Thursday 11 December 2014

MAJLIS PENGANUGERAHAN (KEBUDAYAAN) DARJAH KEBESARAN

Majlis Penganugerahan (Kebudayaan) Darjah Kebesaran Sultan Kerajaan Inderagiri berlangsung di Hotel Lumire, Jakarta, Indonesia pada 10 Disember 2014 bermula jam 5.00 petang dan berakhir pada jam 11.00 malam. Lapan orang ahli Majlis Jawatankuasa Agung (MJKA) KGMMB menerima darjah kebesaran dan pingat. Tn. Hj. Jamaludin Jali, Timbalan Presiden KGMMB menerima Darjah Setia Sultan Arifshah (DSSA) yang membawa gelaran Dato'. En. Roslan Saadon dan En. Jasni Md Kechik pula menerima Bintang Sultan Arifshah (BSA). Manakala En. Ibrahim Marlan, En. Kamarul Isam Isa, En. Omar Bakri Saad, En. Che Zahari Mustapha dan En. Mohamad Arshad Mat Jelani menerima Pingat Ahli Sultan Arifshah (ASA). Majlis diakhiri dengan Jamuan Santapan Diraja yang melibatkan Sultan Inderagiri, tetamu kehormat dan para penerima anugerah darjah dan pingat kebesaran.


Majlis penganugerahan ini dikendalikan oleh Yayasan Dato'-dato' Indonesia-Malaysia (YADDIM). Program ini berjaya menghidupkan budaya Melayu Nusantara dan mengeratkan hubungan antara sultan-sultan dan raja-raja di wilayah-wilayah tertentu di Nusantara. 




STUDY BANDING DI UNIVERSITI NEGERI JAKARTA & SEKOLAH KESENIAN BANDUNG

Study Banding ke Universiti Negeri Jakarta (UNJ) berlangsung pada 9 Disember 2014 berkisar kepada perbincangan mengenai program-program di UNJ dan kerjasama yang boleh dilaksanakan. Rombongan KGMMB disambut dan diraikan oleh Rektor UNJ dan para direktor program. Pada 10 Disember 2014 pula Study Banding dijalankan pula di Sekolah Tinggi Kebudayaan Bandung. KGMMB disambut oleh wakil Rektor dan perbincangan juga berkisar kepada program kerjasama yang boleh dijalankan. Kedua-dua lawatan ini dijalankan sempena menghadiri Majlis Penganugerahan (Kebudayaan) Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran yang diadakan pada 10 Disember 2014 di Hotel Lumire, Jakarta, Indonesia.






Thursday 6 November 2014

SEMINAR ZON UTARA 2014

Seminar Penyelidikan Pendidikan IPG Zon Utara berlangsung pada 29 hingga 30 Oktober 2014. IPG Kampus Darul Aman bertindak selaku tuan rumah dan menjadi pengelola seminar. Para peserta terdiri daripada para pensyarah dari IPGK Pulau Pinang, Tuanku Bainun, Darul Aman, Perlis dan Sultan Abdul Halim. Prof. Madya Dr. Abdul Shukor dari UUM dijemput menyampaikan ucaptama dalam seminar itu. IPGK Pulau Pinang menghantar 10 orang peserta termasuk 6 orang pembentang. En. Roslan Saadon membentang kertas kerja bertajuk "Perungkai Delima Melayu Tiga Suku Abad Ke-20: Satu Persepektif Sejarah dan Perjuangan Guru di Malaysia".



Tuesday 21 October 2014

SEMINAR PENYELIDIKAN KEBANGSAAN (SPPK) IPG ZON SELATAN

Seminar SPPK IPG Zon Selatan 2014 berlangsung di Hotel Mahkota Century, Melaka pada 14 dan 15 Oktober 2014. En. Roslan bin Saadon menyertai seminar tersebut mewakili Ketua Jabatan Penyelidikan & Inovasi Profesionalisme Keguruan, IPGKPP. Seminar tersebut melibatkan para pembentang dari seluruh tanah air, di samping pelajar-pelajar Semester 8, IPG Kampus Perempuan Melayu Melaka.




Monday 20 October 2014

SEMINAR PENDIDIKAN BAHASA MELAYU SERANTAU

Seminar Pendidikan Bahasa Melayu Serantau anjuran bersama KGMMB, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan IPG Kampus Dato' Razali Ismail berlangsung pada 17 hingga 18 Oktober 2014 di Kampus Dato' Razali Ismail, Kuala Terengganu. Seminar melibatkan para peserta dari Malaysia, Brunei dan Thailand. Majlis Perasmian Seminar yang diadakan pada malam 17 Oktober 2014 dirasmikan oleh YB Dato' Cikgu Zubir Embong, Speaker Dewan Undangan Negeri Terengganu mewakili Menteri Besar Terengganu.
















