Tuesday, 16 July 2013

LOCKER SERBAGUNA


Locker serbaguna ini sangat sesuai untuk kegunaan pelajar sekolah, guru, kakitangan pejabat dan sebagainya. Isu bebanan beg pelajar yang sangat berat boleh diatasi dengan menyediakan locker ini di sekolah. Para pelajar boleh menyimpan buku, pakaian sukan dan lain-lain di dalam locker ini. Locker ini boleh diperolehi secara sewa beli. Menurut Tn. Hj. Roslan Madon, Yang Dipertua Majlis Guru Besar Kebangsaan, penggunaan locker ini sangat praktikal. Beliau telah menggunakan locker ini di sekolah. Sambutan yang diterima daripada pelajar dan ibu bapa sangat menggalakkan.

Saturday, 6 July 2013

MESYUARAT AGUNG PERWAKILAN KONGRES



Mesyuarat melibatkan kesatuan gabungan berlangsung di Dewan JPN Selangor pada 6 Julai 2013. Mesyuarat dirasmikan oleh Y.Bhg Dato Hj Omar Osman, Presiden Cuepecs. Sebelum perasmian, Y.Bhg. Dato' Haji Jemali Paiman menyampaikan ucapan berkisar perkara-perkara berkaitan perjawatan dan kebajikan guru. Antara perkara menarik yang disentuh adalah berkaitan dengan dua jawatan KSU yang wujud di KPM. Jawatan ini pula lebih tinggi dari jawatan KPPM. Kongres melihat perkara tersebut agak kurang tepat dan seharusnya gred KSU dan KPPM setara. Ucapan perasmian Y.Bhg. Dato' Omar Osman juga amat memberangsangkan. Antara perkara menarik yang diutarakan oleh beliau ialah permohonan  bonus dua setengah bulan untuk tahun 2013. Dalam mesyuarat perwakilan Kongres pula pelbagai usul dan cadangan telah dikemukakan oleh perwakilan. KGMMB misalnya mengusulkan supaya guru-guru lepasan IPG (DPLI/PISMP) pengkhususan Sejarah/Pengajian Sosial diambil untuk mengajar mata pelajaran Sejarah yang bermula pada 2014. Subjek tersebut perlu diajar oleh mereka yang major supaya fakta yang betul diterima oleh para pelajar. Mesyuarat perwakilan itu juga membariskan Jawatankuasa yang sama. Dato Jemali Paiman kekal sebagai Presiden, manakala Tn. Hj. Mohd Sabri Mohd Arshad sebagai Timbalan Presiden. Cikgu Mohd Said Hussin kekal sebagai Setiausaha.

MESYUARAT MJKA KGMMB KALI KETIGA


Mesyuarat diadakan pada 5 Julai 2013, jam 8.30 malam di Intekma Resort Shah Alam. Wakil dari 17 cawangan KGMMB hadir bersama Pegawai Kanan untuk membincangkan beberapa perkara terutamanya program Pertemuan Guru-guru Nusantara (PGN) yang akan diadakan pada 13 - 14 Oktober 2013 di Selangor. Bagi menunjukkan komitmen KGMMB sebagai tuan rumah, setiap cawangan perlu membawa 10 orang peserta. Mesyuarat juga membincangkan penambahbaikan pengurusan dan pembinaan tapak baru laman web untuk Arkib KGMMB. 

SEMINAR KONGRES PENDIDIKAN KEBANGSAAN

Seminar berlangsung pada 5 Julai 2013 di Dewan, Jabatan Pendidikan Selangor,  Shah Alam. Beberapa kertas kerja dibentangkan dan menarik perhatian para peserta. Tiga orang pensyarah dari IPG membentangkan hasil kajian mereka iaitu Dr. Zailah, Dr. Kamarudin dan Dr.... 
Seminar yang melibatkan wakil dari KPM dan peminpin-pemimpin kesatuan guru ini memperlihatkan sedikit perbezaan tujuan. Jika kesatuan banyak membentangkan perkara-perkara yang berkaitan perjawatan dan kebajikan guru, wakil KPM pula lebih menumpukan kepada tanggungjawab memajukan pendidikan anak bangsa. Mereka sentiasa mengingatkan para guru agar peka dan prihatin dengan pelbagai dasar pendidikan. Suka diingatkan bahawa dalam mengejar kedudukan yang lebih baik, kesatuan juga sentiasa peka dengan prestasi pendidikan anak-anak didik. Mereka yang terlibat dalam kesatuan merupakan pemimpin sekolah yang hebat, guru cemerlang dan pegawai jabatan atau PPD yang sangat komited. 

