Monday, 20 October 2014
WACANA INTELEKTUAL BERSAMA SPRM
Majlis Wacana Intelektual Bersama SPRM telah diadakan pada 16 Oktober 2014, di Dewan Kuliah Utama, IPG Kampus Pulau Pinang bermula jam 9.00 pagi. Tiga orang panel dijemput sebagai pembicara dalam forum yang diadakan iaitu Pengarah SPRM, Presiden KGMMB dan Presiden KPPK.
Saturday, 11 October 2014
MESYUARAT MJKA KGMMB KALI PERTAMA SESI 2014-17
Mesyuarat yang berlangsung pada 11 Oktober 2014 di Hotel Super Cowboy, Melaka ini melibatkan 29 orang Ahli Majlis Jawatankuasa Agung dari seluruh Malaysia. Y.Bhg. Dato' Hj. Mohamad Sabri Hj. Mohd Arsad mempengerusikan mesyuarat bermula jam 9.00 pagi. Mesyuarat membincangkan Hotel Budget KGMMB, Perancangan 2014-17, isu-isu perjawatan dan sebagainya.
FORUM BAHASA DI TEMPAT AWAM
Sempena Bulan Bahasa, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Pulau Pinang telah menganjurkan Karnival Bahasa dari 7 hingga 11 Oktober 2014 di TEXCO Extra Seberang Jaya. Pada 9 Oktober 2014 (Khamis) pada jam 10.30 pagi berlangsung Forum bertajuk "Bahasa di Tempat Awam". Ahli Panel terdiri daripada Tn. Hj. Abdul Karim Abu Bakar, Ketua Penguatkuasaan DBP dan Pn. Aini Andria Shirin, Pensyarah Bahasa Inggeris dari UiTM Shah Alam. Moderator forum ialah En. Roslan bin Saadon dari IPG Kampus Pulau Pinang. Perbincangan berkisar tentang isu-isu bahasa seharian, penguatkusaaan dan perundangan, serta bahasa pengiklanan. Peserta forum terdiri daripada wakil-wakil jabatan kerajaan dan pelajar sekolah.
Saturday, 13 September 2014
MAJLIS TEMU MESRA KGMMB BERSAMA PENGARAH JPN PULAU PINANG
Majlis anjuran KGMMB Pulau Pinang & PGMPPS ini berlangsung pada 11 September 2014 jam 9.00 malam di Hotel Sunway Seberang Jaya, Pulau Pinang. Majlis ini merupakan tradisi KGMMB/PGMPPS apabila menyambut pengarah baharu JPN Pulau Pinang. Tn. Hj. Osman Hussain merupakan pengarah baharu menggantikan Tn. Hj. Ahmad Tarmizi yang bersara wajib. Tn. Hj. Osman sebelum ini merupakan Pengarah IPGK Pendidikan Islam, Bangi, Selangor. Acara bermula dengan jamuan makan malam dan seterusnya dialog bersama pengarah. Turut hadir bersama dalam majlis tersebut ialah Dr. Johan Zakaria, Pengarah SEAMEO-RECSAM, En. Puzi, PPD Utara dan Tn. Hj. Suhaimi, PPD Selatan. Tn. Juhari Mohamad Nor ditugaskan sebagai moderator dialog. Pertemuan tersebut berjalan dengan baik dan penuh kemesraan.
Saturday, 6 September 2014
MESYUARAT PEGAWAI KANAN KGMMB
Mesyuarat tersebut berlangsung pada 6 September 2014 di Hotel Kuala Lumpur International bermula jam 8.30 malam. Ahli mesyuarat terdiri daripada Pegawai Kanan KGMMB dan wakil JK KGMMB Pulau Pinang iaitu Tn. Hj. Saidin Rashid dan En. Hisham Ismail. Mesyuarat membincangkan persediaan Persidangan Perwakilan KGMMB yang akan berlangsung di IPG Kampus Pulau Pinang pada 17 hingga 18 September dan Pertemuan Guru-guru Nusantara yang akan berlangsung pada 19 dan 20 September 2014 di tempat yang sama.
Sunday, 24 August 2014
MAJLIS AIDIL FITRI & HARI GURU PGMPPS 2014
Majlis Aidil Fitri dan Hari Guru PGMPPS 2014 dihadiri oleh TYT Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang sebagai tetamu kehormat. Majlis diserikan lagi dengan kehadiran Y.Bhg. Dato' Hj. Mohamad Sabri, Presiden KGMMB dan isteri. Buat julung-julung kali PGMPPS menganjurkan Hari Guru dengan menganugerahi tiga orang pesara guru sebagai Tokoh PGMPPS 2014. Majlis yang penuh dengan keceriaan dan kemegahan ini berlangsung pada 24 Ogos 2014 (Ahad), bermula jam 2.00 petang dan berakhir jam 5.00 petang di Penang Golf Resort, Bertam, Seberang Perai.
Tiga orang tokoh tersebut ialah Cikgu Idrus Awang, Cikgu Hamzah Md. Ali dan Cikgu Bakar Awang. Anugerah diberikan kepada ketiga-tiga orang tokoh tersebut atas sumbangan dan pengorbanan yang telah dicurahkan meliputi bidang pekerjaan, kegiatan luar dan kemasyarakatan. Anugerah disampaikan oleh TYT Tun Dato' Seri Utama (Dr) Hj. Abdul Rahman bin Hj. Abbas, Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang. Dalam ucapan TYT Yang di-Pertua Negeri, beliau antara lain menyatakan akan kesungguhan dan peranan Presiden KGMMB memperjuangkan kepentingan profesion keguruan dan memartabat bahasa Melayu. Beliau juga menyentuh tentang kesanggupan dan keprihatinan Presiden KGMMB berkunjung ke Pulau Pinang terutama untuk menemui beliau. Untuk itu, Yang di-Pertua Negeri memaklumkan yang Pulau Pinang akan memberikan sokongan penuh kepada Y.Bhg. Dato' Hj. Mohamad Sabri.
Saturday, 23 August 2014
MESYUARAT JAWATANKUASA INDUK PGN
Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Y.Bhg. Dato' Hj. Mohamad Sabri ini berlangsung di Bilik Mesyuarat Rijeng, IPG Kampus Pulau Pinang pada 22 Ogos 2014 bermula jam 3.00 petang dan berakhir pada jam 5.00 petang. Mesyuarat melibatkan KGMMB, Pengarah dan beberapa orang pensyarah IPG Kampus Pulau Pinang, wakil JPN Pulau Pinang dan wakil dari IPGM. Perbincangan berkisar mengenai Persidangan PGN yang akan berlangsung di IPG Pulau Pinang pada 19-20 September 2014. PGN melibatkan guru-guru dari Indonesia, Malaysia, Singapura dan Brunei.
Subscribe to:
Posts (Atom)











