mengenang jasa yang telah dicurahkan oleh para penerima dalam KGMMB, bidang pendidikan, kegiatan luar dan kegiatan semasa. Tn. Hj. Mohamed Sabri, Presiden KGMMB menyampaikan ucapan alua-aluan dengan mengucapkan ribuan terima kasih dan penghargaan kepada semua perwakilan terutama Jawatankuasa Kelantan selaku pengelola persidangan. Beliau menyampaikan pelbagai isu yang telah diperjuangkan dan kejayaan yang telah diperolehi. Laluan kerjaya Time-Base bagi guru merupakan satu kejayaan yang paling besar. PPPS akan menikmati kenaikan pangkat melalui formula 8-8-6-4, manakala PPPLD berdasar formula 8-8-5.

Thursday 12 July 2012

KGMMB Ke Dialog Teluk Ke-8

Sepanjang 3 hari di Brunei mulai 9 hingga 11 Julai 2012, pelbagai aktiviti dan peluang diguna dengan sebaik-baiknya. Cikgu Hj. Mohamad Sabri dan Cikgu Roslan Saadon merupakan wakil KGMMB/ Malaysia ke Dialog tersebut. Selain daripada membentang kertas kerja, KGMMB cuba mengadakan perbincangan dan menjalin hubungan dengan delegasi dari Thailand, Indonesia dan Brunei. KGMMB juga turut mengambil kesempatan menandatangani MOU dengan Sekolah PGGMB bagi tujuan mengadakan kerjasama dan penandaarasan. KGMMB juga akan mandapatkan nasihat dan tunjuk ajar dari Brunei dalam melaksanakan tulisan jawi di sekolah.

Selain menjalin hubungan baik dengan delegasi luar, Cikgu Hj. Mohamad Sabri juga dapat memperkenalkan KGMMB kepada para pemimpin Brunei. Dalam beberapa majlis penting, Presiden KGMMB diberi penghormatan untuk duduk semeja dengan para pembesar Brunei. Dalam majlis makan tengahari pada 10 Julai 2012, beliau duduk bersebelahan dengan mantan Menteri Agama Brunei. Begitu juga pada Majlis Perasmian yang berlangsung pada sebelah malamnya, Cikgu Mohamad Sabri duduk di meja VVIP bersama Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan Brunei. Sesungguhnya, 3 hari berada di Brunei memberikan banyak faedah dan manfaat kepada KGMMB.

Dialog Teluk Brunei Ke-8

Dialog anjuran ASTERAWANI ini berlangsung di The Core, Universiti Brunei Darussalam pada 19-21 Syaaban 1433H (9-11 Julai 2012). Ianya diadakan sempena sambutan 50 tahun ASTERAWANI dan melibatkan peserta dari Brunei, Indonesia, Thailand dan Malaysia. KGMMB diwakili oleh Tn. Hj. Mohamad Sabri Mohd Arshad dan En. Roslan bin Saadon. KGMMB telah membentang kertas kerja bertajuk "Sejarah Perjuangan Bahasa Cikgu Mohamad Nor Ahmad". Kertas kerja yang dibentang menimbulkan beberapa persoalan dan yang paling penting timbul kesedaran untuk mengangkat semula tulisan jawi. KGMMB akan menyusun perancangan dan tindakan yang sewajarnya untuk tujuan tersebut.

