Monday, 25 June 2012

Pendudukan Jepun di Tanah Melayu 1941-1945


Dasar imperialisme Jepun telah bermula seawal abad ke-19. Minat itu tambah mendalam selepas Perang Dunia Pertama apabila Jepun mahu menguasai sumber dan pasaran Asia Tenggara. Jepun menamakan gerakan menguasai Asia Tenggara sebagai Nanshin (Gerakan Ke Selatan). Kesan perkembangan fasisme telah lama berakar umbi dalam masyarakat Jepun dengan tradisi samurai. Jepun mempunyai pasukan tentera yang berpengaruh dalam pentadbiran. Tentera pernah cuba merampas kuasa tetapi gagal namun tetap berperanan penting. Belanjawan tentera juga meningkat dalam tahun 1938-1942. Kepentingan ekonomi telah mengheret Jepun ke dalam kancah perang. Jepun ingin mendapatkan bahan mentah dan pasaran yang berterusan. Perluasan kuasa Jepun juga dapat dikaitkan dengan program industrialisasi yang sedang berlangsung dengan pesat. Jepun yang bersikap agresif telah menewaskan China pada 1894-95 dan Rusia pada 1904-05.

Pada tahun 1930 berlaku kemelesetan ekonomi dunia. Kuasa Barat yang menjajah Asia Tenggara telah mengawal ketat kemasukan barangan Jepun ke Asia Tenggara. Asia Tenggara sebagai tanah jajahan menjanjikan bekalan minyak, getah, timah, dan hasil-hasil lain. Penaklukan Asia Tenggara sebagai sebahagian rancangan Jepun menubuhkan "Pemerintahan Baru Asia Timur Raya". Jepun juga ingin mempelopori sikap anti imperialisme Barat dalam kalangan orang Asia kerana Asia hanya untuk orang Asia Jepun menawan Tanah Melayu melalui Gerakan ke Selatan. Ia juga dikenali sebagai Polisi Laut Selatan. Jepun menggunakan slogan Pan Asia, Asia Timur Raya dan Daerah Kemakmuran Asia Timur Raya. Bermula dengan kaedah pengintipan pada 1936 bagi mencari maklumat kemas kini, Jepun menggunakan rakyatnya yang bermastautin di Asia Tenggara untuk tujuan tersebut.  Jepun membuat pakatan tentera dengan kerajaan Thai. Tanah-tanah milik Jepun di Johor dan Singapura digunakan untuk tujuan pengintipan Pangkalan Tentera Laut British di Singapura dan pertahanan pesisir pantai.

Pada 8 Disember 1941, Perdana Menteri Thai iaitu Phibun Songram menyatakan sokongan kerajaannya kepada Jepun. Langkah ini diikuti dengan termetrainya perjanjian Jepun-Siam. Thailand membenarkan tentera Jepun melalui negaranya untuk menyerang Tanah Melayu dan Burma. Dengan ini bumi Thai akan dijamin kemerdekaannya. Jepun mengisytiharkan perang ke atas Amerika Syarikat dan Britain pada 8 Disember 1941. Jepun menyerang Pearl Harbour terlebih dahulu. Jepun kemudiannya pulau-pulau penting di Pacific, Hong Kong dan Filipina. Rancangan menawan Tanah Melayu menjadi lebih penting dengan tertawannya Indo-China dan persetujuan Thai. Pasukan tentera Jepun yang menyerang Tanah Melayu adalah di bawah pimpinan Lt Jeneral Tomoyuki Yamashita.Serangan bermula di Kota Bharu, Kelantan pada tengah malam 7 Disember 1941.

Kronologi Kemaraan Tentera Jepun Sehingga Kejatuhan Singapura

Serangan ke atas Singapura bermula pada 8 Februari 1942 dan pada 15 Februari pulau itu telah jatuh kepada Jepun. Kejatuhan Tanah Melayu dan Singapura merupakan kekalahan yang mengaibkan dalam sejarah British. Sebab utama kekalahan British ialah angkatan bersenjata British terlalu lemah untuk mengekang kemaraan Jepun. Serangan Jepun ke atas Pelabuhan Pearl dan kemaraan Jerman di Eropah telah melenyapkan peluang untuk mendapatkan bantuan terhadap tentera British di Tanah Melayu.

Kejayaan Jepun

a    a)  British berkeyakinan mereka tidak akan dapat ditewaskan.

b    b) Jepun bersemangat tinggi dan sanggup berjuang kerana menganggap perjuangan mereka suci.

c    c) Jepun berjaya mendapatkan sokongan penduduk tempatan bagi menyokong mereka.

d   d) Golongan yang berjaya dipengaruhi ialah golongan nasionalis Melayu termasuk KMM yang dipimpin oleh Ibrahim Haji Yaacob.

e   e)  Orang India dipengaruhi melalui Liga Kemerdekaaan India.

f.    f )  Pakatan Jepun-Thailand telah membantu memudahkan penaklukan Tanah Melayu.


Kesan Politik Pendudukan Jepun
Jepun tidak menggalakkan semangat kebangsaan seperti di Indonesia, Filipina dan Burma. Ini adalah kerana dasar politik Jepun adalah Tanah Melayu perlu terus dijadikan tanah jajahan.Pemimpin-pemimpin nasionalis seperti Ishak Hj Muhammad dan Ahmad Boestamam telah dibebaskan daripada tahanan. Menjelang kedatangan Jepun KMM bergerak sebagai pertubuhan politik yang sah. Secara rahsia, KMM telah membuat perhubungan dengan organisasi sayap kelima Jepun yang disebut Kame, yang diilhamkan dan diarah oleh Konsul Jeneral Jepun di Singapura. Namun demikian Kesatuan Melayu Muda (KMM) telah dibubarkan pada Jun 1942 walaupun pada tahap awal kesatuan itu telah bekerjasama dengan Jepun. Tindakan ini diambil kerana Jepun berpendapat KMM tidaklah begitu pro-Jepun. Kepada pemimpin KMM, kerjasama dengan Jepun adalah merupakan suatu usaha untuk mendapatkan kemerdekaan dalam kerangka yang lebih luas iaitu penyatuan dengan Indonesia.

Namun demikian, Pembela Tanah Air (PETA) telah ditubuhkan sebagai organisasi tentera sukarela yang ditaja oleh Jepun.Tindakan ini membolehkan Ibrahim Hj Yaakob merekrut pemimpin-pemimpin KMM. Apabila Jepun hampir kalah, barulah Jepun bersimpati dengan gerakan naionalis Melayu para nasionalis Melayu digalakkan menubuhkan KRIS atau Kesatuan Rakyat Indonesia Semenanjung / Kekuatan Rakyat Istimewa.KRIS merancang untuk merdeka dalam Indonesia. KRIS dipimpin oleh Dr Burhanuddin Helmy. Pada bulan Ogos 1945, KRIS membincangkan kemungkinan untuk Tanah Melayu digabungkan dengan Indonesia. Ini telah dibincangkan dengan Sukarno dan Hatta. Namun demikian rancangan kemerdekaan negara dalam lingkungan Indonesia tidak berjaya dilaksanakan. Dasar politik Jepun terhadap masyarakat India pula ditumpukan terhadap gerakan kebangsaan di India. Jepun menggalakkan penubuhan kerajaan buangan India di bawah Subhas Chandra Bose.

Sehubungan masyarakat Cina pula, mereka telah ditindas kerana permusuhan Jepun-China di samping kebimbangan terhadap gerakan anti-Jepun dalam kalangan orang Cina. Apabila tentera Jepun menyerang China, nasionalisme Cina di Tanah Melayu telah tergerak untuk mengadakan demonstrasi-demonstrasi. Barangan Jepun telah diboikot. Orang Cina di negara ini telah mengumpulkan $146 juta dari Julai 1937 ke November 1940 untuk tujuan menentang kemaraan Jepun di China. Ini lebih separuh daripada sejumlah $228 juta yang dikutip oleh orang Cina seberang laut melalui China Relief Fund. Ramai orang Cina terpaksa berpindah ke pinggir-pinggir hutan bagi menjalankan kegiatan pertanian. Berhadapan dengan kezaliman Jepun, mereka mula memberikan kerjasama kepada Parti Komunis Malaya (PKM).

Kesan Ekonomi Pendudukan Jepun
Matlamat Jepun untuk menguasai Tanah Melayu ialah untuk mengesploitasi bahan-bahan mentah dan meluaskan pasaran.Hasrat ini tidak tercapai kerana perang yang berlarutan dan terpaksa menghadapi sekatan ekonomi Barat. Tambahan pula jalan perhubungan darat banyak yang musnah kerana semasa British berundur, mereka mengamalkan dasar bumi hangus. Banyak lombong dan peralatan dimusnahkan. Semasa pendudukan Jepun, Tanah Melayu menghadapi tekanan ekonomi.Inflasi meningkat kerana Jepun mencetak wang tanpa kawalan. 65 juta wang diedarkan dalam masa dua bulan dan 285 juta wang kertas diedarkan sehingga Februari 1943. Jepun juga cuba memonopoli ekonomi Tanah Melayu. Permit-permit perniagaan dikeluarkan oleh pentadbiran tentera bagi memastikan syarikat-syarikat Jepun diberi layanan istimewa.

Kesan Sosial Pendudukan Jepun
Kehidupan rakyat terbeban.Kesihatan rakyat merosot.Ramai rakyat yang kehilangan tempat tinggal.  Mereka terpaksa hidup berpindah randah. Di samping itu banyak sekolah yang terpaksa ditutup dan pendidikan telah merosot.Masyarakat Cina menghadapi tekanan hebat kerana bersikap anti Jepun sebelum ini. Jepun mengamalkan dasar Sook Ching (pembersihan etnik).

Orang Cina juga dikehendaki membayar sejumlah 50 juta ringgit sebagai bayaran darah hutang dan hukuman kerana kegiatan anti-Jepun. Jepun memberikan layanan yang baik kepada orang India. Ramai pemimpin politik di India telah mempunyai hubungan yang baik dengan Jepun. Dengan bantuan Jepun, Tentera Nasional India dan Liga Kemerdekaan India ditubuhkan. Jepun menggalakkan pemimpin India untuk menentang British di negara itu.Tentera Nasional India telah merekrut seramai 20 ribu orang tentera yang pernah berkhidmat dengan pasukan British dan 30 ribu daripada kalangan buruh. Jepun dikatakan melaksanakan dasar pecah dan perintah. Orang Melayu diberikan layanan yang baik.

Namun kesan sosial yang diterima akibat peperangan tetap berat. Ramai pegawai kerajaan yang diberhentikan kerja. Ada yang dipotong gaji dan berhadapan dengan masalah inflasi. Ramai kakitangan kerajaan yang terpaksa menjalankan aktiviti pertanian untuk mencukupkan makanan. Kesukaran hidup masyarakat pada zaman ini dikenali sebagai "Zaman Ubi Kayu".Sekolah Inggeris ditutup sebagai usaha menjepunkan rakyat Tanah Melayu. Tumpuan diberikan kepada penggunaan bahasa Jepun. Pelbagai rancangan propaganda diadakan dengan menggunakan akhbar, sekolah dan aktiviti sosial. Sekolah-sekolah khas dibentuk untuk melatih pemuda-pemuda bersemangat waja. Jepun berusaha membina seishin (semangat) pemuda-pemuda.

Di samping itu rakyat dikawal dengan mewujudkan Kelab Membaca (Epposho). Matlamatnya adalah untuk menggalakkan perhubungan yang baik dengan pentadbiran Jepun dan mewujudkan persefahaman antara kaum. Pasukan lain yang ditubuhkan adalah seperti Pasukan Pertahanan Awam, Persatuan Kejiranan, Pasukan Sukarelawan Tambahan, Tentera  Sukarela dan Pasukan Sukarela. Jepun menggunakan buruh paksa dan mereka ini tidak dibayar gaji. Ramai yang dihantar untuk pembinaan keretapi maut di Burma.73 502 orang telah terlibat dengan pembinaan itu. Mereka dinamakan romusha.


Iktibar Pendudukan Jepun

Pendudukan Jepun yang hanya selama tiga tahun dan lapan bulan telah meninggalkan impak yang besar terhadap masyarakat negara ini. Masyarakat negara ini mula menyedari bahawa penjajahan adalah sesuatu yang perlu dihindari. Matlamat kuasa penjajah sama ada British atau Jepun adalah hampir sama iaitu bermotifkan kepentingan ekonomi. Retorik "Kesemakmuran Bersama Asia Timur Raya" dan Asia Untuk Asia" tidak lagi diyakini oleh masyarakat. Perubahan pendirian politik masyarakat Melayu dapat dilihat daripada penentangan terhadap gagasan Malayan Union yang dilakukan secara besar-besaran. Penentangan yang serius dan bersifat merakyat ini dianggap faktor penting untuk British bersetuju untuk memansuhkan Malayan Union dan menggantikannya dengan Persekutuan Tanah Melayu pada 1 Februari 1948. Perkembangan ini begitu memeranjatkan pihak pentadbir British seperti Edward Gent dan Malcolm MacDonald. Masyarakat Melayu tidak lagi berfikir dalam kerangka semangat kenegerian seperti yang dapat dilihat daripada Kongres Melayu Se-Malaya yang membawa kepada penubuhan UMNO pada 11 Mei 1946 di Johor Bahru.

Kesukaran hidup semasa zaman pendudukan Jepun banyak menyedarkan masyarakat negara ini tentang kepentingan untuk memperjuangkan kebebasan dan kemerdekaan. Mitos British sebagai pelindung Tanah Melayu yang tidak dapat ditewaskan terbukti tidak benar. Masyarakat perlu menentukan hala tuju kehidupan mereka tanpa ditentukan oleh kuasa penjajah asing lagi.

Seperti British, Jepun juga mengamalkan dasar pecah dan perintah. Mereka memberikan layanan yang relatifnya lebih baik kepada orang-orang Melayu dan India tetapi mengamalkan dasar yang zalim terhadap masyarakat Cina. Dasar diskriminasi dengan PKM berkuasa selama 14 hari sementara menunggu kepulangan British. Mereka telah membalas dendam kepada orang-orang yang dianggap sebagai tali barut Jepun. Ini menyebabkan berlakunya reaksi daripada masyarakat Melayu lantas mencetuskan konflik yang bersifat keganasan antara kaum di beberapa tempat. Dapat dirumuskan bahawa perpaduan antara etnik di negara ini masih lagi belum jitu dan kukuh akibat dasar-dasar penjajah. Perjalanan membina sebuah bangsa yang bersatu masih lagi jauh dan memerlukan lebih banyak usaha dan pemahaman.

 

            Rujukan

Khong Kim Hoong. 1984. British Rule And The Struggle For Independence in Malaya 1945-1957. Petaling Jaya. Strategic Information Research Developent. Hlm 31-49.
Kratoska, P.H. The Japanese Occupation Of Malaya 1941-1945 a Social and Economic History. London. Allen & Unwin. Hlm 26-51.

Means, G.P. 1976. Malaysian Politics. London. Hodder And Stoughton. Hlm 44-50.

Mohamed Salleh Lamry.2006. Gerakan Kiri Melayu dalam Perjuangan Kemerdekaan. Bangi. Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia. Hlm 42-60.
Mohd Isa Othman. 2007. Sejarah Malaysia (1800-1963). Kuala Lumpur. Utusan Publication & Distributors. Hlm 276-288.

Tregonning, K.G. 1964. A History of Modern Malaya. London. Eastern University Press. Hlm 268-286.

Tuesday, 19 June 2012

MUZAKARAH PENDIDIKAN NASIONAL

KGMMB yang diwakili oleh Tn. Hj. Mohamad Sabri Mohd Arshad, Presiden dan En. Roslan Saadon, Naib Presiden 1 terlibat dalam program Muzkarah Pendidikan Nasional anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka. Program yang dipengerusikan oleh Dr. Awang Sariyan, Ketua Pengarah DBP disertai pelbagai pertubuhan dan cendekiawan  seperti Sasterawan Negara Prof. Dr. Muhammad Salleh, Sasterawan Negara Dato' Ahmad Kamal, Prof. Dato' Abdul Latif Abu Bakar, Prof. Dr. Shahril Mohd Zain, Prof. Dato' Dr. Zainal Borhan dan Dato' Abdul Raof. Muzakarah membincangkan tindakan yang perlu diambil bagi memperkukuh sistem pendidikan negara dan kaedah bagi memartabat bahasa Melayu di persada pendidikan arus perdana. Tn. Hj. Mohd Sabri Mohd Arshad menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi kepada pihak penganjur kerana memartabat bahasa Melayu merupakan teras perjuangan KGMMB. Berikut adalah memorandum KGMMB yang diserah kepada pihak DBP:


MEMORANDUM KESATUAN GURU-GURU MELAYU MALAYSIA BARAT (KGMMB)

Pengenalan

Kemajuan pendidikan negara amat ketara sesudah 55 tahun mencapai kemerdekaan. Titik tolaknya bermula dengan dasar pendidikan yang berasaskan Laporan Razak 1956. Laporan ini kemudiannya dimaktubkan sebagai Undang-undang Pelajaran 1957 menggantikan Education Ordinance 1952. Kepentingan laporan ini adalah menjadi punca kuasa menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di sekolah-sekolah dan kemudiannya berkembang sehingga ke peringkat universiti. Namun, akta yang digunapakai ini seolah-olah dilupakan oleh piha-pihak tertentu sehinggakan Dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dilaksanakan.

Walaubagaimanapun, hasil tentangan pelbagai pihak yang cintakan bahasa Melayu, Mesyuarat Jemaah Menteri pada 8 Julai 2009 telah memansuhkan pelaksanaan Dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) di sekolah-sekolah. Dasar tersebut digantikan dengan Dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI). Jemaah Menteri juga dalam mesyuarat yang sama memutuskan supaya dasar MBMMBI dilaksanakan secara berperingkat-peringkat mulai tahun 2010. Surat Pekeliling Bil. 12/2011 juga menjelaskan pelaksanaan dasar MBMMBI. Keputusan yang dibuat oleh Jemaah Menteri pada 8 Julai 2009 terus dikekalkan dan digunapakai sebagai keputusan kerajaan yang muktamad.

Pendirian KGMMB

Berdasarkan ketetapan tersebut dan dasar perjuangan KGMMB, kami ingin mengusul dan menegaskan perkara-perkara berikut:

1.      Kepimpinan dan Ahli KGMMB yang berjumlah 33,000 orang amat komited dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris melalui program Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI) sebagai satu gerakan transformasi kurikulum Kementerian Pelajaran Malaysia.

2.      KGMMB menyokong penuh dalam usaha memartabatkan Bahasa Malaysia, penekanan yang dibuat oleh Kementerian Pelajaran Malaysia bagi memastikan setiap pelajar tidak kira di bandar atau luar bandar diberi pendidikan yang sama pada peringkat awal sekurang-kurangnya menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira (3M).

3.      KGMMB menyokong penuh usaha Kementerian Pelajaran Malaysia mewujudkan program Literasi dan Numerasi (LINUS) bagi memastikan anak-anak di peringkat tahap satu sekolah rendah tidak keciciran apabila berada di tahap dua persekolahan selaras dengan sub NKRA Kementerian Pelajaran Malaysia. Walaubagaimanapun program ini perlu disokong dengan tenaga guru yang terlatih dan sumber kewangan yang mencukupi.

4.      Dalam usaha memartabatkan Bahasa Malaysia, KGMMB menekankan pengajaran Bahasa Malaysia di semua sekolah (SK/SJKC/SJKT/Sekolah Swasta) perlu diajar oleh penutur jati.

5.      KGMMB berpegang teguh kepada Dasar Pendidikan Kebangsaan dan tidak akan berkompromi sama sekali dengan mana-mana pihak untuk mengubah dasar dan struktur pendidikan sekolah kebangsaan.

6.      KGMMB menggesa pihak Kementerian Pelajaran Malaysia menyediakan kursus, latihan dan peluang belajar sehingga ke peringkat PhD kepada tenaga pengajar Bahasa Malaysia di IPG dan sekolah.

7.      Kredit dan anugerah diberikan kepada pensyarah IPG dan guru-guru sekolah yang banyak melibatkan diri dalam kegiatan penulisan dan aktiviti memperkembangkan bahasa Malaysia.

8.      Melalui perancangan jangka masa pendek dan panjang, pihak Kementerian Pelajaran Malaysia perlu menambah pengambilan guru pelatih khusus dalam bidang pengajaran bahasa Melayu bagi mengisi kekosongan sama ada di SK, SJKC dan SJKT.

Penutup
Sebarang isu dan hal yang berkaitan dasar pendidikan negara terutama isu Bahasa Melayu, pihak KGMMB berharap pihak Kementerian Pelajaran Malaysia dapat membuka ruang untuk perbincangan. Sejarah membuktikan bahawa KGMMB sejak dari zaman Kesatuan Persekutuan Guru Melayu Semenanjung (KPGMS) sentiasa dilibatkan dalam segala perbincangan berkaitan dasar pendidikan negara. Ruang perbincangan akan menggalakkan percambahan minda dan penghasilan keputusan yang lebih baik untuk semua pihak.

Disediakan oleh,

(HJ. MOHAMAD SABRI BIN MOHD ARSHAD AMP, PKC)
Presiden
Kesatuan Guru-guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB)

Tuesday, 12 June 2012

BULETIN PERADABAN

Buletin Peradaban merupakan satu wadah yang membentang maklumat dan sumber sejarah dan peradaban Melayu khususnya di Pulau Pinang oleh Persatuan Sejarah dan Peradaban Melayu Pulau Pinang (Peradaban). Buletin ini julung-julung kali dikeluarkan dan merupakan jilid pertama yang dikeluarkan pada bulan Januari 2012. Isu utama yang dimuatkan dalam buletin ini adalah "Isu Batu Uban". Sejarah pembentukan persatuan ini juga dimuatkan sebagai maklumat penting yang perlu didokumentasikan. Semua artikel dan karya disumbang oleh ahli-ahli persatuan.

MESYUARAT PENYELARASAN PELAKSANAAN PROJEK ICT

Mesyuarat Penyelarasan Pelaksanaan Projek ICT Di Bawah Peruntukan RMK10 dan ABM 2012 (MBMMBI) berlangsung pada 11-13 Jun 2012 di Hotel Capitol, Kuala Lumpur. Ketua-ketua Jabatan JPIPK dan KUKP IPGK dijemput hadir menghasilkan item bagi tujuan penyelidikan penggunaan ICT di IPGK. IPGK Pulau Pinang dihadiri oleh En. Roslan Saadon mewakili Ketua Jabatan JPIPK dan Cik Yus mewakili KUKP.

Wednesday, 6 June 2012

FORUM PEMIKIRAN 1MALAYSIA DALAM KARYA FILEM P. RAMLEE


Forum berlangsung sempena Majlis Pelancaran Bulan Mengenang Seniman Agung P. Ramlee pada 4 Jun 2012, mulai jam 9.30 pagi di Dewan Auditorum P. Ramlee, Jalan P. Ramlee, George Town. Majlis pelancaran disempurnakan oleh TYT Tun Dato' Seri Utama (Dr) Haji Abdul Rahman Haji Abbas, Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang. Forum bermula pada jam 11.00 pagi dipengerusikan oleh En. Roslan Saadon selaku moderator dan dua orang ahli panel iaitu Datuk Aziz Sattar dan Dr. Mahyuddin dari USM. Kira-kira 200 orang tetamu hadir terdiri daripadaTYT Yang di-Pertua Negeri dan isteri, Ketua Pengarah Arkib Negara Malaysia, Pengarah-pengarah Jabatan Negeri, Yang Dipertua PEMENANG, wakil-wakil jabatan dan penduduk berdekatan. Tahniah diucapkan kepada En. Ihsan, Ketua Bahagian Karyawan Arkib Negara Malaysia dan En. Nasir Malim, Pengarah Arkib Negara Malaysia Cawangan Pulau Pinang yang telah berjaya merancang dan mengelolakan program dengan cemerlang sekali. Begitu juga dengan kakitangan Arkib yang memberikan komitmen seratus peratus serta kesungguhan jabatan-jabatan lain yang terlibat. Usaha ini penting untuk mengangkat khazanah seni negara terus kekal diingati dan dibanggakan.

Sunday, 15 January 2012

Pertahan dan Selamatkan Batu Uban


Jika George Town yang menyimpan khazanah sejarah penjajah dan kaum imigran diisytihar sebagai Bandar Warisan oleh UNESCO, maka Kampung Batu Uban juga perlu mendapat pengiktirafan yang sama. Batu Uban merupakan petempatan awal orang-orang Melayu dan pembinaan Masjid Batu Uban menjadi bukti perkembangan Islam dan peradaban Melayu di Pulau Pinang. Warisan sejarah negara atau negeri perlu melibatkan semua kaum terutama kaum bumiputera atau pribumi. Sejarah penjajah atau kaum imigran perlu dipaparkan, tetapi tidak seharusnya mengabaikan sejarah penduduk asal.

Sejarah negara kita merupakan satu rentetan peristiwa yang panjang. Ianya tidak boleh dijelaskan dengan hanya melibatkan sejarah penjajahan dan kemerdekaan negara yang seterusnya mewujudkan sebuah negara yang bersifat majmuk. Malaysia muncul dari sebuah wilayah yang diperintah oleh Kesultanan Melayu. Wilayah mereka ini tersebar luas sebagai sebuah empayar seperti yang pernah wujud di zaman Kesultanan Melayu Melaka. Apabila kuasa Barat datang menjajah, Tanah Melayu berada di bawah pemerintahan Kesultanan Melayu. Raja-raja Melayu ini mempunyai sistem pemerintahan, perundangan, wilayah dan rakyatnya sendiri. Inilah yang termaktub dalam sejarah dan merupakan hakikat yang tidak boleh dinafikan.

Batu Uban merupakan sejarah hakiki yang perlu dipertahankan. Sejarah Batu Uban menjadi bukti untuk menafikan bahawa Francis Light yang membuka Pulau Pinang. Jika Batu Uban terus dibangunkan tanpa kawalan, maka lenyaplah sejarah petempatan awal orang-orang Melayu. Sejarah penting orang Melayu akan hilang dan dalam waktu yang sama memperkukuh sejarah penjajah dan imigran. Maka, pertemuan beberapa buah pertubuhan yang dianjurkan oleh Persatuan Sejarah dan Peradaban Melayu Pulau Pinang (PERADABAN) dengan pihak akhbar yang diadakan pada 12 Januari 2012 di Masjid Batu Uban merupakan satu usaha penting ke arah mempertahankan sejarah Batu Uban.

YB Muhamad Farid selaku Penasihat PERADABAN membuka majlis dengan memperkenalkan barisan bertindak yang terdiri daripada Peradaban, Persatuan Sejarah dan Warisan Pulau Pinang, Karyawan, Gabungan, Aktivis Sejarah dan Warisan Pulau Pinang, Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah, para karyawan dan budayawan USM, PAJIM dan waris Nakhoda Nan Intan yang membuka Batu Uban. YB Muhamad Farid juga menjelaskan tujuan pertemuan tersebut adalah untuk mempertahan dan menyelamatkan Batu Uban sebagai warisan sejarah Melayu. Beliau seterusnya menyerahkan kepada En. Roslan Saadon, Yang Dipertua PERADABAN untuk membentangkan kenyataan akhbar. Kenyataan tersebut antara lain menggesa agar Batu Uban digazetkan sebagai warisan hidup (living heritage) dan pembangunan yang sedang berlangsung perlu dihentikan bagi memastikan sumber sejarah petempatan Melayu terus kekal. Hal tersebut diajukan kepada pihak Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan.

Kenyataan berkaitan Batu Uban diperkukuhkan lagi dengan kenyataan yang dibuat oleh waris Nakhoda Nan Intan yang memohon agar pembangunan dihentikan dan tanah yang dibuka oleh nenek moyang mereka dikekalkan. Prof. Madya Dr. Mahani Musa dari USM pula menggesa kerajaan melihat akan kepentingan kawasan tersebut sebagai sumber sejarah penting yang perlu dikekalkan dan dijadikan warisan. Prof. Dr. Suhaimi pula memaklumkan usaha untuk mengangkat Batu Uban khususnya masjid Batu Uban sebagai warisan sejarah telah diusahakan sejak tahun 2005. Beliau mencadangkan agar Batu Uban dikekalkan sebagai warisan sejarah dan dibina kompleks yang boleh menjadi pembekal maklumat sejarah terutamanya berkaitan sejarah Pulau Pinang. Prof. Dr. Muhamad Murad Merican dalam ucapannya menjelaskan peranan Batu Uban sebagai bandar dan pelabuhan awal di Pulau Pinang. Ia menjadi pusat penting dan menjadi titik petemuan dengan lain-lain pelabuhan di Nusantara, India dan Hadramaut. Turut sama memberikan kenyataan dalam pertemuan tersebut ialah Pengerusi JKKP, JKKN, Pengerusi Masjid dan beberapa orang penduduk kampung.

YB Muhamad Farid seterusnya memaparkan pelan Kampung Batu Uban yang hampir tenggelam dilitupi pembangunan. Beliau menggesa orang-orang kampung agar bersatu dan tidak menjual tanah yang masih ada. Beliau bersama badan-badan yang hadir akan meneruskan tindakan berjumpa dengan YB. Datuk Rais Yatim dan pihak-pihak tertentu agar usaha murni ini dapat direalisasikan.

Tuesday, 10 January 2012

PENGIKTIRAFAN PENSYARAH IPG


Pertemuan KGMMB dengan YB Dr. Puad Zarkashi di Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) pada 20 Disember 2011 dianggap berjaya dan menjadi lembaran baru kepada pensyarah IPG. Pertemuan pada jam 4.30 petang itu dimulakan dengan pembentangan isu IPG oleh Tn. Hj. Mohamad Sabri Hj. Arshad, Presiden KGMMB. Antara perkara utama yang dinyatakan ialah isu kenaikan satu gred kepada pensyarah IPG yang memiliki Ph.D dan peluang kenaikan pangkat para pensyarah di IPG. Isu tersebut diperkuatkan lagi dengan penjelasan lanjut yang dikemukakan oleh Persatuan Pensyarah IPG yang turut hadir menyertai rombongan KGMMB. Mereka terdiri daripada 30 orang pensyarah yang memiliki Ph.D dari 25 IPG seluruh negara kecuali Sabah dan Sarawak. Persatuan tersebut mencadangkan agar pihak kerajaan menaik taraf IPG kepada universiti. Jika cadangan ini terlaksana maka para pensyarah di IPG akan menikmati faedah yang sama seperti universiti. KGMMB seterusnya menambah kenyataan agar pihak kementerian melihat isu kenaikan satu gred pemegang Ph.D seperti yang diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri dalam Pelancaran Hari Guru 2010 sebagai isu penting. Mereka merupakan aset penting IPG yang perlu dipertahankan agar tidak berlaku pengaliran keluar pensyarah. Mereka juga merupakan tenaga penting jika IPG melaksanakan program ijazah tinggi nanti. KGMMB juga mencadangkan agar para pensyarah IPG yang berada di Gred DG44 diberikan kenaikan DG48. KPM dipohon mendapatkan quota tambahan Gred DG48 untuk pensyarah IPG. Bagi memastikan suara pensyarah IPG dapat didengari, KGMMB memohon agar Persatuan Pensyarah IPG disenarai dalam Majlis Pemuafakatan KPM. Dalam menangani isu pensyarah IPG ini, YB Dr. Puad Zarkashi akan meneliti memorandum yang dibawa dan berjanji membawa isu-isu tersebut dalam mesyuarat post cabinet. Perjumpaan ini juga memberi peluang kepada Presiden KGMMB mengemukakan satu lagi isu besar iaitu Sistem Baru Perkhidmatan Awam (SBPA). Para guru kurang jelas kerana terdapat pelbagai maklumat yang diterima berkaitan pergerakan gaji mengelirukan. Para guru juga diminta menandatangani dengan segera sebelum 23 Disember 2011. Hal ini diambil maklum oleh YB Dr. Puad Zarkashi dan akan mengemukakan segera kepada Timbalan Perdana Menteri. Beliau juga akan cuba membawa KGMMB bersama Persatuan Pensyarah IPG bertemu dengan Menteri Pelajaran Malaysia. Pada akhir pertemuan, Tn. Hj. Mohamad Sabri mengucapkan ribuan terima kasih atas layanan mesra yang diberikan oleh YB Dr. Puad Zarkashi. Beliau juga memaklumkan bahawa pihak KGMMB dan Persatuan Pensyarah IPG akan sentiasa mendoakan kesejahteraan YB Dr. Puad sekeluarga dan diberikan kekuatan untuk menguruskan KPM.

Dilaporkan oleh Rs Awab