Sunday, 13 December 2015

PERASMIAN WISMA & HOTEL KGMMB


Hari yang dinanti-nantikan oleh KGMMB sekitar 44,000 tiba apabila YABhg Dato' Seri Idris Haron, Ketua Menteri Malaka hadir merasmikan Wisma dan Hotel KGMMB. Majlis berlangsung di Hotel Boutiqe K3P-KGMMB Mutiara Inn, Taman Bukit Piatu Mutiara, Melaka pada 30 November 2015, jam 3.00 petang.



Dalam ucapan perasmian, Ketua Menteri Melaka itu memuji dan mengucapkan syabas atas usaha KGMMB membina hotel dalam bandar Melaka yang sememangnya memerlukan banyak bilik penginapan untuk para pelancong yang datang ke Melaka. Manakala, Dato' Hj. Mohamed Sabri selaku Presiden KGMMB menyampaikan ucapan alu-aluan mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga atas kesudian Ketua Menteri Melaka merasmikan Wisma dan Hotel KGMMB itu. Dalam ucapan tersebut, Presiden juga bercerita sejarah perjuangan KGMMB dan usaha-usaha yang dijalankan oleh KGMMB dan Koperasi KGMMB.




Sehari sebelum perasmian, Pegawai Kanan KGMMB dan Ahli Lembaga Koperasi KGMMB Bhd mengadakan Majlis Tahlil dan Bacaan Yaasin. Majlis tersebut berlangsung di Hotel KGMMB selepas solat Maghrib pada 29 November 2015.




Monday, 23 November 2015

SEMINAR PERLEMBAGAAN


Seminar Perlembagaan Negara "Antara Cinta dan Kesetiaan" anjuran Biro Tata Negara (BTN) Pulau Pinang dijalankan di Politeknik Seberang Jaya pada 10 Oktober 2015 bermula jam 9.00 pagi. Penceramah yang dijemput menyampaikan ucaptama ialah Prof. Madya Dr. Shamrahayu bt. Abdul Aziz, Universiti Malaya. Beliau merupakan pakar dalam bidang perundangan dan menjadi rujukan kepada kerajaan dan badan-badan perundangan. 


Para peserta terdiri daripada para pelajar Politeknik Seberang Jaya, guru-guru j-Qaf, ahli-ahli Badan Bukan Kerajaan dan pegawai kerajaan. Dr. Shamrahayu menyampaikan ceramahnya dengan begitu baik dan jelas tentang isu-isu yang berkaitan undang-undang dan perlembagaan. Selain mendengar ceramah, para peserta diberi peluang berinteraksi dengan pembentang. Pelabagai soalan ditimbulkan dan dibincangkan dalam seminar tersebut. En. Hassan Mohamad, Pengarah Biro Tata Negara Pulau Pinang turut menyampaikan pesanan dan ingatan kepada para peserta tentang peranan warganegara dalam memastikan keamanan, kemakmuran dan kemerdekaan negara terpelihara.

Sunday, 22 November 2015

COSMED 2015

Conference on Science & Mathematics Educations (CoSMED 2015) berlangsung di SEAMEO-RECSAM dari 16 hingga 19 November 2015. Beberapa orang pensyarah dan sekumpulan pelajar terlibat dalam konferens tersebut. Encik Jamal Mohamed Abdul Rahman, Dr. Roslan Saadon dan Pn. Teh Kim Hong terlibat dalam Jawatankuasa Pelaksana Seminar. Dr. Parvinder Singh, Dr. Yeoh Poh Choo serta beberapa orang lagi terlibat sebagai panel penilai kertas kerja. Para pelajar dari Opsyen Muzik pula terlibat dalam persembahan.