Thursday, 4 July 2013

IKHLAS & PENYAYANG AMALAN GURU CEMERLANG



Maklumat yang diterima daripada Cikgu Rosilawati di SK Bukit Indera Muda, Penanti pada 4 Julai 2013 amat bermakna dan berguna. Beliau bukan sahaja berkongsi kaedah dan inovasi yang dijalankan di sekolah, malah memberi banyak motivasi kepada para pelajar guru yang hadir. Pengalaman yang banyak dan luas menjadikan beliau guru yang proaktif dan inovatif. Namun dua nilai penting yang banyak diutarakan adalah IKHLAS dan PENYAYANG. 
              Bagaimana nilai-nilai tersebut mampu menjadikan kita guru yang baik dan berkesan?. Berikan komen anda.

Tuesday, 2 July 2013

SEMINAR PENDIDIKAN GURU KEBANGSAAN 2013 IPGM


Seminar 3 hari ini berlangsung di Hotel Grand Blue Wave, Shah Alam bermula pada 1 Julai 2013. Ia melibatkan para Pengarah dan Pegawai IPGM, Pengarah dan Pensyarah IPG, wakil-wakil KPM, JPN dan Nazir. Seminar dirasmikan oleh Y.Bhg. Tan Sri Abdul Ghafar bin Mahmud, Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia. Tema seminar adalah Transformasi Kurikulum Pendidikan Guru Menjana Guru Berkualiti. Beberapa orang Profesor dari universiti tempatan dijemput membentangkan kertas kerja. Mereka ialah Prof Madya Dr. Mohd Majid Konting (UPM), Prof Dr Sufean Hussin (UM), Prof Dato' Dr Noraini bt.  Idris (UPSI), Prof Dr Foong Soon Fook (USM) dan Prof Datuk Dr T. Subahan Mohd Meerah (UKM). Dalam seminar ini juga para peserta dilibatkan dengan sesi perbengkelan. Mereka dibahagikan kepada 10 kumpulan untuk membincangkan tajuk masing-masing berkaitan transformasi kurikulum IPG. IPG Kampus Pulau Pinang menghantar 4 orang wakil iaitu Tn. Hj. Khalid Hj. Ahmad (Pengarah), Dr. Balasubramaniam (KJ JPIPK), Dr. Parvinder Singh (PC Sains) dan En. Roslan Saadon (PC Sejarah). 

Sunday, 30 June 2013

TEKS UCAPAN YANG DIPERTUA SEMPENA MESYUARAT AGUNG PERADABAN KALI KE-2



Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam 1Malaysia dan salam Peradaban.

Terlebih dahulu dipanjatkan kesyukuran ke-Hadrat Yang Maha Kuasa kerana dengan limpah kurnia-Nya, kita dapat bersama-sama menjayakan Mesyuarat Agung Dwitahunan Peradaban bagi kali ke-2. Peradaban ditubuhkan pada bulan Jun 2011 dan pada bulan Ogos 2011 mesyuarat agung pertama dijalankan. Dan pada hari ini mesyuarat agung kali ke-2 pula diadakan. Justeru saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua yang hadir. Berlebih-lebih lagi kepada Dr. Mohamad Fadzil Che Amat, Ketua Jabatan HEP, IPG Kampus Pulau Pinang yang sudi hadir bagi merasmikan majlis bagi pihak YB Hj. Muhamad Farid Hj. Saad, ADUN  Pulau Betong yang juga Penasihat Peradaban.

Pada kesempatan ini saya ingin merakamkan ucapan tahniah kepada Dr. Mohamad Fadzil kerana diberikan kepercayaan menjalankan tugas Timbalan Pengarah IPGKPP. Beliau merupakan ahli dan juga salah seorang ahli jawatankuasa Peradaban. Saya bagi pihak Peradaban amat bangga dengan pencapaian tersebut. Kita berdoa semoga dari menjalankan tugas sahaja, beliau akan diberikan peluang memangku jawatan tersebut dan seterusnya dilantik secara hakiki sebagai Timbalan Pengarah. Kebolehan, ketrampilan dan usaha yang dibuat membuktikan bahawa Dr. Muhamad Fadzil merupakan pilihan yang terbaik dan kita sentiasa mendoakan kejayaan beliau.

