Wednesday 19 August 2015

DIALOG PENYAMARATAAN KURIKULUM BAHASA MELAYU

Majlis dialog tersebut dijalankan di Bilik Mesyuarat Utama, Aras 6, Blok E8, Kementerian Pendidikan Malaysia, Putrajaya pada 18 Ogos 2015 (Selasa), jam 2.00 petang. Majlis tersebut dipengerusikan oleh Dato' Seri Hj. Khairi Hj. Awang, Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia. Para peserta terdiri daripada wakil pelbagai kesatuan guru, Pertubuhan Bukan Kerajaan, penggiat bahasa dan sastera, tokoh ilmuan, ahli akademik dan parti-parti politik. 


Y,Bhg Dato' Hj. Mohamed Sabri Hj. Md. Arsad, Presiden Kongres memberikan pandangan dan pendapat bahawa sudah sampai masanya kurikulum di SK dan SJK disamaratakan. Para pelajar perlu diberikan pendidikan yang sama rata dan tidak perlu dibezakan. Langkah yang dikemukakan oleh kementerian ini bertujuan untuk memantapkan penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan bukan Melayu. Permasalahan akan timbul tetapi usaha yang bersungguh-sungguh dan perancangan yang baik, akan memastikan hasrat murni kerajaan itu terlaksana. 


Dr. Roslan Saadon mewakili KGMMB juga memberikan pandangan dalam dialog tersebut. Bahasa Melayu termaktub dalam Perlembagaan Negara (Perkara 152) sebagai bahasa kebangsaan. Usaha mengangkat dan memartabat bahasa Melayu perlu disokong oleh semua pihak. Bahasa Melayu adalah bahasa pengantar pendidikan, bahasa komunikasi dan bahasa perpaduan. Bahasa Melayu penting sebagai satu identiti kebangsaan dan identiti bangsa Malaysia. Sememangnya masih terdapat sebilangan masyarakat Malaysia yang kurang fasih berbahasa Melayu. Hal ini berlaku kerana mereka tidak suka berkomunikasi dalam bahasa Melayu dan lebih mementingkan bahasa Inggeris. 


Antara yang turut memberikan pandangan dalam dialog tersebut ialah Ahli Parlimen MCA, ADUN Gerakan, beberapa orang pemimpin NGO bukan Melayu, wakil MGB, Prof. Datuk Wira Abdul Latiff Abu Bakar, Dato' Zainal Borhan, Prof. Datuk Teo Kok Seong, Prof. Emeritus Abdullah Hassan dan Pn. Padilah dari Dewan Bahasa dan Pustaka.


No comments:

Post a Comment