Monday, 30 September 2013

PERSEMBAHAN QASIDAH DAN GAMELAN IPG KAMPUS PULAU PINANG




Kumpulan Qasidah dan Kumpulan Gamelan IPG Kampus Pulau Pinang terlibat dengan Majlis Sambutan Hari Ulang Tahun Kelahiran Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang. Majlis anjuran KGMMB dan PGMPPS itu berlangsung pada 29 September 2013 bermula jam 1.20 petang hingga 2.30 petang di Restoran Pan Mutiara, Batu Maung, Pulau Pinang. Kumpulan Gamelan memperdengarkan alunan muziknya mengiringi ketibaan dan kepulangan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri. Kumpulan Qasidah pula menyampaikan nasyid semasa Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri dan tetamu kehormat menikmati jamuan. Selepas beberapa buah lagu didendangkan oleh Kumpulan Qasidah, Kumpulan Gamelan pula menyambung dengan memainkan lagu-lagu instrumental. Kedua-dua kumpulan ini mendapat pujian daripada para hadirin termasuk Presiden KGMMB. Kedua-dua pengacara yang juga pelajar IPG Kampus Pulau Pinang turut mendapat pujian. Para pelajar IPG Kampus Pulau Pinang yang terlibat berjaya menjadikan majlis berjalan dengan baik dan meriah.

Warga IPG Kampus Pulau Pinang yang juga terlibat menjayakan majlis tersebut ialah En. Jamal Mohamed Abdul Rahman dan Dr. Tan Huat Tian. Mereka berdua menguruskan protokol dan pengurusan majlis. Pn. Arbakyah Hassan pula terlibat dalam penyediaan skrip pengacaraan, manakala Pn. Normawar Ahmad Marzuki terlibat dalam penghasilan dan pendeklamasian sajak. Gabungan pensyarah dan pelajar IPG Kampus Pulau Pinang ini berjaya mengurus dan menjadikan majlis berjalan dengan baik dan lancar serta meriah. Terima kasih yang tidak terhingga daripada KGMMB dan PGMPPS kepada Pengarah, Timbalan Pengarah, pensyarah dan pelajar IPGKPP yang terlibat. Inilah sumbangan luar IPGKPP dalam memperkenal IPG serta warganya dan seterusnya memartabat IPG sebagai sebuah institusi yang bukan sahaja melatih pelajarnya mengajar tetapi juga terlibat dalam masyarakat.

KGMMB/PGMPPS MERAIKAN HARI ULANG TAHUN KELAHIRAN TYT YANG DIPERTUA NEGERI PULAU PINANG


Tanggal 29 September 2013 merupakan satu tarikh yang amat bermakna bagi KGMMB dan PGMPPS kerana berjaya menganjurkan majlis hari ulang tahun kelahiran Tuan Yang Terutama Tun Dato' Seri Utama (Dr) Haji Abdul Rahman Haji Abbas, Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang. Majlis tersebut berlangsung di Restoran Pan Mutiara, Batu Maung, Pulau Pinang pada jam 1.20 petang bersempena dengan kehadiran Tuan Yang Terutama  ke majlis walimatul urus anak perempuan Cikgu Roslan Saadon, Naib Presiden 2 KGMMB/ Setiausaha Persatuan Guru-guru Melayu Pulau Pinang dan Seberang Perai, yang juga Yang Dipertua Persatuan Sejarah dan Peradaban Melayu Pulau Pinang. Ketibaan Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri disambut oleh Presiden dan Timbalan Presiden KGMMB serta Timbalan Yang Dipertua PGMPPS. Tuan Yang Terutama Tun Dato' Seru Utama berjalan masuk ke dewan dan bersalam serta beramah mesra dengan para pegawai kanan KGMMB dan PGMPPS. Dalam majlis ringkas tetapi penuh bermakna itu, Cikgu Normawar Marzuki telah menghasilkan sebuah puisi dan mendeklamasikannya bagi pihak KGMMB/PGMPPS khusus untuk Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri. Sajak tersebut bertajuk Tun Yang Teristimewa. Majlis juga diserikan lagi dengan persembahan gamelan dan qasidah IPG Kampus Pulau Pinang. Selepas acara pendeklamasian sajak, Tuan Haji Mohamad Sabri Mohd Arshad, Presiden KGMMB dan Tuan Haji Juhari Mohamad Nor, Timbalan Yang Dipertua PGMPPS menyampaikan hadiah harijadi kepada Tuan Yang Terutama Tun Dato' Seri Utama. Cikgu Normawar juga turut menghadiahkan buku puisi karya beliau. Berikut adalah puisi yang ditulis dan dideklamasikan oleh Cikgu Normawar Marzuki khusus buat Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang sempena hari lahir yang ke-75.

