Tuesday 11 October 2016

CIKGU MOHAMAD NOR AHMAD

Cikgu Mohamad Nor Ahmad


Latar Belakang dan Pendidikan

Cikgu Mohamad Nor dilahirkan di Pulau Pinang pada 2 November 1911. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Gopeng bermula pada tahun 1918. Pada tahun 1923, beliau belajar di Sekolah Melayu Chowrasta, Pulau Pinang dan pada tahun 1925, beliau bersekolah di Sekolah Sungai Gelugor hingga tamat darjah empat. Beliau mendapat pendidikan yang lebih tinggi di Sultan Idris Training College (SITC), Tanjung Malim, Perak pada tahun 1929. Pada tahun 1931 Cikgu Mohamad Nor menamatkan pengajian di SITC dengan mendapat kelulusan Pangkat II. Bagi memantapkan lagi diri dengan pengetahuan dan kemahiran, Cikgu Mohamad Nor melanjutkan latihan mengajar Pendidikan Jasmani selama setahun pada tahun 1932.

Perkhidmatan Sebagai Kakitangan Awam
Perkhidmatan bermula sebaik sahaja beliau menamatkan pengajian di Sekolah Melayu Gelugor. Beliau terpilih untuk mengajar di sekolah tersebut sebagai guru pelatih. Pada tahun 1929, Cikgu Mohamad Nor berjaya melanjutkan pelajaran ke SITC. Selepas tamat pengajian di SITC, beliau ditempatkan di Sekolah Melayu Chowrasta sebagai guru penolong pada tahun 1933. Sebagai seorang guru yang berketrampilan dan mahir dalam ilmu pertukangan, beliau telah dilantik sebagai Guru Pelawat setahun kemudian. Beliau menjadi Guru Pelawat bagi mata pelajaran Pertukangan Tangan dan Senaman bagi sekolah-sekolah Melayu di Pulau Pinang dan Seberang Perai.
Pada tahun 1941, Jepun menakluki Tanah Melayu dan bermulalah pemerintahan Jepun. Kegiatan pendidikan berterusan dan Cikgu Mohamad Nor telah dilantik sebagai guru bahasa Jepun di Sekolah Kebangsaan Jelutong dan kemudiannya dinaikkan pangkat sebagai Guru Besar  Sekolah Jepun di Titi Papan. Bagi memantapkan lagi penguasaan dan kemahiran dalam pendidikan Jepun, beliau dihantar ke Maktab Jepun di Singapura pada tahun 1944 selama enam bulan. Setelah tamat kursus, Cikgu Mohamad Nor ditempatkan di Sekolah Menengah Pyket Avenue, Pulau Pinang sebagai Guru Besar dan kemudiannya sebagai Penolong Pengetua Maktab Perguruan Harian Jepun.
Selepas kekalahan Jepun, beliau kembali memegang jawatan asalnya iaitu Guru Pelawat Pekerjaan Tangan dan Senaman pada tahun 1945. Penguasa Pelajaran Tanah Melayu telah mengarahkan beliau melawat semua maktab dan sekolah di Tanah Melayu. Beliau ditugaskan untuk mengkaji mata pelajaran Pekerjaan Tangan di sekolah rendah. Justeru, dari usaha tersebut terhasillah sebuah buku kecil sebagai panduan mata pelajaran Pekerjaan Tangan untuk sekolah rendah. Buku tersebut diterbitkan oleh Pejabat Karang Mengarang Kerajaan. Cikgu Mohamad Nor menamatkan perkhidmatan perguruannya pada 31 Disember 1961 apabila beliau secara rasmi bersara.
  
