Sunday 26 February 2017

PERTEMUAN GURU NUSANTARA (PGN) CETUSAN IDEA KGMMB

PENDAHULUAN
Petemuan Guru Nusantara (PGN) merupakan aktiviti dwitahunan yang dijalankan secara bergilir-gilir oleh negara yang terlibat iaitu Malaysia, Indonesia, Singapura dan Brunei Darussalam. (Kertas Kerja Pertemuan Guru-guru Nusantara Ke-10, KGMMB, 2004) Usaha menyatukan kesatuan guru di Nusantara dalam satu program yang dinamakan Pertemuan Guru-guru Nusantara ini merupakan cetusan idea Kesatuan Guru-guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB). Pada tahun 1982, KGMMB berjaya mendapat sokongan dan persetujuan tiga kesatuan guru di Nusantara iaitu Kesatuan Guru-guru Melayu Singapura (KGMS), Persatuan Guru-guru Melayu Indonesia (PGRI) dan Persatuan Guru-guru Melayu Brunei Darussalam (PGGMB). (Presiden KGMMB,(t.t.), Sejarah Perjuangan Guru Melayu, hlm. 12). Program PGN  melibatkan aktiviti pembentangan kertas kerja, forum, persembahan kebudayaan dan lawatan sambil belajar.


Dato' Mohamad Sabri, Presiden KGMMB sedang membentangkan
kertas kerja di PGN Ke-16 di Singapura pada tahun 2015


HARAPAN MURNI PGN
Objektif Pertemuan Guru-guru Nusantara ini secara umumnya terbahagi tiga iaitu:
  • Mempertemukan negara-negara anggota untuk bertukar-tukar fikiran dalam bidang bahasa Melayu atau bahasa Nusantara.
  •  Mengesan dan membincangkan masalah-masalah bahasa yang dihadapi oleh guru-guru Nusantara dan seterusnya mencuba menggariskan ke arah kajian untuk mengatasi masalah.
  • Mewujudkan kerjasama antara organisasi-organisasi guru di Nusantara. (Pertemuan Guru-guru Nusantara, PGGMB,1987, hlm. 6) 

Justeru, pelbagai aktiviti disusun dalam setiap pertemuan agar hasrat tercapai. Maka, setiap negara penganjur dengan kerjasama negara-negara yang terlibat akan memastikan berlangsungnya pembentangan kertas kerja, forum, persembahan kebudayaan dan sebagainya. PGN pertama berlangsung pada 24 November 1983 di Singapura. Pertemuan tersebut berjaya mengeratkan silaturrahim dan mewujudkan kerjasama dalam bidang pendidikan dan bahasa. Pertemuan kedua pula dijalankan dua tahun kemudian iaitu pada 22 Disember 1985 di Bandar Seri Begawan, Brunei Darussalam. Daripada pertemuan tersebut tercetuslah beberapa rumusan, antaranya:

  • Bahasa Nusantara berasal daripada bahasa Melayu dan mampu menghubungkan semua penduduk di Nusantara.
  • Bangsa Nusantara mengalami pertumbuhan dan perkembangan di negara masing-masing sesuai dengan pola kebudayaan yang mencerminkan keperibadian masing-masing.
  • Bahasa Melayu Nusantara pula dibina dan dikembangkan di negara masing-masing bagi membentuk keutuhan dan sebagai bangsa berdaulat.
  • Perlu ditingkatkan kerjasama dalam kalangan guru-guru bahasa Nusantara dalam bidang bahasa. (Penyata Tahunan KGMMB/PGMPPS, 1 September 1986, hlm. 29)

Pertemuan Guru-guru Nusantara ke-3 berlangsung pada 12 Disember 1987 di Jakarta. Pada 9-10 Disember 1988, Malaysia menjadi tuan rumah bagi pertemuan ke-4 yang berlangsung di Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur. Seramai kira-kira 300 orang telah menghadiri majlis tersebut. Dalam ucapan perasmian, YB En. Anuar Ibrahim telah menyarankan:

