Sunday 27 March 2016

GINJALKU SAYANG HILANG FUNGSINYA

Orang yang paling dekat ketika aku dilanda ujian adalah isteriku. Dia sentiasa bersama-samaku dalam apa jua keadaan. Walaupun fizikalku semakin lemah, namun semangatku sentiasa hidup. Isteri sentiasa memberikan kata-kata semangat kepadaku. Begitu juga doktor-doktor yang memeriksaku sentiasa memberikan harapan dan kekuatan untuk aku meneruskan rawatan.

Namun pada malam hari apabila isteriku sudah tiada, doktor-doktor juga sudah tiada, tinggal aku sendirian bersama-sama kesedihan dan kekecewaan. Walaupun pada siangnya aku tidak mahu menunjukkan kesedihanku, tetapi pada malam hari ketika aku sendirian keadaan berbeza. Hatiku menjadi teramat sayu dan rasa kehilangan. Pelbagai perasaan negatif datang. Aku bukan lelaki yang normal. Aku akan berhadapan dengan pelbagai kesukaran, kekurangan dan kelemahan.

Satu perkara yang mampu aku lakukan ialah mengadu kepada Illahi. Aku mengambil wuduk dan solat sunat di tepi katilku. Selepas solat aku berdoa dan memohon kepada Illahi agar penyakitku disembuhkan. Dalam waktu yang sama air mataku mengalir, terlalu mudah ianya mengalir keluar. Solat merupakan aktiviti penting dan menjadi penawar dukaku semasa aku di hospital. Jika tidak di tepi katil aku akan bersolat di surau hospital. Ini yang dikatakan ketika kita susah kita akan lebih kerap mengingat Yang Maha Kuasa.

Waktu siang sampai, aku melalui rutin yang sama - makan ubat, ambil darah, ambil tekanan darah, diperiksa oleh doktor dan dialisis jika perlu. Namun, paling menarik di wad yang aku duduki ialah pelbagai peristiwa dan pengajaran yang berguna sebagai panduanku. Aku melihat beberapa orang pesakit yang jauh lebih muda daripadaku sudah mengidap sakit buah pinggang. Ada pesakit yang berada dalam keadaan yang amat kritikal dan mengidap pelbagai penyakit lain selain sakit buah pinggang. Melihat keadaan tersebut, aku bersyukur dengan keadaanku. Aku hanya mengidap sakit buah pinggang sahaja.

Selang dua hari, sorang pesakit tua berbangsa Cina ditempatkan di sebelah katilku. Aku rasa tidak selesa kerana kehadirannya menyempitkan ruang. Pek air kencingnya yang digantung di tepi katil juga mengganggu penglihatanku. Jika aku baring dikatilku dan aku menoleh ke kanan, maka muka dan mataku akan mengadap pek air kencing tersebut. Hal tersebut hanya seketika sahaja. Perasaan geli bertukar menjadi simpati. Aku cuba mengenalinya dan bertanya apa penyakit yang dihadapi. Dia berkata, "Ada macam-macam barang lo...penat ada, jantungpun ada, buah pinggangpun rosak". Suatu yang mengkagumkan aku tentang dia ialah kesungguhannya untuk hidup. Beliau tiada saudara mara dan hanya sebatang kara. Beliau mengidap pelbagai penyakit pula. Malah mata hanya berfungsi sebelah dan dapat melihat sekitar 30 peratus sahaja. Tetapi dia sentiasa berusaha untuk hidup. Dia sentiasa mematuhi segala arahan doktor, makan ubat dan minum mengikut sukatan yang dibenarkan. Dia tidak akan meminta bantuan tetapi sebagai jiran aku sentiasa melihat apa sahaja perkara yang boleh dibantu. Aku juga sering memberi makanan yang aku makan untuknya.

Tidak lama kemudian, rakanku ini dipindahkan ke katil lain yang lebih dekat dengan bilik air. Katilnya diganti dengan pesakit lain. Kali ini lebih menakutkan aku. Pesakit ini tiada kedua-dua kaki kerana dipotong akibat kencing manis. Walaupun mulanya aku rasa janggal dan kurang selesa, namun hati ini mudah sahaja merasa simpati dengannya. Ketika ketiadaan isterinya, aku sering diminta membantu dia untuk menyandar atau duduk. Dia tidak boleh melakukan sendirian kerana kurang sifat. Perkara yang mengkagumkan aku tentang pesakit ini ialah perhatian dan ikatan kasih seorang isteri terhadap suami. Suami yang sakit ini sentiasa merengek, merayu, meminta perhatian isteri, dan kadang-kadang dimarahi. Namun, isteri hanya tersenyum, bersabar dan memegang wajah suami dengan penuh pengertian dan kasih sayang. Itu yang selalu kulihat dan aku kagum dan terharu. Isteri yang keletihan dan kini berada dalam kepayahan atas kesakitan dan kekurangan suami masih boleh melayan suami dengan baik, ikhlas dan penuh kasih sayang. Ini yang dikatakan kasih sejati. Kasih bukan ketika senang dan ketika berada sahaja, tetapi kasih yang abadi dalam semua keadaan.


