Monday, 9 January 2012

Batu Uban: Bukti Pertapakan Melayu di Pulau Pinang



Francis Ligt dianggap sebagai orang yang bertanggungjawab membuka Pulau Pinang pada tahun 1876. Kaum-kaum lain yang datang berhijrah pula dianggap membantu menyemarakkan lagi perkembangan kapitalisme di Pulau Pinang. Atas sebab itu sumbangan mereka dijulang dan segala yang berkaitan dengan mereka seperti kawasan (petempatan), bangunan dan tokoh dianggap warisan sejarah yang perlu disimpan malah diwartakan sebagai warisan sejarah yang diiktiraf oleh UNESCO.

Dalam waktu yang sama, pihak-pihak tertentu melupakan sejarah tempatan iaitu sejarah orang-orang Melayu yang membuka dan menetap di Pulau Pinang. Mereka meupakan penduduk Nusantara yang berhijrah mencari tempat yang sesuai untuk meneruskan kelangsungan hidup. Mereka berhijrah dalam ruang tanah air mereka sendiri dan bertuankan raja yang menjadi penguasa kepada kawasan yang mereka diami.

Jika George Town diwartakan sebagai warisan sejarah, maka Batu Uban juga perlu diberikan taraf yang sama. Mengapa Batu Uban perlu diiktiraf sedemikian? Sejarah Batu Uban boleh menjelaskan perkara tersebut, iaitu:

1. Batu Uban dibuka oleh Nakhoda Nan Intan yang mengetuai sekumpulan peneroka dari Paya Kumbu, Sumatera pada awal tahun 1730-an, lebih awal kira-kira 56 tahun dari tarikh pembukaan Pulau Pinang oleh Francis Light..
2. Pembukaan Batu Uban merupakan kurniaan kawasan petempatan oleh penguasa sah Pulau Pinang iaitu Sultan Kedah. Pembukaan petempatan oleh para peneroka berlangsung dari tahun 1930-an hingga 1940-an.
3. Pembinaan Masjid Jamek Batu Uban menjadi bukti pertapakan orang Melayu dan Islam di Pulau Pinang. Masjid tersebut dibina oleh Nakhoda Nan Sebatang (Hj. Muhammad Salleh @ Maharaja Nan Intan Ibni al-Marhum Tengku Patih Nan Sebatang) pada tahun 1734.
4. Batu Uban menjadi pusat metropolitan yang menghubungkan Pulau Pinang dan Kedah dengan kawasan-kawasan lain di Sumatera, India dan Hadramaut.
5. Batu Uban merupakan pusat aktiviti bagi kawasan Gelugor dan sekitarnya, seterusnya menyumbang kepada perkembangan budaya dan ekonomi bagi kawasan Tanjung.


Maka, seharusnya fakta sejarah ini menjadi asas untuk menafikan bahawa Pulau Pinang dibuka oleh Francis Ligt. Pulau Pinang merupakan milik Sultan Kedah yang diduduki oleh orang-orang Melayu, yang kemudiannya dibuka dengan seluas-luasnya kepada orang luar atas nama kapitalisme. Mereka mengaut keuntungan dengan rakusnya. Mereka juga menyempitkan ruang dan peluang kehidupan bagi orang-orang Melayu. Hingga kini pelbagai usaha dilakukan oleh pihak-pihak tertentu untuk menafikan sejarah orang-orang Melayu di Pulau Pinang. Negeri yang berkembang maju ini seolah-olah bukan milik orang Melayu tetapi negeri yang diwujudkan oleh Inggeris dan dimajukan oleh golongan pemodal dan pendatang.

Atas alasan tersebut, pihak berkuasa, ahli-ahli politik dan NGO’s seharusnya sedar akan situasi yang berlaku. Kesilapan dan kealpaan terhadap sejarah asal negeri Pulau Pinang harus dihentikan. Pembangunan yang berlangsung atas nama keuntungan wang ringgit semata-mata sejak era penjajahan tidak harus berlaku lagi. Sesuatu perlu dilakukan bagi memastikan tapak pertapakan Melayu di Pulau Pinang tidak lenyap ditelan arus pembangunan. Kita juga tidak mahu sejarah orang-orang Melayu tenggelam ditelan oleh sejarah penjajah dan golongan lain.