TUN YANG TERTISTIMEWA

membacamu 
hidup
persis sebuah puisi
menyimpan
lapisan makna
zaman dan ruang

dari tapakkecil anak permatang
remaja empat belas sudah ditatih mendidik mengajar
darah guru ayah dan nenda
melarik makna mengarang jasa

membacamu
dalam kembara kehidupan
silat tangkas tepis lawan
suara suara rakyat di dewan 
di pasang telinga, ditimbang neraca
mengayam tenang bangsa pelbagai warna
merakam pengalaman 
yang pahit, yang manis
menjadikan TUN
insan tepu uji 
dan duga

membaca
bakti bukan berbagi untung
tika 
sorang guru diangkat menjadi tugu
dijulang bagai raja
darah merahmu tidak biru
tawa dan tangis tetap sama
yang lain
bahkan
diisi tabah, doa dan iman

membacamu 
TUN
mengajar tentang nilai
perjuangan 
pada bangsa dan agama

TUN
kami pewaris guru 
dari bangsamu

kami 
generasi terpimpin
tekun ralip tafsir
sebuah puisi  kehidupan agung

TUN YANG TERISTIMEWA
wujud dalam
citra merlap
wangimu.
. 
MAWAR MARZUKI
Bagi pihak KGMMB/PGMPPS








CERAMAH PC UNTUK PROGRAM BIG SEMESTER 6 PISMP

Ceramah Pensyarah Cemerlang untuk pelajar PISMP Semester 6 berlangsung di Dewan Kuliah Utama, IPG Kampus Pulau Pinang pada 25 September 2013. Ceramah selama dua jam ini merupakan slot tambahan Bina Insan Guru (BIG) setelah memperolehi input Guru Cemerlang di sekolah. Program yang berlangsung dari jam 2.30 petang dan berakhir pada jam 4.30 petang itu menyajikan dua sesi ceramah yang disampaikan oleh En. Roslan Saadon, Pensyarah Cemerlang Sejarah dan En Jamal Mohamed Abdul Rahman, Setiausaha Akademik IPG Kampus Pulau Pinang. En. Roslan Saadon berkongsi pengalaman bagaimana beliau berjaya menjadi Pensyarah Cemerlang dan memaparkan komponen-komponen yang dinilai serta proses penilaian Pensyarah Cemerlang. En. Jamal Mohamed pula berkongsi pengalaman dan petua bagaimana seseorang  boleh menjadi guru yang baik dan berkesan.



MAJLIS PERKAHWINAN NORAISHAH ROSLAN

Majlis Perkawinan Noraishah Roslan bersama Asri Jain berlangsung pada 29 September 2013 mulai jam 12.00 tengahari hingga 4.00 petang di Pan Mutiara Restoran, Batu Maung, Pulau Pinang. Kira-kira 1200 jemputan hadir terdiri daripada saudara mara, sahabat handai, rakan sekerja dan jiran tetangga. Majlis diserikan lagi dengan kehadiran tetamu kenamaan iaitu Tuan Yang Terutama Tun Dato' Seri Utama (Dr) Haji Abdul Rahman bin Haji Abbas, Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang. Tetamu kehormat yang turut hadir ialah YB Sr. Haji Muhamad Farid Hj. Saad, ADUN Pulau Betong; Tuan Haji Mohamad Sabri Mohd Arshad, Presiden KGMMB, Tuan Haji Jamaludin Jali, Timbalan Presiden KGMMB; Tuan Hj. Juhari Mohamad Nor, Timbalan Yang Dipertua PGMPPS, Y.Bhg. Dato Anuar, Pengerusi Persatuan Penulis Pulau Pinang; Tuan Haji Khalid Haji Ahmad, Pengarah IPG Kampus Pulau Pinang dan para pegawai KGMMB dan PGMPPS. Bagi memeriahkan lagi majlis, kumpulan Qasidah dan gamelan dari IPG Kampus Pulau Pinang menyampaikan persembahan yang hebat. Sesungguhnya, majlis pada hari tersebut berjalan dengan lancar dan meriah sekali. Kepada mereka yang terlibat secara langsung dan tidak langsung pihak keluarga pengantin merakamkan jutaan terima kasih. Tidak lupa ucapan terima kasih kepada En. Izzuddin, Pengurus Pan Mutiara dan penolongnya En. Yus yang telah menguruskan majlis dengan baik sekali.





