Panduan Guru 1922
Pada 3 Mac 1922, satu mesyuarat diadakan dengan mengambil keputusan menerbitkan sebuah majalah sebagai wadah perjuangan PGMPPJ. Hal ini berlaku kerana penglibatan aktif dalam kalangan guru menghasilkan penulisan dalam akhbar-akhbar. Mesyuarat tersebut menerima beberapa cadangan nama lain selain Panduan Guru antaranya Asohan Guru, Kemajuan Guru, Pemimpin Guru, Tunas Guru, Lidah Melayu, Kemajuan Bangsa, Benih Perasaan dan Suloh Melayu. Mesyuarat kedua pada 30 Jun 1922 menetapkan nama yang dipilih iaitu Panduan Guru. (Jubli Emas, 1972: 23)
Dalam mesyuarat awal pada 3 Mac 1922, jawatankuasa penerbitan dibentuk yang mana Cikgu Husain bin Abd. Rashid dilantik sebagai penyunting dan Cikgu Md Saman Haji Said sebagai penolong penyunting. Dari setiap cawangan pula dilantik wakil-wakil penulis seperti Md Zain bin Abdullah (Bandar), Md Yusof Zainal (Bayan Lepas), Husain Abdul Rashid (Balik Pulau), Bahaudin Zainal (Penaga), Din Sulaiman (Permatang Pauh), Abdullah Ahmad (Aur Gading), Senawi Md Yunus (Bukit Mertajam) dan Jamaludin Saleh (Nibong Tebal). (Jubli Emas, 1972: 81)
Panduan Guru telah dihasilkan sebanyak 12 keluaran iaitu bermula dengan keluaran pertama pada bulan Julai 1922 dan menghasilkan keluarannya yang terakhir pada bulan April 1925. Panduan Guru tidak berakhir pada tahun tersebut kerana ia telah menjelma dalam diri Majalah Guru. (Jubli Emas, 1972: 81) Panduan Guru bersaiz 8 x 6 inci berkulit warna dengan jumlah muka suratnya 60 helai menggunakan kertas simili 60 lb. Majalah ini dicetak oleh Mercantail Press Pulau Pinang dan dijual dengan harga 25 sen senaskhah. (Jubli Emas,1972: 83)
Penerbitan Panduan Guru mempamerkan akan pertumbuhan semangat kebangsaan dalam kalangan guru-guru Melayu. Mereka mula sedar akan untung nasib bangsa, kemunduran bangsa, ceteknya taraf pendidikan anak-anak Melayu dan sebagainya. Cadangan menamakan majalah yang bakal diterbitkan menjadi bukti guru-guru Melayu Pulau Pinang tebal dengan perasaan tersebut. Nama-nama yang dicadangkan oleh kumpulan penulis antaranya ialah Asohan Guru (Bukit Mertajam), Suloh Melayu (Bayan Lepas), Kemajuan Guru (Bandar), Kemajuan Bangsa (Aur Gading), Pemimpin Guru (Permatang Pauh), Panduan Guru (Balik Pulau), Tugas Guru (Penaga), Lidah Melayu (Nibong Tebal) dan Beneh Perasaan (Dinding). (Jubli Emas, 1972: 83)
Pada tahun 1925, satu perjumpaan diadakan bagi menyatukan Panduan Guru dengan Majalah Guru yang dihadiri oleh Haji Abdul Jalil, bekas Guru Besar Maktab Melaka; Za’aba, Hj. Ahmad Shah Melaka, Setiausaha Persekutuan Guru Melayu Melaka; En. Mohammad bin Dato’ Muda, Pengarang pertama Majalah Guru dan Setiausaha Persekutuan Guru Melayu Negeri Sembilan; En. Ahmad bin Abdul Rahman, Yang Dipertua Persekutuan Guru Melayu Melaka; En. Yusof bin Ahmad,Yang Dipertua Persekutuan Guru Melayu Selangor; Baba Jaudin, Yang Dipertuan Persekutuan Guru Melayu Negeri Sembilan; dan lebih dari 30 orang pengarang, penulis dan ahli-ahli bahasa. Mesyuarat yang dijalankan di Sekolah Chowrasta itu mengambil ketetapan untuk menggabungkan kedua-dua majalah tersebut. (Jubli Emas, 1 Julai 1972, hlm. 25)
Cadangan untuk mengukuhkan wadah perjuangan guru-guru Melayu melalui majalah bermula pada bulan November 1923. Pada tahun tersebut PGMPPS menerima surat daripada Persatuan Guru-guru Melayu Selangor (PGMS) agar Panduan Guru menjadi suara milik semua guru di Semenanjung. Hal ini bertujuan untuk menguatkan lagi suara guru-guru Melayu. (Jubli Emas, 1 Julai 1972, hlm. 83-84). Usaha penyatuan tersebut tidak dipersetujui oleh Pulau Pinang, namun sokongan, perangsang dan hubungan baik sentiasa terjalin. Majalah Guru diterbitkan pada bulan November 1924 dengan kendalian tiga negeri iaitu Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka. Pada awal tahun 1925, tak boleh tidak akhirnya Panduan Guru dan Majalah Guru bergabung. (Jubli Emas, 1 Julai 1972, hlm. 83-84)
Bila bercakap tentang wadah penerbitan guru-guru Melayu, Panduan Guru tidak boleh diketepikan. Walaupun hayatnya pendek iaitu sekitar tiga tahun, namun rohnya terus meresapi Majalah Guru yang muncul selepas itu. Seterusnya Majalah Guru dipanggil Guru. (Jubli Emas, 1 Julai 1972, hlm. 84) Bagi menjadikan Majalah Guru sebagai tenggungjawab semua cawangan, mesyuarat pada 24 Januari 1936 menetapkan semua cawangan menambah dalam perlembagaan persatuan masing-masing dengan perkara berikut:
“dan bersama dengan lain-lain persakutuan guru-guru Melayu kerana menerbitkan Majalah Guru” (Minit Mesyuarat PGMPPS, 6 Februari 1936)
Pada tahun 1951, PGMPPS telah memutuskan untuk menerbitkan Suara Kesatuan yang akan bermula pada bulan Jun 1951. (Minit Mesyuarat Perwakilan KGMPPS, 18 Mei 1951) Dalam mesyuarat pada bulan Oktober 1951 dinyatakan sebanyak 150 unit Suara Kesatuan dikeluarkan dan kemudian ditambah 250 unit lagi. (Minit Mesyuarat Perwakilan KGMPPS, 2 Oktoer 1951)