Thursday 16 April 2015

KELAS TANPA TEMBOK


Tenaga pengajar baik di sekolah, kolej atau universiti sentiasa mencari jalan mempelbagaikan kaedah dan teknik pengajaran. Tujuannya adalah untuk menimbulkan keseronokan dan meningkatkan keberkesanan PdP. Menjalankan kelas di luar bilik darjah mampu meningkatkan keseronokan dan memberi suasana baru kepada para pelajar. Pelajar tidak terkongkong dengan suasana bilik darjah, malah bebas dan lapang untuk bergerak

Hari ini, 16 April 2015, pelajar PPISMP Major Sejarah dibawa keluar untuk mengikuti kuliah. Mereka dibawa ke bahagian belakang institut untuk melihat flora dan fauna, bukit, laut dan bangunan. Berdasarkan alam semulajadi, binatang dan segala apa yang dilihat, para pelajar dibimbing menghasilkan pantun bertemakan perpaduan dan kemerdekaan negara secara berperingkat. Pada peringkat pertama, para pelajar diminta menghasilkan dua baris pembayang menggunakan unsur-unsur semulajadi, alam sekitar dan bahan ciptaan manusia.


Mereka diminta membina pembayang dan membacakan dua baris pembayang tersebut. Pensyarah membantu membaiki pembayang yang kurang betul dan kurang menarik. Selepas para pelajar agak jelas dan dapat menghasilkan pembayang, mereka diberikan maksud yang diwakili oleh baris ketiga dan keempat. Berdasarkan maksud yang diberi, para pelajar dibimbing menghasilkan pembayang. Para pelajar dimaklumkan bahawa rima akhir baris pertama perlu sama dengan rima akhir baris ketiga. Rima akhir baris kedua pula perlu sama dengan rima akhir baris keempat. Pelajar diminta membaca pantun yang telah lengkap dan diberi markah mengikut ketepatan dan keindahan pantun yang dihasilkan. 


Di samping belajar sejarah, PdP yang dijalankan dapat meningkatkan keupayaan pelajar menguasai bahasa dan sastera sebagai jati diri bangsa. Mendalami bahasa dan sastera akan mendekatkan pelajar dengan budaya bangsa dan menjadikan mereka bersopan dan berbudi luhur. Menghasilkan pantun bertema sejarah juga melibatkan kemahiran berfikir (KBAT) kerana pelajar perlu menghubungkait, mengaplikasi dan mensintesis.

PROGRAM KOLABORASI BTN


Dr. Roslan Hussain dari BTN, Jabatan Perdana Menteri berkunjung ke Pulau Pinang untuk menjalankan program peningkatan profesionalisme guru. Beliau mencadangkan beberapa siri program melibatkan kolaborasi dengan pihak IPG, JPN, KGMMB dan NGO. Untuk itu, satu perjumpaan ringkas diadakan di Restoran Pelita Nasi Kandar, Auto City, Juru, Pulau Pinang. Mereka yang hadir terdiri daripada Dr. Muhammad Raini Mat Rahim mewakili IPG Kampus Pulau Pinang, En. Mohd Hasni Abdullah mewakili Persatuan Guru Melayu dan KGMMB dan Dr. Roslan Saadon mewakili Persatuan Sejarah dan Peradaban Melayu Pulau Pinang. Perjumpaan tersebut berlangsung pada 15 April 2015 bermula jam 6.00 petang dan berakhir pada pukul 7.30 malam.


Seterusnya pada hari kedua, 16 April 2015, jam 1.30 petang, Dr. Roslan Hussain berkunjung ke Jabatan Pelajaran Negeri Pulau Pinang untuk mengadakan pertemuan dengan Dato' Hj. Osman Hussain, Pengarah Pelajaran. Beliau ditemani oleh Dr. Mohd Azhar Bahari dan Dr. Roslan Saadon. Perbincangan berkisar tentang program yang bakal dijalankan dan ianya mendapat sokongan penuh daripada Pengarah JPN Pulau Pinang. 

Sunday 12 April 2015

MAJLIS PERTEMUAN KGMMB-PENGARAH JPN PULAU PINANG


Majlis Pertemuan KGMMB bersama Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Pulau Pinang berlangsung pada 11 April 2015 di Sunway Hotel, Seberang Jaya. Majlis bermula pada jam 9.00 malam ini turut dihadiri oleh En. Jasni Md Kechik, Penolong Setiausaha Agung KGMMB Pusat dan Tn. Hj. Fawzy dari Fawzy Agency. Seramai  13 orang AJK PGMPPS/ KGMMB Pulau Pinang hadir diketuai oleh Tn. Hj. Juhari Mohamad Nor selaku Timbalan Pengerusi. 


Tn. Hj. Juhari memulakan majlis dengan bacaan Al-Fatihah dan mengalu-alukan kedatangan Y.Bhg. Dato' Hj. Osman Hussain, Pengarah Jabatan Pelajaran (JPN) Negeri Pulau Pinang. Beliau seterusnya menjemput En. Jasni selaku wakil KGMMB Pusat untuk menyampaikan sepatah dua kata. Majlis seterusnya dibuka untuk berdialog dengan Pengarah JPN dimulakan dengan cadangan penganjuran seminar pendidikan sehari yang dibentangkan oleh Dr. Roslan Saadon. Perkara-perkara lain yang ditimbulkan oleh pihak KGMMB ialah isu SIP+ dan SISC+, pencapaian pendidikan anak-anak Melayu Pulau Pinang, isu perjawatan di PPD dan penempatan Guru Besar.


