Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum
warahmatullahi wabarakatuh, salam 1Malaysia dan salam Peradaban.
Terlebih dahulu
dipanjatkan kesyukuran ke-Hadrat Yang Maha Kuasa kerana dengan limpah
kurnia-Nya, kita dapat bersama-sama menjayakan Mesyuarat Agung Dwitahunan
Peradaban bagi kali ke-2. Peradaban ditubuhkan pada bulan Jun 2011 dan pada
bulan Ogos 2011 mesyuarat agung pertama dijalankan. Dan pada hari ini mesyuarat
agung kali ke-2 pula diadakan. Justeru saya ingin merakamkan setinggi-tinggi
penghargaan dan terima kasih kepada semua yang hadir. Berlebih-lebih lagi
kepada Dr. Mohamad Fadzil Che Amat, Ketua Jabatan HEP, IPG Kampus Pulau Pinang
yang sudi hadir bagi merasmikan majlis bagi pihak YB Hj. Muhamad Farid Hj.
Saad, ADUN Pulau Betong yang juga Penasihat Peradaban.
Pada kesempatan ini
saya ingin merakamkan ucapan tahniah kepada Dr. Mohamad Fadzil kerana diberikan
kepercayaan menjalankan tugas Timbalan Pengarah IPGKPP. Beliau merupakan ahli
dan juga salah seorang ahli jawatankuasa Peradaban. Saya bagi pihak Peradaban
amat bangga dengan pencapaian tersebut. Kita berdoa semoga dari menjalankan
tugas sahaja, beliau akan diberikan peluang memangku jawatan tersebut dan
seterusnya dilantik secara hakiki sebagai Timbalan Pengarah. Kebolehan,
ketrampilan dan usaha yang dibuat membuktikan bahawa Dr. Muhamad Fadzil
merupakan pilihan yang terbaik dan kita sentiasa mendoakan kejayaan beliau.
Saya juga ingin
merakamkan tahniah kepada Penasihat Peradaban iaitu YB Sr Hj. Muhamad Farid Hj.
Saad kerana berjaya mempertahankan kerusi DUN Pulau Betong. Kemenangan ini sudah
dijangka. YB Muhamad Farid merupakan ADUN yang sentiasa bekerja keras untuk
parti dan masyarakat setempat. Beliau mudah dihubungi dan sentiasa prihatin
dengan masalah rakyat. YB Farid juga banyak membawa pembangunan dan perubahan
khususnya di kawasan DUN beliau. Peradaban juga mendapat perhatian istimewa
daripada beliau. Melalui sumbangan RM10,000.00 daripada beliau pada tahun 2011,
kita berjaya menganjurkan banyak program. Peradaban merakamkan tahniah, terima
kasih dan syabas kepada beliau atas kejayaan dan keprihatinan beliau. Kita
berdoa semoga YB Farid sentiasa sihat, cergas dan cerdas dalam menjalankan
tugas dan seterusnya membawa kejayaan kepada agama, bangsa dan negara.
Saya juga suka
merakamkan tahniah kepada kita semua atas semua yang kita kecapi selama ini.
Syukur alhamdulillah, pelajar Pengajian Sosial PISMP sudah sampai semester
akhir. Tak lama lagi akan bertebaran ke serata ceruk tanah air untuk mendidik
anak bangsa. Pelajar junior juga akan menyusul setahun lagi. Kita semakin
berkembang dan mengecapi pelbagai kejayaan. Kita juga mengecapi pelbagai nikmat
kurniaan Allah - udara, angin, alam sekitar, sihat, cergas, cerdas, seronok dan
sebagainya. Bagi kakitangan kerajaan, pada bulan Julai ini akan menerima satu
pergerakan gaji. Maklumat daripada Datuk Haji Jemali Paiman, Presiden Kongres
(badan gabungan kesatuan guru), kakitangan kerajaan akan menerima kenaikan
elaun – EKA, ITP dan COLA. Pada bulan Disember nanti bakal menerima sebulan
bonus pula.
