Monday, 30 September 2013

PERSEMBAHAN QASIDAH DAN GAMELAN IPG KAMPUS PULAU PINANG




Kumpulan Qasidah dan Kumpulan Gamelan IPG Kampus Pulau Pinang terlibat dengan Majlis Sambutan Hari Ulang Tahun Kelahiran Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang. Majlis anjuran KGMMB dan PGMPPS itu berlangsung pada 29 September 2013 bermula jam 1.20 petang hingga 2.30 petang di Restoran Pan Mutiara, Batu Maung, Pulau Pinang. Kumpulan Gamelan memperdengarkan alunan muziknya mengiringi ketibaan dan kepulangan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri. Kumpulan Qasidah pula menyampaikan nasyid semasa Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri dan tetamu kehormat menikmati jamuan. Selepas beberapa buah lagu didendangkan oleh Kumpulan Qasidah, Kumpulan Gamelan pula menyambung dengan memainkan lagu-lagu instrumental. Kedua-dua kumpulan ini mendapat pujian daripada para hadirin termasuk Presiden KGMMB. Kedua-dua pengacara yang juga pelajar IPG Kampus Pulau Pinang turut mendapat pujian. Para pelajar IPG Kampus Pulau Pinang yang terlibat berjaya menjadikan majlis berjalan dengan baik dan meriah.

Warga IPG Kampus Pulau Pinang yang juga terlibat menjayakan majlis tersebut ialah En. Jamal Mohamed Abdul Rahman dan Dr. Tan Huat Tian. Mereka berdua menguruskan protokol dan pengurusan majlis. Pn. Arbakyah Hassan pula terlibat dalam penyediaan skrip pengacaraan, manakala Pn. Normawar Ahmad Marzuki terlibat dalam penghasilan dan pendeklamasian sajak. Gabungan pensyarah dan pelajar IPG Kampus Pulau Pinang ini berjaya mengurus dan menjadikan majlis berjalan dengan baik dan lancar serta meriah. Terima kasih yang tidak terhingga daripada KGMMB dan PGMPPS kepada Pengarah, Timbalan Pengarah, pensyarah dan pelajar IPGKPP yang terlibat. Inilah sumbangan luar IPGKPP dalam memperkenal IPG serta warganya dan seterusnya memartabat IPG sebagai sebuah institusi yang bukan sahaja melatih pelajarnya mengajar tetapi juga terlibat dalam masyarakat.

KGMMB/PGMPPS MERAIKAN HARI ULANG TAHUN KELAHIRAN TYT YANG DIPERTUA NEGERI PULAU PINANG


Tanggal 29 September 2013 merupakan satu tarikh yang amat bermakna bagi KGMMB dan PGMPPS kerana berjaya menganjurkan majlis hari ulang tahun kelahiran Tuan Yang Terutama Tun Dato' Seri Utama (Dr) Haji Abdul Rahman Haji Abbas, Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang. Majlis tersebut berlangsung di Restoran Pan Mutiara, Batu Maung, Pulau Pinang pada jam 1.20 petang bersempena dengan kehadiran Tuan Yang Terutama  ke majlis walimatul urus anak perempuan Cikgu Roslan Saadon, Naib Presiden 2 KGMMB/ Setiausaha Persatuan Guru-guru Melayu Pulau Pinang dan Seberang Perai, yang juga Yang Dipertua Persatuan Sejarah dan Peradaban Melayu Pulau Pinang. Ketibaan Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri disambut oleh Presiden dan Timbalan Presiden KGMMB serta Timbalan Yang Dipertua PGMPPS. Tuan Yang Terutama Tun Dato' Seru Utama berjalan masuk ke dewan dan bersalam serta beramah mesra dengan para pegawai kanan KGMMB dan PGMPPS. Dalam majlis ringkas tetapi penuh bermakna itu, Cikgu Normawar Marzuki telah menghasilkan sebuah puisi dan mendeklamasikannya bagi pihak KGMMB/PGMPPS khusus untuk Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri. Sajak tersebut bertajuk Tun Yang Teristimewa. Majlis juga diserikan lagi dengan persembahan gamelan dan qasidah IPG Kampus Pulau Pinang. Selepas acara pendeklamasian sajak, Tuan Haji Mohamad Sabri Mohd Arshad, Presiden KGMMB dan Tuan Haji Juhari Mohamad Nor, Timbalan Yang Dipertua PGMPPS menyampaikan hadiah harijadi kepada Tuan Yang Terutama Tun Dato' Seri Utama. Cikgu Normawar juga turut menghadiahkan buku puisi karya beliau. Berikut adalah puisi yang ditulis dan dideklamasikan oleh Cikgu Normawar Marzuki khusus buat Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang sempena hari lahir yang ke-75.