Tuesday, 24 September 2013

SEMINAR INTEGRITI IPG KAMPUS PERLIS

Seminar Integriti IPG Kampus Perlis bermula pada 24 September 2013 di Dewan Pulai 1 dengan beberapa ceramah. Program bermula pada jam 8.30 pagi dengan ceramah "Integriti Dalam Pendidikan" yang disampaikan oleh En. Roslan Saadon dari IPG Kampus Pulau Pinang. Ceramah kedua disampaikan oleh wakil dari Institut Integriti Malaysia (IIM) dan ceramah ketiga disampaikan oleh Pengetua Cemerlang yang dibawa khas dari Johor. Para peserta terdiri daripada pelajar guru PISMP semester 8 yang akan menamatkan pengajian pada hujung tahun ini.



Sunday, 22 September 2013

MESYUARAT AGUNG KHAS PINDAAN PERLEMBAGAAN PGMPPS

Mesyuarat Agung Khas Pindaan Perlembagaan PGMPPS diadakan dengan tujuan menyemak dan meminda beberapa peraturan terutama berkaitan kebajikan dan keahlian. Mesyuarat berlangsung pada 22 September 2013 di No.12A, Jalan Koperasi, Taman Koperasi Guru, Tanah Liat, Bukit Mertajam bermula jam 9.00 pagi dan berakhir pada pukul 11.00 pagi. Cikgu Saidin Rashid selaku Yang Dipertua Persatuan Guru-guru Melayu Pulau Pinang dan Seberang Perai mempengerusikan majlis tersebut. Cikgu Baharul Azhar selaku penyelaras kerja-kerja semakan dan pindaan membentang draf pindaan yang telah digubal dengan terperinci dan jelas. Semua ahli mesyuarat berpuas hati dengan penjelasan tersebut dan menerima pindaan sebulat suara. Pindaan yang dibuat akan membolehkan guru-guru bersara mendaftar sebagai Ahli Seumur Hidup hanya dengan membayar yuran sebanyak RM50.00. Status dan kelayakan mereka sama seperti ahli-ahli yang masih berada dalam perkhidmatan. Selaku Setiausaha, Cikgu Roslan Saadon akan mengemukakan minit mesyuarat dan draf perlembagaan kepada pihak Pendaftar Pertubuhan untuk tindakan selanjutnya dengan kadar segera.




Thursday, 19 September 2013

FORUM REMAJA 2013



Pertandingan Forum Remaja Peringkat Kebangsaan 2013 berlangsung pada 18 dan 19 September 2013 di Auditorium DBP, Kuala Lumpur. Program anjuran DBP dan KPM ini mendapat dokongan dan kerjasama KGMMB dan Persatuan Linguistik Malaysia. KGMMB  terlibat dalam Jawatankuasa Induk dan menjadi panel hakim. Pada tahun ini KGMMB menaja pingat baharu dan sumbangan wang tunai berjumlah RM5000.00. Cikgu Roslan dan Cikgu Mohamad Sabri terlibat dalam jawatankuasa induk, manakala Cikgu Jamaluddin Jali, Cikgu Jasni Md Kechik dan Cikgu Mat Jidin terlibat sebagai hakim pertandingan. Majlis penutupan yang berlangsung pada 19 September 2013, disempurnakan oleh YB Dato' Jailani bin Johari, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia. Beliau juga telah menyampaikan hadiah kepada peserta dan pemenang. Juara Forum Remaja 2013 dinobatkan kepada SMK Lutong, Miri, Sarawak. KGMMB juga menerima cenderamata daripada pihak penganjur yang disampaikan oleh YB Dato' Jailani bin Johari kepada En. Roslan Saadon yang mewakili Presiden KGMMB.

