Ceramah Pensyarah Cemerlang untuk pelajar PISMP Semester 6 berlangsung di Dewan Kuliah Utama, IPG Kampus Pulau Pinang pada 25 September 2013. Ceramah selama dua jam ini merupakan slot tambahan Bina Insan Guru (BIG) setelah memperolehi input Guru Cemerlang di sekolah. Program yang berlangsung dari jam 2.30 petang dan berakhir pada jam 4.30 petang itu menyajikan dua sesi ceramah yang disampaikan oleh En. Roslan Saadon, Pensyarah Cemerlang Sejarah dan En Jamal Mohamed Abdul Rahman, Setiausaha Akademik IPG Kampus Pulau Pinang. En. Roslan Saadon berkongsi pengalaman bagaimana beliau berjaya menjadi Pensyarah Cemerlang dan memaparkan komponen-komponen yang dinilai serta proses penilaian Pensyarah Cemerlang. En. Jamal Mohamed pula berkongsi pengalaman dan petua bagaimana seseorang boleh menjadi guru yang baik dan berkesan.
Monday, 30 September 2013
MAJLIS PERKAHWINAN NORAISHAH ROSLAN
Majlis Perkawinan Noraishah Roslan bersama Asri Jain berlangsung pada 29 September 2013 mulai jam 12.00 tengahari hingga 4.00 petang di Pan Mutiara Restoran, Batu Maung, Pulau Pinang. Kira-kira 1200 jemputan hadir terdiri daripada saudara mara, sahabat handai, rakan sekerja dan jiran tetangga. Majlis diserikan lagi dengan kehadiran tetamu kenamaan iaitu Tuan Yang Terutama Tun Dato' Seri Utama (Dr) Haji Abdul Rahman bin Haji Abbas, Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang. Tetamu kehormat yang turut hadir ialah YB Sr. Haji Muhamad Farid Hj. Saad, ADUN Pulau Betong; Tuan Haji Mohamad Sabri Mohd Arshad, Presiden KGMMB, Tuan Haji Jamaludin Jali, Timbalan Presiden KGMMB; Tuan Hj. Juhari Mohamad Nor, Timbalan Yang Dipertua PGMPPS, Y.Bhg. Dato Anuar, Pengerusi Persatuan Penulis Pulau Pinang; Tuan Haji Khalid Haji Ahmad, Pengarah IPG Kampus Pulau Pinang dan para pegawai KGMMB dan PGMPPS. Bagi memeriahkan lagi majlis, kumpulan Qasidah dan gamelan dari IPG Kampus Pulau Pinang menyampaikan persembahan yang hebat. Sesungguhnya, majlis pada hari tersebut berjalan dengan lancar dan meriah sekali. Kepada mereka yang terlibat secara langsung dan tidak langsung pihak keluarga pengantin merakamkan jutaan terima kasih. Tidak lupa ucapan terima kasih kepada En. Izzuddin, Pengurus Pan Mutiara dan penolongnya En. Yus yang telah menguruskan majlis dengan baik sekali.
Tuesday, 24 September 2013
SEMINAR INTEGRITI IPG KAMPUS PERLIS
Seminar Integriti IPG Kampus Perlis bermula pada 24 September 2013 di Dewan Pulai 1 dengan beberapa ceramah. Program bermula pada jam 8.30 pagi dengan ceramah "Integriti Dalam Pendidikan" yang disampaikan oleh En. Roslan Saadon dari IPG Kampus Pulau Pinang. Ceramah kedua disampaikan oleh wakil dari Institut Integriti Malaysia (IIM) dan ceramah ketiga disampaikan oleh Pengetua Cemerlang yang dibawa khas dari Johor. Para peserta terdiri daripada pelajar guru PISMP semester 8 yang akan menamatkan pengajian pada hujung tahun ini.
Sunday, 22 September 2013
MESYUARAT AGUNG KHAS PINDAAN PERLEMBAGAAN PGMPPS
Mesyuarat Agung Khas Pindaan Perlembagaan PGMPPS diadakan dengan tujuan menyemak dan meminda beberapa peraturan terutama berkaitan kebajikan dan keahlian. Mesyuarat berlangsung pada 22 September 2013 di No.12A, Jalan Koperasi, Taman Koperasi Guru, Tanah Liat, Bukit Mertajam bermula jam 9.00 pagi dan berakhir pada pukul 11.00 pagi. Cikgu Saidin Rashid selaku Yang Dipertua Persatuan Guru-guru Melayu Pulau Pinang dan Seberang Perai mempengerusikan majlis tersebut. Cikgu Baharul Azhar selaku penyelaras kerja-kerja semakan dan pindaan membentang draf pindaan yang telah digubal dengan terperinci dan jelas. Semua ahli mesyuarat berpuas hati dengan penjelasan tersebut dan menerima pindaan sebulat suara. Pindaan yang dibuat akan membolehkan guru-guru bersara mendaftar sebagai Ahli Seumur Hidup hanya dengan membayar yuran sebanyak RM50.00. Status dan kelayakan mereka sama seperti ahli-ahli yang masih berada dalam perkhidmatan. Selaku Setiausaha, Cikgu Roslan Saadon akan mengemukakan minit mesyuarat dan draf perlembagaan kepada pihak Pendaftar Pertubuhan untuk tindakan selanjutnya dengan kadar segera.
