Tuesday, 16 February 2016

MESYUARAT PELAKSANAAN FORUM REMAJA

Mesyuarat yang berlangsung pada 16 Februari 2016, jam 9.00 pagi di Dewan Bahasa & Pustaka, Kuala Lumpur itu dihadiri oleh wakil-wakil Jabatan Pendidikan Negeri, wakil DBP Zon dan Pegawai DBP Pusat serta KGMMB dan Persatuan Linguistik Malaysia. Dato' Mohamed Sabri Mohd Arsad dan Dr. Roslan Saadon hadir mewakili KGMMB.


Dalam mesyuarat tersebut, pihak DBP memohon KGMMB membantu meningkatkan sumbangan selaku pengelola bersama. Kebetulan pada tahun ini peruntukan untuk aktiviti pelajar amat terhad dan bantuan KGMMB amat diperlukan. Secara dasar KGMMB bersetuju meningkatkan kadar sumbangan dan akan memanjangkan kepada cawangan agar membantu pengelolaan di peringkat negeri dari segi kewangan dan tenaga.

Dalam mesyuarat tersebut pihak DBP juga memaklumkan bahawa Piala Forum Remaja baharu yang disumbangkan oleh KGMMB mengalami kerosakan. Bahan yang digunakan untuk piala tersebut kurang baik dan mudah mengelupas. Oleh kerana itu bagi Pertandingan Akhir 2015, pihak penganjur terpaksa menggunakan piala yang lama. Justeru, Dato' Mohamed Sabri selaku Presiden KGMMB membuat ketetapan akan membantu menyelesaikan perkara tersebut. KGMMB akan cuba menyediakan piala baharu yang lebih berkualiti dan tahan lama.

TAKLIMAT PENSKORAN SKPM


KGMMB dijemput menghadiri Taklimat Penskoran Standard Kualiti Pendidikan Malaysia (SKPM) pada 12 Februari 2016, jam 9.00 pagi di KPM, Putrajaya. Taklimat disampaikan oleh Ketua Nazir dan para Pegawai Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti (JNJK). Pelbagai kesatuan dan persatuan guru dijemput menghadiri taklimat tersebut. KGMMB menghantar 6 orang wakil iaitu Tn. Hj. Atan Nordin, En. Abu Bakar RA Abdullah, En. Jasni Md. Kechik, En. Masron dan Dr. Roslan Saadon. Taklimat diselang-seli dengan dialog dan sebarang pertanyaan daripada perwakilan yang hadir.


Saturday, 6 February 2016

DIALOG ISU SEMASA WARGA PENDIDIK

Dialog Isu Semasa Warga Pendidik berlangsung di Bilik Mesyuarat Khas1, Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya pada 18 Januari 2016 bermula jam 2.30 petang. Majlis tersebut dipengerusikan oleh Dato' Shahlan Ismail, Pengarah Bahagian Dasar, Penyelidikan dan Perancangan Strategik, Jabatan Perdana Menteri. Pelbagai wakil pertubuhan warga pendidik dijemput antaranya KGMMB, KGLM, MGB, Majlis PPD, Persatuan Pensyarah IPG, Persatuan Pesara Guru dan sebagainya. 


Dato' Shahlan membuka majlis dengan mengemukakan beberapa isu semasa yang memerlukan perhatian dan kerjasama warga guru terutama yang berkaitan ekonomi dan politik negara. Seterusnya Dato' Mohamaed Sabri selaku ketua delegasi warga pendidik yang juga Presiden Kongres memberikan pandangan dan mengemukakan beberapa isu penting. Antara isu yang ditimbulkan oleh beliau ialah Dual Language Program (DLP) yang dilaksanakan mulai 2016 oleh KPM. Pelbagai isu lain ditimbulkan oleh badan-dan lain antaranya pertukaran guru, kenaikan pangkat, kebajikan guru dan sebagainya. Namun isu utama yang menjadi pokok perbincangan yang juga disentuh oleh Persatuan Pengetua Malaysia dan Persatuan Guru Bersara ialah DLP. KGMMB menghantar beberapa orang wakil iaitu Dato' Hj. Jamaludin Jali, En. Mohd Said Hussain, En. Jasni Md Kechik dan Dr. Roslan Saadon. Pada penghujung pertemuan, wakil Gapena menyerahkan buku DLP kepada Dato' Shahlan.

Friday, 15 January 2016

MAJLIS PERUTUSAN TAHUN BAHARU 2016


Majlis Perutusan Tahun Baharu 2016 warga Kementerian Pelajaran Malaysia berlangsung di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 12 Januari 2016 (Selasa) bermula jam 8.30 pagi dan berakhir pada jam 12.00 tengahari. Perutusan disampaikan oleh YB Dato' Seri Mahadzir Khalid, Menteri Pelajaran Malaysia. 