PENA PENGARANG SUARA KGMMB

Bismilahirrahmanirrahim
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Berjumpa lagi kita guru-guru Melayu dalam Suara KGMMB keluaran terbaru. Terlebih dahulu diucapkan Selamat Tahun Baru 2014 kepada semua rakan guru. Pastinya pelbagai kejayaan dan nikmat diperoleh sepanjang tahun 2013. Saya percaya ramai yang menerima kenaikan pangkat atau gred, memperoleh kelulusan yang lebih tinggi, memperoleh cahaya mata, berumahtangga dan sebagainya. Semuanya merupakan nikmat dari yang maha kuasa. Namun, terdapat juga rakan-rakan guru yang masih belum berjaya dalam mencapai apa-apa yang diimpikan. Anggaplah ia sebagai kejayaan yang tertangguh dan tingkatkan lagi usaha untuk mencapainya.

KGMMB sentiasa memainkan peranan membantu ahli terutama dalam hal-hal yang berkaitan perjawatan dan peningkatan profesionalisme. Perjuangan KGMMB berjalan secara sendirian atau bersama kesatuan-kesatuan lain melalui Kongres. Pelbagai perkara diajukan kepada pihak kementerian seperti 'Isu Perjawatan Ex-PPLD' yang terhukum kerana melanjutkan pengajian awal ke universiti. Mereka bukan sahaja tertinggal gajinya di belakang berbanding ‘junior’, tetapi juga tiada peluang dinaikkan pangkat sebagai pentadbir. KGMMB juga terlibat dalam pemurnian “11 Resolusi” yang diketengakan dalam Kongres. Begitu juga dengan Resolusi Tawau yang melibatkan beberapa isu antaranya penstrukturan PPD, PBS, penjenamaan semula IPG, menolak kemasukan PTD dan menentang tuntutan Dong Zhong, KGMMB turut sama terlibat.

Ketika seluruh negara bersatu mengumpul dana untuk mengisi Tabung Wira Lahad Datu, KGMMB tidak terkecuali menghulurkan bantuan. Cek berjumlah RM35,000.00 daripada KGMMB disampaikan kepada wakil KPM iaitu Y.Bhg. Datuk Sufa'at bin Tumin, Timbalan KPPM. KGMMB juga menghantar 4 orang wakil ke Mesyuarat Pemuafakatan Jawatankuasa Kerja Pelaksana Menangani Isu Beban Tugas Guru (JKPMIBTG) Bersama Kesatuan Guru di KPM, Putrajaya pada 22 Januari 2013. Mesyuarat berkisar kepada status pelaksanaan 28 perakuan menangani 14 isu beban tugas guru, perbincangan isu baru beban tugas guru dan hal-hal lain. Tn. Hj. Mohamad Sabri, Presiden KGMMB memainkan peranan yang aktif dengan memberikan banyak komen dan pandangan. Beliau juga mengemukakan pelbagai isu baru berkaitan beban tugas guru.

Dalam waktu yang sama, KGMMB juga mengambil berat akan kepentingan pendidikan negara. Anak-anak Melayu dan bumiputera khususnya perlu sentiasa disedarkan dengan kepentingan pendidikan. Kita bukan sahaja menjaga perjawatan dan kebajikan guru, tetapi juga menjadi agen perubahan dan pemodenan bangsa dan negara. Pelbagai nikmat yang dikecapi hasil perjuangan kesatuan dan komitmen kerajaan perlu dimanifestasi oleh guru-guru dalam bentuk pelaksanaan tugasan yang komited dan profesionalisme. Agar nanti, generasi yang kita bentuk menjadi manusia yang berjaya, tidak hidup melarat di tanah air sendiri dan terus mengecapi kebahagiaan dunia dan akhirat. Perjuangan guru-guru Melayu dalam KPGMS perlu dijadikan pedoman. Mereka berjaya mengangkat kedudukan bahasa Melayu dan dasar pendidikan  negara yang berlandaskan jati diri negara. Kita yang semakin tinggi pendidikan dan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan canggih, pastinya mampu menjadi guru yang lebih hebat. 

Sekian, terima kasih. Wassalam.



