Rombongan PGMPPS/KGMMB Pulau Pinang diketuai oleh Tn. Hj. Juhari Mohamad Nor menyampaikan sumbangan pasca banjir kepada 4 buah sekolah di Kelantan. Majlis penyampaian sumbangan dijalankan di SMK Kota Bharu pada 8 Mac 2015, jam 10.00 pagi. Sumbangan tersebut diserahkan oleh Tn. Hj. Juhari kepada Pengetua dan Guru Besar SMK Kota Bharu; SMU Nurul Ihsan, Kandis, Bachok; SK Gong Dermin dan SK Kampung Laut, Tumpat. Setiap sekolah menerima sumbangan sebanyak RM2,500.00. Majlis berlangsung di SMK Kota Bharu, di bawah kelolaan Pn. Hjh. Dalilah selaku pengetua sekolah tersebut yang bertindak sebagai tuan rumah. Turut hadir Dato' Amran Ghani, Pengerusi KGMMB Kelantan dan Tn. Hj. Che Zahari Mustapha.
Thursday, 2 April 2015
Friday, 20 February 2015
KURSUS TRANSFORMASI DIRI & EKONOMI
Kursus Transformasi Diri & Ekonomi berlangsung di Hotel Zenith, Kuantan, Pahang Darul Makmur bermula dari 19 hingga 21 Februari 2015. Program anjuran bersama KGMMB dan Mayang Sutera Holiday Sdn Bhd ini melibatkan Ahli Lembaga Koperasi (ALK) KGMMB Bhd dan Ahli MJKA KGMMB. Para penceramah terdiri daripada Y.Bhg. Datuk Muhammad Mahzan Tamyiz, Ustaz Syed Bahri, Y.Bhg. Datuk Azizul Rahim dan Prof. Dr. Mohd Idrus Mohd Masirin. Para peserta didedahkan dengan pelbagai pengetahuan dan kemahiran dalam transformasi diri dan memperkukuh ekonomi.
Tuesday, 17 February 2015
KUNJUNG HORMAT TYT YANG DIPERTUA NEGERI
Majlis Kunjung Hormat TYT Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang ini berlangsung pada 17 Februari 2015, jam 5.30 petang di Seri Mutiara, Pulau Pinang. Kunjungan ini melibatkan 3 orang peserta dari PGMPPS/KGMMB iaitu Tn. Hj. Saidin Rashid, Tn. Hj. Juhari Mohamad Nor dan En. Roslan Saadon; 2 orang dari IPG Kampus Pulau Pinang iaitu Pn. Hjh. Suriah Abd. Manap dan En. Jamal Mohamed Abdul Rahman dan seorang dari Persatuan Penulis Pulau Pinang iaitu Y.Bhg. Dato' Hj. Anuar Ahmad.
Kunjungan bertujuan untuk melawat TYT Tun yang baru sahaja sembuh dari sakit. Dalam perjumpaan itu, beliau menceritakan penyakit yang dialami, rawatan yang diterima dan proses pemulihan yang dijalani. Wakil KGMMB banyak bercerita tentang perjuangan guru dalam persatuan dan usaha untuk menyiapkan penulisan dan penerbitan Biografi TYT Tun Dato' Seri Utama (Dr.) Hj. Abdul Rahman Hj. Abbas. Pada penghujung sesi, Tn. Hj. Saidin Rashid selaku ketua rombongan menyampaikan cenderamata kepada TYT Tun.
Tuesday, 20 January 2015
TAKLIMAT KHAS BPSM KEPADA KESATUAN PERKHIDMATAN PENDIDIKAN
Bahagian Pengurusan Sumber Manusia (BPSM), KPM mengadakan perjumpaan dengan Kesatuan Perkhidmatan Pendidikan di KPM, Putrajaya pada 27 Januari 2015. Perjumpaan bertujuan untuk menyampaikan taklimat berkaitan pengurusan ICT di sekolah. Isu utama yang hendak dibentangkan ialah usaha yang dijalankan oleh KPM dalam menangani masalah pengurusan dan penggunaan ICT di sekolah. Seorang pegawai dari BPSM dan seorang lagi dari Bahagian Teknologi KPM membentangkan rancangan yang akan dilaksanakan. Antara langkah yang dibuat ialah penghasilan modul yang bertujuan mengintegrasi sistem-sistem sedia ada, membangunkan fungsi-fungsi baharu dan phase out sistem fungsi bertindih. Pelaksanaan modul tersebut diharapkan akan dapat mengurangkan beban tugas guru dalam urusan key in data. Majlis itu juga membuka peluang kepada para pimpinan kesatuan mengemukakan pelbagai isu dan pandangan berkaitan ICT.
KGMMB menghantar empat orang wakil diketuai oleh Y.Bhg. Dato' Hj. Mohamad Sabri Hj. Mohd Arsad, Cikgu Mohd Said Hussin, Cikgu Hj. Atan Nordin dan Cikgu Roslan Saadon. Dalam sesi perbincangan, Dato' Hj. Mohamad Sabri yang juga Presiden Kongres mencadangkan agar PKG diperkasa bagi membantu sekolah dan guru dalam urusan meningkatkan kemahiran ICT. Beliau juga mencadangkan agar pihak PPD mengurangkan arahan dan permintaan mendapatkan data dari sekolah sedangkan data tersebut boleh diperoleh sendiri secara online di PPD. Justeru pegawai yang berkemahiran tinggi dalam ICT perlu dipilih untuk menguruskan ICT di PPD.