  •  Bahasa Melayu tidak dianggap ketinggalan berbanding perkembangan pesat ilmu-ilmu baru. 
  •  Pemimpin politik perlu melihat perkembangan bahasa dari kacamata rantau Melayu Nusantara.
  • Sistem pendidikan perlu bersifat dinamik dan berani membuat perubahan. (Suara Guru, Oktober 1989, hlm. hlm. 4)

Pertemuan pada kali ini menghasilkan satu tekad dalam kalangan anggota gabungan. Terdapat lima tekad yang dirumuskan dalam perjumpaan tersebut, iaitu:

  • Bahasa Melayu adalah lingua franca masyarakat Nusantara. Latar belakang sejarah dan hubungan antara Nusantara dengan negara lain merupakan bukti.
  • Bahasa Melayu merupakan bahasa pengantar di semua peringkat pendidikan dan ilmu pengetahuan. Bahasa rasmi pemerintah di Brunei, Darulsalam, Indonesia dan Malaysia. 
  • Kami guru-guru Nusantara mendokong penuh penggemblingan budaya ilmu melalui bahasa dan menjunjung tinggi usaha kea rah memantapkan bahasa Melayu Nusantara.
  • Kami guru-guru Nusantara akan bekerjasama memajukan pendidikan bahasa Melayu sebagai teras ilmu di negara masing-masing dan bekerjasama dengan pemerintah merencanakan kurikulum pendidikan bahasa. Rumpun bahasa Melayu harus mempunyai keyakinan bahawa Melayu sanggup menggantikan bahasa Inggeris sebagai bahasa antarabangsa
  • Adalah menjadi tanggungjawab bersama antara para pendidik Nusantara dengan pemerintah masing-masing menggembling tenaga memelihara dan memupuk warisan tradisi Nusantara.
  • Kami dengan ini mencapai kata sepakat membentuk sekretariat guru-guru Nusantara untuk melaksanakan perkara-perkara di atas. (Suara Guru, Oktober 1989)


Presiden PGMMB, KGMS, PGRI dan KGMMB menandatangani
Resolusi PGN di Sanur-Bali, Indonesia tahun 2012


Kebelakangan ini PGN tidak berlangsung secara dwitahunan tetapi dijalankan hampir setiap tahun. Hal ini kerana setiap negara anggota PGN juga terlibat dengan seminar Matematik & Sains yang berlangsung pada setiap tahun. Justeru, PGN dilangsungkan pada tarikh yang hampir sama dengan acara tersebut. PGN Ke-13 diadakan pada 27 hingga 29 Februari 2012 di Bandar Seri Begawan, Brunei Darussalam; PGN Ke-14 pada 9 hingga 11 Disember 2012 di Sanur Bali, Indonesia; PGN Ke-15 pada 19 hingga 20 September 2014  di Pulau Pinang, Malaysia dan PGN Ke-16 pada 4 hingga 5 September 2015 di Downtown East, Singapura.

Ketika PGN berlangsung di Malaysia pada tahun 2014, diskusi dan pembentangan melibatkan pembentangan kertas utama dan pembentangan selari. Kertas utama dibentang oleh para pemimpin delegasi negara terlibat dan Rektor Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM). Manakala pembentangan selari melibatkan para pensyarah, guru-guru dan para pelajar. Sebanyak 30 kertas kerja dibentangkan dan 22 kertas kerja dimuatkan dalam prosiding seminar.

PGN yang berlangsung di Singapura pada tahun 2015 menyaksikan satu pembaharuan apabila Singapura membentuk Laman Web PGN. Singapura melancarkan Laman Sesawang yang dibina untuk kepentingan negara-negara anggota. Semua negara terlibat boleh menggunakan laman web tersebut dan juga boleh menyumbangkan dan berkongsi maklumat dengan menyerahkannya kepada pihak Singapura. Majlis pelancaran tersebut berlangsung pada 4 September 2015, jam 8.30 malam di Dewan NUPC, Downtown East, Singapura sempena majlis makan malam.

