Monday, 7 September 2015

KGMMB DI MAJLIS PELANCARAN BULAN BAHASA SINGAPURA 2015


Delegasi KGMMB seramai 50 orang diundang menyertai Majlis Pelancaran Bulan Bahasa 2015 Singapura. Majlis berlangsung pada 5 September 2015, bermula jam 2.00 petang di Flower Field Hall, Garden by the Bay, 18, Marina Gardens Drive, Singapura. En. Lee Hsien Loong selaku tetamu terhormat merasmikan majlis tersebut. Pelbagai persembahan diadakan seperti bacaan puisi dan nyanyian lagu-lagu puisi oleh kumpulan Kaizen MD dan Datuk Ramli Sarip serta persembahan tarian kebudayaan Melayu oleh pelajar sekolah.


Paluan kompang dan tarian Melayu menyambut dan mengiringi ketibaan Perdana Menteri Singapura itu menunjukkan budaya Melayu (jati diri asal penduduk Singapura) masih kekal. Orang Melayu masih kuat mempertahankan budaya mereka terutama bahasa.






Sunday, 6 September 2015

PERTEMUAN GURU NUSANTARA KALI KE-16 DI SINGAPURA


Seramai 64 orang ahli KGMMB terdiri daripada Pegawai Kanan, Majlis Jawatankuasa Agung (MJKA) dan Ahli Jawatankuasa Cawangan menghadiri Pertemuan Guru Nusantara Kali Ke-16. Program berlangsung di Singapura dari 4 hingga 6 September 2015. KGMMB mewakili Malaysia manakala Persatuan Guru Republik Indonesia (PGRI) mewakili Indonesia dan Persatuan Guru Melayu Brunei (PGMB) mewakili Brunei Darul Salam. Singapura diwakili oleh Kesatuan Guru Melayu Singapura (KGMS) yang bertindak selaku tuan rumah dan pengelola PGN bagi tahun 2015.


Sempena persidangan tahun 2015 ini, Singapura melancarkan Laman Sesawang PGN yang dibina untuk kepentingan negara-negara anggota. Semua negara terlibat boleh menggunakan laman web tersebut dan juga boleh menyumbangkan dan berkongsi maklumat dengan menyerahkannya kepada pihak Singapura. Majlis pelancaran tersebut berlangsung pada 4 September 2015, jam 8.30 malam di Dewan NUPC, Downtown East, Singapura sempena majlis makan malam.


Pada pagi hari kedua, 5 September 2015 sesi pembentangan kertas kerja dilangsungkan. Empat kertas kerja dibentangkan oleh wakil dari keempat-empat negara terlibat. Dato' Hj. Mohamed Sabri Mohd Arsad, Presiden KGMMB membentangkan kertas kerja bertajuk "Pembangunan ICT Sebagai Satu Anjakan Dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) Menyelusuri Abad 21". Pada sesi akhir seminar, Encik Tahiruddin S.Kadarisman, Pengerusi Pengelola membacakan resolusi seminar bagi tahun 2016. Seterusnya keempat-empat wakil ketua setiap negara terlibat menandatangani resolusi tersebut. Persidangan mencadangkan PGN Ke-17 pada tahun 2016 nanti dikendalikan oleh Indonesia dan tempatnya di Yogjakarta.