Wednesday, 23 January 2013
TUGASAN KAJIAN TINDAKAN T4PS
Pelajar T4PS yang dikasihi,
Selamat mengikuti sesi praktikum 3. Gunakan kesempatan di sekolah untuk melihat sesuatu yang boleh dijadikan bahan kajian. Untuk itu pelajar perlu menyediakan draf tugasan mengikut perkara berikut:
a) Dapatkan tajuk yang sesuai dan menarik berkaitan proses p&p di bilik darjah atau sekolah.
b) Nyatakan objektif kajian.
c) Nyatakan metodologi yang digunakan.
Tugasan perlu dijalankan secara kumpulan, 2 atau 3 orang satu kumpulan mengikut sekolah praktikum. Pelajar dikehendaki memberi maklumbalas dalam blok ini untuk tujuan kerja selanjutnya. Tajuk perlu berbeza antara kumpulan.
Tuesday, 22 January 2013
MESYUARAT JK MENANGANI BEBAN TUGAS GURU
KGMMB menghantar 4 orang wakil ke Mesyuarat Pemuafakatan Jawatankuasa Kerja Pelaksana Menangani Isu Beban Tugas Guru (JKPMIBTG) Bersama Kesatuan Guru. Mesyuarat tersebut berlangsung di Bilik Mesyuarat Bunga Raya, Aras 6, Blok E13, KPM, Putrajaya pada 22 Januari 2013 bermula jam 9.00 pagi. KGMMB diwakili oleh Tn. Hj. Mohamad Sabri Arshad, Tn. Hj. Jamaludin Jali, En. Roslan Saadon dan En. Mohd Said Hussin. Mensyuarat berkisar tentang status pelaksanaan 28 perakuan menangani 14 isu beban tugas guru, perbincangan isu baru beban tugas guru dan hal-hal lain. Anggota mesyuarat terdiri daripada Bahagian-bahagian dalam KPM dan kesatuan-kesatuan guru. Mesyuarat dipengerusikan oleh Ketua Sektor, Pembangunan Profesionalisme Keguruan. Tn. Hj. Mohamad Sabri, Presiden KGMMB memainkan peranan yang aktif dengan memberikan banyak komen dan pandangan. Beliau juga mengemukakan pelbagai isu baru berkaitan beban tugas guru. Mesyuarat berlangsung dengan penuh harmoni dan kaya dengan pelbagai idea yang positif.
DIALOG KERJASAMA BSN-KGMMB
Dialog berlangsung pada 22 Januari 2013 (Selasa), jam 2.30 petang di Pejabat KGMMB, Jalan Sentul, Kuala Lumpur. Tn. Hj. Mohamad Sabri selaku Pengerusi Koperasi KGMMB membuka dialog dengan mengucapkan selamat datang kepada wakil dari BSN. Beliau seterusnya memperkenalkan pegawai-pegawai Koperasi KGMMB Bhd dan KGMMB. Tn. Hj. Jamaludin Jali dan Cikgu Roslan Saadon dijemput mewakili Pegawai Kanan KGMMB. Tn. Hj. Sabri seterusnya menyatakan hasratnya untuk bekerjasama dalam urusan perniagaan dan pengurusan. En. Kamarudin, Pengurus Besar dari BSN Bandaran menyambut baik cadangan dan hasrat KGMMB. Beliau seterusnya memaklumkan kerjasama yang boleh dijalankan oleh BSN-KGMMB. BSN menguruskan sejumlah bilion ringgit untuk membayar gaji kakitangan awam dan swasta di Malaysia. Pelbagai produk diuruskan oleh BSN dan ahli-ahli KGMMB boleh menggunakannya. Antara perkhidmatan yang diperlukan oleh KGMMB adalah pembayaran gaji staf melalui BSN, simpanan tetap wang KGMMB dan peinjaman yang boleh disediakan kepada ahli KGMMB.
Saturday, 12 January 2013
PERBINCANGAN 2 SUMBER P&P
Pelajar T3PS,
Seorang guru juga boleh mengajar dengan baik tanpa sumber P&P. Berdasar pengalaman dan pengetahuan anda, apakah ciri-ciri yang perlu ada pada guru yang boleh mengajar dengan baik walaupun tanpa sumber P&P?