Friday, 13 September 2013

SUNGAI MELAKA MENYIMPAN SEJARAH SILAM


Malam 15 Mei 2008 sehari sebelum sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan, kami  para Pegawai KGMMB telah dibawa menyusuri Sungai Melaka. Bagiku peluang tersebut  merupakan satu pengalaman yang amat menarik dan berharga. Apatah lagi perjalanan berlaku  pada waktu malam, menjaminkankan suasana yang sangat indah dan romantik. Bagi pasangan kekasih atau mereka yang berbulan madu, perjalanan selama kira-kira 40 minit pada jarak 9 meter itu mempunyai ‘sentimental value’ yang tinggi.
Sebagai anak kelahiran Melaka, aku melihat perkembangan yang berlaku terhadap sungai yang menjadi kemegahan rakyat  itu. Aku membesar di Melaka dan setiap kali ke Melaka aku akan berpeluang melihat situasinya. Dari Stesyen Bas Melaka untuk ke Banda Hilir, tidak boleh tidak aku akan melalui beberapa tempat  yang menyusuri tebing Sungai Melaka. Dari tebing aku melihat bot-bot nelayan yang sedang bergerak mudik ke hulu atau ke kuala, melihat airnya yang keruh, kotor dan dicemari bahan buangan terutamanya sampah-sarap.
Itu dulu pada tahun 1980-an ketika aku masih remaja. Tapi kini segalanya berubah. Tebingnya dibina laluan pejalan kaki yang dijadikan tempat untuk beriadah dan dihias indah dengan lampu neon.  Kampung dan bangunan yang terdapat di tebing sungai kelihatan indah dan bersih. Segala-galanya amat menarik untuk disaksikan. Sepanjang perjalanan aku membayangkan betapa pentingnya sungai ini pada satu ketika dulu. Aku juga dapat merasakan betapa banyaknya maklumat yang tersimpan di sungai ini. Sungai Melaka menjadi saksi kepada sejarah silam negeri Melaka. Jika boleh berkata-kata, sudah tentu ia ingin membisikkan ke telingaku segala yang tersimpan di dadanya.



Satu ketika dulu sungai Melaka disusuri oleh tongkang dan jong untuk memunggah dan mengangkut barang dagangan. Kampung Jawa yang terletak di tebing Sungai Melaka menjadi tempat berdagang. Pedagang datang dari India, Cina, Nusantara, Parsi dan Arab. Pedagang Cina memperdagangkan kain sutera, teh dan barang-barang tembikar. Pedagang India memperdagangkan kain. Manakala pedagang Arab pula memperdagangkan karpet, minyak wangi dan lain-lain. Pedagang-pedagang tempatan pula menjual hasil hutan, rempah ratus, bijih timah, dan sebagainya.
Sungai Melaka juga menyaksikan akan kehebatan Melaka sebagai pusat perdagangan. Melaka menjadi sebuah empayar Melayu yang berpengaruh di seluruh Tanah Melayu dan Sumatera telah bertindak sebagai pusat perdagangan antarabangsa, pusat penyebaran ilmu, dan pusat pengaruh tamadun asing berkembang dan meresap. Melaka diasaskan pada abad ke 15 oleh seorang putera Palembang yang lari dari tanah air akibat serangan tentera Majapahit. Parameswara cuba membebaskan Palembang dari kekuasaan Majapahit di kala berlaku pergeseran antara Wikrama Wardhana yang dinobat sebagai pengganti Hayam Wuruk yang meninggal dunia pada tahun 1389  dengan Bhre Wirabhumi, putera tunggal Hayam Wuruk.
Sungai Melaka juga melihat bagaimana Islam mempengaruhi kemajuan Melaka. Perkembangan Melaka berkait rapat dengan kehadiran Islam hasil daripada hubungan dagangan dengan saudagar-saudagar India yang berterusan berlaku di samping mempunyai hubungan politik dengan Cina. Di bawah Sultan Mansur Shah, Sultan Alauddin, dan Sultan Mahmud, Melaka telah mencapai zaman emasnya. Melaka menjadi pusat perdagangan yang didatangi oleh kapal-kapal perdagangan dari Timur Tengah, Cina, Mesir, Persia, India, dan sebagainya.
Hal ini diakui oleh Albuquerque di dalam tulisannya;
 “This part of Malacca is very safe; there are no storms to injure it,   and never was a ship lost there. It forms  point where some monsoons commence and others end, so that inhabitants of  Malacca call those of India people of the west, and the Javanese, Chinese and Gores,and all others of those islanders, people of the east; and Malacca is the middle of all this, a sure and speedy navigation, such as Singapore never had , for the shoals of Capacia many a ship has been lost. And  those who come from the east to the west find here western merchandize, and carry it away with them, leaving that which the bring of theirs here instead, and like manner do they come from the west”