Peringatan saya semoga
kita mengenepikan seketika hal-hal politik dan memberikan tumpuan kepada co-business kita. Marilah kita berusaha
mengejar kecemerlangan. Kecemerlangan penting untuk membawa kita menjadi orang
yang berjaya. Jika ramai di antara kita berjaya maka berjayalah bangsa kita.
Ramai di antara anak-anak Melayu yang terkandas terutama dalam pelajaran
apabila terlalu menumpukan kepada politik. Politik adalah satu persepsi. Persepsi
tidak semestinya betul, dan ia juga tidak semestinya salah. Yang jelas,
pelajaran dan kemahiran menentu masa depan kita. Lebih-lebih lagi kini
persaingan menjadi semakin hebat. Namun, politik membentuk orang Melayu
terpisah-pisah. Masing-masing aliran menganggap mereka betul dan bakal
membentuk negara yang ideal. Tuduh-menuduh berlangsung sehinggakan
perkara-perkara yang berkaitan dengan perlembagaan, hak istimewa orang Melayu
dan kedaulatan raja-raja Melayu dianggap remeh.
Perbezaan politik
membuatkan kita orang Melayu terlalu ekstrim dan mengenepikan perkara yang
lebih besar. Perpaduan Melayu dan Islam terketepi hanya semata-mata berbeza
idealogi. Kita bermusuh-musuhan sedangkan beragama yang sama, berbudaya dan
adat resam yang sama, berdarah Melayu yang sama, percaya kepada rukun Islam dan
rukun iman yang sama serta mengadap kiblat yang sama. Jadi, marilah kita dalam
Peradaban ini bersatu dan mencari jalan dalam memaju dan mempersatu umat Melayu
yang saya percaya sangat sayangkan agama, bangsa dan watannya. Mari kita
ketepikan perkara-perkara yang boleh melunturkan perpaduan dan bersatu atas
persamaan yang banyak berbading perbezaan idealogi. Jangan biarkan golongan
lain terus mengecapi nikmat yang berlebihan daripada kecelaruan persepsi kita
orang Melayu di tanah air ini.
Ketika hampir PRU 13,
pelbagai konflik, perdebatan dan persepsi timbul. Kita tidak lagi dapat bersatu
atas nama Peradaban. Program yang dilihat berpihak kepada mana-mana aliran akan
dicurigai. Oleh itu, kita menyepikan diri buat sekita waktu yang agak panjang.
Namun, sebelum itu Peradaban berjaya menganjurkan pelbagai program untuk ahli
dan masyarakat. Kita berjaya menganjurkan Bengkel Penulisan Sejarah yang
dikelolakan oleh Y.Bhg Prof. Madya Datin Dr. Mahani Musa (USM). Kemudian, Forum
Siapa Pejuang Kemerdekaan menyusul melibatkan pelajar IPG, sekolah dan
kepimpinan desa. Pakar-pakar sejarah dari USM dijemput untuk membicarakan topik
tersebut seperti Prof. Madya Haji Abdul Rahman Ismail, Prof. Madya Dr. Jelani
Halimi dan Dr. Azmi Ariffin. Peradaban juga berjaya membuat lawatan
penandaarasan dengan Persatuan Sejarah yang tidak asing di negara kita iaitu
Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah.
