Friday, 4 January 2013

NENEK MENINGGAL DUNIA


Nenda Biah bt Jambol, ibu kepada ayahku meninggal dunia pada 3 Januari 2013, jam 9.30 pagi. Nenek lahir pada 4 Jun 1926 dan meninggal dunia di terataknya di KM 26, Jalan Batu Gajah, 77300 Merlimau, Melaka. Beliau lumpuh sejak 3 tahun yang lalu dan meninggal dunia akibat sakit tua. Aku tidak berpeluang berjumpa nenek sebelum dikebumikan. Dari Penang ke Melaka mengambil masa yang lama dan apabila sampai nenek sudah dikebumikan. Nenek pergi selepas melihat pak udaku anaknya yang ketiga, mak cikku anaknya yang kesembilan, suaminya iaitu datukku (Awab bin Ahad) dan bapaku (Saadon Awab) pergi meninggalkannya terlebih dahulu. Sesungguhnya pemergian nenek amat aku rasai. Paling akhir aku melihat nenek pada Aidil Fitri yang lalu. Nenek kurus sangat dan sudah kurang bercakap seperti dulu. Nenek juga sudah tidak mengenali diriku. 

Ketika kami kecil, nenek merupakan seorang penglipur lara. Banyak cerita yang didendangkan untuk kami antaranya cerita binatang, cerita jenaka, cerita hikayat dan sebagainya. Nenek juga seorang yang mahir menganyam tikar. Pelbagai kelarai tikar yang dihasilkannya. Ketika kecil, aku berpeluang mengikuti proses penghasilan tikar bermula dari proses mengambil daun mengkuang, merebus, mewarna, menjemur, meraut dan menganyam. Satu lagi kepakaran nenek adalah berpantun. Nenek suka berpantun dan banyak yang aku pelajari tentang pantun Satu lagi kerja nenek yang aku suka ikuti adalah penghasilan minyak kelapa. Kelapa dalam kualiti yang banyak diparut, diperah santannya dan dimasak sehingga menjadi minyak. Aku tidak menunggu minyaknya, tetapi aku menunggu tahi minyaknya. Ianya sedap dimakan. Nenek juga menggunakan masanya untuk meraut lidi. Nenek akan mengumpul daun kelapa, dibawa pulang dan diraut untuk dijadikan penyapu lidi. Semua yang nenek lakukan untuk tujuan membantu datuk mendapatkan sumber kewangan bagi meringankan tanggungan datukku. 

Segala yang dilakukannya untuk keluarga. Nenek sayang datuk dan anak-anaknya. Bila kami muncul, nenek juga sayangkan cucu-cucunya. Sepanjang hidup, nenek sentiasa berbakti kepada datuk dan keluarganya. Itulah kasih sayang dan keprihatinan seorang wanita yang bergelar isteri, ibu dan nenek. Kini tiada lagi cerita nenek, pantun nenek, latah dan leteran nenek. Tiada lagi asam pedas dan pindang lazat nenek. Kami akan sentiasa rindukan nenek. Semoga amal ibadat dan segala kebaikan yang nenek lakukan di dunia ini akan menjadi bekalan nenek di akhirat yang kekal abadi. 


Saturday, 29 December 2012

HIMPUNAN PELAJAR M4P 1985/87


Program yang bermakna ini berlangsung pada 22 Disember 2012, di Bilik Angsana, IPG Kampus Pulau Pinang bermula jam 10.00 pagi dan berakhir pada pukul 3.00 petang. Program ini diselaras oleh En. Jabaruddin dan dibantu oleh En. Roslan Saadon. Seramai 18 orang bekas pelajar hadir dan merasa amat seronok sekali kerana dapat bertemu dengan rakan-rakan yang terpisah sejak tamat pengajian pada Disember 1997. Majlis bermula dengan ucapan En. Jabaruddin selaku penyelaras program. Disusuli dengan penerangan daripada En. Roslan Saadon berkaitan sejarah dan perkembangan institut. Selepas itu kesemua yang hadir diberikan masa untuk bercakap mengenai pengalaman hidup. Majlis berakhir dengan jamuan makan tengahari di Payung.