Kekayaan Alam Melayu tersebar ke Eropah melalui peranan pedagang-pedagang Islam yang telah memperkenalkan penggunaan rempah dalam masyarakat Eropah. Hal ini telah membawa Sepanyol dan Portugis belayar ke Kepulauan Melayu untuk membeli rempah. Orang-orang Cina, India, dan Parsi datang ke Kepulauan Melayu untuk berdagang. Orang-orang Eropah bukan sahaja datang untuk tujuan mengaut keuntungan daripada kegiatan perdagangan, malah merebut kemerdekaan bangsa dan tanah air orang-orang Melayu. Negeri-negeri Melayu menjadi rebutan East-Hindia Company sama ada milik British, Portugis, atau Belanda. Pengaruh kapitalis yang telah menjalar ke Alam Melayu akhirnya berkembang menjadi  imperialis. Inilah yang berlaku kepada Melaka apabila ditakluk oleh Portugis pada tahun 1511.
Begitu juga dengan bangunan Stadthuys (Rumah Merah) yang dibina di tepi sungai Melaka menjadi bukti yang disaksikan oleh sungai itu bahawa Melaka menjadi jajahan Belanda selepas Portugis. Hampir dengan kuala sungai pula terdapat kawasan yang menjadi petempatan bagi kaum Baba dan Nyonya. Mereka menjadikan budaya Melayu sebagai amalan kehidupan walaupun masih berpegang kepada agama dan kepercayaan asal. Mereka memakai baju kebaya dan kain batik. Mereka bertutur dengan menggunakan bahasa Melayu. Mereka juga makan masakan yang sama seperti orang Melayu seperti cincaluk, sambal belacan, asam pedas dan sebagainya.



Walaupun masa berubah dan kemajuan berlaku dengan pesat, namun satu perkara yang membanggakan ialah pengekalan struktur dan bentuk rumah yang terdapat di Kampung Morton di pinggir sungai tersebut. Rumah bentuk tradisional ini perlu dikekalkan sebagai bahan sejarah yang perlu disaksikan oleh generasi kini. Pujian yang tidak terhingga kepada kerajaan Melaka atas usaha yang dilakukan demi mengekalkan warisan sejarah dan tradisi tanah air. Walau setinggi mana pembangunan dan pemodenan, warisan bangsa perlu dipelihara.Itulah jati diri bangsa kita orang Melayu yang perlu dikekalkan walaupun pelbagai kemajuan datang melanda.
…RsAwab







Wednesday, 11 September 2013

BENGKEL PEMBANGUNAN PROFESIONALISME PENSYARAH CEMERLANG

Program anjuran Jabatan Kepimpinan dan Pembangunan Profesionalisme, IPGM ini bertujuan mendapatkan input daripada para pensyarah cemerlang zon utara bagi menjayakan kursus-kursus untuk para pensyarah IPG. Seramai 33 orang pensyarah cemerlang dari IPG Kampus Perlis, Kampus Darul Aman, Kampus Sultan Abdul Halim, Kampus Tuanku Bainun dan Kampus Pulau Pinang terlibat dalam bengkel tersebut. Bengkel berlangsung dari 9 hingga 11 September 2013 di Kem Bina Negara, Langkawi. Para peserta dibahagikan kepada lima kumpulan untuk berbincang, merangka dan menghasilkan modul kursus yang meliputi komponen sahsiah, PdP, TMK, Penyelidikan dan sebagainya. Pensyarah IPG Kampus Pulau Pinang yang terlibat ialah Cik Saw Paik Ai, Ustaz Hj. Rijaluddin Yahya, En. Che Yusof Che Hassan, Dr. Koay Chen Yong, Dr. Lee Seoh Choon dan En. Roslan Saadon.





