Monday 5 September 2016

TAKLIMAT KSSR KEPADA KESATUAN GURU



Presiden KGMMB mengetuai kesatuan guru menghadiri Taklimat KSPK (Semakan 2017), KSSR (Semakan 2017) dan KSSM pada 1 September 2016, jam 9.00 pagi di Bahagian Pembangunan Kurikulum (BPK), Kementerian Pendidikan Malaysia. Dalam ucapan awal, Y.Bhg Dato' Sabri Mohamad Arsad, selaku Pengerusi Kongres mengucapkan terima kasih kepada pihak BPK kerana memberi taklimat kepada kesatuan. Beliau berharap perbincangan dan pandangan kesatuan diambil kira dalam pelaksanaan perubahan kurikulum. Mesyuarat tersebut dipengerusikan oleh Timbalan Pengarah BPK dan taklimat berkaitan kurikulum disampaikan oleh Dr. Azmi. Penjelasan Dr. Azmi disertai dengan pelbagai isu yang ditimbulkan oleh pihak kesatuan seperti isu masa, sekolah dua sesi dan kemudahan sekolah. Isu-isu yang ditimbulkan oleh kesatuan akan dibawa kepada pihak atasan untuk membuat keputusan. Pegawai Kanan KGMMB yang turut hadir ialah Cikgu Hj. Atan Nordin, Dr. Roslan Saadon, Cikgu Mohd Said Hussin dan beberapa orang lagi.

PEMUAFAKATAN IPGM KESATUAN GURU BERKAITAN CUTI REHAT TAHUNAN



Tn. Hj. Ghazali Omar dan Dr. Roslan Saadon mewakili KGMMB hadir Majlis Pemuafakatan IPGM bersama kesatuan guru di IPGM, Cyberjaya pada 30 September 2016. Majlis yang dipengerusikan oleh Dr. Noriati, Timbalan Rektor IPGM itu melibatkan Pengarah-pengarah Sektor IPGM, beberapa orang Pengarah IPG Kampus, wakil NUTP dan KGMMB serta beberapa persatuan lain. Timbalan Rektor memulakan perbincangan dengan menyampaikan taklimat berkaitan transformasi IPG terutama berkaitan perubahan cuti cara lama kepada Cuti Rehat Tahunan (CRT). Semua pihak yang hadir terutama NUTP dan KGMMB telah memberikan pandangan mereka dan secara dasar bersetuju dengan cadangan mewujudkan CRT. Transformasi ini akan menjadikan IPG beroperasi seperti universiti dan diharapkan pelbagai kemudahan yang diperolehi oleh pensyarah universitu juga diperolehi oleh pensyarah IPG terutama Cuti Sabatikal dan Geran Penyelidikan.

Sunday 4 September 2016

KURNIAAN PINGAT JASA KEBAKTIAN (PJK)


Tiga orang Pegawai KGMMB Cawangan Pulau Pinang menerima Pingat Jasa Kebaktian (PJK) sempena Ulang Tahun Kelahiran TYT Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang ke-78. Majlis berlangsung di Seri Negeri, Pulau Pinang pada 17 Ogos 2016. Mereka yang menerima pingat ialah Tn. Hj. Saidin Rashid, Pengerusi KGMMB Pulau Pinang, En. Mohd Hasni Abdullah, AJK KGMMB Pulau Pinang dan Pn. Yasmin Md. Nor, mantan Penolong Setiausaha KGMMB Pulau Pinang. 

FORUM REMAJA 2016






Sebagai penyokong kuat, KGMMB terlibat secara serius dalam perancangan dan pelaksanaan pertandingan Forum Remaja. Piala Pusingan Forum Remaja ditaja oleh KGMMB. Begitu juga dengan hadiah wag tunai dan kos penyelenggaraan pertandingan di peringkat negeri ditaja oleh KGMMB. Hal ini selaras dengan salah saru matlamat perjuangan KGMMB iaitu memartabat bahasa Melayu. Pada tahun ini Presiden dan naib Presiden terlibat dalam mesyuarat perancangan dan pelaksanaan Forum Remaja. Beberapa orang Pegawai Kanan KGMMB termasuk Timbalan Presiden terlibat sebagai Panel Hakim. Pada hari pertandingan akhir, semua Pegawai Kanan KGMMB dijemput hadir memeriahkan majlis dan Y.Bhg. Dato' Hj. Mohamed Sabri, Presiden KGMMB diberi penghormatan duduk bersama VVIP dalam pertandingan akhir pada 18 Ogos 2016 di Auditorium, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur. Johan Forum Remaja bagi tahun 2016 ialah SMK Tawau, Sabah.

