Tuesday 17 December 2013

PROGRAM JAWATANKUASA KGMMB NEGERI SEMBILAN


KGMMB Cawangan Negeri Sembilan menganjurkan satu program Jawatankuasa Bersama Keluarga yang melibatkan pelbagai aktiviti antaranya taklimat pengurusan kewangan, mesyuarat jawatankuasa, majlis persaraan mantan bendahari dan sukaneka. Program ini berlangsung dari 13 hingga 14 Disember 2013 di Golden Straits Villas Beach Resort, Batu 2, Jalan Pantai, Port Dickson. En. Roslan Saadon, Naib Presiden II hadir menggantikan Presiden yang kebetulan menghadiri satu majlis di Kementerian Pelajaran Malaysia. Dalam majlis meraikan Cikgu Abdul Hamid, mantan Bendahari KGMMB Cawangan Negeri Sembilan, Naib Presiden diminta menyampaikan ucapan bagi pihak Presiden KGMMB. Berikut adalah petikan ucapan tersebut:

Ucapan Majlis Persaraan Bendahari KGMMB Cawangan Negeri Sembilan disampaikan oleh Naib Presiden II (En. Roslan Saadon) Mewakili Y.Bhg. Dato’ Haji Mohamad Sabri Haji Mohd Arshad, Presiden KGMMB
13 Disember 2013 (Jumaat), 8.30 malam, Golden Straits Villas Beach Resort, Port Dickson.
---------------------------------------------------------
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam Negeri Sembilan Darul Khusus. Terima kasih kepada sahabat saya Cikgu Said Hussain selaku pengacara majlis.
Yang berusaha Cikgu Nazri, Pengerusi KGMMB Cawangan Negeri Sembilan; Cikgu Hamzah, Timbalan Pengerusi, Cikgu Said Hussain, Setiausaha, rakan-rakan Ahli Jawatankuasa dan yang diraikan Cikgu Hamid serta hadirin hadirat yang dihormati sekalian.

Terlebih dahulu dipanjatkan kesyukuran ke-Hadrat Yang Maha Kuasa kerana dengan limpah kurnia-Nya, dapat kita bersama-sama pada malam ini bagi menjayakan majlis perpisahan Cikgu Hamid, mantan Bendahari KGMMB Cawangan Negeri Sembilan. Terima kasih atas jemputan dan saya bagi pihak Presiden ingin mengucapkan tahniah kepada Jawatankuasa kerana berjaya menganjurkan majlis yang amat bermakna ini. Menghargai rakan jawatankuasa yang berjasa amat penting dan majlis yang diadakan pada malam ini amat bertepatan dengan budaya kita menghargai dan mengenang jasa orang yang berjasa.

Saya suka menarik perhatian rakan-rakan semua bahawa Negeri Sembilan merupakan Cawangan yang banyak membekalkan pemimpin persatuan guru yang hebat. Antara nama besar yang boleh dipaparkan ialah Cikgu Kassim Harun, Cikgu Shaari Itam, Cikgu Md Yusof Badin, Cikgu Muhammad Tainu dan Cikgu Drs Mohd Pilus. Namun nama yang agak hebat antara mereka ialah Kassim Harun. Beliau berjaya menghasilkan buku “20 Tahun KPGMS-KPGMPTM Berjuang”, menjadi Setiausaha Agung KPGMS/KPGMPTM, Presiden KGMMB, mengasas Kuliah Tertulis UNAS, mencadangkan penubuhan Yayasan Guru dan sambutan Hari Guru. Jika Negeri Sembilan ingin membuat kajian, Cikgu Kassim Harun merupakan tokoh yang perlu diberi perhatian.

Guru-guru Negeri Sembilan juga bertanggungjawab membangunkan Majalah Guru. Bersama-sama PGM Melaka dan Selangor, Negeri Sembilan memimpin penerbitan Majalah Guru yang bermula pada tahun 1924. Seremban menjadi ibu pejabat Majalah Guru yang pertama dan Cikgu Muhammad Datuk Muda dan Cikgu Baba Jaudin terlibat secara langsung menguruskan majalah tersebut. Cikgu Muhammad Datuk Muda mengetuai penerbitan Majalah Guru dari 1924 hingga 1932.