Thursday, 19 September 2013
FORUM REMAJA 2013
Pertandingan Forum Remaja Peringkat Kebangsaan 2013 berlangsung pada 18 dan 19 September 2013 di Auditorium DBP, Kuala Lumpur. Program anjuran DBP dan KPM ini mendapat dokongan dan kerjasama KGMMB dan Persatuan Linguistik Malaysia. KGMMB terlibat dalam Jawatankuasa Induk dan menjadi panel hakim. Pada tahun ini KGMMB menaja pingat baharu dan sumbangan wang tunai berjumlah RM5000.00. Cikgu Roslan dan Cikgu Mohamad Sabri terlibat dalam jawatankuasa induk, manakala Cikgu Jamaluddin Jali, Cikgu Jasni Md Kechik dan Cikgu Mat Jidin terlibat sebagai hakim pertandingan. Majlis penutupan yang berlangsung pada 19 September 2013, disempurnakan oleh YB Dato' Jailani bin Johari, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia. Beliau juga telah menyampaikan hadiah kepada peserta dan pemenang. Juara Forum Remaja 2013 dinobatkan kepada SMK Lutong, Miri, Sarawak. KGMMB juga menerima cenderamata daripada pihak penganjur yang disampaikan oleh YB Dato' Jailani bin Johari kepada En. Roslan Saadon yang mewakili Presiden KGMMB.
PENA PENGARANG SUARA KGMMB
Bismilahirrahmanirrahim
Assalamualaikum
warahmatullahi wabarakatuh.
Berjumpa
lagi kita guru-guru Melayu dalam Suara
KGMMB keluaran terbaru.
Terlebih dahulu diucapkan Selamat Tahun Baru 2014 kepada semua rakan guru.
Pastinya pelbagai kejayaan dan nikmat diperoleh sepanjang tahun 2013. Saya
percaya ramai yang menerima kenaikan pangkat atau gred, memperoleh kelulusan
yang lebih tinggi, memperoleh cahaya mata, berumahtangga dan sebagainya.
Semuanya merupakan nikmat dari yang maha kuasa. Namun, terdapat juga rakan-rakan
guru yang masih belum berjaya dalam mencapai apa-apa yang diimpikan. Anggaplah
ia sebagai kejayaan yang tertangguh dan tingkatkan lagi usaha untuk
mencapainya.
KGMMB
sentiasa memainkan peranan membantu ahli terutama dalam hal-hal yang berkaitan
perjawatan dan peningkatan profesionalisme. Perjuangan KGMMB berjalan secara
sendirian atau bersama kesatuan-kesatuan lain melalui Kongres. Pelbagai perkara
diajukan kepada pihak kementerian seperti 'Isu Perjawatan Ex-PPLD' yang
terhukum kerana melanjutkan pengajian awal ke universiti. Mereka bukan sahaja
tertinggal gajinya di belakang berbanding ‘junior’,
tetapi juga tiada peluang dinaikkan pangkat sebagai pentadbir. KGMMB juga
terlibat dalam pemurnian “11 Resolusi” yang diketengakan dalam Kongres. Begitu
juga dengan Resolusi Tawau yang melibatkan beberapa isu antaranya penstrukturan
PPD, PBS, penjenamaan semula IPG, menolak kemasukan PTD dan menentang tuntutan
Dong Zhong, KGMMB turut sama terlibat.
Ketika
seluruh negara bersatu mengumpul dana untuk mengisi Tabung Wira Lahad Datu,
KGMMB tidak terkecuali menghulurkan bantuan. Cek
berjumlah RM35,000.00 daripada KGMMB disampaikan kepada wakil KPM iaitu Y.Bhg.
Datuk Sufa'at bin Tumin, Timbalan KPPM. KGMMB juga menghantar 4 orang wakil ke
Mesyuarat Pemuafakatan Jawatankuasa Kerja Pelaksana Menangani Isu Beban Tugas
Guru (JKPMIBTG) Bersama Kesatuan Guru di KPM, Putrajaya pada 22 Januari 2013.
