Monday 21 October 2013

PALUAN KOMPANG MENCERIAKAN SUASANA MAJLIS

Peredaran masa dan perkembangan zaman menjadikan permainan kompang semakin menarik dan sedap didengar. Berdasarkan pengalaman melihat permainan pasukan kompang terutama di kawasan selatan tanah air iaitu Johor, Melaka dan Negeri Sembilan, terdapat sedikit perubahan yang menjadi satu inovasi. Kompang yang digunakan tidak lagi menggunakan kulit binatang tetapi plastik yang menghasilkan bunyi yang lebih kuat dan nyaring. Satu alat tambahan juga digunakan iaitu drum besar atau rebana ubi yang menghasilkan bunyi tambahan kepada bunyi kompang sedia ada. Kedua-dua perkara ini menghasilkan satu persembahan kompang yang lebih menarik dan menjadi tumpuan ramai ketika ianya dimainkan di sesuatu majlis. Para pemain bukan sahaja memukul kompang sambil bernyanyi, tetapi juga membuat beberapa formasi gerakan yang menarik. Semoga usaha mengangkat dan mempopularkan permainan muzik tradisi Melayu ini akan terus berjalan dengan jayanya dan kekal sebagai warisan budaya yang tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas. Tambah baik jika badan-badan tertentu terutama pihak yang korporat atau ahli-ahli politik menjadi penaung kepada kumpulan-kumpulan kompang yang baik yang terdapat di negara ini. Berbekalkan bakat, kesungguhan dan bantuan kewangan, pastinya satu kumpulan kompang yang profesional dan luar biasa dapat dibentuk. Budaya Melayu yang murni ini bukan sahaja terus menjadi tatapan umum masyarakat Malaysia, tetapi juga memikat masyarakat dunia dengan bunyi pukulan kompang dan formasi gerakan yang menakjubkan 


No comments:

Post a Comment