Kehebatan kepimpinan guru Negeri Sembilan berterusan hingga kini. Cikgu Nazri dan Cikgu Said merupakan contonhnya. Negeri Sembilan agak kehadapan dalam pengurusan dan pengendalian program berbanding lain-lain cawangan. Cikgu Said bukan sahaja aktif di peringkat negeri, malah terlibat di peringkat pusat dan menjadi Setiausaha Kongres. Banyak isu yang dibawa ke peringkat kementerian termasuk pelbagai memorandum seperti memorandum ex-PPLD dan guru-guru yang rugi menggunakan bonus 3 tahun untuk lantikan time-base DG44.

Saya juga suka menarik perhatian tuan-tuan dan puan-puan atas usaha yang dimainkan oleh KGMMB terutama peranan presiden. Dalam apa jua mesyuarat, forum dan perbincangan di peringkat kementerian atau di mana-mana, suara presiden amat lantang dan sering mendapat perhatian. KGMMB juga semakin berkembang maju dan pelbagai kemudahan dan kebajikan dapat dipertingkatkan. Keahlian KGMMB kini mencapai jumlah yang amat membanggakan iaitu 37,000 orang. Atas usaha tersebut, tidak hairan jika Presiden KGMMB dianugerahi Bintang Kebesaran dari Sultan Surakarta, Solo, Indonesia yang membawa gelaran Dato’. Saya juga amat bertuah dan kagum dengan apa yang berlaku. Saya melihat bagaimana seorang sultan dari keturunan yang pernah membina empayar di Nusantara, mengalungkan pingat kebesaran kepada Presiden. Ingkang Sinuhon Pakubuwono XIII yang mengurniakan darjah kebesaran tersebut merupakan keturunan raja Mataram yang satu ketika dahulu datuk nenek mereka mendiami Kraton Mataram, kemudiannya Kraton Kartasura dan kini Krataon Surakarta Hadiningrat di Solo, Yogyakarta.

Dalam hal ini, saya mencadangkan agar, Jawatankuasa berusaha mendapatkan pingat untuk rakan-rakan jawatankuasa yang banyak menabur jasa untuk kesatuan dan pendidikan anak bangsa. Pulau Pinang sentiasa mencalonkan mereka yang dianggap layak termasuk pengarah JPN negeri. Jika pengarah jabatan lain mudah dianugerahi gelaran Dato’, mengapa tidak pengarah JPN.

Kepada Cikgu Hamid yang diraikan, saya bagi pihak presiden KGMMB pusat mengucapkan ribuan terima kasih atas sumbangan dan perkhidmatan yang telak dilaksanakan. Semoga Allah membalas segala pengorbanan masa, tenaga dan wang ringgit yang dicurahkan untuk kesatuan. Juga diharapkan Cikgu Hamid akan sentiasa sihat dan bahagia di samping keluarga tercinta. Selamat bersara Cikgu Hamid.

Akhir kata sekali lagi ucapan tahniah kepada semua pihak yang menjayakan majlis pada malam ini. Saya menyusun jari memohon ampun dan maaf jika ada kekasaran bahasa dan tingkahlaku. Sekian, wabillahi taufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

ROSLAN SAADON,
Naib Presiden II
Mewakili Presiden KGMMB




Monday 16 December 2013

LAWATAN KE KRATON SURAKARTA, SOLO, INDONESIA

Sebaik sahaja keluar dari Hotel Sahid Jaya, Solo, Indonesia, pada jam 10.00 pagi, 8 Disember 2013, para delegasi KGMMB dibawa melawat ke Kraton Surakarta, Solo, Indonesia. Seorang jurupandu membantu membawa para delegasi melawat sekitar istana sambil menceritakan sejarahnya. 

Kraton Surakarta tidak lagi menjadi kediaman Pakubuwono XIII. Ia kini dijadikan muzium menyimpan khazanah Kesultanan Mataram.














LAWATAN KE CANDI BOROBUDOR

Delegasi KGMMB dan Kementerian Pelajaran Malaysia meluangkan masa berkunjung ke Candi Borobudor pada 7 Disember 2013. Lawatan ke tempat bersejarah itu bermula dari pukul 11.00 pagi hingga 1.00 petang. Pn. Aisyah menjadi juru pandu dalam lawatan ini. Beliau membawa para peserta naik dan masuk ke dalam candi tersebut sambil menyampaikan maklumat berkenaan sejarah candi yang dianggap warisan sejarah dunia itu. Menurutnya, pembinaan candi tersebut mengambil masa selama 90 tahun menggunakan batu-batu yang diambil di sungai yang terletak di kaki gurung merapi. Batu-batu tersebut disusun dan diukir oleh pengukir yang mahir.