Friday 6 July 2012

Seminar Bahasa, Kesusasteraan & Kebudayaan Dalam Pendidikan Kebangsaan

Seminar berlangsung di Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur pada 28 Jun 2012 bertujuan untuk memastikan bahasa, kesusasteraan dan kebudayaan Melayu terus dikekalkan dalam sistem pendidikan kebangsaan. KGMMB diwakili oleh Tn. Hj. Mohamad Sabri Mohd Arshad dan Cikgu Roslan bin Saadon. Majlis pembukaan dirasmikan oleh YAB Tan Sri Hj. Muhyiddin bin Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia. Majlis penutupan pula dirasmikan oleh YB Dr. Muhd Puad Zarkashi, Timbalan Menteri Pelajaran. Seminar ini dianjurkan oleh GAPENA dengan kerjasama DBP dan pelbagai NGO termasuk KGMMB. Seminar ini turut merakamkan penyerahan momarandum GAPENA dan kerabatnya yang membantah cadangan mewujudkan semula sekolah aliran Inggeris dan menegaskan bahawa pihak kerajaan perlu berdiri teguh dengan dasar pendidikan sedia ada dan perlembagaan negara.

Kursus Pedagogi PERDA-TECH

Program berlangsung dari 2 hingga 6 Julai 2012 di Blok Beringin, IPG Kampus Pulau Pinang. Pesertanya adalah para pensyarah PERDA-TECH dan ianya dikendalikan oleh Majlis Pensyarah Cemerlang institut yang dikelolakan oleh En. Jamal Mohamed Abdul Rahman. Para peserta dibekalkan dengan pelbagai input berkaitan pedagogi. Majlis penutupan dan penyampaian sijil disempurnakan oleh Tn. Hj. Khalid Hj. Ahmad, Pengarah IPG Kampus Pulau Pinang.

Monday 25 June 2012

Pendudukan Jepun di Tanah Melayu 1941-1945


Dasar imperialisme Jepun telah bermula seawal abad ke-19. Minat itu tambah mendalam selepas Perang Dunia Pertama apabila Jepun mahu menguasai sumber dan pasaran Asia Tenggara. Jepun menamakan gerakan menguasai Asia Tenggara sebagai Nanshin (Gerakan Ke Selatan). Kesan perkembangan fasisme telah lama berakar umbi dalam masyarakat Jepun dengan tradisi samurai. Jepun mempunyai pasukan tentera yang berpengaruh dalam pentadbiran. Tentera pernah cuba merampas kuasa tetapi gagal namun tetap berperanan penting. Belanjawan tentera juga meningkat dalam tahun 1938-1942. Kepentingan ekonomi telah mengheret Jepun ke dalam kancah perang. Jepun ingin mendapatkan bahan mentah dan pasaran yang berterusan. Perluasan kuasa Jepun juga dapat dikaitkan dengan program industrialisasi yang sedang berlangsung dengan pesat. Jepun yang bersikap agresif telah menewaskan China pada 1894-95 dan Rusia pada 1904-05.

Pada tahun 1930 berlaku kemelesetan ekonomi dunia. Kuasa Barat yang menjajah Asia Tenggara telah mengawal ketat kemasukan barangan Jepun ke Asia Tenggara. Asia Tenggara sebagai tanah jajahan menjanjikan bekalan minyak, getah, timah, dan hasil-hasil lain. Penaklukan Asia Tenggara sebagai sebahagian rancangan Jepun menubuhkan "Pemerintahan Baru Asia Timur Raya". Jepun juga ingin mempelopori sikap anti imperialisme Barat dalam kalangan orang Asia kerana Asia hanya untuk orang Asia Jepun menawan Tanah Melayu melalui Gerakan ke Selatan. Ia juga dikenali sebagai Polisi Laut Selatan. Jepun menggunakan slogan Pan Asia, Asia Timur Raya dan Daerah Kemakmuran Asia Timur Raya. Bermula dengan kaedah pengintipan pada 1936 bagi mencari maklumat kemas kini, Jepun menggunakan rakyatnya yang bermastautin di Asia Tenggara untuk tujuan tersebut.  Jepun membuat pakatan tentera dengan kerajaan Thai. Tanah-tanah milik Jepun di Johor dan Singapura digunakan untuk tujuan pengintipan Pangkalan Tentera Laut British di Singapura dan pertahanan pesisir pantai.