IMPAK

Setakat mana perjuangan guru Melayu Nusantara ini berimpak, terlalu subjektif untuk dijawab. Namun, setidak-tidaknya usaha yang dibuat menunjukkan bahawa guru-guru Nusantara ini masih kuat berpegang dengan jati diri bahasa mereka. Mereka mahu bahasa Melayu yang menjadi lingua franca satu ketika dahulu terus dikekalkan dan dimartabatkan di Nusantara. Mereka tidak menolak kepentingan bahasa Inggeris sebagai bahasa antarabangsa tetapi Nusantara perlu kekal dengan bahasa Melayu sebagai teras identiti Nusantara. Bahasa Melayu terbukti sebagai bahasa ilmu dan berjaya mendidik anak bangsa menjadi warga berilmu.

PGN juga dilihat mampu menjadi wadah menyalur fahaman dan pengertian perpaduan dan toleransi antara negara-negara yang terlibat. Kepelbagaian budaya, adat resam dan agama perlu dihormati.

Thursday 23 February 2017

MESYUARAT PENYELARASAN AKTIVITI KOAKADEMIK BAHASA MELAYU PERINGKAT KEBANGSAAN


Mesyuarat berlangsung pada 21 Februari 2017 di Bilik Mesyuarat Tun Perak, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur melibatkan Dewan Bahasa dan Pustaka, Kementerian Pendidikan Malaysia, Jabatan Pelajaran Negeri, KGMMB dan Persatuan Linguistik Malaysia. KGMMB diwakili oleh Dato' Mohamad Sabri Mohd Arsad, Presiden KGMMB dan Dr. Roslan Saadon, Naib Presiden 1. Selain daripada membincangkan penyelarasan aktiviti, mesyuarat banyak membicarakan tentang masalah kewangan dan peruntukan.


Sebagai sebuah organisasi yang kuat mempertahankan bahasa Melayu, KGMMB sangat prihatin dan cuba memastikan program bahasa terutama Forum Remaja berjalan lancar. Sebagaimana biasa KGMMB akan menaja hadiah untuk Pertandingan Forum Remaja sebanyak RM11,400.00. KGMMB juga akan menaja Trofi Forum Perdana baharu untuk pertandingan peringkat kebangsaan dan 14 trofi untuk peringkat negeri. Pihak JPN juga boleh memohon peruntukan sebanyak RM2,500.00 dari KGMMB Cawangan dengan syarat pertandingan dijalankan, kertas kerja disediakan dan wakil KGMMB dijemput menyertai pertandingan sebagai hakim atau tetamu. 

Dalam mesyuarat tersebut, pihak urusetia juga memohon peruntukan hadiah untuk Pertandingan Drama KOMSAS Peringkat Kebangsaan. Presiden memaklumkan bahawa permohonan tersebut boleh dipertimbangkan dengan syarat pihak urusetia menyediakan maklumat yang lengkap dan memohon secara rasmi. Permohonan tersebut akan dibawa ke dalam Mesyuarat MJKA KGMMB untuk kelulusan. Pada waktu minum pagi berlaku pertemuan dan perbincangan dengan pihak Syarikat Permainan Malaysia (SPM), KGMMB bercadang untuk menganjurkan Pertandingan Sahibba Jawi dan tugas tersebut diserahkan kepada Pulau Pinang. Pihak DBP Zon Utara juga telah bersetuju untuk bekerjasama menganjurkannya. Pihak SPM akan menyediakan peralatan, hadiah dan khidmat nasihat yang diperlukan.


Thursday 16 February 2017

PENERIMA PINGAT KGMMB


Dari kiri Hj. Atan Nordin, Dato' Hj. Roslan Madon, Dato' Hj. Jamaludin Jali,
Pengarah JHEKS Wilayah Persekutuan, Datuk Azih Muda, Dato' Mohamed Sabri,
Hj. Saidin Rashid dan Hj. Fadzalih Mahmud


Lima orang bekas pemimpin KGMMB menerima pingat sempena Majlis Makan Malam dan Perasmian Seminar Pendidikan dan Pengurusan Kesatuan. Majlis berlangsung pada malam 20 Januari 2017 di Hotel Kuala Lumpur International. Empat orang dikurniakan Pingat Jasa Bakti (PJB) iaitu Dato' Haji Roslan Madon, Tn. Hj. Fadzalih Hj. Mahmud, Tn. Hj. Saidin Rashid dan Tn. Hj. Atan Nordin. Seorang dikurniakan Tokoh Kepimpinan KGMMB iaitu Dato' Haji Jamaluddin Jali, mantan Timbalan Presiden KGMMB. Pingat disampaikan oleh Datuk Azih Muda, Presiden CUEPECS. Mereka yang dikurniakan pingat merupakan para pemimpin KGMMB yang aktif dan memberi sumbangan yang besar di peringkat negeri dan kebangsaan.