Satu lagi program yang
besar adalah usaha untuk menjadikan Batu Uban sebagai ‘Living Heritage’. Pada
awal tahun 2012, Peradaban di bawah kepimpinan dan usaha YB Farid telah
mengadakan sidang akhbar di Masjid Batu Uban.Tindakan itu membawa kepada
beberapa reaksi daripada pihak akhbar, Kerajaan Negeri dan juga Persatuan
Melayu Pulau Pinang (PEMENANG). Usaha ini menjadi kukuh kerana mendapat
sokongan daripada pelbagai pertubuhan termasuk para sarjana Melayu seperti Prof
Dr Sohaimi Abdul Aziz (USM), Prof. Madya Dr. Mahani Musa (USM), Dr. Azmi
Ariffin dan Prof. Madya Dr. Mohd Isa
Othman (USM). Peradaban juga berhubung dengan pihak berkuasa tempatan dan
persekutuan. Surat-surat jawapan yang diterima agak mendukacitakan. Surat dari
Jabatan Warisan Negara misalnya menyatakan mereka boleh membantu mewartakan
Batu Uban, namun urusan tanah bukan di bawah kuasa mereka. Ia di bawah kuasa Kerajaan Negeri. Usaha mewartakan Batu Uban tidak berakhir di situ, kita akan
meneruskan usaha sehingga berjaya. Kita mahu Kg Batu Uban setidak-tidaknya sebahagian kecil akan terus kekal sebagai bukti pertapakan awal Melayu awal di Pulau Pinang.
Aktiviti Peradaban yang
seterusnya adalah penghasilan Buletin Peradaban. Ia berjaya dihasilkan dengan
usaha Biro Penerbitan Peradaban. Terima kasih kepada Dr. Muhammad Raini dan
Sidang Pengarang yang berjaya menerbitkan buletin tersebut. Buletin setebal 20
muka surat itu memuatkan maklumat berkaitan sejarah Pulau Pinang dan aktiviti
Peradaban. Ia berjaya memaparkan kewujudan Peradaban. Buletin ini dilancarkan
oleh YB Datuk Dr. Rais Yatim semasa merasmikan majlis pemimpin bersama rakyat
di Balik Pulau. Selaras dengan perkembangan semasa, Peradaban menghasilkan
Facebooknya bagi memaparkan aktiviti, menyalurkan maklumat dan berhubung sesama
ahli. Terima kasih diucapkan kepada En. Nur Azrin Abdul Razak yang menghasil
dan menguruskannya.
Bukan semua yang dapat
diusahakan mengikut perancangan. Peradaban gagal menghasilkan Jurnal Berwasit
berkaitan Pulau Pinang. Peradaban juga gagal menjayakan Hari Besar Melayu Pulau
Pinang. Kita juga gagal membentuk muzium yang dicadangkan dibentuk di Balik
Pulau. Begitu juga dengan Seminar Pulau Pinang yang dirancang gagal
dilaksanakan. Bagi sesi yang akan datang ini, perkara yang belum terlaksana
akan diberi perhatian khusus. Saya pernah menyuarakan cadangan mengadakan
kolaborasi dengan Persatuan Sejarah dan Warisan di bawah pimpinan Prof. Dr. Muhammad Salleh dan beliau bersetuju. Saya juga pernah menyuarakan hasrat
mendapatkan bantuan kepakaran dari pensyarah sejarah PPIK, USM dan jawapan yang
diterima juga positif. Saya percaya dengan komitmen jawatankuasa baru yang
bakal dilantik nanti dan komitmen YB Farid, program-program yang tertangguh
akan dapat dijayakan.
Akhirnya saya ingin
mengucapkan ribuan terima kasih kepada Dr. Mohamad Fadzil Che Amat yang bakal
merasmikan majlis, semua ahli jawatankuasa terutama kepada Setiausha yang
sangat teliti dan cekap, begitu juga Bendahari yang berjaya mengawal tabung
dengan penuh kejujuran dan amanah, para ahli yang sentiasa memberikan sokongan
padu dan teristimewa kepada YB Farid yang sangat sinonim dengan Peradaban.
Saya bagi pihak diri dan semua ahli jawatankuasa memohon ampun dan maaf atas
segala kekurangan dan kesalahan selama kami menguruskan persatuan. Semoga
Peradaban terus kekal, gagah dan perkasa, dan selamat bermesyuarat
Sekian, wabilahitaufik
walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.