Pada 8 Disember 1941, Perdana Menteri Thai iaitu Phibun Songram menyatakan sokongan kerajaannya kepada Jepun. Langkah ini diikuti dengan termetrainya perjanjian Jepun-Siam. Thailand membenarkan tentera Jepun melalui negaranya untuk menyerang Tanah Melayu dan Burma. Dengan ini bumi Thai akan dijamin kemerdekaannya. Jepun mengisytiharkan perang ke atas Amerika Syarikat dan Britain pada 8 Disember 1941. Jepun menyerang Pearl Harbour terlebih dahulu. Jepun kemudiannya pulau-pulau penting di Pacific, Hong Kong dan Filipina. Rancangan menawan Tanah Melayu menjadi lebih penting dengan tertawannya Indo-China dan persetujuan Thai. Pasukan tentera Jepun yang menyerang Tanah Melayu adalah di bawah pimpinan Lt Jeneral Tomoyuki Yamashita.Serangan bermula di Kota Bharu, Kelantan pada tengah malam 7 Disember 1941.

Kronologi Kemaraan Tentera Jepun Sehingga Kejatuhan Singapura

Serangan ke atas Singapura bermula pada 8 Februari 1942 dan pada 15 Februari pulau itu telah jatuh kepada Jepun. Kejatuhan Tanah Melayu dan Singapura merupakan kekalahan yang mengaibkan dalam sejarah British. Sebab utama kekalahan British ialah angkatan bersenjata British terlalu lemah untuk mengekang kemaraan Jepun. Serangan Jepun ke atas Pelabuhan Pearl dan kemaraan Jerman di Eropah telah melenyapkan peluang untuk mendapatkan bantuan terhadap tentera British di Tanah Melayu.

Kejayaan Jepun

a    a)  British berkeyakinan mereka tidak akan dapat ditewaskan.

b    b) Jepun bersemangat tinggi dan sanggup berjuang kerana menganggap perjuangan mereka suci.

c    c) Jepun berjaya mendapatkan sokongan penduduk tempatan bagi menyokong mereka.

d   d) Golongan yang berjaya dipengaruhi ialah golongan nasionalis Melayu termasuk KMM yang dipimpin oleh Ibrahim Haji Yaacob.

e   e)  Orang India dipengaruhi melalui Liga Kemerdekaaan India.

f.    f )  Pakatan Jepun-Thailand telah membantu memudahkan penaklukan Tanah Melayu.


Kesan Politik Pendudukan Jepun
Jepun tidak menggalakkan semangat kebangsaan seperti di Indonesia, Filipina dan Burma. Ini adalah kerana dasar politik Jepun adalah Tanah Melayu perlu terus dijadikan tanah jajahan.Pemimpin-pemimpin nasionalis seperti Ishak Hj Muhammad dan Ahmad Boestamam telah dibebaskan daripada tahanan. Menjelang kedatangan Jepun KMM bergerak sebagai pertubuhan politik yang sah. Secara rahsia, KMM telah membuat perhubungan dengan organisasi sayap kelima Jepun yang disebut Kame, yang diilhamkan dan diarah oleh Konsul Jeneral Jepun di Singapura. Namun demikian Kesatuan Melayu Muda (KMM) telah dibubarkan pada Jun 1942 walaupun pada tahap awal kesatuan itu telah bekerjasama dengan Jepun. Tindakan ini diambil kerana Jepun berpendapat KMM tidaklah begitu pro-Jepun. Kepada pemimpin KMM, kerjasama dengan Jepun adalah merupakan suatu usaha untuk mendapatkan kemerdekaan dalam kerangka yang lebih luas iaitu penyatuan dengan Indonesia.