TUN YANG TERTISTIMEWA

membacamu 
hidup
persis sebuah puisi
menyimpan
lapisan makna
zaman dan ruang

dari tapakkecil anak permatang
remaja empat belas sudah ditatih mendidik mengajar
darah guru ayah dan nenda
melarik makna mengarang jasa

membacamu
dalam kembara kehidupan
silat tangkas tepis lawan
suara suara rakyat di dewan 
di pasang telinga, ditimbang neraca
mengayam tenang bangsa pelbagai warna
merakam pengalaman 
yang pahit, yang manis
menjadikan TUN
insan tepu uji 
dan duga

membaca
bakti bukan berbagi untung
tika 
sorang guru diangkat menjadi tugu
dijulang bagai raja
darah merahmu tidak biru
tawa dan tangis tetap sama
yang lain
bahkan
diisi tabah, doa dan iman

membacamu 
TUN
mengajar tentang nilai
perjuangan 
pada bangsa dan agama

TUN
kami pewaris guru 
dari bangsamu

kami 
generasi terpimpin
tekun ralip tafsir
sebuah puisi  kehidupan agung

TUN YANG TERISTIMEWA
wujud dalam
citra merlap
wangimu.
. 
MAWAR MARZUKI
Bagi pihak KGMMB/PGMPPS








CERAMAH PC UNTUK PROGRAM BIG SEMESTER 6 PISMP

Ceramah Pensyarah Cemerlang untuk pelajar PISMP Semester 6 berlangsung di Dewan Kuliah Utama, IPG Kampus Pulau Pinang pada 25 September 2013. Ceramah selama dua jam ini merupakan slot tambahan Bina Insan Guru (BIG) setelah memperolehi input Guru Cemerlang di sekolah. Program yang berlangsung dari jam 2.30 petang dan berakhir pada jam 4.30 petang itu menyajikan dua sesi ceramah yang disampaikan oleh En. Roslan Saadon, Pensyarah Cemerlang Sejarah dan En Jamal Mohamed Abdul Rahman, Setiausaha Akademik IPG Kampus Pulau Pinang. En. Roslan Saadon berkongsi pengalaman bagaimana beliau berjaya menjadi Pensyarah Cemerlang dan memaparkan komponen-komponen yang dinilai serta proses penilaian Pensyarah Cemerlang. En. Jamal Mohamed pula berkongsi pengalaman dan petua bagaimana seseorang  boleh menjadi guru yang baik dan berkesan.



MAJLIS PERKAHWINAN NORAISHAH ROSLAN

Majlis Perkawinan Noraishah Roslan bersama Asri Jain berlangsung pada 29 September 2013 mulai jam 12.00 tengahari hingga 4.00 petang di Pan Mutiara Restoran, Batu Maung, Pulau Pinang. Kira-kira 1200 jemputan hadir terdiri daripada saudara mara, sahabat handai, rakan sekerja dan jiran tetangga. Majlis diserikan lagi dengan kehadiran tetamu kenamaan iaitu Tuan Yang Terutama Tun Dato' Seri Utama (Dr) Haji Abdul Rahman bin Haji Abbas, Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang. Tetamu kehormat yang turut hadir ialah YB Sr. Haji Muhamad Farid Hj. Saad, ADUN Pulau Betong; Tuan Haji Mohamad Sabri Mohd Arshad, Presiden KGMMB, Tuan Haji Jamaludin Jali, Timbalan Presiden KGMMB; Tuan Hj. Juhari Mohamad Nor, Timbalan Yang Dipertua PGMPPS, Y.Bhg. Dato Anuar, Pengerusi Persatuan Penulis Pulau Pinang; Tuan Haji Khalid Haji Ahmad, Pengarah IPG Kampus Pulau Pinang dan para pegawai KGMMB dan PGMPPS. Bagi memeriahkan lagi majlis, kumpulan Qasidah dan gamelan dari IPG Kampus Pulau Pinang menyampaikan persembahan yang hebat. Sesungguhnya, majlis pada hari tersebut berjalan dengan lancar dan meriah sekali. Kepada mereka yang terlibat secara langsung dan tidak langsung pihak keluarga pengantin merakamkan jutaan terima kasih. Tidak lupa ucapan terima kasih kepada En. Izzuddin, Pengurus Pan Mutiara dan penolongnya En. Yus yang telah menguruskan majlis dengan baik sekali.