Tuesday, 11 December 2012

MAJLIS MENANDATANGAN RESOLUSI PGN BALI

KGMMB, KGMS, PGGMB dan PGRI menandatangan resolusi PGN Bali 2012 di Inna Beach Resort, Bali pada 9 Disember 2012. Tn. Hj. Mohamad Sabri, Presiden KGMMB mewakili Malaysia menandatangan resolusi tersebut.  Turut dilangsungkan majlis penyerahan bendera sebagai simbolik Malaysia aaan menjadi tuan rumah PGN 2013.

Sunday, 9 December 2012

PERTEMUAN GURU-GURU NUSANTARA

Program menghimpunkan guru-guru dari Malaysia, Indonesia, Singapura dan Brunei berlangsung di Hotel Inna Grand Bali Beach, Sanur Bali-Indonesia dari 9 hingga 11 Disember 2012. Pada kali ini Indonesia menjadi tuan rumah dengan tema "Nilai Kemanusiaan Dalam Pembelajaran Mendorong Semangat Hidup Bersama Komunitas Nusantara". Pengisian program melibatkan pembentangan kertas kerja daripada setiap wakil negara terlibat, ucaptama daripada Ketua Umum PGRI, persembahan kebudayaan, pembentangan resolusi dan majlis menandatangan resolusi Bali 2012. En. Roslan Saadon mewakili KGMMB membentang kertas kerja bertajuk "Kerjasama Pendidikan di  Nusantara: Sejarah dan Perkembangan"

Tuesday, 4 December 2012

KURSUS PENGURUSAN KESATUAN

Kursus berlangsung pada 3 hingga 5 Disember 2012 di The Zone Regency Hotel, Johor Bharu. Pulau Pinang menghantar 3 wakil iaitu Tn. Hj. Saidin Rashid, Tn. Hj. Juhari Mohamad Nor dan En. Roslan Saadon. Kursus bertujuan mendedah dan memberi pengetahuan tentang pengurusan kesatuan. Input disampaikan oleh pegawai-pegawai JHEKS Johor.

Monday, 3 December 2012

PERASMIAN SEMINAR KAJIAN TINDAKAN


Seminar Kajian Tindakan program PGSR diadakan di Blok Akademik baru IPG Kampus Pulau Pinang mulai 3 hingga 4 Disember 2012. Tn. Hj. Khalid Hj. Ahmad, Pengarah  IPGKPP merasmikan majlis tersebut. Perasmian berlangsung pada 3 Disember 2012 jam 8.15 pagi di Dewan Kuliah A. Dalam ucapan tersebut, beliau menjelaskan akan kepentingan kajian tindakan dan pelajar perlu mengaplikasi kemahiran yang diterima apabila tamat pengajian nanti. Beliau juga memaklumkan suasana pengambilan guru sekarang tidak secara automaik. Guru yang keluar dari IPG sehingga Jun 2012 akan ditempatkan di sekolah pada sekitar 10,000 orang sahaja. Mereka yang mendapat keputusan yang baik akan diberi keutamaan.

SEMINAR KAJIAN TINDAKAN


Seminar Kajian Tindakan untuk pelajar PGSR berlangsung dari 3 hingga 4 Disember 2012 di Blok Akademik Baru. En. Roslan Saadon, Ustaz Rushaidi dan Ustazah Mahani menilai pembentangan pelajar Pengajian Islam. Seramai 24 orang terlibat dalam pembentangan ini. Pelajar PGSR PI ambilan Nov 2008 ini dibimbing menyediakan kajian tindakan oleh pensyarah dan kemudiannya dibentang sebelum menghantar laporan penuh. Secara keseluruhan, para pelajar dapat menguasai kemahiran dan aplikasi kajian tindakan. Kajian yang dijalankan menjadi asas kepada mereka untuk menghasilkan kajian-kajian yang lain.