Wednesday, 26 August 2015

FORUM REMAJA PERINGKAT KEBANGSAAN 2015




Forum Remaja Peringkat Kebangsaan 2015 berlangsung di Kuching, Sarawak dari 24 hingga 26 Ogos 2015. Forum ini merupakan program anjuran DBP dengan kerjasama KPM, Kesatuan Guru-guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) dan Persatuan Linguistik Malaysia (PLM). Pertandingan peringkat Separuh Akhir diadakan di Kompleks Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuching dan Kompleks Belia dan Sukan Negeri Sarawak yang juga di Kuching. Dr. Roslan Saadon dari KGMMB bersama-sama Dr. Fatimah bt. Hj. Subet (UMS) dan En. Abang Patdeli Abang Muhi (DBP) dijemput sebagai hakim pertandingan separuh akhir.





Forum ini berjaya mengangkat kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa komunikasi, bahasa ilmu dan bahasa perpaduan. Para peserta mempamerkan kepetahan dan kebijaksanaan mereka mengeluarkan pandangan dan hujah menggunakan bahasa Melayu dengan baik. Penggunaan bahasa Melayu mereka amat baik dan sukar untuk membezakan mereka orang Melayu atau bukan Melayu. Hal ini menyangkal sesetengah kaum atau pihak yang beranggapan bahawa bahasa Melayu sukar dipelajari dan dikuasai. Sebagai contoh, peserta bukan Melayu seperti Fong Soon Ming, Cenessy Dewi Kenedy dan Angelina Derong dari SMK Tatau, Bintulu, Sarawak dapat berforum dengan amat baik menggunakan bahasa Melayu.



Dato' Hj. Mohamad Sabri Hj. Md. Arsad, Presiden KGMMB turut hadir dalam Pertandingan Akhir Forum Remaja itu. Beliau disertai oleh empat orang lagi wakil KGMMB. Tetamu kehormat pada pertandingan akhir itu ialah TYT Yang di-Pertua Negeri Sarawak. Johan Forum Remaja 2015 jatuh kepada SMK Kuhara, Tawau, Sabah manakala naib johan disandang oleh SMK Tatau, Bintulu, Sarawak. SMK Dato' Perdana, Kelantan menduduki tempat ketiga.


Kuih Celorot hidangan istimewa Orang Sarawak
(Tepung manis gula nipah dibungkus dengan daun nipah)

Tuesday, 25 August 2015

PERSIDANGAN PERWAKILAN KONGRES


Persidangan tersebut diadakan pada 22 Ogos 2015 (Sabtu), jam 9.00 pagi di Hotel K3 KGMMB Mutiara Inn, Bukit Piatu, Melaka. Persidangan dipengerusikan oleh Y.Bhg. Dato' Hj. Mohamad Sabri Hj. Md. Arsad, Presiden Kongres. Kesatuan yang menyertai Kongres itu antaranya ialah KGMMB, Kesatuan Guru Lepasan Maktab (KGLM), Kesatuan Guru Malaya, Kesatuan Guru Tamil, Kesatuan Guru Bahasa Melayu Malaysia Barat dan Kesatuan Guru Agama.


Sebelum bersidang, wakil daripada Syarikat Buku Teks Digital diberikan laluan menyampaikan taklimat ringkas. Pengarahnya iaitu En. Ali Rimau menyampaikan taklimat kemudahan buku teks digital hasil kerjasama dengan DBP. Buku teks tersebut dimuatkan secara off-line dalam tablet samsung yang boleh dibeli untuk kegunaan murid-murid.


Sejurus tamat taklimat tersebut, persidangan Kongres dimulakan. Pelbagai isu, cadangan dan pandangan ditimbulkan oleh para perwakilan. Antara perkara yang dibangkitkan dalam persidangan tersebut ialah status pegawai kesatuan yang bergred DG48 dan ke atas, NPQEL, senioriti PPLD, Pensyarah/Guru Cemerlang dan sebagainya. Kongres akan membuat persediaan rapi dan akan mengadakan pertemuan dengan pihak berkenaan bagi menyelesaikan isu-isu tersebut.





Wednesday, 19 August 2015

DIALOG PENYAMARATAAN KURIKULUM BAHASA MELAYU

Majlis dialog tersebut dijalankan di Bilik Mesyuarat Utama, Aras 6, Blok E8, Kementerian Pendidikan Malaysia, Putrajaya pada 18 Ogos 2015 (Selasa), jam 2.00 petang. Majlis tersebut dipengerusikan oleh Dato' Seri Hj. Khairi Hj. Awang, Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia. Para peserta terdiri daripada wakil pelbagai kesatuan guru, Pertubuhan Bukan Kerajaan, penggiat bahasa dan sastera, tokoh ilmuan, ahli akademik dan parti-parti politik. 


Y,Bhg Dato' Hj. Mohamed Sabri Hj. Md. Arsad, Presiden Kongres memberikan pandangan dan pendapat bahawa sudah sampai masanya kurikulum di SK dan SJK disamaratakan. Para pelajar perlu diberikan pendidikan yang sama rata dan tidak perlu dibezakan. Langkah yang dikemukakan oleh kementerian ini bertujuan untuk memantapkan penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan bukan Melayu. Permasalahan akan timbul tetapi usaha yang bersungguh-sungguh dan perancangan yang baik, akan memastikan hasrat murni kerajaan itu terlaksana. 


Dr. Roslan Saadon mewakili KGMMB juga memberikan pandangan dalam dialog tersebut. Bahasa Melayu termaktub dalam Perlembagaan Negara (Perkara 152) sebagai bahasa kebangsaan. Usaha mengangkat dan memartabat bahasa Melayu perlu disokong oleh semua pihak. Bahasa Melayu adalah bahasa pengantar pendidikan, bahasa komunikasi dan bahasa perpaduan. Bahasa Melayu penting sebagai satu identiti kebangsaan dan identiti bangsa Malaysia. Sememangnya masih terdapat sebilangan masyarakat Malaysia yang kurang fasih berbahasa Melayu. Hal ini berlaku kerana mereka tidak suka berkomunikasi dalam bahasa Melayu dan lebih mementingkan bahasa Inggeris. 


Antara yang turut memberikan pandangan dalam dialog tersebut ialah Ahli Parlimen MCA, ADUN Gerakan, beberapa orang pemimpin NGO bukan Melayu, wakil MGB, Prof. Datuk Wira Abdul Latiff Abu Bakar, Dato' Zainal Borhan, Prof. Datuk Teo Kok Seong, Prof. Emeritus Abdullah Hassan dan Pn. Padilah dari Dewan Bahasa dan Pustaka.


PERJUMPAAN RINGKAS PGMPPS DENGAN DATO' SERI REEZAL MERICAN

Perjumpaan ringkas PGMPPS/KGMMB Pulau Pinang dengan YB Dato Seri Reezal Merican berlangsung di Pejabat UMNO Bahagian Kepala Batas pada 25 Julai 2015, jam 10.00 malam sempena Majlis Jamuan Aidil Fitri UMNO Bahagian Kepala Batas. PGMPPS/KGMMB diwakili oleh Tn. Hj. Saidin Rashid selaku Pengerusi, Dr. Roslan bin Saadon, Tn. Hj. Baharul Azhar Hj. Omar, Cikgu Mohd Hasni Abdullah dan Cikgu Nur Azrin Abdul Razak. Mesej penting yang disampaikan kepada YB Ahli Parlimen Kepala Batas itu ialah tentang peranan kesatuan dan persatuan guru terhadap pembangunan pendidikan serta sekatan Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja (JHEKS) terhadap guru yang bergred tinggi. 

KGMMB berharap Ahli Parlimen tersebut dapat membawa isu sekatan itu kepada pihak atasan terutama Ketua Setiausaha Negara. Peraturan yang digunapakai oleh JHEKS sudah lebih daripada tiga dekad dan tidak selaras dengan suasana semasa. Guru memperoleh gred yang tinggi secara Time-Base Khas Untuk Penyandang (KUP) dan peningkatan tersebut tidak bersifat hakiki dan juga bukan jawatan pengurusan. Mereka hanya guru yang mengajar di bilik darjah yang tugasnya memberi pengajaran dan pendidikan kepada anak bangsa dan dalam waktu yang sama ingin memberi sumbangan kepakaran dan pandangan terhadap perkembangan dan kemajuan pendidikan negara juga profesion mereka.