KGMMB MENYERTAI CUEPECS


Kehadiran Datuk Azih Muda, Presiden CUEPECS digunakan sepenuhnya oleh KGMMB untuk memohon dimasukkan dalam organisasi besar itu. Permohonan disampaikan oleh Dato' Haji Mohamed Sabri Mohd Arsad, Presiden KGMMB kepada Dato Aziz Muda, Presiden CUEPECS dalam Majlis Makan Malam dan Perasmian Seminar Pendidikan dan Pengurusan Kesatuan anjuran KGMMB dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia dan Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja.

Dalam ucapan perasmian, Presiden CUEPECS mengalu-alukan permohonan KGMMB dan akan mempertimbangkan permohonan tersebut. Datuk Aziz Muda juga akan cuba membawa isu Gred 48 pemimpin kesatuan guru kepada pihak atasan serta beberapa isu lain yang masih lagi belum diselesaikan.  

KGMMB MEMBELA ETNIK ROHINGYA

KGMMB menyampaikan sumbangan bernilai RM20,000.00 kepada etnik Rohingya. Cek disampaikan oleh Dato' Mohamad Sabri Hj. Mohd Arsad, Presiden KGMMB kepada wakil Media Prima dalam Majlis Makan Malam dan Perasmian Seminar Pendidikan dan Pengurusan Kesatuan yang berlangsung pada 20 Januari 2017 di Hotel Kuala Lumpur International. 


Sebelum penyampaian cek, Tn. Hj. Juhari Mohamad Nor, Ahli Majlis Jawatankuasa Agung KGMMB telah menyampaikan sejarah dan kedudukan etnik Rohingya serta keprihatinan guru-guru Melayu terhadap nasib masyarakat minoriti yang tertindas di tanah air mereka sendiri. 



Tuesday 7 February 2017

PERUTUSAN TAHUN BAHARU 2017 KPM


Majlis berlangsung pada 10 Januari 2017 di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajya (PICC) bermula jam 8.00 pagi. Perutusan disampaikan oleh YB Dato' Seri Mahdzir bin Khalid, Menteri Pendidikan Malaysia. KGMMB diwakili oleh Dato' Mohamad Sabri Hj. Mohd Arsad, Presiden; Tn. Hj. Atan Nordin, Timbalan Presiden; En. Ahmad Nawawi bin Shaari, Setiausaha; Dato' Amran Ghani, Naib Presiden 3 dan Dr. Roslan Saadon, Naib Presiden 1. 



Antara kandungan perutusan Menteri Pendidikan adalah Transformasi Nasional 2050 yang bertujuan membentuk dan menyediakan generasi baharu masa hadapan berlandaskan Transformasi Nasional 2050. Menteri Pendidikan memaklumkan kemerosotan ekonomi memberi kesan kepada Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 yang menuntut pengubahsuaian bajet. Namun, Pentaksiran Antarabangsa TIMSS dan PISA mencatatkan peningkatan. Malaysia berada pada kedudukan pertengahan antara 39 negara pesserta TIMSS 2015 berbanding 2011. Pendidikan yang fleksibel dan bercorak kemahiran berjaya dipertingkat dengan kejayaan melahirkan 2273 graduan Kolej Vokasional kohort pertama pada April 2016. 

Dalam mengejar arus modenisasi dan globalisasi, Pembelajaran Abad Ke-21 diperkenalkan kepada murid-murid. Ia berkonsepkan pengajaran dan pembelajaran yang kondusif, terbuka, interaktif, menarik dan berpusatkan murid. Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP), Kurikulum Standard Baharu Prasekolah (KSBP), Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) dan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) digunapakai di sekolah-sekolah mulai 2017. Turut diperjelaskan oleh Menteri Pendidikan adalah Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS), Perubahan UPSR, STEM, pemerkasaan TVET, keseimbangan ilmu dan akhlak dan