Saturday 26 March 2016

GINJALKU SAYANG

Petang 9 Mac 2016 aku terkejut dengan panggilan daripada Klinik Kesihatan Sungai Dua, Sungai Nibong, Pulau Pinang. Aku lupa nama pemanggilnya tetapi dia memaklumkan dia seorang doktor dan minta aku datang ke klinik Sungai Dua esok untuk pemeriksaan lanjutan. Menurutnya, darahku yang diambil beberapa hari sudah menunjukkan keadaan yang kurang baik. Doktor tersebut meminta aku berjumpa dengan Doktor Buah Pinggang yang bernama Dr. Shida di Bilik 1 esoknya.


Hj Juhari Mohamad Nor (bersongkok), Naib Pengerusi PGMPPS
dan Cikgu Nor Azrin Abdul Razak (berkemeja biru), PK Kokurikulum SK Bertam

Rancangan awal menghadiri mesyuarat Hari Guru Peringkat Kebangsaan di Kementerian Pelajaran Malaysia, Putrajaya pada 10 Mac 2016 terpaksa dibatalkan. Aku pergi ke Klinik Sungai Dua ditemani isteri dengan seribu pertanyaan dan persoalan. Aku bertemu dengan Dr. Shida dan melalui beberapa proses pemeriksaan seperti urin test, blood test dan pemeriksaan jantung (EEG). Keputusan dibuat oleh Dr. Shida yang aku perlu mendapatkan rawatan lanjutan di Hospital Besar Pulau Pinang.

Walaupun aku amat risau dengan keadaanku, namun dalam waktu yang sama aku dapat melihat seorang doktor yang profesional dan komited bekerja. Dr. Shidah bersungguh-sungguh dalam menguruskan kes aku. Segala laporan dan surat kepada doktor di Hospital Besar disediakan dengan segera. Begitu juga kepada siapa perlu dirujuk dimaklumkan oleh Dr. Shida. Malah ketika aku berada di hospital juga, beliau sentiasa memantau dan menguruskan pergerakan aku. Memang sangat komited dan profesional Doktor Shida. Dia benar-benar mempermudahkan urusanku untuk mendapatkan pemeriksaan dan rawatan lanjutan di Hospital Besar Pulau Pinang.


En. Jamal Mohamed (berbaju biru), Setiausaha Akademik IPGK Pulau Pinang dan
Dr. Tan Huat Tian (tengah), Pensyarah Cemerlang IPGKPP

Berbeza dengan Dr. Shida yang mesra alam, di Unit MRR aku berjumpa dengan Dr S (bukan nama sebenar) yang sangat serius. Kerjanya efisien dan cekap namun sukar berbicara. Nak mendengar komen sepatah katapun amat sukar. Sebagai pesakit aku ternanti-nantikan komen darinya tetapi dia hanya memandang sahaja ke arahku. Aku melihat isteriku dan isteriku tersenyum sahaja sambil berkata, "Doktor ini tertekan kot...dia tak enjoy degan kerjanya".

Langkah seterusnya aku diarahkan pergi ke Wad 7 dan menunggu Doktor Venod. Tidak lama kemudian Dr. Venod datang dan memeriksaku sambil melihat ultra sound dan segala laporan. Berdasarkan maklumat yang ada Dr. Venod menjelaskan bahawa aku mengalami kegagalan buah pinggang. Aku perlu dimasukkan ke wad dan menjalani pemeriksaan serta rawatan rapi. Kenyataan yang dibuat itu benar-benar memeranjatkan aku. Aku bagaikan tidak dapat menerima keputusan yang dibuat oleh Dr. Venod. Dalam sehari aku terpaksa menerima pelbagai maklumat yang mendukacitakan. Kandungan darahku tidak elok penuh dengan asid urik dan kratinin. Kedua-dua buah pinggangku telah mengecut dan tidak berfungsi. Aku tiada pilihan lain melainkan menjalani proses dialisis. Aku menjadi bingung dan terpinga-pinga. Aku ada isteri dan keluarga. Aku ada pekerjaan yang baik dan aku ingin terus berjaya dalam profesionku. Aku ada sepuluh tahun lagi sebelum bersara, Aku merasakan duniaku menjadi gelap. Laluan dan masa depanku gelap kerana pergerakanku akan terbatas. 

Namun, Dr. Venod berjaya menenangkan aku dan kata-katanya menjadi penawar awal bagiku. Apa katanya, 

"Encik, saya ingin cakap bukan sebagai doktor tapi sebagai kawan atau adik beradik. Sayapun tak tahu apa yang akan berlaku kepada diri saya nanti. Kalau encik kena kanser, kita boleh operate tetapi selang beberapa bulan kanser datang lagi, encik akan mati. Kalau encik kena angin ahmal, encik terbaring sahaja dan orang terpaksa uruskan encik. Tapi sekarang encik sakit buah pinggang, encik masih boleh jalan, boleh bekerja dan uruskan diri. Yang penting encik ikut nasihat doktor dan buat dialisis."