Dato' Osman Hussain memberikan komen yang sangat positif terhadap pelbagai isu yang ditimbulkan dan berkongsi pengalamannya sebagai pendidik, pensyarah dan pentadbir. Ucapan beliau mencerminkan beliau seorang guru yang sangat komited dan sentiasa berusaha ke arah kecemerlangan. Inilah yang beliau harapkan kepada warga pendidik agar sentiasa komited dan seronok dengan tugas yang dijalankan agar mampu melonjak pencapaian pendidikan nusa dan bangsa. Majlis berakhir pada pukul 11.45 malam dalam suasana yang mesra dan penuh dengan motivasi.


English Version
On 11 April 2015 the Malay Teachers’ Union of West Malaysia, more popularly known as Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) had its meeting with Dato’ Hj Osman Hussain, the Director of the Penang State Education Department at Sunway Hotel, Seberang Jaya. The function which started at 9.00 pm was attended by Mr. Jasni Md Kechik who is the Assistant Secretary General of KGMMB, MrFawzy and wife representing Fawzy Agency as well as thirteen Penang PGMPPS/KGMMB committee members led by Tn. Hj. Juhari Mohamad who is its Deputy Chairman.

Tn. Hj. Juhari started the meeting by reciting the Al-Fatihah before proceeding  with a short welcoming speech. This was followed by a speech by En. Jasni Md Kechik. The meeting then continued with the dialogue session between the two parties. Among the key issues discussed was the proposed one-day education seminar which was presented by Dr. RoslanSaadon. Other pertinent matters raised by KGMMB members were the SIP+ and SISC+ issues  and the educational performance of the Malay students.

Dato Osman Husssain provided positive comments on the various issues raised and shared his vast experience as an educator, lecturer and administrator. His motivating speech illustrated his vast experience as a teacher and his commitment and drive towards excellence. He sincerely hoped that all teachers are dedicated and committed to their role in order to achieve global excellence. The meeting  ended at 11.45 pm.


Thursday 2 April 2015

KURSUS PENYEBARAN DSKP SEJARAH TAHUN 6

Dr. Roslan Saadon dan En. Abdul Jaleel Abdul Hakeem dari IPGK Pulau Pinang ditugaskan memberi kursus kepada 54 orang guru sejarah sekolah rendah di Kota Setar. Kursus berlangsung selama dua hari di SK Haji Ismail, Kuala Kedah dari 1 hingga 2 April 2015. Kedua-dua JUK ini dibantu oleh Pn. Hamizah, JU Negeri dan diselaras oleh Pegawai JPN dan PPD. Para peserta didedahkan dengan DSKP, pentaksiran, pelaporan, kajian kes, kemahiran berfikir dan sebagainya.




KURSUS JURULATIH KEBANGSAAN (JUK) SEJARAH TAHUN 6

En. Abdul Jaleel Abdul Hakim dan Dr. Roslan Saadon dari IPGK Pulau Pinang menghadiri Kursus JUK di Hotel Ibis Styles, Cheras, Kuala Lumpur. Kursus berlangsung dari 22 hingga 24 Mac 2015. Para peserta terdiri daripada pensyarah IPG dan guru-guru sejarah sekolah rendah. Para peserta didedahkan dengan Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP) Tahun 6 yang akan dilaksanakan pada tahun 2015. Para JUK akan dihantar menyampaikan taklimat mengenai DSKP tersebut bermula 1 April 2015 di Zon Utara Semenanjung dan Sabah. Kursus dikendalikan oleh Unit Sejarah, Bahagian Perkembangan Kurikulum, KPM.




MAJLIS PERSARAAN DATO' ROSLAN MADON


Cikgu Dato' Roslan Madon menamatkan tugas sebagai kakitangan kerajaan (Guru Besar) pada 13 Mac 2015. Satu majlis persaraan yang meriah dan gilang-gemilang diadakan di Hotel Flamingo, Ampang, Kuala Lumpur. KGMMB telah menghantar beberapa orang wakil terdiri daripada Pegawai Kanan diketuai Cikgu Dato' Mohamed Sabri, Presiden KGMMB.




SUMBANGAN PASCA BANJIR PGMPPS/KGMMB PULAU PINANG


Rombongan PGMPPS/KGMMB Pulau Pinang diketuai oleh Tn. Hj. Juhari Mohamad Nor menyampaikan sumbangan pasca banjir kepada 4 buah sekolah di Kelantan. Majlis penyampaian sumbangan dijalankan di SMK Kota Bharu pada 8 Mac 2015, jam 10.00 pagi. Sumbangan tersebut diserahkan oleh Tn. Hj. Juhari kepada Pengetua dan Guru Besar SMK Kota Bharu; SMU Nurul Ihsan, Kandis, Bachok; SK Gong Dermin dan SK Kampung Laut, Tumpat. Setiap sekolah menerima sumbangan sebanyak RM2,500.00. Majlis berlangsung di SMK Kota Bharu, di bawah kelolaan Pn. Hjh. Dalilah selaku pengetua sekolah tersebut yang bertindak sebagai tuan rumah. Turut hadir Dato' Amran Ghani, Pengerusi KGMMB Kelantan dan Tn. Hj. Che Zahari Mustapha.