Kepimpinan Dalam Persatuan dan Kesatuan
            Cikgu Mohamad Nor Ahmad merupakan seorang ahli persatuan yang sangat aktif. Pada 4 Ogos 1934 beliau telah dilantik sebagai Penolong Setiausaha PGMPPJ dan mulai 2 Ogos 1935 dilantik sebagai Setiausaha sehingga tahun 1949. Pada 21 Disember 1936, Cikgu Mohamad Nor terlibat dengan pengasasan Majalah Guru bagi Pulau Pinang. Beliau terlibat dengan kerja-kerja penerbitan majalah tersebut di Pulau Pinang sehingga tahun 1942. Pada 27 Februari 1948, beliau dilantik sebagai Naib Yang Dipertua PGMPPS dan seterusnya memegang jawatan Yang Dipertua bermula Jun 1949 hingga Disember 1961.
Persatuan yang sama seperti PGMPPS ini juga muncul di negeri-negeri lain seperti Kedah, Perak, Selangor dan Negeri Sembilan. Pada 14 April 1946, persatuan-persatuan ini bersatu dan membentuk Kesatuan Persekutuan Guru Melayu Semenanjung (KPGMS). Cikgu Mohamad Nor terlibat dan merupakan antara tokoh penting dalam pengasasan KPGMS. Atas kebolehan dan komitmen, KPGMS memberikan tanggungjawab yang berat kepadanya untuk memimpin Majalah Guru. Beliau dilantik sebagai Ketua Pengarang pada 1 Januari 1950. Komitmen beliau semakin mendapat pengiktirafan dan kepercayaan ahli. Pada 23 September 1954, Cikgu Mohamad Nor  dilantik sebagai Naib Yang Dipertua KPGMS sebelum memegang tampuk kepimpinan sebagai Yang Dipertua Agung pada 15 Julai 1955.


Mesyuarat Agung KGMPPS 1957


Penglibatan Dalam NGO Peringkat Negeri
Selepas bersara dari jawatannya sebagai kakitangan kerajaan, Cikgu Mohamad Nor tidak mendiamkan dirinya. Selaku orang yang sentiasa aktif, beliau memegang beberapa jawatan yang diberikan kepadanya. Antaranya ialah sebagai Jemaah Pengampunan Negeri dan Jaksa Pendamai pada tahun 1969. Pada tahun 1970 pula, beliau dilantik sebagai anggota Jemaah Mengkaji Banduan di Jel dan Pulau Jerejak, Pulau Pinang. Pada tahun 1972, Cikgu Mohamad Nor dilantik sebagai Pelawat Rumah Sakit Besar Pulau Pinang. Pada tahun 1979,  beliau memegang beberapa jawatan penting di Pulau Pinang seperti Ahli Jawatankuasa Pesta Pulau Pinang, Pengerusi Jemaah Pengurus Sekolah Menengah Gelugor, Pengerusi Jemaah Pengurus Sekolah Kebangsaan Gelugor dan Pengerusi Qariah Masjid Taman Brown, Gelugor, Pulau Pinang. Nama beliau juga amat penting dalam pertubuhan UMNO Pulau Pinang kerana beliau merupakan salah seorang pengasasnya. UMNO Pulau Pinang diasaskan pada tahun 1946 dan beliau merupakan Pegawai Penerangan UMNO Negeri. Semangat kemelayuan Cikgu Mohamad Nor amat tinggi. Pada 15 April 1957, beliau telah menentang cadangan pelantikan Lin Yu Ko sebagai Gabenor Pulau Pinang. Beliau beranggapan bahawa jawatan Gebenor perlu diisi oleh orang Melayu.
Pada 14 Mei 1965 beliau mengasaskan Badan Bertindak Bahasa Kebangsaan Pulau Pinang. Beliau diangkat menjadi Ketua I badan tersebut sehingga 1966. Seterusnya pada bulan Jun 1972 menyandang jawatan Yang Dipertua Persatuan Melayu Pulau Pinang (PEMENANG). Beliau juga berperanan mengasaskan penubuhan Persatuan Penulis Nasional Pulau Pinang dan memegang jawatan Ketua I sehingga Disember 1972.