Hebat doktor ini, nampak lembut tetapi bijak dan profesional malah mampu menyentuh jiwa pesakit. Kata-katanya itu akan aku ingat sampai bila-bila.


Dari kanan Hj. Khalid Ahmad, Pengarah IPGKPP, Dato' Mohamed Sabri, Presiden
KGMMB, pesakit dan Dr. Hj. Mohd Azhar, Pensyarah Jabatan Sains Sosial, IPGKPP

10 Mac 2016, hari Khamis aku terus ditempatkan di Wad 7, katil 32. Menariknya di wad ini siapa yang masuk semuanya dianggap orang tua. Segala pangkat, jawatan, kedudukan dan gelaran hilang. Semuaya dipanggil pakcik. Kalau budak yang seumur anak kita sedap juga telinga mendengar, tetapi yang dah tua bangka juga mamanggil kita pak cik. Inilah yang selalu disebut oleh Prof. Emeritus Dr. Abdullah Hassan tentang panggilan sapaan yang tidak digunakan mengikut kesesuaian keadaan dan situasi. Tetapi sesetengah pegawai dan staf hospital lebih bijak dan mematuhi etika berbahasa dengan menggunakan istilah encik atau puan atau cik. 

Hari pertama di wad aku dikejutkan dengan ketangkasan Doktor Pakar Siew. Dia memeriksa dan memaklumkan keadaan diriku. Badanku semakin lemah, darah semakin berkurangan dan aku perlu segera menjalani dialisis. Menarikya tentang Dr. Siew ini ialah dia memperkenalkan diri sebagai "Doktor Jahat". Jahat sebab sentiasa mendesak pesakit menjalankan dialisis dan mengikut arahannya. Memang betul nampak jahat. Kata-tanya tegas, arahanya tegas dan prinsip perubatanya juga tegas. Aku cuba timbulkan beberapa pertanyaan dan antaranya ialah alternatif lain selain dialisis. Menurutnya, dia sangat yakin dengan kaedah dialisis. Inilah kaedah yang dipelajarinya dan menegaskan bahawa "I beleive in science". Dia meminta aku membuat keputusan segera. Jika lambat pelbagai komplikasi lain akan timbul dan ia akan menyusahkan pesakit itu sendiri. Dia memberi banyak contoh pesakit yang enggan membuat dialisis akhirnya datang semula ke hospital dalam keadaan yang sangat kritikal. "Doktor Jahat" ini akan datang memeriksa pesakit pada setiap hari dan aku melihat komitmen dan kebijaksanaannya merawat pesakit termasuk diriku. Aku mula berminat dan tertarik dengan peranan yang dimainkan oleh Dr. Siew di wad 7. Satu watak yang penuh bergaya yang sentiasa kunanti-nantikan pada setiap hari.

Seorang lagi doktor (MO) berkaca mata tebal juga bertugas di wad 7. Aku menggelarnya "Dr. Brutal". Dia kelihatan lebih tangkas dan ganas daripada "Dr. Jahat". Selepas memeriksaku pada hari kedua dia terus mengarahkan aku membuat dialisis. Dia bertanya adakah aku sudah membuat keputusan untuk dialisis. Aku menjawab belum dan dia terus berkhutbah, 

"Kenapa susah sangat mahu buat keputusan. Susahkah mahu pilih, ada dua sahaja. Satu dialisis darah dan satu lagi dialisis air. You sudah tegokkan kedua-dua cara, kedua-duanya bagus. You punya hemoglobin semakin rendah, kadar asid dan racun semakin tinggi, badan you semakin lemah. Tiada cara lain melainkan dialisis. Kalau you tak mahu dialisis you tunggu matilah..."

Ganas betul kata-kata doktor berkanta tebal ini. Namun, hasil kata-kata itu aku terus membuat keputusan untuk dialisis darah. Dia juga yang bertanggungjawab memasang tapak untuk dialisis di leherku. Dengan kesakitan yang sangat minimum, tapak tersebut berjaya dibuat oleh doktor muda itu. "Doktor Brutal" ini juga mengkagumkan aku dan aku amat terhutang budi kepadanya.

Beberapa hari di wad aku menjadi semakin jemu dan biasa dengan keadaan di wad. Bangun pagi mandi, sarapan, kena cucuk untuk ambil darah, ambil tekanan darah, makan ubat, ditebuk, dialisis dan pemeriksaan doktor. Tapi sebenarnya banyak yang aku belajar terutama kepayahan seseorang doktor bekerja. Dari pagi hingga ke malam tidak berhenti-henti doktor bekerja. Wajahnya, pergerakannya dan moodnya tetap sama pada setiap masa. Apapun masalah pesakit dilalui dengan penuh tanggungjawab dan amanah. Dr. Revathi, Dr. Omar, Dr. Hani dan Dr. Jawahir antara HO yang sangat gigih dan seronok menjalani tugas harian mereka. Mereka sangat menghormati dan mesra dengan semua pesakit. Mereka cuba memberikan perkhidmatan yang terbaik untuk pesakit di wad 7.


Cikgu Hisham Ismail (kanan), Bendahari PGMPPS