Saya juga ingin merakamkan tahniah kepada Penasihat Peradaban iaitu YB Sr Hj. Muhamad Farid Hj. Saad kerana berjaya mempertahankan kerusi DUN Pulau Betong. Kemenangan ini sudah dijangka. YB Muhamad Farid merupakan ADUN yang sentiasa bekerja keras untuk parti dan masyarakat setempat. Beliau mudah dihubungi dan sentiasa prihatin dengan masalah rakyat. YB Farid juga banyak membawa pembangunan dan perubahan khususnya di kawasan DUN beliau. Peradaban juga mendapat perhatian istimewa daripada beliau. Melalui sumbangan RM10,000.00 daripada beliau pada tahun 2011, kita berjaya menganjurkan banyak program. Peradaban merakamkan tahniah, terima kasih dan syabas kepada beliau atas kejayaan dan keprihatinan beliau. Kita berdoa semoga YB Farid sentiasa sihat, cergas dan cerdas dalam menjalankan tugas dan seterusnya membawa kejayaan kepada agama, bangsa dan negara.

Saya juga suka merakamkan tahniah kepada kita semua atas semua yang kita kecapi selama ini. Syukur alhamdulillah, pelajar Pengajian Sosial PISMP sudah sampai semester akhir. Tak lama lagi akan bertebaran ke serata ceruk tanah air untuk mendidik anak bangsa. Pelajar junior juga akan menyusul setahun lagi. Kita semakin berkembang dan mengecapi pelbagai kejayaan. Kita juga mengecapi pelbagai nikmat kurniaan Allah - udara, angin, alam sekitar, sihat, cergas, cerdas, seronok dan sebagainya. Bagi kakitangan kerajaan, pada bulan Julai ini akan menerima satu pergerakan gaji. Maklumat daripada Datuk Haji Jemali Paiman, Presiden Kongres (badan gabungan kesatuan guru), kakitangan kerajaan akan menerima kenaikan elaun – EKA, ITP dan COLA. Pada bulan Disember nanti bakal menerima sebulan bonus pula.

Peringatan saya semoga kita mengenepikan seketika hal-hal politik dan memberikan tumpuan kepada co-business kita. Marilah kita berusaha mengejar kecemerlangan. Kecemerlangan penting untuk membawa kita menjadi orang yang berjaya. Jika ramai di antara kita berjaya maka berjayalah bangsa kita. Ramai di antara anak-anak Melayu yang terkandas terutama dalam pelajaran apabila terlalu menumpukan kepada politik. Politik adalah satu persepsi. Persepsi tidak semestinya betul, dan ia juga tidak semestinya salah. Yang jelas, pelajaran dan kemahiran menentu masa depan kita. Lebih-lebih lagi kini persaingan menjadi semakin hebat. Namun, politik membentuk orang Melayu terpisah-pisah. Masing-masing aliran menganggap mereka betul dan bakal membentuk negara yang ideal. Tuduh-menuduh berlangsung sehinggakan perkara-perkara yang berkaitan dengan perlembagaan, hak istimewa orang Melayu dan kedaulatan raja-raja Melayu dianggap remeh.

Perbezaan politik membuatkan kita orang Melayu terlalu ekstrim dan mengenepikan perkara yang lebih besar. Perpaduan Melayu dan Islam terketepi hanya semata-mata berbeza idealogi. Kita bermusuh-musuhan sedangkan beragama yang sama, berbudaya dan adat resam yang sama, berdarah Melayu yang sama, percaya kepada rukun Islam dan rukun iman yang sama serta mengadap kiblat yang sama. Jadi, marilah kita dalam Peradaban ini bersatu dan mencari jalan dalam memaju dan mempersatu umat Melayu yang saya percaya sangat sayangkan agama, bangsa dan watannya. Mari kita ketepikan perkara-perkara yang boleh melunturkan perpaduan dan bersatu atas persamaan yang banyak berbading perbezaan idealogi. Jangan biarkan golongan lain terus mengecapi nikmat yang berlebihan daripada kecelaruan persepsi kita orang Melayu di tanah air ini.

Ketika hampir PRU 13, pelbagai konflik, perdebatan dan persepsi timbul. Kita tidak lagi dapat bersatu atas nama Peradaban. Program yang dilihat berpihak kepada mana-mana aliran akan dicurigai. Oleh itu, kita menyepikan diri buat sekita waktu yang agak panjang. Namun, sebelum itu Peradaban berjaya menganjurkan pelbagai program untuk ahli dan masyarakat. Kita berjaya menganjurkan Bengkel Penulisan Sejarah yang dikelolakan oleh Y.Bhg Prof. Madya Datin Dr. Mahani Musa (USM). Kemudian, Forum Siapa Pejuang Kemerdekaan menyusul melibatkan pelajar IPG, sekolah dan kepimpinan desa. Pakar-pakar sejarah dari USM dijemput untuk membicarakan topik tersebut seperti Prof. Madya Haji Abdul Rahman Ismail, Prof. Madya Dr. Jelani Halimi dan Dr. Azmi Ariffin. Peradaban juga berjaya membuat lawatan penandaarasan dengan Persatuan Sejarah yang tidak asing di negara kita iaitu Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah.

