Monday 29 April 2013

MESYUARAT PERANCANGAN PGN KE-15


Mesyuarat tersebut berlangsung pada 27 April 2013, jam 3.00 petang di Palace of Golden Horses, Mines Resort City, Selangor. Mesyuarat tersebut melibatkan tiga negara iaitu Malaysia, Brunei dan Indonesia. Brunei diwakili oleh Bapak Antin,Yang Dipertua PGGMB, manakala Indonesia diwakili oleh Dr Yuhani, Ketua I PGRI. Malaysia membariskan beberapa orang wakil diketuai oleh Tn. Hj. Mohamad Sabri Mohd Arshad, Presiden KGMMB. Wakil Malaysia yang lain terdiri daripada Tn. Hj. Jamaludin Jali, Tn. Hj. Md. Jidin, En. Roslan Saadon, En. Ahmad Nawawi Shaari, En. Amran Ghani, Tn. Hj. Atan Nordin dan En. Abu Bakar. Perkara yang dibincangkan adalah berkaitan penetapan tarikh PGN, yuran penyertaan, tempat pertemuan dan tema persidangan. 

Friday 26 April 2013

VERIFIKASI PELAKSANAAN KERJA KURSUS IPGM

Program berlangsung pada 25 dan 26 April 2013 di IPG Kampus Pulau Pinang melibatkan jabatan Matematik, Sains dan Ilmu Pendidikan. Pegawai yang bertanggungjawab menjalankan verifikasi didatangkan khas dari IPGM dibantu oleh iEE dari IPG Kampus Tuanku Bainun dan IPG Kampus Pulau Pinang. Verifikasi yang dijalankan menunjukkan bahawa terdapat banyak kekuatan dalam pelaksanaan kerja kursus di IPGKPP. Namun, terdapat juga kelemahan yang perlu diperbaiki antaranya kerja kursus perlu dijalankan secara individu. Tugasan juga perlu melibatkan sekurang-kurangnya tiga task dengan pemberatan markah tertentu. Pensyarah yang memeriksa juga perlu memberikan justifikasi dalam pemberian markah. Justeru komen yang jelas perlu diberi semasa membuat pemeriksaan tugasan. Moderasi juga perlu dilakukan dengan jelas. Borang maklumbalas tugasan juga perlu diisi dan diserahkan kepada pelajar. Rumusan verifikasi ini disampaikan oleh Pegawai IPGM semasa majlis penutup verifikasi yang diadakan pada 26 April 2013 di Bilik 1-1, Blok Baru, bermula jam 11.30 pagi. Majlis penutup dipengerusikan oleh En. Jamal Mohamed selaku Setiausaha Akademik IPGKPP.

Monday 22 April 2013

MAJLIS PENYERAHAN CEK


Majlis penyerahan cek kepada balu En. Nazier, Timbalan PPD Daerah Barat Daya yang pulang kerahmatullah berlangsung pada 22 April 2013 di SK Bayan Lepas, Pulau Pinang. Majlis ringkas itu dihadiri oleh En. Roslan Saadon, Naib Presiden KGMMB dan wakil Fawzy Agency iaitu Pn. Zeta dan pembantunya. Cek bernilai RM33,000.00 itu disampaikan oleh En. Roslan Saadon kepada Pn. Jamaliah, balu kepada En. Nazier. Selepas majlis penyerahan cek itu selesai, wakil KGMMB dan Fawzy Agency dibawa ke kantin untuk menikmati sedikit jamuan.

KONVOKESYEN MUHAMAD HAFIZ


Muhamad Hafiz bin Roslan menerima diploma sempena majlis konvokesyen AUCMS yang berlangsung pada 18 April 2013 di Kompleks Budi Penyayang, Kepala Batas, Pulau Pinang. Norhidayah Che Ros, rakan karib beliau juga menerima diploma dalam majlis tersebut. Mereka menerima diploma fisioterapi yang disampaikan oleh Tuanku Canselor. Dalam ucapan Tuanku Canselor, beliau mengingatkan para pelajar agar berpegang kepada 3R iaitu releven, referred dan respect. Majlis yang penuh adat istiadat itu berlangsung dengan meriah dan penuh kebanggaan.