Mesyuarat berkisar kepada status pelaksanaan 28 perakuan menangani 14 isu beban
tugas guru, perbincangan isu baru beban tugas guru dan hal-hal lain. Tn. Hj.
Mohamad Sabri, Presiden KGMMB memainkan peranan yang aktif dengan memberikan banyak
komen dan pandangan. Beliau juga mengemukakan pelbagai isu baru berkaitan beban
tugas guru.
Dalam waktu yang sama, KGMMB juga mengambil berat akan
kepentingan pendidikan negara. Anak-anak Melayu dan bumiputera khususnya perlu
sentiasa disedarkan dengan kepentingan pendidikan. Kita bukan sahaja menjaga
perjawatan dan kebajikan guru, tetapi juga menjadi agen perubahan dan pemodenan
bangsa dan negara. Pelbagai nikmat yang dikecapi hasil perjuangan kesatuan dan
komitmen kerajaan perlu dimanifestasi oleh guru-guru dalam bentuk pelaksanaan
tugasan yang komited dan profesionalisme. Agar nanti, generasi yang kita bentuk
menjadi manusia yang berjaya, tidak hidup melarat di tanah air sendiri dan
terus mengecapi kebahagiaan dunia dan akhirat. Perjuangan guru-guru Melayu
dalam KPGMS perlu dijadikan pedoman. Mereka berjaya mengangkat kedudukan bahasa
Melayu dan dasar pendidikan negara yang
berlandaskan jati diri negara. Kita yang semakin tinggi pendidikan dan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan canggih, pastinya mampu menjadi guru yang lebih hebat.
Sekian, terima kasih. Wassalam.
Friday, 13 September 2013
SUNGAI MELAKA MENYIMPAN SEJARAH SILAM
Malam 15 Mei 2008 sehari sebelum sambutan Hari
Guru Peringkat Kebangsaan, kami para
Pegawai KGMMB telah dibawa menyusuri Sungai Melaka. Bagiku peluang tersebut merupakan satu pengalaman yang amat menarik
dan berharga. Apatah lagi perjalanan berlaku
pada waktu malam, menjaminkankan suasana yang sangat indah dan romantik.
Bagi pasangan kekasih atau mereka yang berbulan madu, perjalanan selama
kira-kira 40 minit pada jarak 9 meter itu mempunyai ‘sentimental value’ yang
tinggi.
Sebagai anak kelahiran Melaka, aku
melihat perkembangan yang berlaku terhadap sungai yang menjadi kemegahan
rakyat itu. Aku membesar di Melaka dan
setiap kali ke Melaka aku akan berpeluang melihat situasinya. Dari Stesyen Bas
Melaka untuk ke Banda Hilir, tidak boleh tidak aku akan melalui beberapa
tempat yang menyusuri tebing Sungai
Melaka. Dari tebing aku melihat bot-bot nelayan yang sedang bergerak mudik ke
hulu atau ke kuala, melihat airnya yang keruh, kotor dan dicemari bahan buangan
terutamanya sampah-sarap.
Itu dulu pada tahun 1980-an ketika
aku masih remaja. Tapi kini segalanya berubah. Tebingnya dibina laluan pejalan
kaki yang dijadikan tempat untuk beriadah dan dihias indah dengan lampu neon. Kampung dan bangunan yang terdapat di tebing
sungai kelihatan indah dan bersih. Segala-galanya amat menarik untuk
disaksikan. Sepanjang perjalanan aku membayangkan betapa pentingnya sungai ini
pada satu ketika dulu. Aku juga dapat merasakan betapa banyaknya maklumat yang
tersimpan di sungai ini. Sungai Melaka menjadi saksi kepada sejarah silam
negeri Melaka. Jika boleh berkata-kata, sudah tentu ia ingin membisikkan ke
telingaku segala yang tersimpan di dadanya.
Satu ketika dulu sungai Melaka
disusuri oleh tongkang dan jong untuk memunggah dan mengangkut barang dagangan.
Kampung Jawa yang terletak di tebing Sungai Melaka menjadi tempat berdagang.
Pedagang datang dari India, Cina, Nusantara, Parsi dan Arab. Pedagang Cina
memperdagangkan kain sutera, teh dan barang-barang tembikar. Pedagang India
memperdagangkan kain. Manakala pedagang Arab pula memperdagangkan karpet,
minyak wangi dan lain-lain. Pedagang-pedagang tempatan pula menjual hasil
hutan, rempah ratus, bijih timah, dan sebagainya.