Namun demikian, Pembela Tanah Air (PETA) telah ditubuhkan sebagai organisasi tentera sukarela yang ditaja oleh Jepun.Tindakan ini membolehkan Ibrahim Hj Yaakob merekrut pemimpin-pemimpin KMM. Apabila Jepun hampir kalah, barulah Jepun bersimpati dengan gerakan naionalis Melayu para nasionalis Melayu digalakkan menubuhkan KRIS atau Kesatuan Rakyat Indonesia Semenanjung / Kekuatan Rakyat Istimewa.KRIS merancang untuk merdeka dalam Indonesia. KRIS dipimpin oleh Dr Burhanuddin Helmy. Pada bulan Ogos 1945, KRIS membincangkan kemungkinan untuk Tanah Melayu digabungkan dengan Indonesia. Ini telah dibincangkan dengan Sukarno dan Hatta. Namun demikian rancangan kemerdekaan negara dalam lingkungan Indonesia tidak berjaya dilaksanakan. Dasar politik Jepun terhadap masyarakat India pula ditumpukan terhadap gerakan kebangsaan di India. Jepun menggalakkan penubuhan kerajaan buangan India di bawah Subhas Chandra Bose.

Sehubungan masyarakat Cina pula, mereka telah ditindas kerana permusuhan Jepun-China di samping kebimbangan terhadap gerakan anti-Jepun dalam kalangan orang Cina. Apabila tentera Jepun menyerang China, nasionalisme Cina di Tanah Melayu telah tergerak untuk mengadakan demonstrasi-demonstrasi. Barangan Jepun telah diboikot. Orang Cina di negara ini telah mengumpulkan $146 juta dari Julai 1937 ke November 1940 untuk tujuan menentang kemaraan Jepun di China. Ini lebih separuh daripada sejumlah $228 juta yang dikutip oleh orang Cina seberang laut melalui China Relief Fund. Ramai orang Cina terpaksa berpindah ke pinggir-pinggir hutan bagi menjalankan kegiatan pertanian. Berhadapan dengan kezaliman Jepun, mereka mula memberikan kerjasama kepada Parti Komunis Malaya (PKM).

Kesan Ekonomi Pendudukan Jepun
Matlamat Jepun untuk menguasai Tanah Melayu ialah untuk mengesploitasi bahan-bahan mentah dan meluaskan pasaran.Hasrat ini tidak tercapai kerana perang yang berlarutan dan terpaksa menghadapi sekatan ekonomi Barat. Tambahan pula jalan perhubungan darat banyak yang musnah kerana semasa British berundur, mereka mengamalkan dasar bumi hangus. Banyak lombong dan peralatan dimusnahkan. Semasa pendudukan Jepun, Tanah Melayu menghadapi tekanan ekonomi.Inflasi meningkat kerana Jepun mencetak wang tanpa kawalan. 65 juta wang diedarkan dalam masa dua bulan dan 285 juta wang kertas diedarkan sehingga Februari 1943. Jepun juga cuba memonopoli ekonomi Tanah Melayu. Permit-permit perniagaan dikeluarkan oleh pentadbiran tentera bagi memastikan syarikat-syarikat Jepun diberi layanan istimewa.

Kesan Sosial Pendudukan Jepun
Kehidupan rakyat terbeban.Kesihatan rakyat merosot.Ramai rakyat yang kehilangan tempat tinggal.  Mereka terpaksa hidup berpindah randah. Di samping itu banyak sekolah yang terpaksa ditutup dan pendidikan telah merosot.Masyarakat Cina menghadapi tekanan hebat kerana bersikap anti Jepun sebelum ini. Jepun mengamalkan dasar Sook Ching (pembersihan etnik).

Orang Cina juga dikehendaki membayar sejumlah 50 juta ringgit sebagai bayaran darah hutang dan hukuman kerana kegiatan anti-Jepun. Jepun memberikan layanan yang baik kepada orang India. Ramai pemimpin politik di India telah mempunyai hubungan yang baik dengan Jepun. Dengan bantuan Jepun, Tentera Nasional India dan Liga Kemerdekaan India ditubuhkan. Jepun menggalakkan pemimpin India untuk menentang British di negara itu.Tentera Nasional India telah merekrut seramai 20 ribu orang tentera yang pernah berkhidmat dengan pasukan British dan 30 ribu daripada kalangan buruh. Jepun dikatakan melaksanakan dasar pecah dan perintah. Orang Melayu diberikan layanan yang baik.