Wednesday 17 April 2013

PROF. LEONARD ANDAYA BERSAMA PELAJAR IJAZAH TINGGI USM

Prof. Andaya dari Universiti Hawaii, USA hadir ke PPIK, USM untuk melihat perkembangan pengajian sejarah di institusi tersebut. Beberapa orang pelajar pengajian siswazah untuk MA dan PhD dijemput menghadiri program bersama Prof. Andaya pada 16 April 2013, bermula jam 9.00 pagi di Bilik C24, PPIK, USM. Beliau cuba meninjau masalah pelajar dan cuba mencari resolusi yang boleh membantu pelajar. Roslan Saadon turut hadir  dan mengemukakan beberapa soalan dan pandangan antaranya ialah perkongsian sumber pertama yang dimiliki oleh para pensyarah. Sumber yang diperolehi  melalui geran diserah kepada PPIK dan ditempatkan di Bilik Sumber yang boleh diakses oleh pelajar PPIK. Hal ini akan membantu pelajar mendapatkan sumber pertama dan seterusnya menghasilkan tesis yang lebih bermutu.




Tuesday 2 April 2013

MESYUARAT JK INDUK HARI PUISI KEBANGSAAN

Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Y.Bhg.Dato' Zainal Borhan (Setiausaha Gapena) itu berlangsung di Bilik Mesyuarat Rijeng, IPGKPP pada 1 April 2013, bermula jam 2.30 petang. Mereka yang terlibat dalam mesyuarat itu termasuklah Tn. Hj. Khalid Hj. Ahmad (Pengarah IPGKPP), Y.Bhg Dato Seri Mohd Yusof Latiff (Presiden Pemenang), Pengarah DBP Zon Utara, Tn. Hj. Abdul Aziz (Setiausaha Kerja Gapena), pegawai-pegawai Jabatan Kebudayaan dan DBP, En Jamal Mohamed Abdul Rahman dan En. Roslan Saadon. Mesyuarat berkisar kepada penyusunan kerja dan aktiviti yang akan berlangsung pada 10 hingga 12 Mei 2013. IPG Kampus Pulau Pinang akan menjadi tuan rumah untuk melangsungkan beberapa aktiviti seperti bengkel, seminar dan pameran. Hari Puisi Nasional melibatkan para peserta dari Malaysia, Brunei, Indonesia, Singapura dan Thailand.

Monday 1 April 2013

SELAMAT MENJALANI PRAKTIKUM


Para pelajar T3PS yang dikasihi,
Selamat menjalani praktikum. Semoga ilmu pengetahuan dan kemahiran yang telah diterima menjadi panduan dan bekalan di sekolah. Sememangnya banyak ilmu dan kemahiran yang telah diterima, namun kekuatan utama adalah diri kita sendiri. Jika kita ikhlas, bersungguh-sungguh, minat dan komited dengan apa yang dibuat pastinya kita akan dapat menjalani sesi praktikum dengan cemerlang. SELAMAT!!!!

KAJIAN TINDAKAN T4PS


Salam sejahtera buat semua pelajar yang dikasihi.
Saya sudah dapat gambaran daripada beberapa orang pelajar tentang tugasan ini. Ada yang sudah jelas dan ada yang masih lagi kabur. Tugasan ini bukan penghasilan proposal. Ia adalah satu kajian tindakan yang lengkap antara 15-20 hlm sahaja. . Tugasan ini sebagai satu latihan penting dan menyumbang 50% markah. Justeru, kesungguhan, komitmen dan keikhlasan anda penentu kepada pencapaian markah yang cemerlang. Mini tesis yang lengkap akan dibuat pada semester hadapan. Naqib ada maklumat yang boleh dikongsi kerana dia telah datang mendapatkan penerangan daripada saya.