WACANA INTELEKTUAL BERSAMA SPRM

Majlis Wacana Intelektual Bersama SPRM telah diadakan pada 16 Oktober 2014, di Dewan Kuliah Utama, IPG Kampus Pulau Pinang bermula jam 9.00 pagi. Tiga orang panel dijemput sebagai pembicara dalam forum yang diadakan iaitu Pengarah SPRM, Presiden KGMMB dan Presiden KPPK.






Saturday 11 October 2014

MESYUARAT MJKA KGMMB KALI PERTAMA SESI 2014-17


Mesyuarat yang berlangsung pada 11 Oktober 2014 di Hotel Super Cowboy, Melaka ini melibatkan 29 orang Ahli Majlis Jawatankuasa Agung dari seluruh Malaysia. Y.Bhg. Dato' Hj. Mohamad Sabri Hj. Mohd Arsad mempengerusikan mesyuarat bermula jam 9.00 pagi. Mesyuarat membincangkan Hotel Budget KGMMB, Perancangan 2014-17, isu-isu perjawatan dan sebagainya.

FORUM BAHASA DI TEMPAT AWAM




Sempena Bulan Bahasa, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Pulau Pinang telah menganjurkan Karnival Bahasa dari 7 hingga 11 Oktober 2014 di TEXCO Extra Seberang Jaya. Pada 9 Oktober 2014 (Khamis) pada jam 10.30 pagi berlangsung Forum bertajuk "Bahasa di Tempat Awam". Ahli Panel terdiri daripada Tn. Hj. Abdul Karim Abu Bakar, Ketua Penguatkuasaan DBP dan Pn. Aini Andria Shirin, Pensyarah Bahasa Inggeris dari UiTM Shah Alam. Moderator forum ialah En. Roslan bin Saadon dari IPG Kampus Pulau Pinang. Perbincangan berkisar tentang isu-isu bahasa seharian, penguatkusaaan dan perundangan, serta bahasa pengiklanan. Peserta forum terdiri daripada wakil-wakil jabatan kerajaan dan pelajar sekolah.

Saturday 13 September 2014

MAJLIS TEMU MESRA KGMMB BERSAMA PENGARAH JPN PULAU PINANG

Majlis anjuran KGMMB Pulau Pinang & PGMPPS ini berlangsung pada 11 September 2014 jam 9.00 malam di Hotel Sunway Seberang Jaya, Pulau Pinang. Majlis ini merupakan tradisi KGMMB/PGMPPS apabila menyambut pengarah baharu JPN Pulau Pinang. Tn. Hj. Osman Hussain merupakan pengarah baharu menggantikan Tn. Hj. Ahmad Tarmizi yang bersara wajib. Tn. Hj. Osman sebelum ini merupakan Pengarah IPGK Pendidikan Islam, Bangi, Selangor. Acara bermula dengan jamuan makan malam dan seterusnya dialog bersama pengarah. Turut hadir bersama dalam majlis tersebut ialah Dr. Johan Zakaria, Pengarah SEAMEO-RECSAM, En. Puzi, PPD Utara dan Tn. Hj. Suhaimi, PPD Selatan. Tn. Juhari Mohamad Nor ditugaskan sebagai moderator dialog. Pertemuan tersebut berjalan dengan baik dan penuh kemesraan.




Saturday 6 September 2014

MESYUARAT PEGAWAI KANAN KGMMB

Mesyuarat tersebut berlangsung pada 6 September 2014 di Hotel Kuala Lumpur International bermula jam 8.30 malam. Ahli mesyuarat terdiri daripada Pegawai Kanan KGMMB dan wakil JK KGMMB Pulau Pinang iaitu Tn. Hj. Saidin Rashid dan En. Hisham Ismail. Mesyuarat membincangkan persediaan Persidangan Perwakilan KGMMB yang akan berlangsung di IPG Kampus Pulau Pinang pada 17 hingga 18 September dan Pertemuan Guru-guru Nusantara yang akan berlangsung pada 19 dan 20 September 2014 di tempat yang sama. 