Satu lagi program yang besar adalah usaha untuk menjadikan Batu Uban sebagai ‘Living Heritage’. Pada awal tahun 2012, Peradaban di bawah kepimpinan dan usaha YB Farid telah mengadakan sidang akhbar di Masjid Batu Uban.Tindakan itu membawa kepada beberapa reaksi daripada pihak akhbar, Kerajaan Negeri dan juga Persatuan Melayu Pulau Pinang (PEMENANG). Usaha ini menjadi kukuh kerana mendapat sokongan daripada pelbagai pertubuhan termasuk para sarjana Melayu seperti Prof Dr Sohaimi Abdul Aziz (USM), Prof. Madya Dr. Mahani Musa (USM), Dr. Azmi Ariffin dan  Prof. Madya Dr. Mohd Isa Othman (USM). Peradaban juga berhubung dengan pihak berkuasa tempatan dan persekutuan. Surat-surat jawapan yang diterima agak mendukacitakan. Surat dari Jabatan Warisan Negara misalnya menyatakan mereka boleh membantu mewartakan Batu Uban, namun urusan tanah bukan di bawah kuasa mereka. Ia di bawah kuasa Kerajaan Negeri. Usaha mewartakan Batu Uban tidak berakhir di situ, kita akan meneruskan usaha sehingga berjaya. Kita mahu Kg Batu Uban setidak-tidaknya sebahagian kecil akan terus kekal sebagai bukti pertapakan awal Melayu awal di Pulau Pinang.

Aktiviti Peradaban yang seterusnya adalah penghasilan Buletin Peradaban. Ia berjaya dihasilkan dengan usaha Biro Penerbitan Peradaban. Terima kasih kepada Dr. Muhammad Raini dan Sidang Pengarang yang berjaya menerbitkan buletin tersebut. Buletin setebal 20 muka surat itu memuatkan maklumat berkaitan sejarah Pulau Pinang dan aktiviti Peradaban. Ia berjaya memaparkan kewujudan Peradaban. Buletin ini dilancarkan oleh YB Datuk Dr. Rais Yatim semasa merasmikan majlis pemimpin bersama rakyat di Balik Pulau. Selaras dengan perkembangan semasa, Peradaban menghasilkan Facebooknya bagi memaparkan aktiviti, menyalurkan maklumat dan berhubung sesama ahli. Terima kasih diucapkan kepada En. Nur Azrin Abdul Razak yang menghasil dan menguruskannya.

Bukan semua yang dapat diusahakan mengikut perancangan. Peradaban gagal menghasilkan Jurnal Berwasit berkaitan Pulau Pinang. Peradaban juga gagal menjayakan Hari Besar Melayu Pulau Pinang. Kita juga gagal membentuk muzium yang dicadangkan dibentuk di Balik Pulau. Begitu juga dengan Seminar Pulau Pinang yang dirancang gagal dilaksanakan. Bagi sesi yang akan datang ini, perkara yang belum terlaksana akan diberi perhatian khusus. Saya pernah menyuarakan cadangan mengadakan kolaborasi dengan Persatuan Sejarah dan Warisan di bawah pimpinan Prof. Dr. Muhammad Salleh dan beliau bersetuju. Saya juga pernah menyuarakan hasrat mendapatkan bantuan kepakaran dari pensyarah sejarah PPIK, USM dan jawapan yang diterima juga positif. Saya percaya dengan komitmen jawatankuasa baru yang bakal dilantik nanti dan komitmen YB Farid, program-program yang tertangguh akan dapat dijayakan.

Akhirnya saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Dr. Mohamad Fadzil Che Amat yang bakal merasmikan majlis, semua ahli jawatankuasa terutama kepada Setiausha yang sangat teliti dan cekap, begitu juga Bendahari yang berjaya mengawal tabung dengan penuh kejujuran dan amanah, para ahli yang sentiasa memberikan sokongan padu dan teristimewa kepada YB Farid yang sangat sinonim dengan Peradaban. Saya bagi pihak diri dan semua ahli jawatankuasa memohon ampun dan maaf atas segala kekurangan dan kesalahan selama kami menguruskan persatuan. Semoga Peradaban terus kekal, gagah dan perkasa, dan selamat bermesyuarat


Sekian, wabilahitaufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.