Malam 15 November 2013 merupakan satu malam yang amat bermakna bagiku. Para pelajar T4PS menganjurkan satu majlis ringkas dan ianya berlangsung di sebuah bilik khas di Pan Mutiara Restoran, Batu Maung, Pulau Pinang. Tidak semua yang hadir. Beberapa orang pelajar telahpun menempah tiket bas dan terpaksa pulang. Ada juga yang diambil oleh keluarga dan perlu mengikut program yang telah diatur. Namun, mereka yang hadir menjadi wakil seisi kelas. Piqah, Nas, Goki, Ida, Yatt, Ina, Naqib, Rifa, Pijo dan Zek sudah cukup memberi makna dalam pertemuan terakhir itu. Selepas bacaan doa oleh Zek, kami menikmati makanan yang disediakan. Selalunya aku amat berselera menikmati kari kepala ikan di restoran itu. Tapi, malam itu seleraku hilang. Berlainan dengan para pelajarku, mereka dapat menikmati makanan yang disediakan. Aku seronok melihat mereka makan, bagaikan seorang bapa yang makan bersama anak-anaknya.
Sejurus selesai makan, setiap pelajar menyampaikan ucapan ringkas. Setiap orang membangkitkan kenangan semasa mula melangkah masuk ke IPG hingga ke malam tersebut. Pelbagai pengalaman manis dan pahit ditimbulkan. Tidak ketinggalan merakamkan jutaan terima kasih dan memohon kemaafan kepadaku khususnya, juga kepada rakan-rakan yang ada. Aku menjadi penyampai ucapan yang terakhir. Sejak Ina berucap perasaanku sudah mula tergugat. Juka tidak kukawal sudah basah pipiku. Seorang demi seorang bercakap, memberi makna dalam diriku dan terasa ingin menangis mendengarnya. Tapi kutahan sahaja. Dalam ucapan, aku mengingatkan pelajar agar menjadi guru yang baik. Guru perlu penyayang dan prihatin kepada pelajar. Selama lima tahun setengah ini aku sangat gembira bersama mereka. Mereka bukan sahaja pelajarku tetapi mereka sudah seperti anakku.
Sebagai guru kepada mereka, paling gembira apabila aku melihat mereka membentangkan hasil kajian semasa Seminar Kajian Tindakan. Dengan penuh gaya, keyakinan dan ketrampilan pelajar-pelajar ini berjaya memperlihatkan mereka sudah matang dan lengkap untuk menjadi seorang guru. Dari seorang budak lepasan SPM, kamu kini menjadi orang dewasa yang penuh dengan ilmu dan kemahiran perguruan. Kamu juga cantik dan tampan. Kamu adalah guru Pengajian Sosial@Sejarah yang hebat. Kamu adalah guru muda yang akan menjadi penerus perjuangan mendidik anak bangsa. Doaku semoga kalian semua berjaya dalam karier yang bermakana ini, INSYAALLAH.
No comments:
Post a Comment