Sungai Melaka juga menyaksikan akan
kehebatan Melaka sebagai pusat perdagangan. Melaka menjadi sebuah empayar
Melayu yang berpengaruh di seluruh Tanah Melayu dan Sumatera telah bertindak
sebagai pusat perdagangan antarabangsa, pusat penyebaran ilmu, dan pusat
pengaruh tamadun asing berkembang dan meresap. Melaka diasaskan pada abad ke 15
oleh seorang putera Palembang
yang lari dari tanah air akibat serangan tentera Majapahit. Parameswara cuba
membebaskan Palembang dari kekuasaan Majapahit di kala berlaku pergeseran
antara Wikrama Wardhana yang dinobat sebagai pengganti Hayam Wuruk yang
meninggal dunia pada tahun 1389 dengan
Bhre Wirabhumi, putera tunggal Hayam Wuruk.
Sungai Melaka juga melihat bagaimana
Islam mempengaruhi kemajuan Melaka. Perkembangan Melaka berkait rapat dengan
kehadiran Islam hasil daripada hubungan dagangan dengan saudagar-saudagar India
yang berterusan berlaku di samping mempunyai hubungan politik dengan Cina. Di
bawah Sultan Mansur Shah, Sultan Alauddin, dan Sultan Mahmud, Melaka telah
mencapai zaman emasnya. Melaka menjadi pusat perdagangan yang didatangi oleh
kapal-kapal perdagangan dari Timur Tengah, Cina, Mesir, Persia, India, dan
sebagainya.
Hal ini diakui oleh Albuquerque di dalam tulisannya;
“This part of Malacca is very safe; there are
no storms to injure it, and never was a
ship lost there. It forms point where
some monsoons commence and others end, so that inhabitants of Malacca call those of India people of the
west, and the Javanese, Chinese and Gores,and all others of those islanders,
people of the east; and Malacca is the middle of all this, a sure and speedy
navigation, such as Singapore never had , for the shoals of Capacia many a ship
has been lost. And those who come from
the east to the west find here western merchandize, and carry it away with
them, leaving that which the bring of theirs here instead, and like manner do
they come from the west”
Kekayaan Alam Melayu tersebar ke
Eropah melalui peranan pedagang-pedagang Islam yang telah memperkenalkan penggunaan
rempah dalam masyarakat Eropah. Hal ini telah membawa Sepanyol dan Portugis
belayar ke Kepulauan Melayu untuk membeli rempah. Orang-orang Cina, India, dan
Parsi datang ke Kepulauan Melayu untuk berdagang. Orang-orang Eropah bukan
sahaja datang untuk tujuan mengaut keuntungan daripada kegiatan perdagangan,
malah merebut kemerdekaan bangsa dan tanah air orang-orang Melayu.
Negeri-negeri Melayu menjadi rebutan East-Hindia
Company sama ada milik British, Portugis, atau Belanda. Pengaruh kapitalis
yang telah menjalar ke Alam Melayu akhirnya berkembang menjadi imperialis. Inilah yang berlaku kepada Melaka
apabila ditakluk oleh Portugis pada tahun 1511.
Begitu juga dengan bangunan Stadthuys
(Rumah Merah) yang dibina di tepi sungai Melaka menjadi bukti yang disaksikan
oleh sungai itu bahawa Melaka menjadi jajahan Belanda selepas Portugis. Hampir
dengan kuala sungai pula terdapat kawasan yang menjadi petempatan bagi kaum
Baba dan Nyonya. Mereka menjadikan budaya Melayu sebagai amalan kehidupan
walaupun masih berpegang kepada agama dan kepercayaan asal. Mereka memakai baju
kebaya dan kain batik. Mereka bertutur dengan menggunakan bahasa Melayu. Mereka
juga makan masakan yang sama seperti orang Melayu seperti cincaluk, sambal
belacan, asam pedas dan sebagainya.
Walaupun masa berubah dan kemajuan
berlaku dengan pesat, namun satu perkara yang membanggakan ialah pengekalan
struktur dan bentuk rumah yang terdapat di Kampung Morton di pinggir sungai
tersebut. Rumah bentuk tradisional ini perlu dikekalkan sebagai bahan sejarah
yang perlu disaksikan oleh generasi kini. Pujian yang tidak terhingga kepada
kerajaan Melaka atas usaha yang dilakukan demi mengekalkan warisan sejarah dan
tradisi tanah air. Walau setinggi mana pembangunan dan pemodenan, warisan
bangsa perlu dipelihara.Itulah jati diri bangsa kita orang Melayu yang perlu
dikekalkan walaupun pelbagai kemajuan datang melanda.
…RsAwab
Subscribe to:
Posts (Atom)



.jpg)