Candi tersebut dijumpai oleh orang Belanda dalam keadaan tertimbus. Candi itu tertimbus oleh bahan-bahan serpihan gunung merapi. Pihak kerajaan Belanda di Indonesia mengambil inisiatif menggali dan membaik pulih candi tersebut. 







ISTIADAT MENJUNJUNG DULI

Presiden KGMMB dianugerahi Darjah Kebesaran Sultan Surakarta, Jawa Tengah, Indonesia pada 6 Disember 2013. Majlis istiadat berlangsung bermula jam 8.30 malam di Hotel Shah Rich, Jogjakarta dengan penuh adat istiadat raja Jawa. Sejurus saja baginda Sultan Paku Buwono XIII sampai, Datuk Bentara terus mengumumkan istiadat pengurniaan darjah kebesaran dimulakan. Para penerima seramai 12 orang dibawa mengadap sultan oleh juruiring istiadat seorang demi seorang. Selain daripada Cikgu Mohamad Sabri Arshad menerima anugerah daripada sultan itu, Cikgu Amran Ghani juga menerimanya. Bintang kebesaran yang diterima membawa gelaran Datuk kepada mereka berdua.

Suatu yang amat mengkagumkan apabila melihat bagaimana seorang sultan dari keturunan yang pernah membina empayar di Nusantara, mengalungkan pingat kebesaran kepada dua orang Pegawai KGMMB. Ingkang Sinuhon Pakubuwono XIII yang mengurniakan darjah kebesaran tersebut merupakan keturunan raja Mataram. Satu ketika dahulu datuk nenek mereka mendiami Kraton Mataram, kemudiannya Kraton Kartasura dan kini Krataon Surakarta Hadiningrat di Solo, Yogyakarta.


















PENANDA ARASAN DI SMI YOGYAKARTA, JAWA TENGAH, INDONESIA

Delegasi sampai di Lapangan Terbang Jogjakarta pada jam 2.20 petang, 5 Disember 2013. Selepas selesai urusan imigresen, rombongan bergerak ke SMKI Yogyakarta dan sampai di sekolah seni itu kira-kira jam 4.00 petang. Delegasi disambut oleh Pengetua sekolah dan diiring ke dewan dengan alunan gamelan oleh kumpulan pelajar sekolah tersebut. Pengetua menyampaikan taklimat berkenaan dengan sekolah dan seterusnya mempersilakan Presiden KGMMB menyampaikan ucapan. Selepas itu, para hadirin dipertonton tarian klasik jawa yang disampaikan oleh para pelajar. Sejurus selesai, hadirin dipersilakan ke bilik jamuan untuk menjamu selera. Sambil makan, para pelajar memperdengarkan lagu-lagu klasik jawa diiringi muzik gamelan. 








Friday 6 December 2013

SEMINAR PENGEMBANGAN GURU DI UNIVERSITAS NEGERI YOGYAKARTA

En. Roslan Saadon menyertai Seminar Pengembangan Guru yang berlangsung pada 6 Disember 2013 di Universitas Negeri Yogyakarta. Seminar anjuran Kantor Urusan Internasional dan Kemitraan, Universitas Negeri Yogyakarta dengan kerjasama IBC Higher Studies Malaysia. Antara perkara menarik yang dibincangkan dalam seminar tersebut ialah berkaitan latihan perguruan yang menjurus kepada latihan mengajar. Terdapat perbezaan dalam penekanan kursus perguruan di Indonesia berbanding Malaysia. Universitas Negeri Yogyakarta menjalankan kursus Pengajaran Mikro selama satu semester sebelum ditempatkan di sekolah juga selama satu semester. Kajian perbandingan impak kaedah yang dilaksanakan antara dua negara dicadangkan akan diwujudkan jika ada kesempatan dan ruang.









BENGKEL PENAMBAHBAIKAN CPD

Bengkel anjuran BPG, KPM ini berlangsung dari 1 hingga 3 Disember 2013 di A'Famosa Resort, Alor Gajah, Melaka. Bengkel melibatkan Jurulatih Utama CPD dari seluruh negara.