Sunday, 13 November 2011

"FORUM SEJARAH KEMERDEKAAN: SIAPA PEJUANG?"


Forum anjuran PERADABAN ini berlangsung pada 12 November 2011, jam 9.00 pagi hingga 1 petang di Dewan Balora Mastika Kongsi, Balik Pulau,Pulau Pinang. Seramai 70 orang hadir sebagai peserta dan forum dipengerusikan oleh Tn. Hj. Juhari Mohamad Nor. Tiga orang ahli panel yang dijemput membicarakan tajuk forum ialah Prof. Madya Hj. Abdul Rahman Ismail, Prof. Madya Dr. Ahmad Jelani Halimi dan Dr. Azmi Arifin dari USM. Dalam ucapan alu-aluan, En. Roslan Saadon selaku Yang Dipertua PERADABAN menggesa orang-orang Melayu menjadikan sejarah sebagai sumber kekuatan dan perpaduan. Sejarah memaparkan jati diri bangsa yang tidak boleh ditidakkan oleh kaum lain. YB. Muhamad Farid selaku Penasihat PERADABAN pula mengungkapkan akan kepentingan sejarah dalam ucapan perasmiannya. Orang-orang Melayu perlu memahami dan menghayati sejarah. Sejarah bangsa Melayu perlu dijaga dan tidak boleh diperkotak-katikkan oleh orang lain. Isu "Mai Balik Pulau" merupakan contoh yang perlu dijadikan iktibar. Isu tersebut memaparkan sejarah yang tidak benar tentang masyarakat Melayu di Balik Pulau. Forum yang diadakan memberikan banyak maklumat kepada hadirin tentang perjuangan kemerdekaan negara. Maklumat yang diterima merupakan fakta tambahan yang tiada dalam buku teks kepada pelajar Sains Sosial IPG Kampus Pulau Pinang dan pelajar Tingkatan Enam Bawah SMK Seri Balik Pulau yang juga merupakan peserta forum.

Sunday, 30 October 2011

Konvensyen Kebangsaan Pendidikan Guru 2011


Konvensyen berlangsung pada 30 Oktober hingga 2 November 2011 di A'Famosa Resort, Alor Gajah, Melaka. Konvensyen ini dianjurkan oleh Bahagian Pendidikan Guru dan Institut Pendidikan Guru Malaysia. Tema konvensyen adalah "Transformasi Profesionalisme Keguruan Menjana Kualiti Guru". Mereka yang terlibat terdiri daripada para pensyarah IPGM, pegawai BPG dan JPN, jemaah nazir dan guru-guru sekolah. IPG Kampus Pulau Pinang diwakili oleh Dr. S. Balasubramaniam, Dr. Nur Jahan Ahmad dan En. Roslan Saadon. Perasmian pembukaan konvensyen disempurnakan oleh Y.Bhg. Dato' Sri Abdul Ghafar Mahmud, KPPM dan ditutup secara rasmi oleh Y.Bhg. Tn. Hj. Sufa'at Tumin, Timbalan KPPM Sektor Pembangunan Profesionalisme Keguruan.

Saturday, 29 October 2011

Kongres Bahasa & Persuratan Melayu VIII


Kongres berlangsung selama 3 hari bermula 28 hingga 30 Oktober 2011 di Dewan Bahasa dan Pustaka. Program yang dirasmikan oleh YAB Tan Sri Dato' Hj. Muhyiddin Hj. Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia melibatkan pembentangan kertas kerja dari pegawai tinggi kerajaan dan cendikiawan Melayu. KGMMB menghantar 4 orang peserta terdiri daripada Tn. Hj. Mohamad Sabri Hj. Arshad, En. Abu Bakar RA Mohd, Tn. Hj. Atan Nordin dan En. Roslan Saadon. Antara isu penting yang menjadi topik hangat adalah isu pemansuhan PPSMI. Prof. Dr. Isahak Haron mengungkapkan bahawa PPSMI memberi impak yang negatif kepada pencapaian pendidikan anak-anak Melayu.

