Thursday, 19 September 2013

PENA PENGARANG SUARA KGMMB

Bismilahirrahmanirrahim
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Berjumpa lagi kita guru-guru Melayu dalam Suara KGMMB keluaran terbaru. Terlebih dahulu diucapkan Selamat Tahun Baru 2014 kepada semua rakan guru. Pastinya pelbagai kejayaan dan nikmat diperoleh sepanjang tahun 2013. Saya percaya ramai yang menerima kenaikan pangkat atau gred, memperoleh kelulusan yang lebih tinggi, memperoleh cahaya mata, berumahtangga dan sebagainya. Semuanya merupakan nikmat dari yang maha kuasa. Namun, terdapat juga rakan-rakan guru yang masih belum berjaya dalam mencapai apa-apa yang diimpikan. Anggaplah ia sebagai kejayaan yang tertangguh dan tingkatkan lagi usaha untuk mencapainya.

KGMMB sentiasa memainkan peranan membantu ahli terutama dalam hal-hal yang berkaitan perjawatan dan peningkatan profesionalisme. Perjuangan KGMMB berjalan secara sendirian atau bersama kesatuan-kesatuan lain melalui Kongres. Pelbagai perkara diajukan kepada pihak kementerian seperti 'Isu Perjawatan Ex-PPLD' yang terhukum kerana melanjutkan pengajian awal ke universiti. Mereka bukan sahaja tertinggal gajinya di belakang berbanding ‘junior’, tetapi juga tiada peluang dinaikkan pangkat sebagai pentadbir. KGMMB juga terlibat dalam pemurnian “11 Resolusi” yang diketengakan dalam Kongres. Begitu juga dengan Resolusi Tawau yang melibatkan beberapa isu antaranya penstrukturan PPD, PBS, penjenamaan semula IPG, menolak kemasukan PTD dan menentang tuntutan Dong Zhong, KGMMB turut sama terlibat.

Ketika seluruh negara bersatu mengumpul dana untuk mengisi Tabung Wira Lahad Datu, KGMMB tidak terkecuali menghulurkan bantuan. Cek berjumlah RM35,000.00 daripada KGMMB disampaikan kepada wakil KPM iaitu Y.Bhg. Datuk Sufa'at bin Tumin, Timbalan KPPM. KGMMB juga menghantar 4 orang wakil ke Mesyuarat Pemuafakatan Jawatankuasa Kerja Pelaksana Menangani Isu Beban Tugas Guru (JKPMIBTG) Bersama Kesatuan Guru di KPM, Putrajaya pada 22 Januari 2013. Mesyuarat berkisar kepada status pelaksanaan 28 perakuan menangani 14 isu beban tugas guru, perbincangan isu baru beban tugas guru dan hal-hal lain. Tn. Hj. Mohamad Sabri, Presiden KGMMB memainkan peranan yang aktif dengan memberikan banyak komen dan pandangan. Beliau juga mengemukakan pelbagai isu baru berkaitan beban tugas guru.

Dalam waktu yang sama, KGMMB juga mengambil berat akan kepentingan pendidikan negara. Anak-anak Melayu dan bumiputera khususnya perlu sentiasa disedarkan dengan kepentingan pendidikan. Kita bukan sahaja menjaga perjawatan dan kebajikan guru, tetapi juga menjadi agen perubahan dan pemodenan bangsa dan negara. Pelbagai nikmat yang dikecapi hasil perjuangan kesatuan dan komitmen kerajaan perlu dimanifestasi oleh guru-guru dalam bentuk pelaksanaan tugasan yang komited dan profesionalisme. Agar nanti, generasi yang kita bentuk menjadi manusia yang berjaya, tidak hidup melarat di tanah air sendiri dan terus mengecapi kebahagiaan dunia dan akhirat. Perjuangan guru-guru Melayu dalam KPGMS perlu dijadikan pedoman. Mereka berjaya mengangkat kedudukan bahasa Melayu dan dasar pendidikan  negara yang berlandaskan jati diri negara. Kita yang semakin tinggi pendidikan dan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan canggih, pastinya mampu menjadi guru yang lebih hebat. 

Sekian, terima kasih. Wassalam.



No comments:

Post a Comment