Kumpulan Qasidah dan Kumpulan Gamelan IPG Kampus Pulau Pinang terlibat dengan Majlis Sambutan Hari Ulang Tahun Kelahiran Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang. Majlis anjuran KGMMB dan PGMPPS itu berlangsung pada 29 September 2013 bermula jam 1.20 petang hingga 2.30 petang di Restoran Pan Mutiara, Batu Maung, Pulau Pinang. Kumpulan Gamelan memperdengarkan alunan muziknya mengiringi ketibaan dan kepulangan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri. Kumpulan Qasidah pula menyampaikan nasyid semasa Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri dan tetamu kehormat menikmati jamuan. Selepas beberapa buah lagu didendangkan oleh Kumpulan Qasidah, Kumpulan Gamelan pula menyambung dengan memainkan lagu-lagu instrumental. Kedua-dua kumpulan ini mendapat pujian daripada para hadirin termasuk Presiden KGMMB. Kedua-dua pengacara yang juga pelajar IPG Kampus Pulau Pinang turut mendapat pujian. Para pelajar IPG Kampus Pulau Pinang yang terlibat berjaya menjadikan majlis berjalan dengan baik dan meriah.
Warga IPG Kampus Pulau Pinang yang juga terlibat menjayakan majlis tersebut ialah En. Jamal Mohamed Abdul Rahman dan Dr. Tan Huat Tian. Mereka berdua menguruskan protokol dan pengurusan majlis. Pn. Arbakyah Hassan pula terlibat dalam penyediaan skrip pengacaraan, manakala Pn. Normawar Ahmad Marzuki terlibat dalam penghasilan dan pendeklamasian sajak. Gabungan pensyarah dan pelajar IPG Kampus Pulau Pinang ini berjaya mengurus dan menjadikan majlis berjalan dengan baik dan lancar serta meriah. Terima kasih yang tidak terhingga daripada KGMMB dan PGMPPS kepada Pengarah, Timbalan Pengarah, pensyarah dan pelajar IPGKPP yang terlibat. Inilah sumbangan luar IPGKPP dalam memperkenal IPG serta warganya dan seterusnya memartabat IPG sebagai sebuah institusi yang bukan sahaja melatih pelajarnya mengajar tetapi juga terlibat dalam masyarakat.
No comments:
Post a Comment