Sunday 30 June 2013

TEKS UCAPAN YANG DIPERTUA SEMPENA MESYUARAT AGUNG PERADABAN KALI KE-2



Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam 1Malaysia dan salam Peradaban.

Terlebih dahulu dipanjatkan kesyukuran ke-Hadrat Yang Maha Kuasa kerana dengan limpah kurnia-Nya, kita dapat bersama-sama menjayakan Mesyuarat Agung Dwitahunan Peradaban bagi kali ke-2. Peradaban ditubuhkan pada bulan Jun 2011 dan pada bulan Ogos 2011 mesyuarat agung pertama dijalankan. Dan pada hari ini mesyuarat agung kali ke-2 pula diadakan. Justeru saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua yang hadir. Berlebih-lebih lagi kepada Dr. Mohamad Fadzil Che Amat, Ketua Jabatan HEP, IPG Kampus Pulau Pinang yang sudi hadir bagi merasmikan majlis bagi pihak YB Hj. Muhamad Farid Hj. Saad, ADUN  Pulau Betong yang juga Penasihat Peradaban.

Pada kesempatan ini saya ingin merakamkan ucapan tahniah kepada Dr. Mohamad Fadzil kerana diberikan kepercayaan menjalankan tugas Timbalan Pengarah IPGKPP. Beliau merupakan ahli dan juga salah seorang ahli jawatankuasa Peradaban. Saya bagi pihak Peradaban amat bangga dengan pencapaian tersebut. Kita berdoa semoga dari menjalankan tugas sahaja, beliau akan diberikan peluang memangku jawatan tersebut dan seterusnya dilantik secara hakiki sebagai Timbalan Pengarah. Kebolehan, ketrampilan dan usaha yang dibuat membuktikan bahawa Dr. Muhamad Fadzil merupakan pilihan yang terbaik dan kita sentiasa mendoakan kejayaan beliau.

Saya juga ingin merakamkan tahniah kepada Penasihat Peradaban iaitu YB Sr Hj. Muhamad Farid Hj. Saad kerana berjaya mempertahankan kerusi DUN Pulau Betong. Kemenangan ini sudah dijangka. YB Muhamad Farid merupakan ADUN yang sentiasa bekerja keras untuk parti dan masyarakat setempat. Beliau mudah dihubungi dan sentiasa prihatin dengan masalah rakyat. YB Farid juga banyak membawa pembangunan dan perubahan khususnya di kawasan DUN beliau. Peradaban juga mendapat perhatian istimewa daripada beliau. Melalui sumbangan RM10,000.00 daripada beliau pada tahun 2011, kita berjaya menganjurkan banyak program. Peradaban merakamkan tahniah, terima kasih dan syabas kepada beliau atas kejayaan dan keprihatinan beliau. Kita berdoa semoga YB Farid sentiasa sihat, cergas dan cerdas dalam menjalankan tugas dan seterusnya membawa kejayaan kepada agama, bangsa dan negara.

Saya juga suka merakamkan tahniah kepada kita semua atas semua yang kita kecapi selama ini. Syukur alhamdulillah, pelajar Pengajian Sosial PISMP sudah sampai semester akhir. Tak lama lagi akan bertebaran ke serata ceruk tanah air untuk mendidik anak bangsa. Pelajar junior juga akan menyusul setahun lagi. Kita semakin berkembang dan mengecapi pelbagai kejayaan. Kita juga mengecapi pelbagai nikmat kurniaan Allah - udara, angin, alam sekitar, sihat, cergas, cerdas, seronok dan sebagainya. Bagi kakitangan kerajaan, pada bulan Julai ini akan menerima satu pergerakan gaji. Maklumat daripada Datuk Haji Jemali Paiman, Presiden Kongres (badan gabungan kesatuan guru), kakitangan kerajaan akan menerima kenaikan elaun – EKA, ITP dan COLA. Pada bulan Disember nanti bakal menerima sebulan bonus pula.

Peringatan saya semoga kita mengenepikan seketika hal-hal politik dan memberikan tumpuan kepada co-business kita. Marilah kita berusaha mengejar kecemerlangan. Kecemerlangan penting untuk membawa kita menjadi orang yang berjaya. Jika ramai di antara kita berjaya maka berjayalah bangsa kita. Ramai di antara anak-anak Melayu yang terkandas terutama dalam pelajaran apabila terlalu menumpukan kepada politik. Politik adalah satu persepsi. Persepsi tidak semestinya betul, dan ia juga tidak semestinya salah. Yang jelas, pelajaran dan kemahiran menentu masa depan kita. Lebih-lebih lagi kini persaingan menjadi semakin hebat. Namun, politik membentuk orang Melayu terpisah-pisah. Masing-masing aliran menganggap mereka betul dan bakal membentuk negara yang ideal. Tuduh-menuduh berlangsung sehinggakan perkara-perkara yang berkaitan dengan perlembagaan, hak istimewa orang Melayu dan kedaulatan raja-raja Melayu dianggap remeh.

Perbezaan politik membuatkan kita orang Melayu terlalu ekstrim dan mengenepikan perkara yang lebih besar. Perpaduan Melayu dan Islam terketepi hanya semata-mata berbeza idealogi. Kita bermusuh-musuhan sedangkan beragama yang sama, berbudaya dan adat resam yang sama, berdarah Melayu yang sama, percaya kepada rukun Islam dan rukun iman yang sama serta mengadap kiblat yang sama. Jadi, marilah kita dalam Peradaban ini bersatu dan mencari jalan dalam memaju dan mempersatu umat Melayu yang saya percaya sangat sayangkan agama, bangsa dan watannya. Mari kita ketepikan perkara-perkara yang boleh melunturkan perpaduan dan bersatu atas persamaan yang banyak berbading perbezaan idealogi. Jangan biarkan golongan lain terus mengecapi nikmat yang berlebihan daripada kecelaruan persepsi kita orang Melayu di tanah air ini.

