Tuesday 17 December 2013

PROGRAM JAWATANKUASA KGMMB NEGERI SEMBILAN


KGMMB Cawangan Negeri Sembilan menganjurkan satu program Jawatankuasa Bersama Keluarga yang melibatkan pelbagai aktiviti antaranya taklimat pengurusan kewangan, mesyuarat jawatankuasa, majlis persaraan mantan bendahari dan sukaneka. Program ini berlangsung dari 13 hingga 14 Disember 2013 di Golden Straits Villas Beach Resort, Batu 2, Jalan Pantai, Port Dickson. En. Roslan Saadon, Naib Presiden II hadir menggantikan Presiden yang kebetulan menghadiri satu majlis di Kementerian Pelajaran Malaysia. Dalam majlis meraikan Cikgu Abdul Hamid, mantan Bendahari KGMMB Cawangan Negeri Sembilan, Naib Presiden diminta menyampaikan ucapan bagi pihak Presiden KGMMB. Berikut adalah petikan ucapan tersebut:

Ucapan Majlis Persaraan Bendahari KGMMB Cawangan Negeri Sembilan disampaikan oleh Naib Presiden II (En. Roslan Saadon) Mewakili Y.Bhg. Dato’ Haji Mohamad Sabri Haji Mohd Arshad, Presiden KGMMB
13 Disember 2013 (Jumaat), 8.30 malam, Golden Straits Villas Beach Resort, Port Dickson.
---------------------------------------------------------
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam Negeri Sembilan Darul Khusus. Terima kasih kepada sahabat saya Cikgu Said Hussain selaku pengacara majlis.
Yang berusaha Cikgu Nazri, Pengerusi KGMMB Cawangan Negeri Sembilan; Cikgu Hamzah, Timbalan Pengerusi, Cikgu Said Hussain, Setiausaha, rakan-rakan Ahli Jawatankuasa dan yang diraikan Cikgu Hamid serta hadirin hadirat yang dihormati sekalian.

Terlebih dahulu dipanjatkan kesyukuran ke-Hadrat Yang Maha Kuasa kerana dengan limpah kurnia-Nya, dapat kita bersama-sama pada malam ini bagi menjayakan majlis perpisahan Cikgu Hamid, mantan Bendahari KGMMB Cawangan Negeri Sembilan. Terima kasih atas jemputan dan saya bagi pihak Presiden ingin mengucapkan tahniah kepada Jawatankuasa kerana berjaya menganjurkan majlis yang amat bermakna ini. Menghargai rakan jawatankuasa yang berjasa amat penting dan majlis yang diadakan pada malam ini amat bertepatan dengan budaya kita menghargai dan mengenang jasa orang yang berjasa.

Saya suka menarik perhatian rakan-rakan semua bahawa Negeri Sembilan merupakan Cawangan yang banyak membekalkan pemimpin persatuan guru yang hebat. Antara nama besar yang boleh dipaparkan ialah Cikgu Kassim Harun, Cikgu Shaari Itam, Cikgu Md Yusof Badin, Cikgu Muhammad Tainu dan Cikgu Drs Mohd Pilus. Namun nama yang agak hebat antara mereka ialah Kassim Harun. Beliau berjaya menghasilkan buku “20 Tahun KPGMS-KPGMPTM Berjuang”, menjadi Setiausaha Agung KPGMS/KPGMPTM, Presiden KGMMB, mengasas Kuliah Tertulis UNAS, mencadangkan penubuhan Yayasan Guru dan sambutan Hari Guru. Jika Negeri Sembilan ingin membuat kajian, Cikgu Kassim Harun merupakan tokoh yang perlu diberi perhatian.

Guru-guru Negeri Sembilan juga bertanggungjawab membangunkan Majalah Guru. Bersama-sama PGM Melaka dan Selangor, Negeri Sembilan memimpin penerbitan Majalah Guru yang bermula pada tahun 1924. Seremban menjadi ibu pejabat Majalah Guru yang pertama dan Cikgu Muhammad Datuk Muda dan Cikgu Baba Jaudin terlibat secara langsung menguruskan majalah tersebut. Cikgu Muhammad Datuk Muda mengetuai penerbitan Majalah Guru dari 1924 hingga 1932.

Kehebatan kepimpinan guru Negeri Sembilan berterusan hingga kini. Cikgu Nazri dan Cikgu Said merupakan contonhnya. Negeri Sembilan agak kehadapan dalam pengurusan dan pengendalian program berbanding lain-lain cawangan. Cikgu Said bukan sahaja aktif di peringkat negeri, malah terlibat di peringkat pusat dan menjadi Setiausaha Kongres. Banyak isu yang dibawa ke peringkat kementerian termasuk pelbagai memorandum seperti memorandum ex-PPLD dan guru-guru yang rugi menggunakan bonus 3 tahun untuk lantikan time-base DG44.

Saya juga suka menarik perhatian tuan-tuan dan puan-puan atas usaha yang dimainkan oleh KGMMB terutama peranan presiden. Dalam apa jua mesyuarat, forum dan perbincangan di peringkat kementerian atau di mana-mana, suara presiden amat lantang dan sering mendapat perhatian. KGMMB juga semakin berkembang maju dan pelbagai kemudahan dan kebajikan dapat dipertingkatkan. Keahlian KGMMB kini mencapai jumlah yang amat membanggakan iaitu 37,000 orang. Atas usaha tersebut, tidak hairan jika Presiden KGMMB dianugerahi Bintang Kebesaran dari Sultan Surakarta, Solo, Indonesia yang membawa gelaran Dato’. Saya juga amat bertuah dan kagum dengan apa yang berlaku. Saya melihat bagaimana seorang sultan dari keturunan yang pernah membina empayar di Nusantara, mengalungkan pingat kebesaran kepada Presiden. Ingkang Sinuhon Pakubuwono XIII yang mengurniakan darjah kebesaran tersebut merupakan keturunan raja Mataram yang satu ketika dahulu datuk nenek mereka mendiami Kraton Mataram, kemudiannya Kraton Kartasura dan kini Krataon Surakarta Hadiningrat di Solo, Yogyakarta.

Dalam hal ini, saya mencadangkan agar, Jawatankuasa berusaha mendapatkan pingat untuk rakan-rakan jawatankuasa yang banyak menabur jasa untuk kesatuan dan pendidikan anak bangsa. Pulau Pinang sentiasa mencalonkan mereka yang dianggap layak termasuk pengarah JPN negeri. Jika pengarah jabatan lain mudah dianugerahi gelaran Dato’, mengapa tidak pengarah JPN.

Kepada Cikgu Hamid yang diraikan, saya bagi pihak presiden KGMMB pusat mengucapkan ribuan terima kasih atas sumbangan dan perkhidmatan yang telak dilaksanakan. Semoga Allah membalas segala pengorbanan masa, tenaga dan wang ringgit yang dicurahkan untuk kesatuan. Juga diharapkan Cikgu Hamid akan sentiasa sihat dan bahagia di samping keluarga tercinta. Selamat bersara Cikgu Hamid.

Akhir kata sekali lagi ucapan tahniah kepada semua pihak yang menjayakan majlis pada malam ini. Saya menyusun jari memohon ampun dan maaf jika ada kekasaran bahasa dan tingkahlaku. Sekian, wabillahi taufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

ROSLAN SAADON,
Naib Presiden II
Mewakili Presiden KGMMB




No comments:

Post a Comment