Tuesday 16 February 2016

MESYUARAT PELAKSANAAN FORUM REMAJA

Mesyuarat yang berlangsung pada 16 Februari 2016, jam 9.00 pagi di Dewan Bahasa & Pustaka, Kuala Lumpur itu dihadiri oleh wakil-wakil Jabatan Pendidikan Negeri, wakil DBP Zon dan Pegawai DBP Pusat serta KGMMB dan Persatuan Linguistik Malaysia. Dato' Mohamed Sabri Mohd Arsad dan Dr. Roslan Saadon hadir mewakili KGMMB.


Dalam mesyuarat tersebut, pihak DBP memohon KGMMB membantu meningkatkan sumbangan selaku pengelola bersama. Kebetulan pada tahun ini peruntukan untuk aktiviti pelajar amat terhad dan bantuan KGMMB amat diperlukan. Secara dasar KGMMB bersetuju meningkatkan kadar sumbangan dan akan memanjangkan kepada cawangan agar membantu pengelolaan di peringkat negeri dari segi kewangan dan tenaga.

Dalam mesyuarat tersebut pihak DBP juga memaklumkan bahawa Piala Forum Remaja baharu yang disumbangkan oleh KGMMB mengalami kerosakan. Bahan yang digunakan untuk piala tersebut kurang baik dan mudah mengelupas. Oleh kerana itu bagi Pertandingan Akhir 2015, pihak penganjur terpaksa menggunakan piala yang lama. Justeru, Dato' Mohamed Sabri selaku Presiden KGMMB membuat ketetapan akan membantu menyelesaikan perkara tersebut. KGMMB akan cuba menyediakan piala baharu yang lebih berkualiti dan tahan lama.

TAKLIMAT PENSKORAN SKPM


KGMMB dijemput menghadiri Taklimat Penskoran Standard Kualiti Pendidikan Malaysia (SKPM) pada 12 Februari 2016, jam 9.00 pagi di KPM, Putrajaya. Taklimat disampaikan oleh Ketua Nazir dan para Pegawai Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti (JNJK). Pelbagai kesatuan dan persatuan guru dijemput menghadiri taklimat tersebut. KGMMB menghantar 6 orang wakil iaitu Tn. Hj. Atan Nordin, En. Abu Bakar RA Abdullah, En. Jasni Md. Kechik, En. Masron dan Dr. Roslan Saadon. Taklimat diselang-seli dengan dialog dan sebarang pertanyaan daripada perwakilan yang hadir.


Saturday 6 February 2016

DIALOG ISU SEMASA WARGA PENDIDIK

Dialog Isu Semasa Warga Pendidik berlangsung di Bilik Mesyuarat Khas1, Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya pada 18 Januari 2016 bermula jam 2.30 petang. Majlis tersebut dipengerusikan oleh Dato' Shahlan Ismail, Pengarah Bahagian Dasar, Penyelidikan dan Perancangan Strategik, Jabatan Perdana Menteri. Pelbagai wakil pertubuhan warga pendidik dijemput antaranya KGMMB, KGLM, MGB, Majlis PPD, Persatuan Pensyarah IPG, Persatuan Pesara Guru dan sebagainya. 


Dato' Shahlan membuka majlis dengan mengemukakan beberapa isu semasa yang memerlukan perhatian dan kerjasama warga guru terutama yang berkaitan ekonomi dan politik negara. Seterusnya Dato' Mohamaed Sabri selaku ketua delegasi warga pendidik yang juga Presiden Kongres memberikan pandangan dan mengemukakan beberapa isu penting. Antara isu yang ditimbulkan oleh beliau ialah Dual Language Program (DLP) yang dilaksanakan mulai 2016 oleh KPM. Pelbagai isu lain ditimbulkan oleh badan-dan lain antaranya pertukaran guru, kenaikan pangkat, kebajikan guru dan sebagainya. Namun isu utama yang menjadi pokok perbincangan yang juga disentuh oleh Persatuan Pengetua Malaysia dan Persatuan Guru Bersara ialah DLP. KGMMB menghantar beberapa orang wakil iaitu Dato' Hj. Jamaludin Jali, En. Mohd Said Hussain, En. Jasni Md Kechik dan Dr. Roslan Saadon. Pada penghujung pertemuan, wakil Gapena menyerahkan buku DLP kepada Dato' Shahlan.