KGMMB menghantar beberapa orang wakil diketuai oleh Dato' Hj. Mohamed Sabri Hj. Mohd Arsad, Presiden KGMMB. Pegawai Kanan KGMMB yang hadir antaranya Dato' Jamaluddin Jali, Dato' Amran Ghani, Hj. Atan Nordin, En. Mohd Said Hussin, En. Ahmad Nawawi Shaari, En. Jasni Md Kechik, En. Abu Bakar RA Mohd Abdullah, En. Kamarul Isam Isa, Hj. Masron Muhammad dan Dr. Roslan Saadon.


Antara intipati penting ucapan YB Menteri Pelajaran ialah penerusan PBS, cadangan mengkaji meniadakan UPSR, beban tugas guru, mengurangkan sistem online, sarana ibu bapa, lantikan PGB tanpa NPQEL, kelestarian alam sekitar, MBMMBI dan sebagainya. Satu pembaharuan yang dibuat oleh Menteri Pelajaran dalam perutusan tersebut ialah berucap tanpa rostrum dan teks. Beliau menyampaikan amanat secara santai dan berjaya menarik tumpuan audiens. Majlis perutusan diakhiri dengan jamuan makan tengahari.





Tuesday, 12 January 2016

SEMINAR MULTAQA ANTARABANGSA


Seminar Multaqa Serantau 2015 berlangsung di Hotel Grand Season, Kuala Lumpur pada 16 hingga 18 Disember 2015. Seminar tersebut dianjurkan oleh Persatuan Alumni Universiti al-Azhar. KGMMB diwakili oleh Dato' Mohamed Sabri Hj. Mohd Arsad, Presiden KGMMB dan Dr. Roslan Saadon, Naib Presiden KGMMB. Kertas kerja dibentangkan oleh pembentang dari dalam dan luar negara. Satu daripada peranan seminar tersebut adalah usaha untuk menyatukan dua parti politik besar negara iaitu UMNO dan PAS.






Sunday, 13 December 2015

MAJLIS RATIB PUISI


Majlis Ratib Puisi berlangsung pada 27 November 2015, jam 9.00 malam di Rumah Gapena, Kuala Lumpur. Pada sebelah petangnya bermula jam 5.00 satu forum bersama Media diadakan. Forum yang berkisar tentang Penolakan Dual Language Program (DLP) tersebut melibatkan Dato' Wira Abdul Latif Abu Bakar, Ketua 1 Gapena; SN Baha Zain; Dato' Abdul Raof Hussin, Presiden PPPPPM; dan wakil-wakil Media. Forum dipengerusikan oleh Dato' Zainal Abidin Borhan, Ketua II Gapena. 

Wakil KGMMB yang turut sama dalam sesi media tersebut ialah Dr. Roslan Saadon dan Tn. Hj. Atan Nordin. Selain daripada pandangan dan ulasan ahli panel forum, para tetamu juga dijemput memberikan pendapat dan pandangan. Dr. Roslan Saadon mewakili KGMMB bercakap tentang kepentingan dan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan, bahasa ilmu dan bahasa rasmi negara. sejarah juga memperlihatkan bagaimana bahasa Melayu berjaya mengangkat martabat bangsa dan mengubah lanskap sosio-ekonomi bangsa.

Wakil KGMMB yang hadir pada sebelah malam ialah Dato' Mohamed Sabri Mohd Arsad selaku Presiden KGMMB, En. Ahmad Nawawi Shaari dan En. Jasni Md Kechik. Pada malam itu juga, KGMMB menyerahkan cek bernilai RM10,000.00 kepada Badan Bertindak Kami Bantah DLP oleh Presiden KGMMB.

KONVOKESYEN IPGM DISEMBER 2015


Majlis Konvokesyen IPGM Disember 2015 telah diadakan mulai 7 hingga 12 Disember 2015 di MAEPS, Serdang, Selangor. Hampir 8000 orang graduan hadir untuk menerima ijazah mereka. Graduan merupakan para guru yang berjaya menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Pogram Pensiswazahan Guru (PPG) bagi Ambilan 2011. Graduan IPG Kampus Pulau Pinang yang terlibat adalah seramai 380 orang. 


Beberapa orang pensyarah dan staf pelaksana IPGKPP terlibat dalam menguruskan pendaftaran para graduan kampus sendiri. Mereka yang terlibat ialah En. Nordin Sadali (Pengurusan Jubah), En. Ishak Ayub (KU Peperiksaan), En. Kamil Nusuruddin (HEP), Cik Nurulizzah Abu Bakar (Peperiksaan/LO), En. Abu Zaki (LO & Taklimat), En. Mahfuz dan En. Mohd Sayuthi (Jubah/Am) serta Dr. Roslan Saadon selaku Setiausaha Konvokesyen institut.