Tuesday, 24 September 2013

SEMINAR INTEGRITI IPG KAMPUS PERLIS

Seminar Integriti IPG Kampus Perlis bermula pada 24 September 2013 di Dewan Pulai 1 dengan beberapa ceramah. Program bermula pada jam 8.30 pagi dengan ceramah "Integriti Dalam Pendidikan" yang disampaikan oleh En. Roslan Saadon dari IPG Kampus Pulau Pinang. Ceramah kedua disampaikan oleh wakil dari Institut Integriti Malaysia (IIM) dan ceramah ketiga disampaikan oleh Pengetua Cemerlang yang dibawa khas dari Johor. Para peserta terdiri daripada pelajar guru PISMP semester 8 yang akan menamatkan pengajian pada hujung tahun ini.



Sunday, 22 September 2013

MESYUARAT AGUNG KHAS PINDAAN PERLEMBAGAAN PGMPPS

Mesyuarat Agung Khas Pindaan Perlembagaan PGMPPS diadakan dengan tujuan menyemak dan meminda beberapa peraturan terutama berkaitan kebajikan dan keahlian. Mesyuarat berlangsung pada 22 September 2013 di No.12A, Jalan Koperasi, Taman Koperasi Guru, Tanah Liat, Bukit Mertajam bermula jam 9.00 pagi dan berakhir pada pukul 11.00 pagi. Cikgu Saidin Rashid selaku Yang Dipertua Persatuan Guru-guru Melayu Pulau Pinang dan Seberang Perai mempengerusikan majlis tersebut. Cikgu Baharul Azhar selaku penyelaras kerja-kerja semakan dan pindaan membentang draf pindaan yang telah digubal dengan terperinci dan jelas. Semua ahli mesyuarat berpuas hati dengan penjelasan tersebut dan menerima pindaan sebulat suara. Pindaan yang dibuat akan membolehkan guru-guru bersara mendaftar sebagai Ahli Seumur Hidup hanya dengan membayar yuran sebanyak RM50.00. Status dan kelayakan mereka sama seperti ahli-ahli yang masih berada dalam perkhidmatan. Selaku Setiausaha, Cikgu Roslan Saadon akan mengemukakan minit mesyuarat dan draf perlembagaan kepada pihak Pendaftar Pertubuhan untuk tindakan selanjutnya dengan kadar segera.




Thursday, 19 September 2013

FORUM REMAJA 2013



Pertandingan Forum Remaja Peringkat Kebangsaan 2013 berlangsung pada 18 dan 19 September 2013 di Auditorium DBP, Kuala Lumpur. Program anjuran DBP dan KPM ini mendapat dokongan dan kerjasama KGMMB dan Persatuan Linguistik Malaysia. KGMMB  terlibat dalam Jawatankuasa Induk dan menjadi panel hakim. Pada tahun ini KGMMB menaja pingat baharu dan sumbangan wang tunai berjumlah RM5000.00. Cikgu Roslan dan Cikgu Mohamad Sabri terlibat dalam jawatankuasa induk, manakala Cikgu Jamaluddin Jali, Cikgu Jasni Md Kechik dan Cikgu Mat Jidin terlibat sebagai hakim pertandingan. Majlis penutupan yang berlangsung pada 19 September 2013, disempurnakan oleh YB Dato' Jailani bin Johari, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia. Beliau juga telah menyampaikan hadiah kepada peserta dan pemenang. Juara Forum Remaja 2013 dinobatkan kepada SMK Lutong, Miri, Sarawak. KGMMB juga menerima cenderamata daripada pihak penganjur yang disampaikan oleh YB Dato' Jailani bin Johari kepada En. Roslan Saadon yang mewakili Presiden KGMMB.