Thursday, 5 September 2013

KURSUS PEMBANGUNAN PROFESIONALISME BERTERUSAN (CPD) GURU DG41 PERAK

Kursus yang melibatkan guru-guru DG41 negeri Perak ini berlangsung pada 3 hingga 7 September 2013 di Pangkor Holiday Resort, Pulau Pangkor. Kursus bertujuan meningkatkan pengetahuan dan kemahiran, serta motivasi guru bagi menghadapi dunia pendidikan yang semakin mencabar. Guru merupakan pengurus bilik darjah yang penting dan penentu kepada kemenjadian pelajar. Sasaran kursus merupakan guru DG41 Zon Utara-K7 Perak. Para peserta menjalani kursus dengan penuh minat dan menunjukkan komitmen yang tinggi. Kursus dikendali oleh JPN Perak dengan kerjasama pensyarah IPG Kampus Pulau Pinang yang diketuai oleh En. Jamal Mohamed Abdul Rahman. Pensyarah yang terlibat ialah Pn. Teh Kim Hong, En. Aziz Ishak, Dr. Muhammad Raini Mat Rahim, Dr. S. Balasubramaniam, Dr. Parvinder Singh Amar Singh, En. Salahuddin, En. Zaili Idris dan En. Roslan Saadon. 









Tuesday, 3 September 2013

MESYUARAT JAWATANKUASA FORUM REMAJA KALI KE3-2013


Mesyuarat Jawatankuasa Forum Remaja Kali Ke-3, 2013 ini berlangsung di Bilik Tun Perak, Tingkat 29, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur pada 2 September 2013 bermula jam 9.00 pagi. Mesyuarat ini melibatkan pegawai-pegawai DBP, wakil-wakil Jabatan Pelajaran Negeri dan wakil NGO dari KGMMB dan Persatuan Linguistik Malaysia (PLM). Mesyuarat berkisar kepada penyusunan tugas, perjalanan program, peserta forum, hakim forum dan peruntukan program. Forum Remaja merupakan pertandingan yang diuruskan bersama oleh DBP dan Kementerian Pelajaran Malaysia dengan kerjasama KGMMB dan PLM. KGMMB diwakili oleh Tn. Hj. Mohamad Sabri Mohd Arshad dan En. Roslan bin Saadon. Dalam mesyuarat ini Tn. Hj. Mohamad Sabri Mohd Arshad, Presiden KGMMB menyerahkan secara rasmi Piala Forum Remaja yang baru dan sumbangan tambahan bernilai RM2000.00 kepada wakil DBP. Sebelum ini KGMMB telah menyerah sumbangan sebanyak RM3000.00 dan ini bermakna bermula tahun 2013, KGMMB menyumbang sebanyak RM5000.00 dan akan berterusan untuk tahun-tahun berikutnya. Sumbangan KGMMB ini menjadi tanda bahawa KGMMB amat komited dalam memartabat bahasa Melayu seabagai bahasa rasmi dan bahasa pengantar sistem pendidikan negara.

MAJLIS JAMUAN AIDIL FITRI PGMPPS/KGMMB PULAU PINANG

Seramai kira-kira 200 orang hadir Majlis Jamuan Aidil Fitri PGMPPS/KGMMB Cawangan Pulau Pinang yang berlangsung pada 25 Ogos 2013 di Hotel Seri Malaysia, Kepala Batas, Pulau Pinang. Program bermula pada pukul 5.00 petang dengan bacaan doa dan disusuli ucapan alu-aluan Tn. Hj. Saidin Rashid, Pengerusi KGMMB Pulau Pinang. Seterusnya majlis menjemput Tn. Hj. Jamaluddin Jali, Timbalan Presiden KGMMB menyampaikan ucapan. Perasmian majlis disempurnakan oleh YB Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, Ahli Parlimen Kepala Batas. Dalam ucapan, beliau menyatakan rasa bangga kerana dijemput merasmikan majlis aidil fitri itu dan seterusnya dapat bersama dengan para pendidik. Beliau juga menggesa agar orang-orang Melayu bersatu dalam mempertahankan hak mereka di tanah air sendiri. Perpecahan orang-orang Melayu akan menjadikan orang Melayu lemah dan terus ketinggalan dalam segala aspek. Kekuatan politik Melayu amat penting dalam memastikan survival politik Melayu-Islam. Beliau juga mengisytihar sumbangan derma sebanyak RM10,000.00 untuk PGMPPS/KGMMB Cawangan Pulau Pinang.