Sunday 30 October 2011

Konvensyen Kebangsaan Pendidikan Guru 2011


Konvensyen berlangsung pada 30 Oktober hingga 2 November 2011 di A'Famosa Resort, Alor Gajah, Melaka. Konvensyen ini dianjurkan oleh Bahagian Pendidikan Guru dan Institut Pendidikan Guru Malaysia. Tema konvensyen adalah "Transformasi Profesionalisme Keguruan Menjana Kualiti Guru". Mereka yang terlibat terdiri daripada para pensyarah IPGM, pegawai BPG dan JPN, jemaah nazir dan guru-guru sekolah. IPG Kampus Pulau Pinang diwakili oleh Dr. S. Balasubramaniam, Dr. Nur Jahan Ahmad dan En. Roslan Saadon. Perasmian pembukaan konvensyen disempurnakan oleh Y.Bhg. Dato' Sri Abdul Ghafar Mahmud, KPPM dan ditutup secara rasmi oleh Y.Bhg. Tn. Hj. Sufa'at Tumin, Timbalan KPPM Sektor Pembangunan Profesionalisme Keguruan.

Saturday 29 October 2011

Kongres Bahasa & Persuratan Melayu VIII


Kongres berlangsung selama 3 hari bermula 28 hingga 30 Oktober 2011 di Dewan Bahasa dan Pustaka. Program yang dirasmikan oleh YAB Tan Sri Dato' Hj. Muhyiddin Hj. Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia melibatkan pembentangan kertas kerja dari pegawai tinggi kerajaan dan cendikiawan Melayu. KGMMB menghantar 4 orang peserta terdiri daripada Tn. Hj. Mohamad Sabri Hj. Arshad, En. Abu Bakar RA Mohd, Tn. Hj. Atan Nordin dan En. Roslan Saadon. Antara isu penting yang menjadi topik hangat adalah isu pemansuhan PPSMI. Prof. Dr. Isahak Haron mengungkapkan bahawa PPSMI memberi impak yang negatif kepada pencapaian pendidikan anak-anak Melayu.

Monday 24 October 2011

Bengkel Penulisan Sejarah


Bengkel berlangsung pada 22 Oktober 2011, dari jam 8.30 pagi hingga 1.00 petang di Bilik Blok Beringin IPG Kampus Pulau Pinang. Prof. Madya Dr. Mahani Musa dari USM diundang khas untuk menyampaikan ceramah. Bersesuaian dengan kepakarannya, para peserta telah didedahkan dengan cakupan dan kepentingan sejarah Pulau Pinang. Beliau juga membimbing para peserta menghasilkan penulisan sejarah mengikut metod yang betul. YB Sr. Hj. Muhamad Farid Hj. Saad turut hadir untuk menyampaikan ucapan penutupan dan seterusnya menyampaikan sijil kepada peserta bengkel. Prof. Madya Dr. Mahani tidak melepaskan peluang mengisi borang keahlian dan seterusnya menyertai PERADABAN.

Mesyuarat Agung PERADABAN Kali Pertama


Mesyuarat berlangsung pada 24 Ogos 2011, jam 3.00 petang di Blok Beringin, IPG Kampus Pulau Pinang. YB Hj. Muhamad Farid Hj. Saad telah menyampaikan ucapan dan merasmikan mesyuarat tersebut. Persatuan sah beroperasi apabila didaftarkan pada 27 Julai 2011. Kerja-kerja pendaftaran diusahakan oleh Tn. Hj. Baharul Azhar selaku setiausaha dan dibantu oleh En. Roslan Saadon, Yang Dipertua PERADABAN. Cendikiawan yang turut hadir dalam mesyuarat agung tersebut ialah Prof. Dr. Suhaimi dan Prof. Madya Dr. Main Rindam dari USM. Mesyuarat perlu diadakan bagi membentuk jawatankuasa baru bagi menggerakkan aktiviti dan perancangan persatuan. En. Roslan Saadon dilantik sebagai Yang Dipertua, Tn. Hj. Juhari Mohamad Nor sebagai Naib Yang Dipertua dan Tn. Hj. Baharul Azhar Hj. Omar sebagai Setiausaha. Pn. Arbakyah Hassan dilantik sebagai Bendahari dan beberapa orang lagi dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa.

Sunday 23 October 2011

Mesyuarat Penubuhan Persatuan Sejarah & Peradaban Melayu Pulau Pinang


Mesyuarat berlangsung pada 26 Jun 2011 di Pejabat PGMPPS, No. 12A, Jalan Koperasi, Taman Koperasi Guru, Tanah Liat, Bukit Mertajam bermula jam 4.30 petang. Mereka yang hadir terdiri daripada ahli kesatuan guru (KGMMB & PGMPPS), pegawai Pejabat Pendidikan Daerah, pekerja swasta dan pesara. Kata sepakat diambil dan ditubuhkan Persatuan Sejarah dan Peradaban Melayu Pulau Pinang atau PERADABAN. Nama yang dipersetujui dalam mesyuarat sebelum itu dipinda iaitu warisan kepada tamadun. Perlembagaan disediakan oleh En. Roslan Saadon dan dibentang dalam mesyuarat tersebut. YB. Sr. Hj. Muhamad Farid Hj. Saad turut hadir dan dilantik sebagai Penasihat PERADABAN. Beliau merupakan orang yang bertanggungjawab mengeluarkan idea penubuhan dan menjadi teraju utamanya. Buat sementara waktu pejabat PERADABAN adalah di No. 12A, Jalan Koperasi, Taman Koperasi Guru, Tanah Liat, Bukit Mertajam, menumpang pejabat PGMPPS.