Thursday, 2 April 2015

KURSUS JURULATIH KEBANGSAAN (JUK) SEJARAH TAHUN 6

En. Abdul Jaleel Abdul Hakim dan Dr. Roslan Saadon dari IPGK Pulau Pinang menghadiri Kursus JUK di Hotel Ibis Styles, Cheras, Kuala Lumpur. Kursus berlangsung dari 22 hingga 24 Mac 2015. Para peserta terdiri daripada pensyarah IPG dan guru-guru sejarah sekolah rendah. Para peserta didedahkan dengan Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP) Tahun 6 yang akan dilaksanakan pada tahun 2015. Para JUK akan dihantar menyampaikan taklimat mengenai DSKP tersebut bermula 1 April 2015 di Zon Utara Semenanjung dan Sabah. Kursus dikendalikan oleh Unit Sejarah, Bahagian Perkembangan Kurikulum, KPM.




MAJLIS PERSARAAN DATO' ROSLAN MADON


Cikgu Dato' Roslan Madon menamatkan tugas sebagai kakitangan kerajaan (Guru Besar) pada 13 Mac 2015. Satu majlis persaraan yang meriah dan gilang-gemilang diadakan di Hotel Flamingo, Ampang, Kuala Lumpur. KGMMB telah menghantar beberapa orang wakil terdiri daripada Pegawai Kanan diketuai Cikgu Dato' Mohamed Sabri, Presiden KGMMB.




SUMBANGAN PASCA BANJIR PGMPPS/KGMMB PULAU PINANG


Rombongan PGMPPS/KGMMB Pulau Pinang diketuai oleh Tn. Hj. Juhari Mohamad Nor menyampaikan sumbangan pasca banjir kepada 4 buah sekolah di Kelantan. Majlis penyampaian sumbangan dijalankan di SMK Kota Bharu pada 8 Mac 2015, jam 10.00 pagi. Sumbangan tersebut diserahkan oleh Tn. Hj. Juhari kepada Pengetua dan Guru Besar SMK Kota Bharu; SMU Nurul Ihsan, Kandis, Bachok; SK Gong Dermin dan SK Kampung Laut, Tumpat. Setiap sekolah menerima sumbangan sebanyak RM2,500.00. Majlis berlangsung di SMK Kota Bharu, di bawah kelolaan Pn. Hjh. Dalilah selaku pengetua sekolah tersebut yang bertindak sebagai tuan rumah. Turut hadir Dato' Amran Ghani, Pengerusi KGMMB Kelantan dan Tn. Hj. Che Zahari Mustapha.




Friday, 20 February 2015

KURSUS TRANSFORMASI DIRI & EKONOMI


Kursus Transformasi Diri & Ekonomi berlangsung di Hotel Zenith, Kuantan, Pahang Darul Makmur bermula dari 19 hingga 21 Februari 2015. Program anjuran bersama KGMMB dan Mayang Sutera Holiday Sdn Bhd ini melibatkan Ahli Lembaga Koperasi (ALK) KGMMB Bhd dan Ahli MJKA KGMMB. Para penceramah terdiri daripada Y.Bhg. Datuk Muhammad Mahzan Tamyiz, Ustaz Syed Bahri, Y.Bhg. Datuk Azizul Rahim dan Prof. Dr. Mohd Idrus Mohd Masirin. Para peserta didedahkan dengan pelbagai pengetahuan dan kemahiran dalam transformasi diri dan memperkukuh ekonomi. 






Tuesday, 17 February 2015

KUNJUNG HORMAT TYT YANG DIPERTUA NEGERI


Majlis Kunjung Hormat TYT Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang ini berlangsung pada 17 Februari 2015, jam 5.30 petang di Seri Mutiara, Pulau Pinang. Kunjungan ini melibatkan 3 orang peserta dari PGMPPS/KGMMB iaitu Tn. Hj. Saidin Rashid, Tn. Hj. Juhari Mohamad Nor dan En. Roslan Saadon; 2 orang dari IPG Kampus Pulau Pinang iaitu Pn. Hjh. Suriah Abd. Manap dan En. Jamal Mohamed Abdul Rahman dan seorang dari Persatuan Penulis Pulau Pinang iaitu Y.Bhg. Dato' Hj. Anuar Ahmad.


Kunjungan bertujuan untuk melawat TYT Tun yang baru sahaja sembuh dari sakit. Dalam perjumpaan itu, beliau menceritakan penyakit yang dialami, rawatan yang diterima dan proses pemulihan yang dijalani. Wakil KGMMB banyak bercerita tentang perjuangan guru dalam persatuan dan usaha untuk menyiapkan penulisan dan penerbitan Biografi TYT Tun Dato' Seri Utama (Dr.) Hj. Abdul Rahman Hj. Abbas. Pada penghujung sesi, Tn. Hj. Saidin Rashid selaku ketua rombongan menyampaikan cenderamata kepada TYT Tun.



Tuesday, 20 January 2015

TAKLIMAT KHAS BPSM KEPADA KESATUAN PERKHIDMATAN PENDIDIKAN


Bahagian Pengurusan Sumber Manusia (BPSM), KPM mengadakan perjumpaan dengan Kesatuan Perkhidmatan Pendidikan di KPM, Putrajaya pada 27 Januari 2015. Perjumpaan bertujuan untuk menyampaikan taklimat berkaitan pengurusan ICT di sekolah. Isu utama yang hendak dibentangkan ialah usaha yang dijalankan oleh KPM dalam menangani masalah pengurusan dan penggunaan ICT di sekolah. Seorang pegawai dari BPSM dan seorang lagi dari Bahagian Teknologi KPM membentangkan rancangan yang akan dilaksanakan. Antara langkah yang dibuat ialah penghasilan modul yang bertujuan mengintegrasi sistem-sistem sedia ada, membangunkan fungsi-fungsi baharu dan phase out sistem fungsi bertindih. Pelaksanaan modul tersebut diharapkan akan dapat mengurangkan beban tugas guru dalam urusan key in data. Majlis itu juga membuka peluang kepada para pimpinan kesatuan mengemukakan pelbagai isu dan pandangan berkaitan ICT.


KGMMB menghantar empat orang wakil diketuai oleh Y.Bhg. Dato' Hj. Mohamad Sabri Hj. Mohd Arsad, Cikgu Mohd Said Hussin, Cikgu Hj. Atan Nordin dan Cikgu Roslan Saadon. Dalam sesi perbincangan, Dato' Hj. Mohamad Sabri yang juga Presiden Kongres mencadangkan agar PKG diperkasa bagi membantu sekolah dan guru dalam urusan meningkatkan kemahiran ICT. Beliau juga mencadangkan agar pihak PPD mengurangkan arahan dan permintaan mendapatkan data dari sekolah sedangkan data tersebut boleh diperoleh sendiri secara online di PPD. Justeru pegawai yang berkemahiran tinggi dalam ICT perlu dipilih untuk menguruskan ICT di PPD.



Saturday, 17 January 2015

PERUTUSAN TAHUN BAHARU 2015 OLEH TPM



Majlis Perutusan Tahun Baharu 2015 KPM berlangsung di PICC, Putrajaya pada 16 Januari 2015. KGMMB menghantar lima orang peserta iaitu Dato' Jamaludin Jali, Tn. Hj. Atan Nordin, En. Roslan Saadon, En. Ahmad Nawawi Shaari dan En. Hashim. Manakala Dato' Hj. Mohamad Sabri Hj. Md. Arsad dan En. Mohd Said Hussin mewakili Kongres. Majlis bermula dengan nyanyian lagu Negaraku dan lagu Transformasi Pendidikan. Sejurus tamat nyanyian lagu tersebut, majlis disusuli dengan bacaan doa dan seterusnya persembaan Montaj KPM 2014. Ucapan Menteri Pelajaran Malaysia menyusul selepas itu dengan pelbagai maklumat dan pesanan. Antara yang dinyatakan, beliau mengucaplan terima kasih kepada semua warga KPM atas komitmen menjayakan PPPM pada tahun 2014. 



Beliau juga mengimbau kejadian banjir yang berlaku di beberapa buah negeri yang melibatkan kerugian harta benda dan kehilangan nyawa. Dalam pada itu Timbalan Perdana Menteri merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada semua sukarelawan dan pihak yang memberikan bantuan kepada mangsa-mangsa banjir. Surat penghargaan dari KPM akan dikeluarkan kepada sukarelawan dan pihak-pihak terlibat. Seterusnya, TPM menggesa semua warga KPM bersama para ibu bapa dan pihak berkepentingan menggembeling tenaga dan komitmen menjayakan agenda pendidikan negara. Usaha tersebut penting bagi mewujudkan generasi berilmu dan mencapai pendidikan bertaraf dunia. Selepas ucapan, TPM menyampaikan Watikah Autonomi kepada beberapa buah IPTA dan Watikah Pelantikan Ahli Majlis Penarafan Standard Kualiti Bahasa Inggeris. Majlis diakhiri dengan Ikrar Perkhidmatan Awam yang melibatkan semua hadirin.