Ketika hampir PRU 13, pelbagai konflik, perdebatan dan persepsi timbul. Kita tidak lagi dapat bersatu atas nama Peradaban. Program yang dilihat berpihak kepada mana-mana aliran akan dicurigai. Oleh itu, kita menyepikan diri buat sekita waktu yang agak panjang. Namun, sebelum itu Peradaban berjaya menganjurkan pelbagai program untuk ahli dan masyarakat. Kita berjaya menganjurkan Bengkel Penulisan Sejarah yang dikelolakan oleh Y.Bhg Prof. Madya Datin Dr. Mahani Musa (USM). Kemudian, Forum Siapa Pejuang Kemerdekaan menyusul melibatkan pelajar IPG, sekolah dan kepimpinan desa. Pakar-pakar sejarah dari USM dijemput untuk membicarakan topik tersebut seperti Prof. Madya Haji Abdul Rahman Ismail, Prof. Madya Dr. Jelani Halimi dan Dr. Azmi Ariffin. Peradaban juga berjaya membuat lawatan penandaarasan dengan Persatuan Sejarah yang tidak asing di negara kita iaitu Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah.

Satu lagi program yang besar adalah usaha untuk menjadikan Batu Uban sebagai ‘Living Heritage’. Pada awal tahun 2012, Peradaban di bawah kepimpinan dan usaha YB Farid telah mengadakan sidang akhbar di Masjid Batu Uban.Tindakan itu membawa kepada beberapa reaksi daripada pihak akhbar, Kerajaan Negeri dan juga Persatuan Melayu Pulau Pinang (PEMENANG). Usaha ini menjadi kukuh kerana mendapat sokongan daripada pelbagai pertubuhan termasuk para sarjana Melayu seperti Prof Dr Sohaimi Abdul Aziz (USM), Prof. Madya Dr. Mahani Musa (USM), Dr. Azmi Ariffin dan  Prof. Madya Dr. Mohd Isa Othman (USM). Peradaban juga berhubung dengan pihak berkuasa tempatan dan persekutuan. Surat-surat jawapan yang diterima agak mendukacitakan. Surat dari Jabatan Warisan Negara misalnya menyatakan mereka boleh membantu mewartakan Batu Uban, namun urusan tanah bukan di bawah kuasa mereka. Ia di bawah kuasa Kerajaan Negeri. Usaha mewartakan Batu Uban tidak berakhir di situ, kita akan meneruskan usaha sehingga berjaya. Kita mahu Kg Batu Uban setidak-tidaknya sebahagian kecil akan terus kekal sebagai bukti pertapakan awal Melayu awal di Pulau Pinang.

Aktiviti Peradaban yang seterusnya adalah penghasilan Buletin Peradaban. Ia berjaya dihasilkan dengan usaha Biro Penerbitan Peradaban. Terima kasih kepada Dr. Muhammad Raini dan Sidang Pengarang yang berjaya menerbitkan buletin tersebut. Buletin setebal 20 muka surat itu memuatkan maklumat berkaitan sejarah Pulau Pinang dan aktiviti Peradaban. Ia berjaya memaparkan kewujudan Peradaban. Buletin ini dilancarkan oleh YB Datuk Dr. Rais Yatim semasa merasmikan majlis pemimpin bersama rakyat di Balik Pulau. Selaras dengan perkembangan semasa, Peradaban menghasilkan Facebooknya bagi memaparkan aktiviti, menyalurkan maklumat dan berhubung sesama ahli. Terima kasih diucapkan kepada En. Nur Azrin Abdul Razak yang menghasil dan menguruskannya.

Bukan semua yang dapat diusahakan mengikut perancangan. Peradaban gagal menghasilkan Jurnal Berwasit berkaitan Pulau Pinang. Peradaban juga gagal menjayakan Hari Besar Melayu Pulau Pinang. Kita juga gagal membentuk muzium yang dicadangkan dibentuk di Balik Pulau. Begitu juga dengan Seminar Pulau Pinang yang dirancang gagal dilaksanakan. Bagi sesi yang akan datang ini, perkara yang belum terlaksana akan diberi perhatian khusus. Saya pernah menyuarakan cadangan mengadakan kolaborasi dengan Persatuan Sejarah dan Warisan di bawah pimpinan Prof. Dr. Muhammad Salleh dan beliau bersetuju. Saya juga pernah menyuarakan hasrat mendapatkan bantuan kepakaran dari pensyarah sejarah PPIK, USM dan jawapan yang diterima juga positif. Saya percaya dengan komitmen jawatankuasa baru yang bakal dilantik nanti dan komitmen YB Farid, program-program yang tertangguh akan dapat dijayakan.

Akhirnya saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Dr. Mohamad Fadzil Che Amat yang bakal merasmikan majlis, semua ahli jawatankuasa terutama kepada Setiausha yang sangat teliti dan cekap, begitu juga Bendahari yang berjaya mengawal tabung dengan penuh kejujuran dan amanah, para ahli yang sentiasa memberikan sokongan padu dan teristimewa kepada YB Farid yang sangat sinonim dengan Peradaban. Saya bagi pihak diri dan semua ahli jawatankuasa memohon ampun dan maaf atas segala kekurangan dan kesalahan selama kami menguruskan persatuan. Semoga Peradaban terus kekal, gagah dan perkasa, dan selamat bermesyuarat


Sekian, wabilahitaufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

No comments:

Post a Comment