Sunday 24 August 2014

MAJLIS AIDIL FITRI & HARI GURU PGMPPS 2014



Majlis Aidil Fitri dan Hari Guru PGMPPS 2014 dihadiri oleh TYT Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang sebagai tetamu kehormat. Majlis diserikan lagi dengan kehadiran Y.Bhg. Dato' Hj. Mohamad Sabri, Presiden KGMMB dan isteri. Buat julung-julung kali PGMPPS menganjurkan Hari Guru dengan menganugerahi tiga orang pesara guru sebagai Tokoh PGMPPS 2014. Majlis yang penuh dengan keceriaan dan kemegahan ini berlangsung pada 24 Ogos 2014 (Ahad), bermula jam 2.00 petang dan berakhir jam 5.00 petang di Penang Golf Resort, Bertam, Seberang Perai. 

Tiga orang tokoh tersebut ialah Cikgu Idrus Awang, Cikgu Hamzah Md. Ali dan Cikgu Bakar Awang. Anugerah diberikan kepada ketiga-tiga orang tokoh tersebut atas sumbangan dan pengorbanan yang telah dicurahkan meliputi bidang pekerjaan, kegiatan luar dan kemasyarakatan. Anugerah disampaikan oleh TYT Tun Dato' Seri Utama (Dr) Hj. Abdul Rahman bin Hj. Abbas, Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang. Dalam ucapan TYT Yang di-Pertua Negeri, beliau antara lain menyatakan akan kesungguhan dan peranan Presiden KGMMB memperjuangkan kepentingan profesion keguruan dan memartabat bahasa Melayu. Beliau juga menyentuh tentang kesanggupan dan keprihatinan Presiden KGMMB berkunjung ke Pulau Pinang terutama untuk menemui beliau. Untuk itu, Yang di-Pertua Negeri memaklumkan yang Pulau Pinang akan memberikan sokongan penuh kepada Y.Bhg. Dato' Hj. Mohamad Sabri. 


Saturday 23 August 2014

MESYUARAT JAWATANKUASA INDUK PGN



Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Y.Bhg. Dato' Hj. Mohamad Sabri ini berlangsung di Bilik Mesyuarat Rijeng, IPG Kampus Pulau Pinang pada 22 Ogos 2014 bermula jam 3.00 petang dan berakhir pada jam 5.00 petang. Mesyuarat melibatkan KGMMB, Pengarah dan beberapa orang pensyarah IPG Kampus Pulau Pinang, wakil JPN Pulau Pinang dan wakil dari IPGM. Perbincangan berkisar mengenai Persidangan PGN yang akan berlangsung di IPG Pulau Pinang pada 19-20 September 2014. PGN melibatkan guru-guru dari Indonesia, Malaysia, Singapura dan Brunei.