Sunday 26 February 2017

PERTEMUAN GURU NUSANTARA (PGN) CETUSAN IDEA KGMMB

PENDAHULUAN
Petemuan Guru Nusantara (PGN) merupakan aktiviti dwitahunan yang dijalankan secara bergilir-gilir oleh negara yang terlibat iaitu Malaysia, Indonesia, Singapura dan Brunei Darussalam. (Kertas Kerja Pertemuan Guru-guru Nusantara Ke-10, KGMMB, 2004) Usaha menyatukan kesatuan guru di Nusantara dalam satu program yang dinamakan Pertemuan Guru-guru Nusantara ini merupakan cetusan idea Kesatuan Guru-guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB). Pada tahun 1982, KGMMB berjaya mendapat sokongan dan persetujuan tiga kesatuan guru di Nusantara iaitu Kesatuan Guru-guru Melayu Singapura (KGMS), Persatuan Guru-guru Melayu Indonesia (PGRI) dan Persatuan Guru-guru Melayu Brunei Darussalam (PGGMB). (Presiden KGMMB,(t.t.), Sejarah Perjuangan Guru Melayu, hlm. 12). Program PGN  melibatkan aktiviti pembentangan kertas kerja, forum, persembahan kebudayaan dan lawatan sambil belajar.


Dato' Mohamad Sabri, Presiden KGMMB sedang membentangkan
kertas kerja di PGN Ke-16 di Singapura pada tahun 2015


HARAPAN MURNI PGN
Objektif Pertemuan Guru-guru Nusantara ini secara umumnya terbahagi tiga iaitu:
  • Mempertemukan negara-negara anggota untuk bertukar-tukar fikiran dalam bidang bahasa Melayu atau bahasa Nusantara.
  •  Mengesan dan membincangkan masalah-masalah bahasa yang dihadapi oleh guru-guru Nusantara dan seterusnya mencuba menggariskan ke arah kajian untuk mengatasi masalah.
  • Mewujudkan kerjasama antara organisasi-organisasi guru di Nusantara. (Pertemuan Guru-guru Nusantara, PGGMB,1987, hlm. 6) 

Justeru, pelbagai aktiviti disusun dalam setiap pertemuan agar hasrat tercapai. Maka, setiap negara penganjur dengan kerjasama negara-negara yang terlibat akan memastikan berlangsungnya pembentangan kertas kerja, forum, persembahan kebudayaan dan sebagainya. PGN pertama berlangsung pada 24 November 1983 di Singapura. Pertemuan tersebut berjaya mengeratkan silaturrahim dan mewujudkan kerjasama dalam bidang pendidikan dan bahasa. Pertemuan kedua pula dijalankan dua tahun kemudian iaitu pada 22 Disember 1985 di Bandar Seri Begawan, Brunei Darussalam. Daripada pertemuan tersebut tercetuslah beberapa rumusan, antaranya:

  • Bahasa Nusantara berasal daripada bahasa Melayu dan mampu menghubungkan semua penduduk di Nusantara.
  • Bangsa Nusantara mengalami pertumbuhan dan perkembangan di negara masing-masing sesuai dengan pola kebudayaan yang mencerminkan keperibadian masing-masing.
  • Bahasa Melayu Nusantara pula dibina dan dikembangkan di negara masing-masing bagi membentuk keutuhan dan sebagai bangsa berdaulat.
  • Perlu ditingkatkan kerjasama dalam kalangan guru-guru bahasa Nusantara dalam bidang bahasa. (Penyata Tahunan KGMMB/PGMPPS, 1 September 1986, hlm. 29)

Pertemuan Guru-guru Nusantara ke-3 berlangsung pada 12 Disember 1987 di Jakarta. Pada 9-10 Disember 1988, Malaysia menjadi tuan rumah bagi pertemuan ke-4 yang berlangsung di Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur. Seramai kira-kira 300 orang telah menghadiri majlis tersebut. Dalam ucapan perasmian, YB En. Anuar Ibrahim telah menyarankan:

  •  Bahasa Melayu tidak dianggap ketinggalan berbanding perkembangan pesat ilmu-ilmu baru. 
  •  Pemimpin politik perlu melihat perkembangan bahasa dari kacamata rantau Melayu Nusantara.
  • Sistem pendidikan perlu bersifat dinamik dan berani membuat perubahan. (Suara Guru, Oktober 1989, hlm. hlm. 4)

Pertemuan pada kali ini menghasilkan satu tekad dalam kalangan anggota gabungan. Terdapat lima tekad yang dirumuskan dalam perjumpaan tersebut, iaitu:

