Seminar Perlembagaan Negara "Antara Cinta dan Kesetiaan" anjuran Biro Tata Negara (BTN) Pulau Pinang dijalankan di Politeknik Seberang Jaya pada 10 Oktober 2015 bermula jam 9.00 pagi. Penceramah yang dijemput menyampaikan ucaptama ialah Prof. Madya Dr. Shamrahayu bt. Abdul Aziz, Universiti Malaya. Beliau merupakan pakar dalam bidang perundangan dan menjadi rujukan kepada kerajaan dan badan-badan perundangan.
Para peserta terdiri daripada para pelajar Politeknik Seberang Jaya, guru-guru j-Qaf, ahli-ahli Badan Bukan Kerajaan dan pegawai kerajaan. Dr. Shamrahayu menyampaikan ceramahnya dengan begitu baik dan jelas tentang isu-isu yang berkaitan undang-undang dan perlembagaan. Selain mendengar ceramah, para peserta diberi peluang berinteraksi dengan pembentang. Pelabagai soalan ditimbulkan dan dibincangkan dalam seminar tersebut. En. Hassan Mohamad, Pengarah Biro Tata Negara Pulau Pinang turut menyampaikan pesanan dan ingatan kepada para peserta tentang peranan warganegara dalam memastikan keamanan, kemakmuran dan kemerdekaan negara terpelihara.