Friday 13 September 2013

SUNGAI MELAKA MENYIMPAN SEJARAH SILAM


Malam 15 Mei 2008 sehari sebelum sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan, kami  para Pegawai KGMMB telah dibawa menyusuri Sungai Melaka. Bagiku peluang tersebut  merupakan satu pengalaman yang amat menarik dan berharga. Apatah lagi perjalanan berlaku  pada waktu malam, menjaminkankan suasana yang sangat indah dan romantik. Bagi pasangan kekasih atau mereka yang berbulan madu, perjalanan selama kira-kira 40 minit pada jarak 9 meter itu mempunyai ‘sentimental value’ yang tinggi.
Sebagai anak kelahiran Melaka, aku melihat perkembangan yang berlaku terhadap sungai yang menjadi kemegahan rakyat  itu. Aku membesar di Melaka dan setiap kali ke Melaka aku akan berpeluang melihat situasinya. Dari Stesyen Bas Melaka untuk ke Banda Hilir, tidak boleh tidak aku akan melalui beberapa tempat  yang menyusuri tebing Sungai Melaka. Dari tebing aku melihat bot-bot nelayan yang sedang bergerak mudik ke hulu atau ke kuala, melihat airnya yang keruh, kotor dan dicemari bahan buangan terutamanya sampah-sarap.
Itu dulu pada tahun 1980-an ketika aku masih remaja. Tapi kini segalanya berubah. Tebingnya dibina laluan pejalan kaki yang dijadikan tempat untuk beriadah dan dihias indah dengan lampu neon.  Kampung dan bangunan yang terdapat di tebing sungai kelihatan indah dan bersih. Segala-galanya amat menarik untuk disaksikan. Sepanjang perjalanan aku membayangkan betapa pentingnya sungai ini pada satu ketika dulu. Aku juga dapat merasakan betapa banyaknya maklumat yang tersimpan di sungai ini. Sungai Melaka menjadi saksi kepada sejarah silam negeri Melaka. Jika boleh berkata-kata, sudah tentu ia ingin membisikkan ke telingaku segala yang tersimpan di dadanya.



Satu ketika dulu sungai Melaka disusuri oleh tongkang dan jong untuk memunggah dan mengangkut barang dagangan. Kampung Jawa yang terletak di tebing Sungai Melaka menjadi tempat berdagang. Pedagang datang dari India, Cina, Nusantara, Parsi dan Arab. Pedagang Cina memperdagangkan kain sutera, teh dan barang-barang tembikar. Pedagang India memperdagangkan kain. Manakala pedagang Arab pula memperdagangkan karpet, minyak wangi dan lain-lain. Pedagang-pedagang tempatan pula menjual hasil hutan, rempah ratus, bijih timah, dan sebagainya.
Sungai Melaka juga menyaksikan akan kehebatan Melaka sebagai pusat perdagangan. Melaka menjadi sebuah empayar Melayu yang berpengaruh di seluruh Tanah Melayu dan Sumatera telah bertindak sebagai pusat perdagangan antarabangsa, pusat penyebaran ilmu, dan pusat pengaruh tamadun asing berkembang dan meresap. Melaka diasaskan pada abad ke 15 oleh seorang putera Palembang yang lari dari tanah air akibat serangan tentera Majapahit. Parameswara cuba membebaskan Palembang dari kekuasaan Majapahit di kala berlaku pergeseran antara Wikrama Wardhana yang dinobat sebagai pengganti Hayam Wuruk yang meninggal dunia pada tahun 1389  dengan Bhre Wirabhumi, putera tunggal Hayam Wuruk.
Sungai Melaka juga melihat bagaimana Islam mempengaruhi kemajuan Melaka. Perkembangan Melaka berkait rapat dengan kehadiran Islam hasil daripada hubungan dagangan dengan saudagar-saudagar India yang berterusan berlaku di samping mempunyai hubungan politik dengan Cina. Di bawah Sultan Mansur Shah, Sultan Alauddin, dan Sultan Mahmud, Melaka telah mencapai zaman emasnya. Melaka menjadi pusat perdagangan yang didatangi oleh kapal-kapal perdagangan dari Timur Tengah, Cina, Mesir, Persia, India, dan sebagainya.
Hal ini diakui oleh Albuquerque di dalam tulisannya;
 “This part of Malacca is very safe; there are no storms to injure it,   and never was a ship lost there. It forms  point where some monsoons commence and others end, so that inhabitants of  Malacca call those of India people of the west, and the Javanese, Chinese and Gores,and all others of those islanders, people of the east; and Malacca is the middle of all this, a sure and speedy navigation, such as Singapore never had , for the shoals of Capacia many a ship has been lost. And  those who come from the east to the west find here western merchandize, and carry it away with them, leaving that which the bring of theirs here instead, and like manner do they come from the west”

Kekayaan Alam Melayu tersebar ke Eropah melalui peranan pedagang-pedagang Islam yang telah memperkenalkan penggunaan rempah dalam masyarakat Eropah. Hal ini telah membawa Sepanyol dan Portugis belayar ke Kepulauan Melayu untuk membeli rempah. Orang-orang Cina, India, dan Parsi datang ke Kepulauan Melayu untuk berdagang. Orang-orang Eropah bukan sahaja datang untuk tujuan mengaut keuntungan daripada kegiatan perdagangan, malah merebut kemerdekaan bangsa dan tanah air orang-orang Melayu. Negeri-negeri Melayu menjadi rebutan East-Hindia Company sama ada milik British, Portugis, atau Belanda. Pengaruh kapitalis yang telah menjalar ke Alam Melayu akhirnya berkembang menjadi  imperialis. Inilah yang berlaku kepada Melaka apabila ditakluk oleh Portugis pada tahun 1511.
Begitu juga dengan bangunan Stadthuys (Rumah Merah) yang dibina di tepi sungai Melaka menjadi bukti yang disaksikan oleh sungai itu bahawa Melaka menjadi jajahan Belanda selepas Portugis. Hampir dengan kuala sungai pula terdapat kawasan yang menjadi petempatan bagi kaum Baba dan Nyonya. Mereka menjadikan budaya Melayu sebagai amalan kehidupan walaupun masih berpegang kepada agama dan kepercayaan asal. Mereka memakai baju kebaya dan kain batik. Mereka bertutur dengan menggunakan bahasa Melayu. Mereka juga makan masakan yang sama seperti orang Melayu seperti cincaluk, sambal belacan, asam pedas dan sebagainya.



Walaupun masa berubah dan kemajuan berlaku dengan pesat, namun satu perkara yang membanggakan ialah pengekalan struktur dan bentuk rumah yang terdapat di Kampung Morton di pinggir sungai tersebut. Rumah bentuk tradisional ini perlu dikekalkan sebagai bahan sejarah yang perlu disaksikan oleh generasi kini. Pujian yang tidak terhingga kepada kerajaan Melaka atas usaha yang dilakukan demi mengekalkan warisan sejarah dan tradisi tanah air. Walau setinggi mana pembangunan dan pemodenan, warisan bangsa perlu dipelihara.Itulah jati diri bangsa kita orang Melayu yang perlu dikekalkan walaupun pelbagai kemajuan datang melanda.
…RsAwab







No comments:

Post a Comment