KUNJUNG HORMAT KGMMB KE SERI MUTIARA


Delegasi KGMMB dan Gapena seramai 12 orang telah berkunjung ke Seri Mutiara pada 2 Mac 2016 jam 5.30 petang untuk mengadap Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang. TYT Tun Dato' Seri Utama (Dr.) Hj. Abdul Rahman bin Hj. Abbas menyambut rombongan KGMMB dengan penuh kemesraan. Selaku ketua delegasi, Y.Bhg. Dato' Hj. Mohamed Sabri telah menyampaikan ucapan pembukaan dengan berterima kasih yang tidak terhingga kepada TYT Tun kerana sudi menerima rombongan KGMMB. Beliau seterusnya memperkenalkan semua Pegawai KGMMB termasuk Pegawai Gapena. Seterusnya Presiden menyerahkan perbincangan kepada Y.Bhg. Dato' Zainal Abidin Borhan, Ketua 2 Gapena untuk memberi penjelasan tentang Dual Language Program (DLP) yang menjadi isu besar dalam memartabat bahasa Melayu. TYT Tun mendengar dengan begitu teliti dan mencadangkan agar isu tersebut dapat diselesaikan dengan bijak, rasional dan tidak menggugat kestabilan negara. TYT Tun juga mengambil kesempatan bertanya tentang perkembangan KGMMB dan program-program yang bakal diadakan. Delegasi seterusnya dibawa menikmati jamuan dan majlis pertemuan itu berakhir pada jam 6.45 petang.

MAKMAL BAHASA MEMARTABAT BAHASA MELAYU DALAM PENDIDIKAN


Makmal itu berlangsung pada 10 Mei 2016 di IPGM Cyberjaya, KGMMB dijemput untuk terlibat dalam Makmal Bahasa memartabat Bahasa Melayu di bawah rancangan strategik KPM. Makmal tersebut dikendalikan oleh PADU dengan kerjasama IPGM. Dr. Roslan Saadon, Naib Presiden 1 hadir mewakili KGMMB telah memberi pelbagai cadangan dalam makmal tersebut. Antara cadangan KGMMB dalam memartabat bahasa dan sastera ialah subjek Kesusasteraan Melayu menjadi keutamaan dalam memilih calon guru; KGMMB membantah Kesusasteraan Cina dan Tamil dimasukkan dalam subjek Sastera dan  Bahasa; KGMMB memohon pihak Kementerian mengkaji komposisi pelajar bumiputera dan bukan bumiputera di IPG; dan menganalisis peranan SISC+ dalam mempertigkat pencapaian bahasa Melayu di sekolah.

ANUGERAH TOKOH GURU PGMPPS 2016




Buat kali kedua PGMPPS dan KGMMB Cawangan Pulau Pinang menganjurkan sambutan Hari Guru 2016 sempena Mesyuarat Agung Dwitahunan PGMPPS. Majlis itu juga dijadikan sebagai sambutan Aidil Fitri PGMPPS/KGMMB bagi tahun 2016. Majlis serampang tiga mata itu dihadiri kira-kira 250 orang ahli diadakan pada 17 Julai 2016 di Hotel Seri Malaysia, Kepala Batas. Pulau Pinang. Sambutan Hari Guru PGMPPS diadakan dua tahun sekali bermula tahun 2014.

Tn. Hj. Abdul Wahab Abdul Rauf dan Tn. Hj. Mohd Noor Hussin dianugerahi Tokoh Guru PGMPPS dan Tn. Hj. Saidin Rashid dan Pn. Yasmin Md Nor dianugerahi tokoh Kepimpinan PGMPPS. Anugerah disampaikan oleh En. Mohd Jamil Mohamed, Ketua Sektor Pengurusan Sekolah merangkap Pemangku Timbalan Pengarah JPN Pulau Pinang. Dalam ucapan perasmian, En. Jamil merakamkan jutaan terima kasih dan syabas kepada guru-guru lama yang telah benyak berjasa kepada perkembangan pendidikan negeri dan negara. Beliau juga beharap para guru sentiasa peka dengan PPPM dan sentiasa seiring dengan kerajaan menjayakannya.