  • Bahasa Melayu adalah lingua franca masyarakat Nusantara. Latar belakang sejarah dan hubungan antara Nusantara dengan negara lain merupakan bukti.
  • Bahasa Melayu merupakan bahasa pengantar di semua peringkat pendidikan dan ilmu pengetahuan. Bahasa rasmi pemerintah di Brunei, Darulsalam, Indonesia dan Malaysia. 
  • Kami guru-guru Nusantara mendokong penuh penggemblingan budaya ilmu melalui bahasa dan menjunjung tinggi usaha kea rah memantapkan bahasa Melayu Nusantara.
  • Kami guru-guru Nusantara akan bekerjasama memajukan pendidikan bahasa Melayu sebagai teras ilmu di negara masing-masing dan bekerjasama dengan pemerintah merencanakan kurikulum pendidikan bahasa. Rumpun bahasa Melayu harus mempunyai keyakinan bahawa Melayu sanggup menggantikan bahasa Inggeris sebagai bahasa antarabangsa
  • Adalah menjadi tanggungjawab bersama antara para pendidik Nusantara dengan pemerintah masing-masing menggembling tenaga memelihara dan memupuk warisan tradisi Nusantara.
  • Kami dengan ini mencapai kata sepakat membentuk sekretariat guru-guru Nusantara untuk melaksanakan perkara-perkara di atas. (Suara Guru, Oktober 1989)


Presiden PGMMB, KGMS, PGRI dan KGMMB menandatangani
Resolusi PGN di Sanur-Bali, Indonesia tahun 2012


Kebelakangan ini PGN tidak berlangsung secara dwitahunan tetapi dijalankan hampir setiap tahun. Hal ini kerana setiap negara anggota PGN juga terlibat dengan seminar Matematik & Sains yang berlangsung pada setiap tahun. Justeru, PGN dilangsungkan pada tarikh yang hampir sama dengan acara tersebut. PGN Ke-13 diadakan pada 27 hingga 29 Februari 2012 di Bandar Seri Begawan, Brunei Darussalam; PGN Ke-14 pada 9 hingga 11 Disember 2012 di Sanur Bali, Indonesia; PGN Ke-15 pada 19 hingga 20 September 2014  di Pulau Pinang, Malaysia dan PGN Ke-16 pada 4 hingga 5 September 2015 di Downtown East, Singapura.

Ketika PGN berlangsung di Malaysia pada tahun 2014, diskusi dan pembentangan melibatkan pembentangan kertas utama dan pembentangan selari. Kertas utama dibentang oleh para pemimpin delegasi negara terlibat dan Rektor Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM). Manakala pembentangan selari melibatkan para pensyarah, guru-guru dan para pelajar. Sebanyak 30 kertas kerja dibentangkan dan 22 kertas kerja dimuatkan dalam prosiding seminar.

PGN yang berlangsung di Singapura pada tahun 2015 menyaksikan satu pembaharuan apabila Singapura membentuk Laman Web PGN. Singapura melancarkan Laman Sesawang yang dibina untuk kepentingan negara-negara anggota. Semua negara terlibat boleh menggunakan laman web tersebut dan juga boleh menyumbangkan dan berkongsi maklumat dengan menyerahkannya kepada pihak Singapura. Majlis pelancaran tersebut berlangsung pada 4 September 2015, jam 8.30 malam di Dewan NUPC, Downtown East, Singapura sempena majlis makan malam.

IMPAK

Setakat mana perjuangan guru Melayu Nusantara ini berimpak, terlalu subjektif untuk dijawab. Namun, setidak-tidaknya usaha yang dibuat menunjukkan bahawa guru-guru Nusantara ini masih kuat berpegang dengan jati diri bahasa mereka. Mereka mahu bahasa Melayu yang menjadi lingua franca satu ketika dahulu terus dikekalkan dan dimartabatkan di Nusantara. Mereka tidak menolak kepentingan bahasa Inggeris sebagai bahasa antarabangsa tetapi Nusantara perlu kekal dengan bahasa Melayu sebagai teras identiti Nusantara. Bahasa Melayu terbukti sebagai bahasa ilmu dan berjaya mendidik anak bangsa menjadi warga berilmu.

PGN juga dilihat mampu menjadi wadah menyalur fahaman dan pengertian perpaduan dan toleransi antara negara-negara yang terlibat. Kepelbagaian budaya, adat resam dan agama perlu dihormati.

No comments:

Post a Comment