Namun kesan sosial yang diterima akibat peperangan tetap berat. Ramai pegawai kerajaan yang diberhentikan kerja. Ada yang dipotong gaji dan berhadapan dengan masalah inflasi. Ramai kakitangan kerajaan yang terpaksa menjalankan aktiviti pertanian untuk mencukupkan makanan. Kesukaran hidup masyarakat pada zaman ini dikenali sebagai "Zaman Ubi Kayu".Sekolah Inggeris ditutup sebagai usaha menjepunkan rakyat Tanah Melayu. Tumpuan diberikan kepada penggunaan bahasa Jepun. Pelbagai rancangan propaganda diadakan dengan menggunakan akhbar, sekolah dan aktiviti sosial. Sekolah-sekolah khas dibentuk untuk melatih pemuda-pemuda bersemangat waja. Jepun berusaha membina seishin (semangat) pemuda-pemuda.

Di samping itu rakyat dikawal dengan mewujudkan Kelab Membaca (Epposho). Matlamatnya adalah untuk menggalakkan perhubungan yang baik dengan pentadbiran Jepun dan mewujudkan persefahaman antara kaum. Pasukan lain yang ditubuhkan adalah seperti Pasukan Pertahanan Awam, Persatuan Kejiranan, Pasukan Sukarelawan Tambahan, Tentera  Sukarela dan Pasukan Sukarela. Jepun menggunakan buruh paksa dan mereka ini tidak dibayar gaji. Ramai yang dihantar untuk pembinaan keretapi maut di Burma.73 502 orang telah terlibat dengan pembinaan itu. Mereka dinamakan romusha.


Iktibar Pendudukan Jepun

Pendudukan Jepun yang hanya selama tiga tahun dan lapan bulan telah meninggalkan impak yang besar terhadap masyarakat negara ini. Masyarakat negara ini mula menyedari bahawa penjajahan adalah sesuatu yang perlu dihindari. Matlamat kuasa penjajah sama ada British atau Jepun adalah hampir sama iaitu bermotifkan kepentingan ekonomi. Retorik "Kesemakmuran Bersama Asia Timur Raya" dan Asia Untuk Asia" tidak lagi diyakini oleh masyarakat. Perubahan pendirian politik masyarakat Melayu dapat dilihat daripada penentangan terhadap gagasan Malayan Union yang dilakukan secara besar-besaran. Penentangan yang serius dan bersifat merakyat ini dianggap faktor penting untuk British bersetuju untuk memansuhkan Malayan Union dan menggantikannya dengan Persekutuan Tanah Melayu pada 1 Februari 1948. Perkembangan ini begitu memeranjatkan pihak pentadbir British seperti Edward Gent dan Malcolm MacDonald. Masyarakat Melayu tidak lagi berfikir dalam kerangka semangat kenegerian seperti yang dapat dilihat daripada Kongres Melayu Se-Malaya yang membawa kepada penubuhan UMNO pada 11 Mei 1946 di Johor Bahru.

Kesukaran hidup semasa zaman pendudukan Jepun banyak menyedarkan masyarakat negara ini tentang kepentingan untuk memperjuangkan kebebasan dan kemerdekaan. Mitos British sebagai pelindung Tanah Melayu yang tidak dapat ditewaskan terbukti tidak benar. Masyarakat perlu menentukan hala tuju kehidupan mereka tanpa ditentukan oleh kuasa penjajah asing lagi.