Peranan dan Perjuangan di Peringkat Kebangsaan
Peranan Cikgu Mohamad Nor tidak terhad di peringkat negeri sahaja. Beliau memainkan peranan yang sangat penting dan aktif di peringkat kebangsaan. Pada bulan Ogos 1956, Cikgu Mohamad Nor dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Pelajaran Persekutuan Tanah Melayu. Pada tahun berikutnya dilantik pula sebagai Ahli Jawatankuasa Ejaan dan kemudian membantu kerajaan mengkaji dasar pelajaran apabila dilantik menjadi Ahli Jawatankuasa Mengkaji Semula Dasar Pelajaran 1956. Beberapa bulan kemudian dalam tahun yang sama beliau telah terlibat sebagai Ahli Jawatankuasa Perundingan Ejaan dengan Indonesia yang berlangsung di Jakarta.
Peranan paling penting dan paling bermakna yang dimainkan oleh Cikgu Mohamad Nor adalah menjadi teraju utama dalam mendaulatkan bahasa Melayu. Pada tahun 1958, beliau mengetuai rombongan KPGMS untuk bertemu Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu bagi membincangkan tentang pelaksanaan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di sekolah menengah. Usaha tersebut mendapat tentangan daripada Tunku Abdul Rahman. Beliau mengugut jika tidak dilaksanakan perkara tersebut maka para guru yang berada di dalam UMNO akan keluar secara beramai-ramai. Apabila pihak kerajaan kekal dengan keputusan tidak mahu melaksanakan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam sistem pendidikan negara, Cikgu Mohamad Nor dan pengikutnya telah keluar dari UMNO pada 31 Januari 1958. Kesannya, Tunku Abdul Rahman bersetuju dengan tuntutan KPGMS membentuk dan melaksana sistem persekolahan menengah menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar.


Surat Tunku Abdul Rahman Kepada Cikgu Mohamad Nor Ahmad


Pada 23 April 1962, beliau diterima semula sebagai ahli UMNO. Beliau dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa UMNO Negeri. Pada 15 April 1963 beliau dilantik sebagai Pegawai Penerangan Perikatan Negeri dan mulai 17 Ogos 1966 menjadi Timbalan Ketua UMNO Pulau Pinang. Hal ini menunjukkan bahawa beliau merupakan seorang tokoh yang berpengaruh dan mendapat kepercayaan ahli. Walaupun perjuangan UMNO cuba memartabatkan bahasa Melayu, namun pelaksanaannya tidak seperti yang dimatlamatkan. Tanpa mempedulikan jawatannya dalam UMNO, beliau mengambil keputusan membantah Undang-undang Bahasa yang dikeluarkan oleh kerajaan. Kesannya, pada 7 Mac 1967 beliau digantung daripada memegang jawatannya. Penggantungan tersebut berjalan sehingga 15 Mac 1972 apabila beliau diterima semula menyertai UMNO.

Penghargaan dan Anugerah
Cikgu Mohamad Nor Ahmad merupakan seorang tokoh yang banyak berjasa kepada profesion, masyarakat dan negara. Pada tahun 1961 beliau diianugerah Bintang Emas Kelas Pertama daripada KGMMB Pulau Pinang dan pada 1975 dianugerahi Bintang Emas KGMMB. Pada tahun 1975 juga beliau menerima anugerah Bintang Emas Tokoh Guru Malaysia dan Pingat Ahli Mangku Negara (AMN) daripada Yang Dipertuan Agung. Seterusnya menerima dua lagi pingat pada tahun 1979 iaitu Bintang Johan Negeri (DJN) daripada Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang dan Bintang Kesastria Mangku Negara (KMN) daripada Yang Dipertuan Agung. Cikgu Mohamad Nor juga mendapat pengiktirafan daripada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan dinobatkan sebagai Pejuang Bahasa pada tahun 1980. Pada tahun yang berikutnya Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri Pulau Painang telah menganugerahi beliau Bintang Darjah Setia Pangkuan Negeri (DSPN) yang membawa gelaran Dato’. Begitulah adanya orang yang berjasa, sentiasa dikenang dihargai bangsa. Pada tahun 1985, Suluh Budiman SITC pula mengangkat beliau sebagai Tokoh Pendidik. Sebanyak mana dan setinggi mana pingat diterima, namun jasa yang ditabur tidak ternilai harganya. Usahanya telah berjaya memartabatkan bangsa dan profesion keguruan. Sebagai tanda penghargaan dari pihak kerajaan, sebuah sekolah di Taman Brown, Gelugor, Pulau Pinang dinamakan sempena nama beliau iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Hj. Mohamed Noor Ahmad. 

No comments:

Post a Comment