Thursday 30 January 2014

MESYUARAT JAWATANKUASA KERJA KOLABORASI IPGKPP & SEMEO-RECSAM


Mesyuarat tersebut berlangsung pada 29 Januari 2014, jam 2.30 petang di Bilik Mesyuarat Rijeng, IPG Kampus Pulau Pinang. Mesyuarat melibatkan Jawatankuasa Kerja yang terdiri daripada pensyarah IPGKPP dan penyelidik SEAMEO-RECSAM. En. Jamal Mohamed Abdul Rahman, Setiausaha Akademik IPGKPP mempengerusikan mesyuarat itu. Mesyuarat memutuskan kerjasama yang akan dibuat adalah penganjuran International Seminar on Science & Math Teaching (SoSMat) yang akan berlangsung pada 3 dan 4 November 2014. Untuk itu kerja-kerja yang berkaitan penganjuran seminar perlu dijalankan segera dan satu mesyuarat penubuhan Jawatankuasa Pelaksana Seminar akan diadakan pada 10 Februari 2014.


MAJLIS PERUTUSAN TAHUN BARU 2014 MENTERI PENDIDIKAN MALAYSIA

KGMMB tidak ketinggalan hadir dalam majlis tersebut yang berlangsung pada 28 Januari 2014 di Dewan Plenari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), bermula jam 8.00 pagi dan berakhir pada pukul 1.00 petang. Majlis dihadiri oleh warga Kementerian Pendidikan Malaysia yang terdiri daripada Pegawai-pegawai Tinggi Kementerian Pendidikan, Pengarah dan Pegawai JPN Negeri, PPD, pengurus sekolah, pengarah dan pensyarah IPG, Naib Canselor dan pensyarah IPTA/IPTS, serta wakil-wakil kesatuan guru. KGMMB menghantar empat orang wakil iaitu Y.Bhg. Dato' Haji Mohamad Sabri Haji Mohd Arshad, Tn. Hj. Jamaluddin Jali, En. Roslan Saadon dan En. Mohd Said Hussain. Perutusan disampaikan oleh YAB Tan Seri Mahyuddin bin Yassin, Timbalan Menteri Pelajaran Malaysia, merangkap Menteri Pelajaran Malaysia. Majlis juga menyaksikan pelancaran logo baru KPM yang disempurnakan oleh Menteri Pelajaran Malaysia.




Friday 24 January 2014

PILIHAN RAYA JPP IPG KAMPUS PULAU PINANG



Pilihan Raya JPP 2014 IPG Kampus Pulau Pinang berjalan dengan baik dan lancar. Seramai 778 orang pelajar layak mengundi dan keluar melaksanakan tugas sebagai pengundi. Proses pengundian berlangsung pada 24 Januari 2014, bermula jam 8.15 pagi di tiga pusat iaitu Dewan Persidangan, Gelanggara dan Blok Sains. Hanya jawatan Ahli Majlis Mesyuarat yang dipertandingkan, manakala Ahli Majlis Tertinggi kesemuanya menang tanpa bertanding.

Thursday 23 January 2014

PERBINCANGAN KOLABORASI IPGKPP BERSAMA SEMEO-RECSAM

Perbincangan kedua berkaitan kolaborasi antara IPG Kampus Pulau Pinang dengan SEMEO-RECSAM berlangsung di Pejabat Pengarah SEMEO-RECSAM pada 23 Januari 2014, jam 8.15 pagi. IPGKPP diwakili oleh En. Jamal Mohamad selaku Setiausaha Akademik, En. Roslan Saadon, Pn. Teh Kim Hong dan Dr. Parvinder Singh. SEMEO-RECSAM diwakili oleh Dr. Mohd Johan Zakaria selaku Pengarah, Dr. Suhaidah dan Dr. Nurjahan. Perbincangan berkisar kepada Draf MoU yang disediakan oleh pihak IPGKPP, penganjuran seminar dan penerbitan jurnal antarabangsa. Dr. Mohd Johan menasihati pihak IPGKPP supaya mendapatkan nasihat pihak Rektor IPGM tentang MoU yang akan ditandatangani. Sementara menunggu MoU ditandatangani, kedua-dua pihak akan mengadakan mesyuarat Jawatankuasa Kerja (Working Committee) pada 29 Januari 2014, jam 2.30 petang di IPGKPP.


Monday 20 January 2014

LAWATAN KGMMB KE PEJABAT FAWZY AGENCY


Y.Bhg. Dato' Hj. Mohamad Sabri Hj. Md Arshad, Presiden KGMMB melawat Pejabat Fawzy Agency pada 20 Januari 2014, bermula jam 2.30 petang. Pegawai Kanan KGMMB yang turut sama ialah Tn. Hj. Jamaluddin Jali, En. Roslan Saadon dan En. Jasni Md Kechik. Tn. Hj. Fawzy membawa para tetamu melawat sekitar pejabat dan memberi sedikit taklimat berkaitan pejabat tersebut. Seperkara yang menarik ialah pejabat tersebut menyediakan kiosk yang memberikan perkhidmatan memperbaharui lesen memandu dan cukai jalan. Kiosk tersebut menarik perhatian Presiden, dan KGMMB akan menjadikannya satu produk baru kepada ahli-ahlinya. Fawzy Agency akan menguruskan pembaharuan insuran dan cukai jalan kepada ahli-ahli KGMMB yang memerlukan perkhidmatan tersebut. Ahli-ahli akan membuat pembayaran melalui potongan gaji yang diuruskan oleh Koperasi KGMMB Bhd. 

