Thursday 23 February 2017

MESYUARAT PENYELARASAN AKTIVITI KOAKADEMIK BAHASA MELAYU PERINGKAT KEBANGSAAN


Mesyuarat berlangsung pada 21 Februari 2017 di Bilik Mesyuarat Tun Perak, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur melibatkan Dewan Bahasa dan Pustaka, Kementerian Pendidikan Malaysia, Jabatan Pelajaran Negeri, KGMMB dan Persatuan Linguistik Malaysia. KGMMB diwakili oleh Dato' Mohamad Sabri Mohd Arsad, Presiden KGMMB dan Dr. Roslan Saadon, Naib Presiden 1. Selain daripada membincangkan penyelarasan aktiviti, mesyuarat banyak membicarakan tentang masalah kewangan dan peruntukan.


Sebagai sebuah organisasi yang kuat mempertahankan bahasa Melayu, KGMMB sangat prihatin dan cuba memastikan program bahasa terutama Forum Remaja berjalan lancar. Sebagaimana biasa KGMMB akan menaja hadiah untuk Pertandingan Forum Remaja sebanyak RM11,400.00. KGMMB juga akan menaja Trofi Forum Perdana baharu untuk pertandingan peringkat kebangsaan dan 14 trofi untuk peringkat negeri. Pihak JPN juga boleh memohon peruntukan sebanyak RM2,500.00 dari KGMMB Cawangan dengan syarat pertandingan dijalankan, kertas kerja disediakan dan wakil KGMMB dijemput menyertai pertandingan sebagai hakim atau tetamu. 

Dalam mesyuarat tersebut, pihak urusetia juga memohon peruntukan hadiah untuk Pertandingan Drama KOMSAS Peringkat Kebangsaan. Presiden memaklumkan bahawa permohonan tersebut boleh dipertimbangkan dengan syarat pihak urusetia menyediakan maklumat yang lengkap dan memohon secara rasmi. Permohonan tersebut akan dibawa ke dalam Mesyuarat MJKA KGMMB untuk kelulusan. Pada waktu minum pagi berlaku pertemuan dan perbincangan dengan pihak Syarikat Permainan Malaysia (SPM), KGMMB bercadang untuk menganjurkan Pertandingan Sahibba Jawi dan tugas tersebut diserahkan kepada Pulau Pinang. Pihak DBP Zon Utara juga telah bersetuju untuk bekerjasama menganjurkannya. Pihak SPM akan menyediakan peralatan, hadiah dan khidmat nasihat yang diperlukan.


No comments:

Post a Comment