Saturday 7 May 2011

Pengetua Pertama MTC




J.W. Dunnill, Pengetua MTC Pertama
(4 Julai 1955 – Oktober 1959)

Pada 5 Disember 1952, Mr. J.W. Dunnill, DSO ditemuduga oleh pihak Kolonial British untuk jawatan pengetua MTTC. Beliau berjaya dan dihantar sebagai Timbalan Pengetua di Kota Bharu Teachers’ Training College pada bulan Julai 1954 sebelum dilantik sebagai Pengetua MTTC pada 4 Julai 1955. Di Kota Bharu, beliau memperolehi banyak pengalaman berkaitan pelajar Malaya dan keadaan di negara orang. Semasa MTTC berada dalam proses pembinaan, Mr. Dunnill ditempatkan di Kementerian Pelajaran, Kuala Lumpur. Di situ beliau bertanggungjawab dalam perancangan dan pengurusan penubuhan MTTC. Beliau juga bertanggungjawab dalam pengambilan tenaga pengajar untuk MTTC. Pada Mac 1956. Mr Dunnill berangkat ke England untuk menguruskan pengambilan pensyarah. Mr. G.F Jackson selaku Timbalan Pengetua, memangku jawatan Dunnill sehingga kepulangannya.

Selepas selesai menguruskan pengambilan tenaga pengajar, Mr. Dunnill kembali semula ke Pulau Pinang pada 26 September 1956. Beliau seterusnya membuka MTTC pada 27 September 1956 bukan di bangunan yang dibina tetapi di bilik pengawas Sekolah Perempuan St George. Bagi tujuan penyusunan tugas dan melancarkan pentadbiran, Dunnill menjalankan mesyuarat pertama pada keesokan harinya. Mesyuarat dihadiri oleh JW Dunnill, DSO (Pengetua), GF Jackson (Timbalan Pengetua), MDL Moore (Pensyarah Kanan dalam bidang seni dan kraft), DF Cooke (Pensyarah Kanan dalam Ilmu Pendidikan) dan Lim Cheam Teong (Kerani Besar).

Semasa perasmian MTC pada 14 Mei 1959, beliau merupakan pengetua yang bertanggungjawab menguruskan majlis bersejarah itu. Pada bulan Oktober 1959 beliau meninggalkan MTC untuk bertugas sebagai Penasihat Pelajaran untuk badan UNESCO. Beliau dikatakan terkena ‘stroke’ dan meninggal dunia di tanah airnya England pada tahun 1978

No comments:

Post a Comment