Sunday 24 August 2014

MAJLIS AIDIL FITRI & HARI GURU PGMPPS 2014



Majlis Aidil Fitri dan Hari Guru PGMPPS 2014 dihadiri oleh TYT Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang sebagai tetamu kehormat. Majlis diserikan lagi dengan kehadiran Y.Bhg. Dato' Hj. Mohamad Sabri, Presiden KGMMB dan isteri. Buat julung-julung kali PGMPPS menganjurkan Hari Guru dengan menganugerahi tiga orang pesara guru sebagai Tokoh PGMPPS 2014. Majlis yang penuh dengan keceriaan dan kemegahan ini berlangsung pada 24 Ogos 2014 (Ahad), bermula jam 2.00 petang dan berakhir jam 5.00 petang di Penang Golf Resort, Bertam, Seberang Perai. 

Tiga orang tokoh tersebut ialah Cikgu Idrus Awang, Cikgu Hamzah Md. Ali dan Cikgu Bakar Awang. Anugerah diberikan kepada ketiga-tiga orang tokoh tersebut atas sumbangan dan pengorbanan yang telah dicurahkan meliputi bidang pekerjaan, kegiatan luar dan kemasyarakatan. Anugerah disampaikan oleh TYT Tun Dato' Seri Utama (Dr) Hj. Abdul Rahman bin Hj. Abbas, Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang. Dalam ucapan TYT Yang di-Pertua Negeri, beliau antara lain menyatakan akan kesungguhan dan peranan Presiden KGMMB memperjuangkan kepentingan profesion keguruan dan memartabat bahasa Melayu. Beliau juga menyentuh tentang kesanggupan dan keprihatinan Presiden KGMMB berkunjung ke Pulau Pinang terutama untuk menemui beliau. Untuk itu, Yang di-Pertua Negeri memaklumkan yang Pulau Pinang akan memberikan sokongan penuh kepada Y.Bhg. Dato' Hj. Mohamad Sabri. 


Saturday 23 August 2014

MESYUARAT JAWATANKUASA INDUK PGN



Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Y.Bhg. Dato' Hj. Mohamad Sabri ini berlangsung di Bilik Mesyuarat Rijeng, IPG Kampus Pulau Pinang pada 22 Ogos 2014 bermula jam 3.00 petang dan berakhir pada jam 5.00 petang. Mesyuarat melibatkan KGMMB, Pengarah dan beberapa orang pensyarah IPG Kampus Pulau Pinang, wakil JPN Pulau Pinang dan wakil dari IPGM. Perbincangan berkisar mengenai Persidangan PGN yang akan berlangsung di IPG Pulau Pinang pada 19-20 September 2014. PGN melibatkan guru-guru dari Indonesia, Malaysia, Singapura dan Brunei.

Saturday 19 July 2014

MESYUARAT MJKA KGMMB


Mesyuarat itu berlangsung di Grand Pacific Hotel Kuala Lumpur pada 19 Julai 2014 bermula jam 3.00 petang. Mesyuarat membincang beberapa perkara antaranya Persidangan Perwakilan KGMMB yang akan berlangsung pada 17 dan 18 Julai 2014 dan Pertemuan Guru-guru Nusantara yang akan berlangsung pada 19 dan 20 Julai 2014. Kedua-dua program ini akan diadakan di IPG Kampus Pulau Pinang. Mesyuarat itu juga membincangkan pencalonan Pegawai Kanan KGMMB bagi Sesi 2014-17. Mesyuarat dipengerusikan oleh Y.Bhg. Dato' Hj. Mohamad Sabri, Presiden KGMMB.

Tuesday 15 July 2014

MESYUARAT PERTEMUAN GURU NUSANTARA


Mesyuarat Ketua-ketua Delegasi Pertemuan Guru Nusantara berlangsung di Hotel Grand Pacific, Kuala Lumpur pada 13 Julai 2014 bermula jam 11.00 pagi. Mesyuarat itu mempertemukan Malaysia, Singapura dan Brunei. Wakil Indonesia yang sepatutnya hadir tidak dapat menyertai mesyuarat tersebut kerana terlibat dengan Pilihanraya Umum Indonesia. Brunei dwakili oleh Pak Antin, Yang Dipertua Persatuan Guru-guru Melayu Brunei (PGMMB) manakala Singapura diwakili oleh En. Mohd Tahiruddin S. Kadarisman, Yang Dipertua Persatuan Guru Melayu Singapura (PGMS). Y.Bhg. Dato' Hj. Mohamad Sabri Hj. Md. Arsad mengetuai delegasi Malaysia dan juga bertindak selaku Pengerusi mesyuarat. Mesyuarat menetapkan tarikh PGN 15 adalah pada 19 dan 20  September 2014 bertempat di IPG Kampus Pulau Pinang. Mesyuarat juga bersetuju dengan tajuk-tajuk kertas kerja yang bakal dibentangkan oleh negara-negara terlibat. Untuk kali ini PGN akan memberi ruang yang lebih luas kepada peserta seminar untuk membentangkan kertas kerja. KGMMB tidak ketinggalan membetangkan logo PGN yang telah disediakan dan secara dasar Ketua-ketua Delegasi bersetuju dengan logo tersebut. Namun, KGMMB memberi ruang kepada negara-negara terlibat untuk memberi pandangan penambahbaikan dalam masa 2 minggu.