IPG Kampus Pulau Pinang dan SEAMEO-RECSAM merupakan rakan kolaboratif hasil daripada MoU yang telah dibuat antara kedua-dua institusi ini. Kerjasama yang terjalin dalam seminar ini membuka ruang kepada IPG menimba pengalaman dalam menguruskan seminar bertaraf antarabangsa. SEAMEO-RECSAM pula dapat mempamerkan bakat dan kebolehan pelajar melalui persembahan kebudayaan dan nyayian pada Majlis Makan Malam Cosmed yang berlangsung pada 17 November 2015. En. Jamal Mohamed, Setiausaha Akademik IPG Kampus Pulau Pinang telah berjaya mengendalikan majlis makan malam dengan jaya dan cemerlang melalui peranannya sebagai pengacara,






Monday, 7 September 2015

KGMMB DI MAJLIS PELANCARAN BULAN BAHASA SINGAPURA 2015


Delegasi KGMMB seramai 50 orang diundang menyertai Majlis Pelancaran Bulan Bahasa 2015 Singapura. Majlis berlangsung pada 5 September 2015, bermula jam 2.00 petang di Flower Field Hall, Garden by the Bay, 18, Marina Gardens Drive, Singapura. En. Lee Hsien Loong selaku tetamu terhormat merasmikan majlis tersebut. Pelbagai persembahan diadakan seperti bacaan puisi dan nyanyian lagu-lagu puisi oleh kumpulan Kaizen MD dan Datuk Ramli Sarip serta persembahan tarian kebudayaan Melayu oleh pelajar sekolah.


Paluan kompang dan tarian Melayu menyambut dan mengiringi ketibaan Perdana Menteri Singapura itu menunjukkan budaya Melayu (jati diri asal penduduk Singapura) masih kekal. Orang Melayu masih kuat mempertahankan budaya mereka terutama bahasa.






Sunday, 6 September 2015

PERTEMUAN GURU NUSANTARA KALI KE-16 DI SINGAPURA


Seramai 64 orang ahli KGMMB terdiri daripada Pegawai Kanan, Majlis Jawatankuasa Agung (MJKA) dan Ahli Jawatankuasa Cawangan menghadiri Pertemuan Guru Nusantara Kali Ke-16. Program berlangsung di Singapura dari 4 hingga 6 September 2015. KGMMB mewakili Malaysia manakala Persatuan Guru Republik Indonesia (PGRI) mewakili Indonesia dan Persatuan Guru Melayu Brunei (PGMB) mewakili Brunei Darul Salam. Singapura diwakili oleh Kesatuan Guru Melayu Singapura (KGMS) yang bertindak selaku tuan rumah dan pengelola PGN bagi tahun 2015.


Sempena persidangan tahun 2015 ini, Singapura melancarkan Laman Sesawang PGN yang dibina untuk kepentingan negara-negara anggota. Semua negara terlibat boleh menggunakan laman web tersebut dan juga boleh menyumbangkan dan berkongsi maklumat dengan menyerahkannya kepada pihak Singapura. Majlis pelancaran tersebut berlangsung pada 4 September 2015, jam 8.30 malam di Dewan NUPC, Downtown East, Singapura sempena majlis makan malam.


Pada pagi hari kedua, 5 September 2015 sesi pembentangan kertas kerja dilangsungkan. Empat kertas kerja dibentangkan oleh wakil dari keempat-empat negara terlibat. Dato' Hj. Mohamed Sabri Mohd Arsad, Presiden KGMMB membentangkan kertas kerja bertajuk "Pembangunan ICT Sebagai Satu Anjakan Dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) Menyelusuri Abad 21". Pada sesi akhir seminar, Encik Tahiruddin S.Kadarisman, Pengerusi Pengelola membacakan resolusi seminar bagi tahun 2016. Seterusnya keempat-empat wakil ketua setiap negara terlibat menandatangani resolusi tersebut. Persidangan mencadangkan PGN Ke-17 pada tahun 2016 nanti dikendalikan oleh Indonesia dan tempatnya di Yogjakarta.