Friday, 11 January 2013
Wednesday, 9 January 2013
Saturday, 5 January 2013
STAF JPIPK IPGKPP DIPINJAMKAN KE SEMEO RECSAM
Dr. Nur Jahan Ahmad dipinjamkan ke SEMEO-RECSAM selama 2 tahun bermula dari 1 Januari 2013. Beliau dilantik sebagai Research Specialist Sains di Unit Penyelidikan SEMEO-RECSAM. Sebagai ingatan dan rasa bangga dengan pencapaian Dr. Nur Jahan, JPIPK institut meraikan beliau di White Coffee Cafe di E-Gate, Gelugor pada 3 Januari 2012. Anggota-anggota Jabatan yang hadir ialah Dr. Balasubramaniam (KJ), Dr. Tan Huat Tian, Dr. Chee Kim Mang, Dr. Suah See Ling, dan En. Roslan Saadon. Ketua Jabatan, Dr. Balasubramaniam menyampaikan ucapan dengan mengucapkan tahniah dan syabas atas kejayaan Dr. Nurjahan serta mengucapkan ribuan terima kasih atas sumbangan tenaga beliau semasa berada dalam JPIPK. Dr. Balasubramaniam turut menyampaikan cenderamata sumbangan daripada pensyarah jabatan kepada Dr. Nur Jahan.
MESYUARAT PEMURNIAN 11 RESOLUSI KONGRES
Mesyuarat Pemurnian 11 Resolusi Kongres berlangsung pada 5 Januari 2013 di Pejabat KGMMB, Jalan Sentul, Kuala Lumpur. Mesyuarat melibatkan semua kesatuan yang menganggotai Kongres untuk memurnikan 11 Resolusi yang akan dibawa kepada Timbalan Perdana Menteri. Sebelum ini mesyuarat dilangsungkan di tempat yang sama pada 26 Disember 2012. KGMMB menghantar wakil yang terdiri daripada Tn. Hj. Mohd Sabri Arshad, En. Ahmad Nawawi Shaari, En. Roslan Saadon, Tn. Hj. Atan Nordin, Tn. Hj. Ghazali dan En. Arshad.
Friday, 4 January 2013
NENEK MENINGGAL DUNIA
Nenda Biah bt Jambol, ibu kepada ayahku meninggal dunia pada 3 Januari 2013, jam 9.30 pagi. Nenek lahir pada 4 Jun 1926 dan meninggal dunia di terataknya di KM 26, Jalan Batu Gajah, 77300 Merlimau, Melaka. Beliau lumpuh sejak 3 tahun yang lalu dan meninggal dunia akibat sakit tua. Aku tidak berpeluang berjumpa nenek sebelum dikebumikan. Dari Penang ke Melaka mengambil masa yang lama dan apabila sampai nenek sudah dikebumikan. Nenek pergi selepas melihat pak udaku anaknya yang ketiga, mak cikku anaknya yang kesembilan, suaminya iaitu datukku (Awab bin Ahad) dan bapaku (Saadon Awab) pergi meninggalkannya terlebih dahulu. Sesungguhnya pemergian nenek amat aku rasai. Paling akhir aku melihat nenek pada Aidil Fitri yang lalu. Nenek kurus sangat dan sudah kurang bercakap seperti dulu. Nenek juga sudah tidak mengenali diriku.
Ketika kami kecil, nenek merupakan seorang penglipur lara. Banyak cerita yang didendangkan untuk kami antaranya cerita binatang, cerita jenaka, cerita hikayat dan sebagainya. Nenek juga seorang yang mahir menganyam tikar. Pelbagai kelarai tikar yang dihasilkannya. Ketika kecil, aku berpeluang mengikuti proses penghasilan tikar bermula dari proses mengambil daun mengkuang, merebus, mewarna, menjemur, meraut dan menganyam. Satu lagi kepakaran nenek adalah berpantun. Nenek suka berpantun dan banyak yang aku pelajari tentang pantun Satu lagi kerja nenek yang aku suka ikuti adalah penghasilan minyak kelapa. Kelapa dalam kualiti yang banyak diparut, diperah santannya dan dimasak sehingga menjadi minyak. Aku tidak menunggu minyaknya, tetapi aku menunggu tahi minyaknya. Ianya sedap dimakan. Nenek juga menggunakan masanya untuk meraut lidi. Nenek akan mengumpul daun kelapa, dibawa pulang dan diraut untuk dijadikan penyapu lidi. Semua yang nenek lakukan untuk tujuan membantu datuk mendapatkan sumber kewangan bagi meringankan tanggungan datukku.
Segala yang dilakukannya untuk keluarga. Nenek sayang datuk dan anak-anaknya. Bila kami muncul, nenek juga sayangkan cucu-cucunya. Sepanjang hidup, nenek sentiasa berbakti kepada datuk dan keluarganya. Itulah kasih sayang dan keprihatinan seorang wanita yang bergelar isteri, ibu dan nenek. Kini tiada lagi cerita nenek, pantun nenek, latah dan leteran nenek. Tiada lagi asam pedas dan pindang lazat nenek. Kami akan sentiasa rindukan nenek. Semoga amal ibadat dan segala kebaikan yang nenek lakukan di dunia ini akan menjadi bekalan nenek di akhirat yang kekal abadi.
Subscribe to:
Posts (Atom)