Seperti British, Jepun juga mengamalkan dasar pecah dan perintah. Mereka memberikan layanan yang relatifnya lebih baik kepada orang-orang Melayu dan India tetapi mengamalkan dasar yang zalim terhadap masyarakat Cina. Dasar diskriminasi dengan PKM berkuasa selama 14 hari sementara menunggu kepulangan British. Mereka telah membalas dendam kepada orang-orang yang dianggap sebagai tali barut Jepun. Ini menyebabkan berlakunya reaksi daripada masyarakat Melayu lantas mencetuskan konflik yang bersifat keganasan antara kaum di beberapa tempat. Dapat dirumuskan bahawa perpaduan antara etnik di negara ini masih lagi belum jitu dan kukuh akibat dasar-dasar penjajah. Perjalanan membina sebuah bangsa yang bersatu masih lagi jauh dan memerlukan lebih banyak usaha dan pemahaman.

 

            Rujukan

Khong Kim Hoong. 1984. British Rule And The Struggle For Independence in Malaya 1945-1957. Petaling Jaya. Strategic Information Research Developent. Hlm 31-49.
Kratoska, P.H. The Japanese Occupation Of Malaya 1941-1945 a Social and Economic History. London. Allen & Unwin. Hlm 26-51.

Means, G.P. 1976. Malaysian Politics. London. Hodder And Stoughton. Hlm 44-50.

Mohamed Salleh Lamry.2006. Gerakan Kiri Melayu dalam Perjuangan Kemerdekaan. Bangi. Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia. Hlm 42-60.
Mohd Isa Othman. 2007. Sejarah Malaysia (1800-1963). Kuala Lumpur. Utusan Publication & Distributors. Hlm 276-288.

Tregonning, K.G. 1964. A History of Modern Malaya. London. Eastern University Press. Hlm 268-286.

Tuesday 19 June 2012

MUZAKARAH PENDIDIKAN NASIONAL

KGMMB yang diwakili oleh Tn. Hj. Mohamad Sabri Mohd Arshad, Presiden dan En. Roslan Saadon, Naib Presiden 1 terlibat dalam program Muzkarah Pendidikan Nasional anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka. Program yang dipengerusikan oleh Dr. Awang Sariyan, Ketua Pengarah DBP disertai pelbagai pertubuhan dan cendekiawan  seperti Sasterawan Negara Prof. Dr. Muhammad Salleh, Sasterawan Negara Dato' Ahmad Kamal, Prof. Dato' Abdul Latif Abu Bakar, Prof. Dr. Shahril Mohd Zain, Prof. Dato' Dr. Zainal Borhan dan Dato' Abdul Raof. Muzakarah membincangkan tindakan yang perlu diambil bagi memperkukuh sistem pendidikan negara dan kaedah bagi memartabat bahasa Melayu di persada pendidikan arus perdana. Tn. Hj. Mohd Sabri Mohd Arshad menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi kepada pihak penganjur kerana memartabat bahasa Melayu merupakan teras perjuangan KGMMB. Berikut adalah memorandum KGMMB yang diserah kepada pihak DBP:


MEMORANDUM KESATUAN GURU-GURU MELAYU MALAYSIA BARAT (KGMMB)

Pengenalan

Kemajuan pendidikan negara amat ketara sesudah 55 tahun mencapai kemerdekaan. Titik tolaknya bermula dengan dasar pendidikan yang berasaskan Laporan Razak 1956. Laporan ini kemudiannya dimaktubkan sebagai Undang-undang Pelajaran 1957 menggantikan Education Ordinance 1952. Kepentingan laporan ini adalah menjadi punca kuasa menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di sekolah-sekolah dan kemudiannya berkembang sehingga ke peringkat universiti. Namun, akta yang digunapakai ini seolah-olah dilupakan oleh piha-pihak tertentu sehinggakan Dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dilaksanakan.