Sunday 29 June 2014

KURIKULUM SEJARAH SEKOLA RENDAH

Pelajar SJH3033E yang dikasihi,
Disertakan tajuk-tajuk penting yang perlu anda semua dapatkan maklumat awal sebelum kelas bermula pada 1 Julai 2014. Cuba buat rujukan di perpustakaan dan layari internet. Dapatkan maklumat tentang tajuk-tajuk yang diberi.
                    a. Latarbelakang kurikulum sejarah
                    b. Kurikulum Standard Sekolah Rendah
                    c. Asas Penggubalan KSSR
                    d. Bentuk KSSR




Saturday 28 June 2014

PENYELIDIKAN TINDAKAN



Pelajar T4PS,
Tidak lama lagi anda semua akan ke sekolah untuk mengikuti interim. Jangan lupa tugasan anda untuk menyiapkan laporan Penyelidikan Tindakan. Mengapa seseorang guru perlu menjalankan kajian tindakan di sekolah?

Sunday 18 May 2014

MESYUARAT AGUNG PGMPPS/KGMMB CAW. P. PINANG

Pada 18 Mei 2014 (Ahad), bermula jam 9.00 pagi, di Dewan Kuliah A, Blok Akademik Baru, IPG Kampus Pulau Pinang berlangsung Mesyuarat Agung Tritahunan KGMMB Cawangan Pulau Pinang dan Dwitahunan PGMPPS. Seramai 160 orang ahli hadir untuk melaksanakan tugas sebagai anggota kesatuan/persatuan. Tuan Haji Jamaluddin Jali, Timbalan Presiden KGMMB hadir menyempurnakan majlis perasmian mesyuarat dan menyampaikan sijil kepada Ahli Jawatankuasa Sesi 2012-14. Tidak ketinggalan Fawzy Agency dijemput menyampaikan ceramah berkaitan produk insuran. Sejurus selesai menyampaikan taklimat, Tuan Haji Fawzy menyampaikan cek bernilai RM34,293.00 kepada suami pencarum yang telah kembali ke rahmatullah. Beliau juga menyampaikan cek sumbangan Fawzy Agency bernilai RM1000.00 kepada PGMPPS.





Saturday 17 May 2014

TEMURAMAH UNTUK BIOGRAFI TUN ABDUL RAHMAN ABBAS

Dalam usaha mengumpul bahan dan sumber untuk penulisan Biografi TYT Tun Dato' Seri Utama (Dr) Haji Abdul Rahman Haji Abbas, satu temuramah dijalankan ke atas Y.Bhg. Dato' Jamaludin Omar atau lebih dikenali sebagai Pak Tam. Temuramah itu berlangsung pada 17 Mei 2014 (Sabtu), bermula jam 3.00 petang di teratak beliau di Kampung Paya Keladi. Prof. Madya Datin Dr. Mahani Musa dan En. Roslan Saadon berkunjung ke rumah Pak Tam untuk menjalankan temuramah. Soalan berkisar kepada hubungan Pak Tam dengan TYT Tun dan sejarah kegiatan politik TYT Tun sejak dari tahun 1970-an. Turut sama dalam temuramah tersebut ialah Cik Fatiha, pelajar Ijazah Sarjana yang bertindak selaku pembantu Dr.Mahani. 


Thursday 15 May 2014

SAMBUTAN HARI GURU PERINGKAT KEBANGSAAN 2014

Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan berlangsung di PWTC bermula 14 hingga 16 Mei 2014. Wilayah Persekutuan menjadi tuan rumah. Pelbagai aktiviti djalankan seperti Pameran Seni Visual, Pameran Pendidikan, Senamrobik Hari Guru dan Forum Hari Guru. Majlis Jawatankuasa Agung KGMMB yang diketuai oleh Tn. Hj. Jamaludin Jali menghadiri majlis tersebut.







