Friday, 28 February 2014

HIMPUNAN KEDAULATAN MELAYU ISLAM AKHIR ZAMAN (HIKMAH) KE-9


Himpunan tersebut berlangsung di Dewan Mutiara, Kompleks Tabung Haji, Bayan Lepas pada 22 Februari 2014 (Sabtu) bermula 8.00 pagi dan berakhir pada pukul 5.30 petang. YB Dr. Hj. Hilmi Hj. Yahya, Ahli Parlimen Balik Pulau merangkap Timbalan Menteri Kesihatan Malaysia hadir merasmikan majlis itu. Hikmah Ke-9 ini dianjurkan oleh Pemuda Qaryah Masjid Al-Hidayah, Bayan Lepas, Pulau Pinang. Pelbagai persembahan yang berunsur keislaman dan kemelayuan dihidangkan untuk para tetamu. Terdapat 5 kertas kerja yang dibentangkan pada hari tersebut. Satu daripada kertas kerja dibentangkan oleh En. Roslan Saadon, Yang Dipertua Peradaban dengan tajuk "Penempatan Awal Orang Melayu di Pulau Pinang".


Monday, 17 February 2014

MESYUARAT KHAS JK PERADABAN SEMPENA MALAM PUISI

Satu mesyuarat diadakan bagi membincangkan majlis Malam Puisi yang akan diadakan pada malam 3 Mac 2014 di Gelanggara, IPG Kampus Pulau Pinang. Mesyuarat itu berlangsung pada 17 Februari 2014, di Bilik Rijeng, bermula jam 2.30 petang dan berakhir pada jam 3.45 petang. Mesyuarat dipengerusikan oleh En. Roslan Saadon selaku Yang Dipertua Peradaban. YB Sr. Muhamad Farid Hj. Saad, ADUN Pulau Betong yang juga Penasihat Peradaban turut hadir. Program akan mengenengahkan beberapa orang penyair tempatan dan penyair IPG. Antara tetamu VVIP yang dijangka hadir pada malam tersebut ialah TYT Tun Dato' Seri Utama (Dr.) Hj. Abdul Rahman bin Hj. Abbas, Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Y.Bhg. Datuk Dr. Awang Sariyan, Ketua Pengarah DBP, Tn. Sulaiman Wak, Rektor IPGM, Pengarah IPG dan Pengarah DBP Wilayah Utara. Satu mesyuarat lagi akan diadakan melibatkan IPG, DBP dan Peradaban bagi melancarkan lagi perancangan majlis. Dalam mesyuarat itu, YB Farid menghulurkan sumbangan sebanyak RM5000.00 untuk tabung Peradaban. 

Thursday, 13 February 2014

KUNJUNGAN HORMAT TIMBALAN MENTERI II, KPM

YB Kamalanathan, Timbalan Menteri Pelajaran II membuat kunjungan hormat ke IPG Kampus Pulau Pinang pada 13 Februari 2014 (Khamis), bermula jam 8.30 pagi dan berakhir pada jam 12.30 tengahari. Ketibaan Timbalan Menteri disambut oleh Tn. Hj. Khalid Ahmad (Pengarah IPGKPP), Setiausaha Akademik, Ketua-ketua Jabatan dan Ketua-ketua Unit. Timbalan Menteri dibawa masuk ke Pejabat Pengarah sebelum dibawa ke ruang letak kereta pejabat untuk menerima tabik hormat dan memeriksa perbarisan pasukan pakaian seragam pelajar IPGKPP.

Selepas memeriksa perbarisan, Timbalan Menteri terus dibawa melawat pameran di Penang Road. Jabtan yang terlibat dalam pameran itu ialah Jabatan Ilmu Pendidikan, Jabatan Sains, Jabatan Matematik, Jabatan Penyelidikan dan Jabatan Bahasa. Selepas melawat pameran, beliau melawat muzium IPGKPP dan seterusnya merasmikan Bilik Seni Visual Jabatan Sains Sosial. Sejurus tamat merasmikan Bilik Seni Visual, Timbalan Menteri dijemput menikmati jamuan bersama ketua-ketua jabatan dan ketua unit di Dewan Agong.

Selepas makan, Timbalan Menteri dibawa berkunjung ke Pusat Sumber IPGKPP pula. Kira-kira setengah jam di sana, beliau dibawa ke Dewan Kuliah Utama untuk bersama semua pensyarah dan staf pelaksana. Majlis di situ dimulakan dengan ucapan aluan pengarah dan seterusnya ucapan daripada YB Kamalanathan. Sebelum bersurai, pensyarah diberikan peluang untuk mengemukakan soalan dan En. Ng Weng Tutt dan Dr. Mohamad Fadzil Che Amat mengambil peluang tersebut. Majlis selesaipada pukul 12.30 tengahari dengan rasa seronok, bangga dan bersemangat selepas bertemu dan menerima amanat daripada Timbalan Menteri Pendidikan II.

MESYUARAT PENGANJURAN MALAM PUISI PERADABAN-DBP

Penganjuran "Puisi Malam di Bukit Coombe" merupakan kerjasama antara DBP Wilayah Utara, IPG Kampus Pulau Pinang dan Persatuan Sejarah dan Peradaban Melayu Pulau Pinang (Peradaban). Ianya dicadangkan dilangsungkan pada 3 Mac 2014, bermula jam 8.30 malam di IPG Kampus Pulau Pinang. Justeru satu mesyuarat antara wakil dari DBP dan Peradaban diadakan di Bilik Setiausaha Akademik, IPGKPP, bermula jam pagi dan berakhir pada pukul 11.15pagi pada 12 Februari 2014. Antara tetamu VVIP yang akan hadir ialah TYT Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang dan ADUN Pulau Betong, Pulau Pinang. Beberapa orang penyair ternama akan dijemput mendeklamasi sajak, termasuk beberapa orang pensyarah dan pelajar IPG. Mesyuarat tersebut dihadiri oleh Pn. Khairiah dan dua orang pegawai DBP, serta 3 orang Ahli Jawatankuasa Peradaban iaitu En. Roslan Saadon, Pn. Normawar Marzuki dan Tn. Hj. Baharul Azhar Hj. Omar. En. Roslan Saadon (Yang Dipertua Peradaban) mempengerusikan mesyuarat tersebut.

Tuesday, 11 February 2014

MAJLIS KUNJUNG HORMAT KUMPULAN PENYELIDIK BIOGRAFI TUN ABDUL RAHMAN ABBAS

Kumpulan Penyelidik Biografi TYT Tun Dato' Seri Utama (Dr.) Haji Abdul Rahman bin Haji Abbas mengadakan kunjung hormat ke Seri Mutiara George Town. Kunjung hormat itu diketuai oleh Y.Bhg. Dato' Wira Prof. Dr. Abdul Latiff Abu Bakar, Ketua 1 Gapena. TYT Tun meluangkan masa kira-kira 2 jam untuk mendengar penerangan Prof. Dr. Abdul Latiff  dan soalan-soalan daripada penyelidik. Penulisan biografi ini melibatkan beberapa orang pensyarah dan pegawai UPSI, Yang Dipertua PEMENANG, Yang Dipertua 2PNP, Prof. Madya Dr. Mahani Musa (USM) dan En. Roslan Saadon (IPG Kampus Pulau Pinang). Setiap penulis diberikan sub topik yang perlu ditulis dan diberi masa sehingga bulan Jun 2014.