Saturday, 17 January 2015
PERUTUSAN TAHUN BAHARU 2015 OLEH TPM
Majlis Perutusan Tahun Baharu 2015 KPM berlangsung di
PICC, Putrajaya pada 16 Januari 2015. KGMMB menghantar lima orang peserta iaitu Dato' Jamaludin Jali, Tn. Hj. Atan Nordin, En. Roslan Saadon, En. Ahmad Nawawi Shaari dan En. Hashim. Manakala Dato' Hj. Mohamad Sabri Hj. Md. Arsad dan En. Mohd Said Hussin mewakili Kongres. Majlis bermula dengan nyanyian lagu
Negaraku dan lagu Transformasi Pendidikan. Sejurus
tamat nyanyian lagu tersebut, majlis disusuli dengan bacaan doa dan seterusnya
persembaan Montaj KPM 2014. Ucapan Menteri Pelajaran Malaysia menyusul selepas
itu dengan pelbagai maklumat dan pesanan. Antara yang dinyatakan, beliau
mengucaplan terima kasih kepada semua warga KPM atas komitmen menjayakan PPPM
pada tahun 2014.
Beliau juga mengimbau kejadian banjir yang berlaku di beberapa
buah negeri yang melibatkan kerugian harta benda dan kehilangan nyawa. Dalam
pada itu Timbalan Perdana Menteri merakamkan penghargaan dan terima kasih
kepada semua sukarelawan dan pihak yang memberikan bantuan kepada mangsa-mangsa
banjir. Surat penghargaan dari KPM akan dikeluarkan kepada sukarelawan dan
pihak-pihak terlibat. Seterusnya, TPM
menggesa semua warga KPM bersama para ibu bapa dan pihak berkepentingan
menggembeling tenaga dan komitmen menjayakan agenda pendidikan negara. Usaha
tersebut penting bagi mewujudkan generasi berilmu dan mencapai pendidikan
bertaraf dunia. Selepas ucapan, TPM menyampaikan Watikah Autonomi kepada
beberapa buah IPTA dan Watikah Pelantikan Ahli Majlis Penarafan Standard
Kualiti Bahasa Inggeris. Majlis diakhiri dengan Ikrar Perkhidmatan Awam yang
melibatkan semua hadirin.
Thursday, 11 December 2014
MAJLIS PENGANUGERAHAN (KEBUDAYAAN) DARJAH KEBESARAN
Majlis Penganugerahan (Kebudayaan) Darjah Kebesaran Sultan Kerajaan Inderagiri berlangsung di Hotel Lumire, Jakarta, Indonesia pada 10 Disember 2014 bermula jam 5.00 petang dan berakhir pada jam 11.00 malam. Lapan orang ahli Majlis Jawatankuasa Agung (MJKA) KGMMB menerima darjah kebesaran dan pingat. Tn. Hj. Jamaludin Jali, Timbalan Presiden KGMMB menerima Darjah Setia Sultan Arifshah (DSSA) yang membawa gelaran Dato'. En. Roslan Saadon dan En. Jasni Md Kechik pula menerima Bintang Sultan Arifshah (BSA). Manakala En. Ibrahim Marlan, En. Kamarul Isam Isa, En. Omar Bakri Saad, En. Che Zahari Mustapha dan En. Mohamad Arshad Mat Jelani menerima Pingat Ahli Sultan Arifshah (ASA). Majlis diakhiri dengan Jamuan Santapan Diraja yang melibatkan Sultan Inderagiri, tetamu kehormat dan para penerima anugerah darjah dan pingat kebesaran.
Majlis penganugerahan ini dikendalikan oleh Yayasan Dato'-dato' Indonesia-Malaysia (YADDIM). Program ini berjaya menghidupkan budaya Melayu Nusantara dan mengeratkan hubungan antara sultan-sultan dan raja-raja di wilayah-wilayah tertentu di Nusantara.
STUDY BANDING DI UNIVERSITI NEGERI JAKARTA & SEKOLAH KESENIAN BANDUNG
Study Banding ke Universiti Negeri Jakarta (UNJ) berlangsung pada 9 Disember 2014 berkisar kepada perbincangan mengenai program-program di UNJ dan kerjasama yang boleh dilaksanakan. Rombongan KGMMB disambut dan diraikan oleh Rektor UNJ dan para direktor program. Pada 10 Disember 2014 pula Study Banding dijalankan pula di Sekolah Tinggi Kebudayaan Bandung. KGMMB disambut oleh wakil Rektor dan perbincangan juga berkisar kepada program kerjasama yang boleh dijalankan. Kedua-dua lawatan ini dijalankan sempena menghadiri Majlis Penganugerahan (Kebudayaan) Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran yang diadakan pada 10 Disember 2014 di Hotel Lumire, Jakarta, Indonesia.
Subscribe to:
Posts (Atom)