Tuesday, 26 May 2015

KURSUS DSKP SEJARAH TAHUN 6 HILIR PERAK


Kursus DSKP Sejarah Tahun 6 untuk Ketua Panitia Daerah Hilir Perak dijalankan di SK Sultan Abdul Aziz, Teluk Intan, Perak Darul Ridzuan. Kursus berlangsung selama dua hari dari 20 hingga 21 Mei 2015. Guru-guru dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu Kumpulan Sekolah Kebangsaan dan Kumpulan Sekolah Jenis Kebangsaan. Dr Roslan Saadon terlibat menyampaikan ceramah untuk Kumpulan Sekolah Kebangsaan. Seramai 67 orang guru terlibat dalam kumpulan tersebut. 



Para peserta didedahkan dengan DSKP Tahun 6 yang akan bermula pada tahun 2015. Mereka juga didedahkan dengan KBAT, Penulisan RPH, Kajian Kes dan Pelaporan. Kursus melibatkan ceramah, bengkel dan pembentangan kumpulan. Pada akhir sesi, wakil PPD Hilir Perak hadir menyampaikan sedikit ucapan dan menutup kursus.



Tuesday, 19 May 2015

PERTANDINGAN PANTUN ANTARA JABATAN PULAU PINANG 2015




Pertandingan Pantun Antara Jabatan Negeri Pulau Pinang berlangsung pada 14 Mei 2015 bermula jam 9.00 pagi di Kompleks Warisan P. Ramlee, Jalan P. Ramlee, Pulau Pinang. Sebanyak 12 jabatan bertanding berbanding 8 penyertaan pada tahun 2014. Para pengadil/ hakim pertandingan dipilih daripada beberapa anggota jabatan dan pertubuhan yang berpengalaman dan mahir dalam berpantun. Y.Bhg Dato' Anuar Ahmad dari 2PNP dan Dr. Roslan Saadon dari IPG Kampus Pulau Pinang antara hakim yang terlibat dalam pertandingan tersebut.

Pada tarikh tersebut berlangsung peringkat saringan, suku akhir dan separuh akhir. Pertandingan akhir akan diadakan pada 30 Mei 2015 di tempat yang sama dan akan dihadiri oleh TYT Tun Dato' Seri Utama (Dr.) Hj. Abdul Rahman Hj. Abbas, Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang selaku tetamu kehormat. Pertandingan pantun itu dikendalikan oleh Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negeri Pulau Pinang dengan bantuan Persatuan Penulis Pulau Pinang (2PNP).