Walaubagaimanapun, hasil tentangan pelbagai pihak yang cintakan bahasa Melayu, Mesyuarat Jemaah Menteri pada 8 Julai 2009 telah memansuhkan pelaksanaan Dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) di sekolah-sekolah. Dasar tersebut digantikan dengan Dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI). Jemaah Menteri juga dalam mesyuarat yang sama memutuskan supaya dasar MBMMBI dilaksanakan secara berperingkat-peringkat mulai tahun 2010. Surat Pekeliling Bil. 12/2011 juga menjelaskan pelaksanaan dasar MBMMBI. Keputusan yang dibuat oleh Jemaah Menteri pada 8 Julai 2009 terus dikekalkan dan digunapakai sebagai keputusan kerajaan yang muktamad.

Pendirian KGMMB

Berdasarkan ketetapan tersebut dan dasar perjuangan KGMMB, kami ingin mengusul dan menegaskan perkara-perkara berikut:

1.      Kepimpinan dan Ahli KGMMB yang berjumlah 33,000 orang amat komited dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris melalui program Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI) sebagai satu gerakan transformasi kurikulum Kementerian Pelajaran Malaysia.

2.      KGMMB menyokong penuh dalam usaha memartabatkan Bahasa Malaysia, penekanan yang dibuat oleh Kementerian Pelajaran Malaysia bagi memastikan setiap pelajar tidak kira di bandar atau luar bandar diberi pendidikan yang sama pada peringkat awal sekurang-kurangnya menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira (3M).

3.      KGMMB menyokong penuh usaha Kementerian Pelajaran Malaysia mewujudkan program Literasi dan Numerasi (LINUS) bagi memastikan anak-anak di peringkat tahap satu sekolah rendah tidak keciciran apabila berada di tahap dua persekolahan selaras dengan sub NKRA Kementerian Pelajaran Malaysia. Walaubagaimanapun program ini perlu disokong dengan tenaga guru yang terlatih dan sumber kewangan yang mencukupi.

4.      Dalam usaha memartabatkan Bahasa Malaysia, KGMMB menekankan pengajaran Bahasa Malaysia di semua sekolah (SK/SJKC/SJKT/Sekolah Swasta) perlu diajar oleh penutur jati.

5.      KGMMB berpegang teguh kepada Dasar Pendidikan Kebangsaan dan tidak akan berkompromi sama sekali dengan mana-mana pihak untuk mengubah dasar dan struktur pendidikan sekolah kebangsaan.

6.      KGMMB menggesa pihak Kementerian Pelajaran Malaysia menyediakan kursus, latihan dan peluang belajar sehingga ke peringkat PhD kepada tenaga pengajar Bahasa Malaysia di IPG dan sekolah.

7.      Kredit dan anugerah diberikan kepada pensyarah IPG dan guru-guru sekolah yang banyak melibatkan diri dalam kegiatan penulisan dan aktiviti memperkembangkan bahasa Malaysia.

8.      Melalui perancangan jangka masa pendek dan panjang, pihak Kementerian Pelajaran Malaysia perlu menambah pengambilan guru pelatih khusus dalam bidang pengajaran bahasa Melayu bagi mengisi kekosongan sama ada di SK, SJKC dan SJKT.

Penutup
Sebarang isu dan hal yang berkaitan dasar pendidikan negara terutama isu Bahasa Melayu, pihak KGMMB berharap pihak Kementerian Pelajaran Malaysia dapat membuka ruang untuk perbincangan. Sejarah membuktikan bahawa KGMMB sejak dari zaman Kesatuan Persekutuan Guru Melayu Semenanjung (KPGMS) sentiasa dilibatkan dalam segala perbincangan berkaitan dasar pendidikan negara. Ruang perbincangan akan menggalakkan percambahan minda dan penghasilan keputusan yang lebih baik untuk semua pihak.

Disediakan oleh,

(HJ. MOHAMAD SABRI BIN MOHD ARSHAD AMP, PKC)
Presiden
Kesatuan Guru-guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB)