MEMORANDUM KESATUAN GURU-GURU
MELAYU MALAYSIA BARAT (KGMMB)
Pengenalan
Kemajuan
pendidikan negara amat ketara sesudah 55 tahun mencapai kemerdekaan. Titik
tolaknya bermula dengan dasar pendidikan yang berasaskan Laporan Razak 1956.
Laporan ini kemudiannya dimaktubkan sebagai Undang-undang Pelajaran 1957
menggantikan Education Ordinance 1952. Kepentingan laporan ini adalah menjadi
punca kuasa menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di
sekolah-sekolah dan kemudiannya berkembang sehingga ke peringkat universiti.
Namun, akta yang digunapakai ini seolah-olah dilupakan oleh piha-pihak tertentu
sehinggakan Dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa
Inggeris (PPSMI) dilaksanakan.
Walaubagaimanapun,
hasil tentangan pelbagai pihak yang cintakan bahasa Melayu, Mesyuarat Jemaah
Menteri pada 8 Julai 2009 telah memansuhkan pelaksanaan Dasar Pengajaran dan
Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) di
sekolah-sekolah. Dasar tersebut digantikan dengan Dasar Memartabatkan Bahasa
Malaysia dan Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI). Jemaah Menteri juga dalam
mesyuarat yang sama memutuskan supaya dasar MBMMBI dilaksanakan secara
berperingkat-peringkat mulai tahun 2010. Surat Pekeliling Bil. 12/2011 juga
menjelaskan pelaksanaan dasar MBMMBI. Keputusan yang dibuat oleh Jemaah Menteri
pada 8 Julai 2009 terus dikekalkan dan digunapakai sebagai keputusan kerajaan
yang muktamad.
Pendirian
KGMMB
Berdasarkan
ketetapan tersebut dan dasar perjuangan KGMMB, kami ingin mengusul dan menegaskan
perkara-perkara berikut:
1.
Kepimpinan
dan Ahli KGMMB yang berjumlah 33,000 orang amat komited dalam pengajaran dan
pembelajaran Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris melalui program Memartabatkan
Bahasa Malaysia dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI) sebagai satu
gerakan transformasi kurikulum Kementerian Pelajaran Malaysia.
2.
KGMMB
menyokong penuh dalam usaha memartabatkan Bahasa Malaysia, penekanan yang
dibuat oleh Kementerian Pelajaran Malaysia bagi memastikan setiap pelajar tidak
kira di bandar atau luar bandar diberi pendidikan yang sama pada peringkat awal
sekurang-kurangnya menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira (3M).
3.
KGMMB
menyokong penuh usaha Kementerian Pelajaran Malaysia mewujudkan program
Literasi dan Numerasi (LINUS) bagi memastikan anak-anak di peringkat tahap satu
sekolah rendah tidak keciciran apabila berada di tahap dua persekolahan selaras
dengan sub NKRA Kementerian Pelajaran Malaysia. Walaubagaimanapun program ini
perlu disokong dengan tenaga guru yang terlatih dan sumber kewangan yang
mencukupi.
4.
Dalam
usaha memartabatkan Bahasa Malaysia, KGMMB menekankan pengajaran Bahasa
Malaysia di semua sekolah (SK/SJKC/SJKT/Sekolah Swasta) perlu diajar oleh
penutur jati.
5.
KGMMB
berpegang teguh kepada Dasar Pendidikan Kebangsaan dan tidak akan berkompromi
sama sekali dengan mana-mana pihak untuk mengubah dasar dan struktur pendidikan
sekolah kebangsaan.
6.
KGMMB
menggesa pihak Kementerian Pelajaran Malaysia menyediakan kursus, latihan dan
peluang belajar sehingga ke peringkat PhD kepada tenaga pengajar Bahasa
Malaysia di IPG dan sekolah.
7.
Kredit
dan anugerah diberikan kepada pensyarah IPG dan guru-guru sekolah yang banyak
melibatkan diri dalam kegiatan penulisan dan aktiviti memperkembangkan bahasa
Malaysia.
8.
Melalui
perancangan jangka masa pendek dan panjang, pihak Kementerian Pelajaran Malaysia
perlu menambah pengambilan guru pelatih khusus dalam bidang pengajaran bahasa
Melayu bagi mengisi kekosongan sama ada di SK, SJKC dan SJKT.
Penutup
Sebarang
isu dan hal yang berkaitan dasar pendidikan negara terutama isu Bahasa Melayu,
pihak KGMMB berharap pihak Kementerian Pelajaran Malaysia dapat membuka ruang
untuk perbincangan. Sejarah membuktikan bahawa KGMMB sejak dari zaman Kesatuan
Persekutuan Guru Melayu Semenanjung (KPGMS) sentiasa dilibatkan dalam segala
perbincangan berkaitan dasar pendidikan negara. Ruang perbincangan akan
menggalakkan percambahan minda dan penghasilan keputusan yang lebih baik untuk
semua pihak.
Disediakan
oleh,
(HJ.
MOHAMAD SABRI BIN MOHD ARSHAD AMP, PKC)
Presiden
Kesatuan Guru-guru
Melayu Malaysia Barat (KGMMB)
No comments:
Post a Comment