Wednesday, 26 August 2015

FORUM REMAJA PERINGKAT KEBANGSAAN 2015




Forum Remaja Peringkat Kebangsaan 2015 berlangsung di Kuching, Sarawak dari 24 hingga 26 Ogos 2015. Forum ini merupakan program anjuran DBP dengan kerjasama KPM, Kesatuan Guru-guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) dan Persatuan Linguistik Malaysia (PLM). Pertandingan peringkat Separuh Akhir diadakan di Kompleks Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuching dan Kompleks Belia dan Sukan Negeri Sarawak yang juga di Kuching. Dr. Roslan Saadon dari KGMMB bersama-sama Dr. Fatimah bt. Hj. Subet (UMS) dan En. Abang Patdeli Abang Muhi (DBP) dijemput sebagai hakim pertandingan separuh akhir.





Forum ini berjaya mengangkat kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa komunikasi, bahasa ilmu dan bahasa perpaduan. Para peserta mempamerkan kepetahan dan kebijaksanaan mereka mengeluarkan pandangan dan hujah menggunakan bahasa Melayu dengan baik. Penggunaan bahasa Melayu mereka amat baik dan sukar untuk membezakan mereka orang Melayu atau bukan Melayu. Hal ini menyangkal sesetengah kaum atau pihak yang beranggapan bahawa bahasa Melayu sukar dipelajari dan dikuasai. Sebagai contoh, peserta bukan Melayu seperti Fong Soon Ming, Cenessy Dewi Kenedy dan Angelina Derong dari SMK Tatau, Bintulu, Sarawak dapat berforum dengan amat baik menggunakan bahasa Melayu.



Dato' Hj. Mohamad Sabri Hj. Md. Arsad, Presiden KGMMB turut hadir dalam Pertandingan Akhir Forum Remaja itu. Beliau disertai oleh empat orang lagi wakil KGMMB. Tetamu kehormat pada pertandingan akhir itu ialah TYT Yang di-Pertua Negeri Sarawak. Johan Forum Remaja 2015 jatuh kepada SMK Kuhara, Tawau, Sabah manakala naib johan disandang oleh SMK Tatau, Bintulu, Sarawak. SMK Dato' Perdana, Kelantan menduduki tempat ketiga.


Kuih Celorot hidangan istimewa Orang Sarawak
(Tepung manis gula nipah dibungkus dengan daun nipah)

Tuesday, 25 August 2015

PERSIDANGAN PERWAKILAN KONGRES


Persidangan tersebut diadakan pada 22 Ogos 2015 (Sabtu), jam 9.00 pagi di Hotel K3 KGMMB Mutiara Inn, Bukit Piatu, Melaka. Persidangan dipengerusikan oleh Y.Bhg. Dato' Hj. Mohamad Sabri Hj. Md. Arsad, Presiden Kongres. Kesatuan yang menyertai Kongres itu antaranya ialah KGMMB, Kesatuan Guru Lepasan Maktab (KGLM), Kesatuan Guru Malaya, Kesatuan Guru Tamil, Kesatuan Guru Bahasa Melayu Malaysia Barat dan Kesatuan Guru Agama.


Sebelum bersidang, wakil daripada Syarikat Buku Teks Digital diberikan laluan menyampaikan taklimat ringkas. Pengarahnya iaitu En. Ali Rimau menyampaikan taklimat kemudahan buku teks digital hasil kerjasama dengan DBP. Buku teks tersebut dimuatkan secara off-line dalam tablet samsung yang boleh dibeli untuk kegunaan murid-murid.


Sejurus tamat taklimat tersebut, persidangan Kongres dimulakan. Pelbagai isu, cadangan dan pandangan ditimbulkan oleh para perwakilan. Antara perkara yang dibangkitkan dalam persidangan tersebut ialah status pegawai kesatuan yang bergred DG48 dan ke atas, NPQEL, senioriti PPLD, Pensyarah/Guru Cemerlang dan sebagainya. Kongres akan membuat persediaan rapi dan akan mengadakan pertemuan dengan pihak berkenaan bagi menyelesaikan isu-isu tersebut.