Thursday, 16 April 2015

KELAS TANPA TEMBOK


Tenaga pengajar baik di sekolah, kolej atau universiti sentiasa mencari jalan mempelbagaikan kaedah dan teknik pengajaran. Tujuannya adalah untuk menimbulkan keseronokan dan meningkatkan keberkesanan PdP. Menjalankan kelas di luar bilik darjah mampu meningkatkan keseronokan dan memberi suasana baru kepada para pelajar. Pelajar tidak terkongkong dengan suasana bilik darjah, malah bebas dan lapang untuk bergerak

Hari ini, 16 April 2015, pelajar PPISMP Major Sejarah dibawa keluar untuk mengikuti kuliah. Mereka dibawa ke bahagian belakang institut untuk melihat flora dan fauna, bukit, laut dan bangunan. Berdasarkan alam semulajadi, binatang dan segala apa yang dilihat, para pelajar dibimbing menghasilkan pantun bertemakan perpaduan dan kemerdekaan negara secara berperingkat. Pada peringkat pertama, para pelajar diminta menghasilkan dua baris pembayang menggunakan unsur-unsur semulajadi, alam sekitar dan bahan ciptaan manusia.


Mereka diminta membina pembayang dan membacakan dua baris pembayang tersebut. Pensyarah membantu membaiki pembayang yang kurang betul dan kurang menarik. Selepas para pelajar agak jelas dan dapat menghasilkan pembayang, mereka diberikan maksud yang diwakili oleh baris ketiga dan keempat. Berdasarkan maksud yang diberi, para pelajar dibimbing menghasilkan pembayang. Para pelajar dimaklumkan bahawa rima akhir baris pertama perlu sama dengan rima akhir baris ketiga. Rima akhir baris kedua pula perlu sama dengan rima akhir baris keempat. Pelajar diminta membaca pantun yang telah lengkap dan diberi markah mengikut ketepatan dan keindahan pantun yang dihasilkan. 


Di samping belajar sejarah, PdP yang dijalankan dapat meningkatkan keupayaan pelajar menguasai bahasa dan sastera sebagai jati diri bangsa. Mendalami bahasa dan sastera akan mendekatkan pelajar dengan budaya bangsa dan menjadikan mereka bersopan dan berbudi luhur. Menghasilkan pantun bertema sejarah juga melibatkan kemahiran berfikir (KBAT) kerana pelajar perlu menghubungkait, mengaplikasi dan mensintesis.

No comments:

Post a Comment