MESYUARAT JK BERTINDAK ALUMNI MTC PULAU PINANG


Mesyuarat tersebut berlangsung pada 20 Januari 2014 di Bilik ISO, IPG Kampus Pulau Pinang bermula jam 2.30 petang dan berakhir pada pukul 4.15 petang. Mesyuarat dipengerusikan oleh En. Jamal Mohamed Abdul Rahman, Setiausaha Akademik institut. Mereka yang hadir ialah En. Abdul Said bin Hussin, Presiden Alumni; En. Mohd Azmi Hj. Aiyob, Timbalan Presiden, En. Mustafa Hashim, Setiausaha; En. Mohd Mahathir Abdul Rashid, Penolong Setiausaha; Pn. Hj. Zowyah Shabdin, AJK dan En. Roslan Saadon, AJK. Mesyuarat mengambil keputusan memulakan tindakan dengan mendaftar persatuan di bawah Jabatan Pendaftar Pertubuhan. Tugas pendaftaran secara online diserahkan kepada En. Mohd Mahathir Abdul Rashid. Tindakan selanjutnya akan dijalankan selepas pendaftaran Alumni selesai. En. Roslan Saadon ditugaskan sebagai Pegawai Penyelaras Alumni yang kebetulan merupakan pensyarah di IPG Kampus Pulau Pinang. Beliau merupakan pelajar MTC sesi 1985-87.

Sunday 19 January 2014

MAJLIS KUNJUNG BALAS SEKOLAH AGAMA ANSARIYYAH ADDINIYYAH, SATUN, THAILAND

Seramai 14 orang guru dan ahli keluarga dari Sekolah Agama Ansariyyah Addiniyah, Satun, Thailand berkunjung ke Alor Setar pada 19 Januari 2014. Kunjungan tersebut sebagai membalas kunjungan yang telah dibuat oleh KGMMB pada November 2013 yang lalu. Tuan Haji Fawzi dari Fawzy Agency berbesar hati meraikan rombongan tersebut dengan jamuan makan tengahari di Car Wash Cafe miliknya. Ketibaan tetamu disambut oleh Y.Bhg. Dato' Mohamad Sabri Hj. Md. Arshad selaku Presiden KGMMB, Tn. Hj. Jamaludin Jali, En. Roslan Saadon, En. Jasni Md Kechik dan kakitangan Fawzy Agency. Majlis dimulakan dengan bacaan doa yang diketuai oleh Tn. Hj. Razali, dikuti ucapan aluan Tn. Hj. Fawzy dan seterusnya ucapan Presiden KGMMB. Pn. Rodziah Usman, mudir sekolah tersebut juga tidak ketinggalan diberi peluang untuk berucap. Dalam ucapannya beliau mengucapkan terima kasih atas sambutan dan layanan yang diberi. Beliau juga mengucapkan terima kasih atas sumbangan RM15,000.00 yang dihulurkan oleh KGMMB semasa lawatan ke Satuk pada bulan November yang lalu. Wang sumbangan itu digunakan untuk membina pagar sekolah, memasang dinding bangunan sekolah dan membeli perabut.








Friday 17 January 2014

BENGKEL KAJIAN TINDAKAN JAPIM IPG KAMPUS PULAU PINANG

Bengkel anjuran Jabatan Pengajian Islam dan Moral (JAPIM), IPG Kampus Pulau Pinang ini melibatkan 19 orang pelajar Pengkhususan Pengajian Islam dan 8 orang pensyarah. Ia berlangsung pada 16 Januari 2014, bermula pada pukul 11.30 pagi dan berakhir pada pukul 1.30 petang. En. Roslan Saadon dari Jabatan Penyelidikan & Inovasi Profesionalisme Keguruan, IPGKPP dijemput mengendalikan bengkel tersebut. Beliau cuba memberikan kefahaman tentang konsep dan pelaksanaan Kajian Tindakan secara teori dan praktik. Kajian Tindakan merupakan kursus penting yang perlu diambil oleh pelajar tahun akhir dan menjadi prasyarat untuk memperoleh ijazah.

MESYUARAT PEGAWAI KANAN KGMMB

Mesyuarat tersebut berlangsung pada 14 Januari 2014 di Hotel Super Cowboy, Melaka melibatkan 10 orang Pegawai Kanan KGMMB. Mesyuarat bermula pada jam 2.00 petang dan berakhir pada jam 5.30 petang. Antara perkara yang dibincangkan dalam mesyuarat tersebut ialah Program Biro Tatanegara yang akan melibatkan Majlis Jawatankuasa Agung KGMMB, seminar anjuran Cawangan Johor dan Pertemuan Guru-guru Nusantara (PGN) 2014. Cikgu Roslan Saadon ditugaskan menyedia dan membentang kertas kerja PGN. Program melibatkan negara Singapura, Brunei, Indonesia dan Malaysia itu dijangka berlangsung pada bulan April 2014 di IPG Kampus Pulau Pinang.