Wednesday 14 May 2014


MESYUARAT MAJLIS JAWATANKUASA AGUNG KALI KE-6 SESI 2012-14

Mesyuarat berlangsung pada 14 Mei 2014 (Rabu), jam 4.00 petang di Bilik Mesyuarat KGMMB, Jalan Sentul, Kuala Lumpur. Mesyuarat dipengerusikan oleh Tn. Hj. Jamaluddin bin Jali, Naib Presiden KGMMB. Wakil daripada 17 Cawangan hadir membincangkan beberapa perkara antaranya Mesyuarat Agung Cawangan, Mesyuarat Agung Perwakilan KGMMB, Hotel Budget KGMMB, Isu-isu Perjawatan dan sebagainya.

Tuesday 6 May 2014

KURSUS CPD GURU DG41 DAERAH BARAT DAYA



Kursus CPD Guru DG41 Daerah Barat Daya berlangsung di Sekolah Maahad al-Mashor al-Islami, Balik Pulau dari 5 hingga 9 Mei 2014. Seramai 54 orang guru muda yang sudah berkhidmat sekitar empat hingga enam tahun terlibat dalam kursus ini. Pensyarah IPGKPP yang terlibat memberi ceramah dalam kursus ini ialah En. Jamal Mohamed Abdul Rahman (Setiausaha Akademik), En. Salahuddin Haron (kaunselor), Tn. Hj. Md. Nasir Yusof, Pn. Teh Kim Hong, En. Mior Shaharuddin Mior Abu Bakar, Dr. Tan Huat Tian dan En. Faizul Hasmi Abu Hasan. En. Roslan Saadon terlibat pada hari kedua, menyampaikan ceramah bertajuk Perancangan Pengajaran dan Pembelajaran. Pn. Junaidah dari unit LDP bertindak selaku urusetia kursus.

Bicarawara Kemenjadian Pensyarah Cemerlang







Bicarawara Kemenjadian Pensyarah Cemerlang anjuran Persatuan Pensyarah IPGKPP (Klasik) berlangsung pada 5 Mei 2014 (Isnin), jam 2.30 petang di Dewan Persidangan. Forum menampilkan dua orang ahli panel iaitu En. Hong Kim Guan dan En. Che Yusof Che Hassan. Forum dipengerusikan oleh En. Roslan Saadon selaku moderator. Forum membicarakan cara-cara menjadi pensyarah cemerlang melalui perkongsian pengalaman para panel jemputan. Bagi menghidupkan suasana, bicarawara dijalankan melalui soalan-soalan yang dikemukakan oleh moderator, soalan peserta dan perkongsian pengalaman daripada beberapa orang peserta yang juga merupakan pensyarah cemerlang. Mereka yang berkongsi pengalaman antaranya Dr. Khoo Bee Lee, Dr. Tan Huat Tian, Dr. Parvinder Singh, Dr. Toh Lai Chee, Pn. Malar Arasi dan En. Muhaiyuddin. Pada sesi akhir majlis, En. Mohd Mashor Mustapa, Presiden Klasik menyampaikan cenderamata kepada ahli panel dan moderator. Sesungguhnya, usaha Klasik ini memberikan sedikit sebanyak pengetahuan dan pedoman kepada pensyarah memikirkan peluang kenaikan pangkat secara fast track melalui pensyarah cemerlang.

Wednesday 30 April 2014

MESYUARAT PEMANTAPAN BAHAN INTEGRITI


Mesyuarat Pemantapan Bahan Integriti Dalam Pendidikan Program Training of Trainers (TOT) IPGM/IPG untuk Minggu Integriti Pendidikan Guru Tahun 2014 berlangsung dari 28 hingga 30 April 2014 di Radius International Hotel, Kuala Lumpur. IPGKPP diwakili oleh En. Abdul Aziz bin Ishak (fasilitator) dan En. Roslan bin Saadon. Mesyuarat membincangkan kekuatan dan kelemahan ceramah Seminar Integriti Warga Pendidikan (SIWP) tahun 2013. Mesyuarat juga melibatkan aktiviti perbengkelan bagi memurnikan bahan integriti untuk meningkatkan lagi keberkesanan ceramah tahun 2014. Dr. Hjh. Zuraidah Razali turut hadir memberikan nasihat dan pandangan yang berguna kepada kumpulan penceramah. Mesyuarat pemantapan bahan integriti ini dikendalikan oleh En. Mohamed Razi Suradi (Pegawai IPGM) dibantu oleh para Fasilitator Integriti IPGM.