Monday, 24 October 2011

Bengkel Penulisan Sejarah


Bengkel berlangsung pada 22 Oktober 2011, dari jam 8.30 pagi hingga 1.00 petang di Bilik Blok Beringin IPG Kampus Pulau Pinang. Prof. Madya Dr. Mahani Musa dari USM diundang khas untuk menyampaikan ceramah. Bersesuaian dengan kepakarannya, para peserta telah didedahkan dengan cakupan dan kepentingan sejarah Pulau Pinang. Beliau juga membimbing para peserta menghasilkan penulisan sejarah mengikut metod yang betul. YB Sr. Hj. Muhamad Farid Hj. Saad turut hadir untuk menyampaikan ucapan penutupan dan seterusnya menyampaikan sijil kepada peserta bengkel. Prof. Madya Dr. Mahani tidak melepaskan peluang mengisi borang keahlian dan seterusnya menyertai PERADABAN.

Mesyuarat Agung PERADABAN Kali Pertama


Mesyuarat berlangsung pada 24 Ogos 2011, jam 3.00 petang di Blok Beringin, IPG Kampus Pulau Pinang. YB Hj. Muhamad Farid Hj. Saad telah menyampaikan ucapan dan merasmikan mesyuarat tersebut. Persatuan sah beroperasi apabila didaftarkan pada 27 Julai 2011. Kerja-kerja pendaftaran diusahakan oleh Tn. Hj. Baharul Azhar selaku setiausaha dan dibantu oleh En. Roslan Saadon, Yang Dipertua PERADABAN. Cendikiawan yang turut hadir dalam mesyuarat agung tersebut ialah Prof. Dr. Suhaimi dan Prof. Madya Dr. Main Rindam dari USM. Mesyuarat perlu diadakan bagi membentuk jawatankuasa baru bagi menggerakkan aktiviti dan perancangan persatuan. En. Roslan Saadon dilantik sebagai Yang Dipertua, Tn. Hj. Juhari Mohamad Nor sebagai Naib Yang Dipertua dan Tn. Hj. Baharul Azhar Hj. Omar sebagai Setiausaha. Pn. Arbakyah Hassan dilantik sebagai Bendahari dan beberapa orang lagi dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa.

Sunday, 23 October 2011

Mesyuarat Penubuhan Persatuan Sejarah & Peradaban Melayu Pulau Pinang


Mesyuarat berlangsung pada 26 Jun 2011 di Pejabat PGMPPS, No. 12A, Jalan Koperasi, Taman Koperasi Guru, Tanah Liat, Bukit Mertajam bermula jam 4.30 petang. Mereka yang hadir terdiri daripada ahli kesatuan guru (KGMMB & PGMPPS), pegawai Pejabat Pendidikan Daerah, pekerja swasta dan pesara. Kata sepakat diambil dan ditubuhkan Persatuan Sejarah dan Peradaban Melayu Pulau Pinang atau PERADABAN. Nama yang dipersetujui dalam mesyuarat sebelum itu dipinda iaitu warisan kepada tamadun. Perlembagaan disediakan oleh En. Roslan Saadon dan dibentang dalam mesyuarat tersebut. YB. Sr. Hj. Muhamad Farid Hj. Saad turut hadir dan dilantik sebagai Penasihat PERADABAN. Beliau merupakan orang yang bertanggungjawab mengeluarkan idea penubuhan dan menjadi teraju utamanya. Buat sementara waktu pejabat PERADABAN adalah di No. 12A, Jalan Koperasi, Taman Koperasi Guru, Tanah Liat, Bukit Mertajam, menumpang pejabat PGMPPS.